Saturday 30 June 2012

DARI SURAU KE MAJLIS KENDURI, POLITIK

DI SURAU KAMI kalau ada kenduri-kendara selalunya hebahan sudah siap ditulis di papan kenyataan. Semua dijemput. Jadi, semua jemaah surau kena ikut sekali.
Kebetulan majlis hari Sabtu, imam tak ada, salah seorang jemaah tampil jadi imam. Zuhur bukan ada masalah nak jadi imam pun!
Habis solat, diumumkan majlis doa selamat diadakan di rumah si fulan. Maka setelah solat sunat, kami pun berangkatlah ke rumah berkenaan yang jaraknya hanya seperlangkahan sahaja dari surau.
Dalam perjalanan itu saya mendengar celoteh imam tadi dan para jemaah tentang politik. Mereka bercakap tentang dasar BN yang ada hari ini.
Ketika nak pergi ke rumah si fulan, saya dengar imam tua itu berkata, "Kali ini jangan undi BN lagi, menipu Melayu!"
Terkejut juga. Padahal tidak jauh dari tempat kami itu adalah rumah indah tesergam, terpacak, milik bekas Adun Gombak dulu, Datuk...

DATUK-DATUK
Datuk itu pun tak pernah nampak batang hidungnya, dia ada di Sumatera, duduk dengan bini mudanya, bini tua Mak Datin selalu juga solat di surau.
Kalaulah Mak Datin dengar imam tadi suruh orang jangan undi BN lagi, tentu dia marah.
Lagi satu, bila disebut nama Datuk, orang kampung macam meluat dengarnya. Yalah, sebab gelaran Datuk sudah lumrah. Biasanya yang bergelar Datuk adalah orang Umno. Mana ada orang pembangkang bergelar Datuk? Boleh dikira.
Contoh, kalaulah Lim Guan Eng itu dalam BN sudah tentunya gelarannya Datuk Seri Lim Guan Eng. Sampai bila pun Guan Eng bergelar Encik. Tak apa. Sultan Melaka ada, kita tunggu dia naik takhta, sejak dia lari dari istananya di Taman Sri Gombak, kita tak dapat kesan ke mana dia pergi.

SULTAN MELAKA
Sahabat baik saya Amin yang tinggal di Segambut Luar beritahu, Sultan Melaka itu baik dengannya. Kenal sangat, suka berseloroh.
Kepada Amin saya beritahu, "Kalau dia naik takhta, bolehlah kita berdua jadi pak pacak pegang tombak?"
"Ini bukan istana bangsawanlah," sampuk kawan lain pula.
"Kenapa pula?"
"Istana sekarang tak ada tombak macam dulu!"
"Tapi ini istana Sultan Melaka!"
Berhubung dengan nama sultan ini, teringat saya kepada seorang kawan yang suka kahwin cerai, dan masik tak serik ingin mencari janda-janda kaya untuk dijadikan isteri. Saya terkejut melihat kad namanya, sudah ada gelaran DATUK S, wah hebat. Bukan setakat nama dia, ayahandanya pun Datuk bergelar juga. Hebat.
Orang macam ini pun ada. Khabarnya dulu dia aktif Umno, pernah bertarung di kawasan Banting sana, maklum Salak Tinggi di sana juga.
Sekarang Datuk itu bagi tahu kawan saya, dia bikin syarikat perfileman. Wah, baguslah. Ramai artis muda-muda boleh dijadikan isteri mutaahnya. Walau dia bukan Syiah, tetapi kahwin cerai sudah jadi permainan.
Nah, Datuk jenis begini pun ada dalam Umno.

TEMPOYAK DEGHOYAN
Berbalik kepada cerita tadi, setelah majlis doa selamat selesai, semua diminta menyantap jamuan "diraja" lauk ikan patin, ayam sambal, ikan kembung goreng, keli goreng sambal, maka para undangan pun santap, ikan patin taruk tempoyak [saya pula tak boleh bau tempoyak, sejak makan nasi di Pesagi, Chenor, Pahang dulu, saya sampai la ni tak boleh bau tempoyak]. Maka masing-masing santap dengan seleranya, saya hanya santap tembikai dan nasi sikit, buat syarat, daripada tidak. Lagipun tadi di Chow Kit sudah santap nasi kandar kedai Yaseen. Boleh tahan. Rasa tak berubah. Mantap lagi.

GEBANG POLITIK
Nah, lepas makan semua ada kaki tangan dari syarikat penerbangan cerita tentang masalah Mas dan Air Asia. Kemudian ada yang bercakap tentang RM500,000 untuk nombor kenderaan. Orang muda itu adalah bilal masjid kerajaan, dia merungut, dan ada yang menyebut nama bekas MB Perak Nizar. Ada orang tegur kerabat lebih teruk daripada Nizar pun, tak ada siapa berani repot. Kalau disiasat, nanti kerabat juga yang malu besar. Cerita Altantunya, kes di Paris, Scorpene juga bermain di lidah imam tua tadi. Alhamdulillah!
Pendeknya, di majlis kenduri macam itu pun masyarakat kampung sudah ada kesedaran politik. Mereka tidak mahu terima geng songkok tinggi lagi. Di majlis kenduri itu ada dua orang sahaja pakai songkok rendah. Memang di kampung sekarang songkok makin tak laku. Saya sendiri, sanggup pijak songkok untuk buang dalam tong sampah. Tak suka pakai. Nak pakai solat  tak boleh, asyik jatuh kena punggung orang depan. Agaknya sebab itulah sejak remaja lagi saya tak suka songkok. Maknanya sejak remaja lagi saya sudah tak suka dengan simbolik sebuah parti politik asabiyah ini.

TOLAK UMNO
Kesimpulannya: kesedaran berpolitik orang kampung makin jelas, mereka mula menolak Umno. Umno tidak mempunyai apa lagi kepada orang kampung. Umno hanya untuk orang kaya, untuk orang bangsawan, untuk ketua-ketua di kampung yang rasa besar kepala, orang-orang yang rasa dituakan di kampung-kampung dan perlu dihormati. Jika demikianlah sikap para pemimpin Umno bawahan, maka parti ini akan lenyap ditelan zaman. []

1 comment:

  1. bomoh memang lah power sangat,jarak jauh die bole buat kwn2 nak try bole sye letak nmbor whatshap die 0174334165(tok keramat gunung)..

    ReplyDelete