Thursday 14 June 2012

CATATAN KECIL TENTANG KAPAL SELAM

ADA BEBERAPA FAKTA MENARIK BERKAITAN DENGAN SUASANA POLITIK dan skandal yang sedang membara di bumi Malaysia.
1. Menurut laporan dan ulasan media bukan perdana, bahawa bekas Perdana Menteri Dr.M merupakan orang yang paling resah sekiranya kerajaan UBN yang ada hari ini kalah dalam pilihan raya akan datang. Keresahan Dr M ada alasan kerana beliau sangat mengetahui tentang cerita kapal selam dan segala kesan dan akibat daripada pembelian itu. Kenapa resah, kerana beliau adalah PM ketika itu [2002] dan yang terlibat adalah Menteri Pertahanan ketika itu. Sayangnya, media pemerintah langsung tidak berani menyiarkan apa cerita pun tentang skandal yang memalukan itu. Menyedari kerajaan UBN semakin lemah, Dr M mengatakan negara akan huru-hara sekiranya pembangkang kalah dalam pilihan raya kali ini. Itu teori Dr M dan biasanya sesuatu teori itu telah dirancang secara senyap bagi menimbulkan suasana yang tidak sihat.Begitulah tanggapan para penganalisis isu semasa.
2. Masih isu kapal selam. Ada yang buat komen bahawa pengaruh menteri [UBN] dan lantikan pilitik serta pegawai bukan tentera terlalu besar boleh mendatangkan kesan buruk kepada strategi dan taktik pertahanan negara, tambahan ia bukan bidang kuasa mereka. Dalam persoalan ini di manakah letaknya kepakaran Menteri Pertahanan? Di manakah letaknya kepakaran penganalisis politik bernama Razak Malim Baginda? Jelas, mereka bukan pegawai tentera, dan tidak tahu langsung tentang isu kapal selam yang dirundingkan. Dia seolah-olah broker biasa.
3. Media pemerintah selalu menuduh orang lain menjual rahsia negara, bersekongkol dengan agen asing, dan tuduhan ini sudah lumrah sejak pecah reformasi di negara kita. Maka apabila terkena batang hidung sendiri, iaitu apabila dokumen rahsia pertahanan negara boleh diserahkan kepada syarikat pembuat kapal Perancis, DCNS, maka nampak sangatlah, siapa sebenarnya yang menjual rahsia negara kepada orang luar? Cerita ini tidak dipaparkan di muka depan akhbar Utusan, Berita, Straits Times, TV3 atau RTM. Inilah yang menyedihkan. Percayalah, biar seribu laporan dibuat, pihak polis tidak akan bertindak kerana mereka semua gerun kepada PM dan pihak atasannya. Tidak sekelumit berita akan dilaporkan dalam media mereka. tetapi mereka masih sibuk dengan cerita skandal seks yang merapu.
4. Saya tertarik dengan tulisan dalam n Suara Keadilan,ed.70, 12 Jun 2012, yang menyentuh soal kelayakan Pengasas Kumpulan Karangkraf, penasihat media  dan pengurus hal ehwal koporat syarikatnya, sebagai salah seorang anggota panel siasatan Bersih 3.0. Walau dua orang yang dilantik telah menarik diri, iaitu bekas ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Shim dan orang korporat dari Petronas, Datuk Medan Abdullah. Dengan ketua panel Hanif Omar dan anggota panel orang Sinar Harian, maka kewibawaan panel ini memang dipertikaikan orang kerana ia bagai melepas batuk di tangga sahaja.
5. Tulisan Roger Mitton, yang pernah jadi wartawan senior Asiaweek, pernah berkhidmat di Hanoi dan Washington, dan kini menulis dengan Asia Sentinel  dan The Phnom Penh, dia sendiri mendakwa selalu berjumpa Razak Malim Baginda dalam tahun 90-an, kemudian berjumpa di Itali. Dia tahu kronologi kes itu, dan dia ada menyebut sebagai langkah keselamatan "mereka" memadam data kemasukan Altantunya ke Malaysia daripada rekod imigresen. Menurut pemikiran yang matang, perbuatan memadam data kemasukan adalah satu kesalahan dalam akta imigresen. Kenapa tidak timbul isu ini? Rakyat ingin tahu, siapa bagi arahan agar data itu dipadamkan? Ketika bila arahan itu dibuat? Adakah ia arahan daripada menteri atau ketua jabatan tertentu? Kemudian apa motif pemadaman data itu? Bolehkah seorang pegawai imigresen secara suka-suka memadam data yang ada dalam simpanan? Ini adalah isu besar sebenarnya, tetapi disebabkan ia melibatkan pihak pemerintah, pihak penguasa yang bermasalah, maka ia dianggap DIBENARKAN. Dalam bab data imigresen inipun sudah cukup untuk mencemarkan imej negara kita. Apakah ketua pengarah imigresen tidak berasa malu atau ketar lutut untuk berkata benar? Insya-Allah rahsia ini didedahkan apabila penguasa yang ada hari ini bertukar.
Jadi inilah di antara catatan yang dapat saya buat petang ini berhubung dengan kapal selam. Untuk projek akan datang, sesiapa yang ingin beli kapal selam, rujuk sahajalah kepada peniaga kapal selam mainan kanak-kanak yang ada di negara kita. Tak payah jumpa pakar, tak payah jumpa pegawai tentera bersangkutan, jumpa peniaga mainan kanak-kanak pun memadai. Cukupkah begini? Begitulah perumpamaan kisah skandal yang melanda negara kita. Hanya kerana mereka amat berkuasa, maka semuanya ditutup rapat daripada makluman rakyat. []

No comments:

Post a Comment