Saturday 9 June 2012

PENIPUAN MUDAH DI MANA-MANA

SEBELUM PERKARA ITU TERJADI, semuanya indah belaka.
Mereka duduk berbual-bual, setiap hari ada sahaja agenda pertemuan. Berceritalah tentang kehebatan diri. Meskipun hanya cerita kosong, bagi orang yang tak ada pengalaman, mereka akan anggap andalah orang yang hebat.
Contoh paling mudah ialah MLM.
Dengan memperkenalkan diri, menunjukkan risalah lebih kurang dan dia pun bercerita tentang kehebatan seseorang yang pernah menyertai perniagaan berbilang tingkat itu. Cerita kejayaan orang yang tidur lena dan tak peduli duit masuk setiap hari adalah fantasi moden yang boleh mengalpakan semua orang. Siapa yang tak nak kaya, hidup senang lenang. Tengoklah, anak menteri muda-muda lagi sudah berpendapatan RM35 ribu sebulan. Itu anak menteri, tetapi perniagaan menteri itu tidaklah jujur, bahkan banyak penipuan, atau dengan kata lain, menyalahgunakan kedudukan.Buktinya, anak Pak Man yang tinggal di kampung langsung tak bergaji, hanya buat kerja kampung sebab Pak Man bukan menteri kabinet. Orang kata, kalau Pak Man jadi menteri, dia pun serupa. Sebenarnya tidak. Ia bergantung kepada daripada kelompok mana Pak Man bergerak, apakah dari kelompok yang berpegang teguh kepada Islam atau kelompok yang berpegang teguh kepada nasionalisme?
Tentang MLM ini, sudah ramai orang kecundang. Impian tidak sampai ke mana. Risalah yang dibaca hanya melenakan orang baru. Kemudian setelah sekian ribu hanyut hanya kerana menyertai MLM, maka sesalan yang dapat. Kini risalah demi risalah sentiasa disebarkan. Dalam helaian akhbar harian yang anda beli pun ada, dalam laman web pun ada, terpulang anda mahu menghanyutkan diri dalam angan-angan atau apa.
Sama juga kisah bertemu dengan orang yang pakar. Orang ini konon pakar dalam permainan judi. Orang sekarang bukan kira judi atau apa. Sebab mereka ada hujah juga. Pertaruhan jackpot berharga RM3 satu, dengan Sijil Simpanan Premium bagaimana? Bukankah, baik tiket jackpot atau sijil itu kedua-duanya menjanjikan pulangan yang lumayan? Hanya kita selalunya melihat, siapa yang melahirkan dua sistem itu, siapa yang melahirkan sistem jackpot berhadiah, dan siapa yang mengeluarkan hadiah untuk sijil simpanan tadi?
Nah, semua orang berangan ingin memiliki wang yang banyak. Kenapa berangan? Mereka membaca laporan akhbar, ada menteri dapat komisyen begitu tinggi hingga ratusan juta, bahkan ada laporan transaksi melalui terowongan Hong Kong, ada yang dapat hingga bilion ringgit.
Andainya pak menteri melakukan kehebatan itu dianggap wajar dan menjadi hak dia, maka orang kecil pun jadi terikut-ikut, ingin memiliki harta yang banyak sebagaimana pak menteri itu. Wang itu jelas tidak bersih kerana menyalahgunakan kedudukan.
Di Malaysia, sejak zaman silam lagi orang tidak peduli dengan soal punca halal atau haram. Asalkan ia berupa duit, boleh digunakan untuk jual beli, maka ia tidak mengapa. Kesedaran tentang status duit masih rendah, kerana itulah yang menjadi didikan sejak sekian lama. Dan sebab itulah, sampai sekarang, usaha untuk menolak orang Melayu daripada berbaris membeli nombor pertaruhan di kedai-kedai ramalan angka tidak berhasil. Bahkan ada pegawai Melayu yang berkhidmat di jabatan yang membanteras pun ikut sama dua kali lima.Jangan hairan.
Disebabkan kemaruk dengan duit, kita selalu dengar orang kena tipu. Ada makcik sanggup keluarkan emas dan perak simpanan campur duit tunai untuk dijampi oleh bomoh yang hebat. Dengan jampian yang dilakukan itu diharapkan emas dan simpanan akan berganda. Atau dijanjikan keselamatan dari gangguan atau kecurian.
Akhirnya, orang yang menjampi untuk mendapatkan keselamatan itulah yang menyelamatkan harta makcik tadi. Ini cerita biasa di negara kita.
Seperti juga khidmat mencuci emas, baik rantai, gelang dan sebagainya. Ketika dicuci, emas itu dipotong sedikit. Walau upahnya murah, tapi yang dipotong dengan cara tipu itu lebih besar nilainya.
Ini tidak menghairankan, ada juga penipuan melalui perkahwinan. Wang hantaran dan semua barangan berharga boleh disapu sekelip mata oleh bakal suami atau bakal isteri yang telah berjanji untuk bernikah. Semua ini wayang belaka. Ini pengajaran kepada makcik dan pakcik yang megah bermenantukan orang besar, orang berjawatan tinggi, akhirnya melopong.
Kemudian ada pula keganjilan yang berlaku hanya kerana khidmat pesanan ringkas [SMS]. Tahniah! Anda telah dipilih sebagai salah seorang...Maka yang baru menerima pesanan itu tidak memikirkan sejarah masa lalu. Apakah dia pernah beli minyak kereta atau motosikal untuk mendapat ganjaran istimewa? Atau pernah mengisi borang penyertaan untuk cabutan bertuah atau apa? Jika tidak, SMS dari pak menteri pun yang menawarkan ganjaran lumayan boleh dilupakan sahaja. Jangan layan. Jika dilayan juga, anda akhirnya ada duduk di pejabat aduan MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sebenarnya pesanan ringkas seperti itu hanya penipuan kecil. Anda layan, maka melarat-laratlah jadinya. Sama juga anda lihat ada soalan mudah ketika melayani twitter atau facebook. Siapakah PM Malaysia? Tak kan anda tak boleh jawab? Soalan mudah begini adalah perangkap tikus. Lepas satu-satu anda jawab, tapi ingat, setiap satu soalan yang anda jawab, duit anda yang ditolak RM4. Kalau lima soalan sudah RM20. Jika baki dalam telefon bimbit anda hanya RM50 maka wang anda sudah susut tinggal RM30. Mahu teruskan lagi sebab ganjaran hadiah yang hebat?
Anda mengira hadiahnya sahaja, sedang pihak yang menyediakan khidmat penipuan itu, telah mengaut RM20 dalam masa beberapa saat. Termasuk anda menjadi penyumbang kemasukan wang itu. Bayangkan RM20 dari seorang peserta yang tidak mahu teruskan menjawab kuiz, bagaimana orang lain? Orang lain pun serupa anda, tertipu, soalan mudah tadi telah menjerat anda hingga menyusuri lorong penipuan ke titik akhir.
Sekarang penipuan ada di mana-mana. Apa sahaja aktiviti yang kita lakukan, jika tidak berhati-hati, maka mulut penipuan sedia untuk menelan anda.
Sebenarnya cukup banyak bentuk penipuan besar dan kecil. Kadang-kadang tak masuk dek akal pun. Jadi, secara kesimpulan, kita kena berfikir dan bertanya banyak soalan terhadap sesuatu yang meragukan. Jangan mudah terpedaya. []

No comments:

Post a Comment