Thursday 7 June 2012

ISU SEBENAR TIDAK DIPEDULIKAN RUHANIE AHMAD

KEBETULAN JIRAN SEBELAH RUMAH NAK BAKAR SAMPAH, saya terjumpa kertas Utusan Malaysia, 23 Mei 2012. Saya memang tidak membaca akhbar ini sejak pecah reformasi.
Beginilah cara saya membaca, akhbar yang meloyakan sejak sekian lama. Bukan saya sahaja, bahkan majoriti rakyat Malaysia tidak suka akhbar ini.
Tulisan Ruhanie Ahmad, mantan MP Pasrit Sulong, bertajuk RAKYAT, NEGARA DAN KELANGSUNGANNYA, menggambarkan pandangan sinis seorang bekas MP yang selama ini menjadi pendukung Barisan Nasional.
Dengan mengambil contoh apa yang terjadi di luar negeri, pertumpahan  darah dan perebutan kuasa, campur tangan kuasa luar, Ruhanie bimbang, usaha penganjur Bersih yang dikatakan mendapat dana asing hanya akan mencetuskan anarki.
Sebenarnya, apa yang diperkatakan oleh Ruhanie, sama juga dengan kenyataan pihak pemerintah yang ada. Semuanya bercakap dengan nada yang sama, kerana mereka sendiri telah melupakan apakah matlamat bersih 3.0 di anjurkan. Matlamat untuk mendapatkan 8 tuntutan langsung tidak disebut oleh pengulas atau penganalisis isu semasa. Mereka masih mengulang paparan TV3 dan RTM, begitulah mentaliti sebahagian besar bekasan MP walaupun sudah lama meninggalkan Parlimen.
Menukar kerajaan dengan cara pilihan raya bukanlah suatu perbuatan salah, tetapi sebagai bekasan MP dia semacam sinis pertukaran kerajaan oleh Pakatan Rakyat [walaupun belum terjadi] dikatakan didalangi oleh anasir luar, dilandasi budaya ganas, keganasan disasarkan kepada rakyat, muka bumi, pemerintah serta nilai-nilai teras Malaysia.
Paparan dan ulasan dalam Utusan Malaysia atau Mingguan adalah senada dengan pemikiran Ruhanie dan bekasan MP yang lain.
Dia masih bercakap tentang andaian dari persepsi UBN dan bukan dari dasar lanskap Malaysia yang sebenar. Dia lupa bahawa rakyat tidak menjadi sasaran, kebangkitan rakyat di dalam perhimpunan Bersih 3.0 adalah melambangkan ketelusan hati rakyat.
Mereka sanggup berhimpun bagi menyatakan rasa kecewanya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] yang tidak peduli langsung dengan tuntutan 8 perkara. Susah sangatkah tuntutan itu hendak dilaksanakan? Tidaklah susah, tetapi pihak UBN menjawab dengan berbelit-belit tentang isu pertukaran kerajaan dan anasir asing yang turut campur tangan.
Apakah pihak penganalisis lupa bahawa dalam tubuh Umno sendiri terdapat hubungan rapat dengan agensi asing yang menakutkan umat? Dalam hal ini media UBN selalu buat-buat lupa. Mereka juga tidak pernah mempersoalkan bagaimana dokumen sulit TLDM boleh dijual kepada firma Perancis. Pernahkah mana-mana pemimpin pembangkang melakukan semua ini?
Siapa menerima rasuah terbesar dalam pembelian kapal selam? Media UBN tidak sekelumit pun menceritakan keperihalan ini. Dan Ruhanie sendiri tidak sanggup menyentuh perkara ini, kerana ia tidak boleh diselindung lagi. Jadi dengan modal, cita-cita pemimpin pembangkang untuk melangkah ke Putrajaya sebagai jalan anarki adalah andaian yang silap.
Bukankah anda telah melihat bagaimana pertukaan kerajaan negeri telah berlaku dalam keadaan aman dan damai di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Adakah berlaku kekecohan? Tentulah tidak. Begitulah apabila Putrajaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, tidak ada apa yang perlu dicemaskan. Yang cemas adalah pesalah-pesalah ekonomi, pesalah-pesalah yang file ditutup lama kerana mendapat dukungan daripada pihak pusat.
Perbuatan anarkis yang Ruhanie sebut, hanya berlaku di Perak. Satu rampasan kuasa, menjatuhkan kerajaan negeri telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan sendiri. Tidak ada siapa berani komen. Tetapi perundangan di mana-mana pun mengatakan kaedahnya adalah salah. Dalam bab ini, pihak pusat yang bertindak secara anarki tetap mempertahankan kemolekan yang mereka lakukan.
Itulah, kita selalu memandang jijik kepada pihak lawan. Apabila kejijikan sendiri dilakukan oleh para sahabat, maka ia didiamkan sahaja kerana jika diulas akan merugikan diri sendiri.
Kemudian konon Pakatan Rakyat memerlukan dukungan dari kuasa asing, dan apabila telah berkuasa, politik negara akan dipajakkan kepada kuasa asing. Nah, ini juga mentaliti yang tertanam lama di kalangan masyarakat kita yang enggan menerima perubahan. Mereka sangat seronok dengan pengekalan kuasa bagi melangsungkan terus penyalahgunaan kuasa, membolot harta sebanyak mungkin, dan menggunakan kuasa untuk merosakkan Felda. Daripada saham yang hebat dijanjikan, akhirnya peneroka gigit jari kerana saham yang dibisingkan itu tidak sebanyak mana.
