Monday 11 June 2012

BERTEMU PUTERI LANGLANG SARI

SETELAH melakukan ritual tiga hari tiga malam di suatu tempat, maka sosok perempuan misteri yang bernama Puteri Langlang Sari pun muncul.
Gementar dan seram sejuk juga rasanya lelaki yang melakukan ritual pemanggilan itu. Tidak datang dia sanggup menunggu sampai tiga hari, sudah datang dia pula yang takut.
Ketika makhluk jelita itu tampil, gemuruh hatinya makin ganas. Tapi demi melanjutkan ritual yang sudah tiga hari, dia kena beranikan diri, ikut sahaja kehendak puteri itu. Ke mana ya? Ikut sahaja.
Dia diajak mengembara ke alam mistik. Dan setiap kali pengembaraan berakhir, perempuan mistik itu menghadiahkan sesuatu. Ia dipercayai barang berharga. Biasanya emas seberat 1.3kg. Ini keterlaluan namanya. Dapat setengah kilo pun sudah lebih dari cukup, inikan pula satu kilo.
Bolehlah lelaki itu suka-suka buat ritual untuk bertemu puteri cantik itu?
Tidak sebenarnya.
Dia kena melakukan ritual bersama sajian, menyediakan alat solek, tilam dan bantal guling baru.
Konon sesiapa yang menjalani ritual secara berurutan, orang itu akan dipilih untuk dijadikan suami di alam mistik.
Disebabkan lelaki itu menjadi pilihan puteri, dia dihadiahkan dengan sekilo lebih barang perhiasan dari emas. Manakala bahan ritual tadi, adalah untuk sang puteri impian.
Secara mistik, puteri itu adalah isteri kepada lelaki yang melakukan ritual berturutan.
Berlakulah perkahwinan manusia biasa dengan perempuan jin walaupun bergelar puteri.
Setelah berbulan-bulan melangsungkan perkahwinan mistik, wanita itu hamil di alamnya. Dia kerap datang menemui suaminya di alam nyata. Anehnya, bagai seribu satu malam - puteri membawakan barang-barang perhiasan dari alam ghaib mistik.
Dipendekkan cerita, pada suatu malam puteri datang menemui lelaki itu.
Hairannya perut puteri sudah kembali normal. Menurut khabarnya, puteri telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan tetapi di alam mistik. Setelah lahir, puteri itu ghaib dan jarang datang menjenguk suaminya seorang manusia biasa.
Meski begitu, ada perjanjian yang orang lupa. Walaupun manusia yang menjadi pasangan hidup kaya raya kerana dibekali emas dari alam mistik, tetapi ada perjanjian yang rahsia.
Salah satu perjanjiannya, lelaki dari manusia biasa itu perlu berada di alam mistik setelah anak perempuan di alam mistik itu berusia belasan tahun.
Di saat anak perempuan itu hendak berkahwin, manusia alam dunia ini sebagai bapa perlu hadir di majlis perkahwinan makhluk mistik itu di alamnya.
Manusia biasa tadi kena jadi wali dalam perkahwinan. Jika ada sistem perwalian semua, maka ia mungkin meniru stail Islam. Tidak diketahui apakah ini versi dari jin Islam atau bagaimana.
Inilah mistik perkahwinan manusia dengan Puteri Langlang Sari dari alam jin. Setelah mempunyai anak, dan anak itu membesar, ketika itulah pihak bapa atau manusia dari alam biasa ini kena memasuki dunia mistik mereka, dunia mistik jin.
Inilah kemasukan yang abadi. Dia kena berada di alam jin yang serba rahsia.
Siapakah yang sanggup melakukan ritual di tempat karut itu bagi mendapatkan emas berkilo?
Ya, hanya orang yang putus asa. Kecewa dengan habuan duniawi dan memilih untuk berada di alam mistik di kemudian hari.
Perlu membiasakan diri berada di tempat yang berbau bangkai. Bukankah tempat yang seperti ini jadi wadah istimewa golongan iblis dan syaitan dari warga dan kerabat jin?
Khabar kepercayaan, ada kerajaan ghaib yang wujud di suatu tempat, biasanya berhampiran lokasi ritual.
Apa puncanya orang mendatangi tempat mistik yang berbau bangkai ini?
Ya, tidak lain kerana mereka ingin mendapatkan kekayaan duniwai secara mistikal. Itulah sekelumit kepercayaan umat kepada sesebuah keramat yang konon boleh mendatangkan sesuatu kepada sesiapa yang mengabdikan diri di situ.
Paling penting, seseorang itu perlu membuang apa pun keyakinan, termasuk keimanannya, kerana ia telah menyertai warga dunia mistik yang serba rahsia itu. []

No comments:

Post a Comment