Kita tidak perlu bercakap bodoh, dengan mengandaikan pemimpin pembangkang hari ini tidak mencintai negara. Hanya pihak Umno sahajalah yang mencintai negara agaknya. Pemikiran ini sudah lapuk.
Sesiapa pun yang berkuasa memegang tampuk pemerintahan mereka akan menguruskan negara ini dengan sebaik mungkin.
Kerosakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan Umno sudah terlampau banyak, maka kerajaan baru yang akan menguruskan nanti akan berdepan banyak masalah. Biasalah, musim penyesuaian memakan masa juga, dan Umno sendiri bukanlah terlalu bijak mengurus dan mentadbir negara.
Ruhanie dalam tulisannya banyak merujuk tulisan sarjana tentang huru-hara di negeri yang bermasyarakat majmuk. Percayalah, teori yang masih berpaksi kepada peristiwa 13 Mei sudah tidak boleh dirujuk lagi. Ia adalah tinggalan budaya buruk dan anarki dari zaman Perikatan dan Umno. Dari situ peta Malaysia berubah, Singapura ditolak keluar hanya kerana pemimpin Umno tidak ada idea bernas untuk mengatasi masalah itu. istilah lain mereka bertindak terlalu gelojoh.
Dan sekarang apakah mereka juga sedang memetakan Pulau Pinang begitu juga. Kerana tidak mahu Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP dan tidak mahu kuasa dari negeri itu melarat-larat ke Semenanjung akan terjadi pemisahan strategik?
Itulah politik dangkal namanya. Apa yang dikatakan sebagai huru-hara sebagaimana acuan luar negeri memang tidak ada. 13 Mei bukanlah sebuah huru-hara masyarakat majmuk yang perlu ditakuti. Keadaan telah berubah, lihatlah bagaimana kalangan bukan islam tidak takut dan gerun lagi kepada Islam. Istilah islamphobia sudah dapat dileraikan sementara istilah itu sengaja ditebalkan oleh Umno agar masyarakat majmuk tetap dengan pemisahannya. Kini terbukti, Pakatan Rakyat mampu mendamaikan parti majmuk yang selama ini diadu-domba secara anarkis.
Jika pakatan pembangkan dianggap bertindak anarkis, maka ceramah parti politik yang diadakan di seluruh negara membuktikan sebaliknya. Kelompok muda dan berusia dalam Umno sebaliknya mengambil peranan samseng, bertindak secara anarkis, menceroboh pejabat, mencuri fail, dan semua insiden yang tidak pernah kita fikirkan selama ini. Apakah Umno sedang dirundung kegelisahan? Pakatan pembangkang lebih bimbang dengan samseng Umno, kerana kewujudan "pertubuhan" tidak sah ini seolah-olah memang dirancang secara rahsia.
Apabila berlaku pertukaran kerajaan, golongan ini dibimbangi akan diprovok untuk melakukan tindakan anarkis. Jadi siapa yang anarkis? Sejauh ini perhimpunan aman Bersih 3.0 memang terkawal, hanya faktor provokasi melampau dari pihak tertentu, mungkin mendapat arahan bagi merosakkan imej perhimpunan.
Pemimpin pembangkang dan peserta perhimpunan muda sudah faham.
Ruhanie dalam tulisannya mengatakan bahawa keselamatan bukan hanya tugas pemerintah, polis dan tentera. ia tanggungjawab semua, termasuk pihak pembangkang. Jika Ruhanie sedar bahawa keselamatan negara juga tanggungjawab bersama, maka apa salahnya pembangkang melakukan sesuatu demi untuk negara. Mereka berhimpun demi mendapatkan hak saksama oleh SPR yang selama ini berat sangat condong kepada Umno.
Umno bukanlah kerajaan. Ia hanya sebuah parti politik yang pernah diharamkan. Ia sebuah parti Melayu yang nasioanlistik sifatnya. Pembangkang tidak pernah perjudikan keselamatan Malaysia, sebaliknya ramai yang tidak sedar, dokumen sulit TLDM boleh dijual kepada luar negeri. Ia langsung tidak dianggap sebagai memperjudikan keselamatan negara. Aneh benar tafsiran ini.
Janganlah menganggap pihak pembangkang tidak cinta kepada negara. Jangan fikir hanya Umno sahaja yang tahu menguruskan kewangan negara. Jika difikirkan begitu, terjadilah bahana memalukan seperti yang telah terjadi di bumi Malaysia. Apakah ada anasir asing ikut campur dalam urusan pembangkang?
Kita bimbang, pihak yang kecewa dengan keadaan yang ada lebih bersikap anarkis daripada kalangan pembangkang yang sudah biasa berdepan dengan tentangan pihak berkuasa. Bahkan mereka sentiasa dizalimi tanpa penghujungnya. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak mencerminkan parti pembangkang atau sesiapa. []

No comments:

Post a Comment