Thursday 7 June 2012

HANTU CEPET

DALAM TAHUN 60-AN saya pernah dengar nama hantu ini. Budak-budak Jawa memanggilnya hantu cepet.
Cepet, tak perlu buka kamus, memang tak ada istilah ini. Mungkin hanya kalangan Jawa tertentu sahaja menyebutnya hantu ini, sama juga jika disebut hantu genderuwo.
Menurut yang empunya cerita, hantu cepet ini gemar kepada kanak-kanak. Itu sebabnya istilah cepet ini pertama kali saya temui ketika di zaman kanak-kanak.
Biasanya hantu cepet aktif pada ketika keadaan yang tenang dan sunyi, ketika suasana tenang waktu tengah hari sebelum azan zuhur berkumandang. Bukankah makhluk seperti cepet ini juga pantangnya tak boleh dengar suara azan, nanti mereka akan lari terkentut-kentut, setelah habis azan mereka datang semula.
Disebabkan hantu ini gemar kepada kanak-kanak, maka nama hantu ini hanya disebut untuk menakut-nakutkan kanak-kanak.
Entah memang wujud atau tidak, sejauh ini tidak ada kajian di lapangan tentang kewujudan hantu sejenis ini. Apa pun cepet juga terkenal sebagai hantu yang boleh menyerupai seorang perempuan tua, dia boleh menyapa dan memanggil kanak-kanak yang sedang bersendirian.
Biasanya cepat perlu merubah penampilan sebagai orang yang dikenali oleh kanak-kanak itu. Dengan cara ini sahajalah cepet akan mengajak kanak-kanak yang diperdaya pergi ke suatu arah tertentu. Biasanya kawasan semak belukar bagi tujuan disorokkan.
Kejadian kanak-kanak hilang, sesat ketika masuk belukar dipercayai ada kaitan dengan peranan cepet. Nama cepet ini mungkin di tempat lain dipanggil hantu sorok, hantu kopek dan sebagainya.
Dengan menyamar sebagai orang yang dikenali, hantu cepet mudah melarikan kanak-kanak untuk disorokkan.
Biasanya, seorang kanak-kanak yang telah disorokkan cepet akan disimpan beberapa jam sehingga orang kampung sibuk mencarinya.
Cerita yang biasa didengar ketika itu, konon cepet yang melarikan kanak-kanak itu menjaga kanak-kanak yang diculiknya dengan sempurna, malah diberi makanan dan minuman. Hanya makanan yang diceritakan itu berupa "mi goreng" iaitu cacing tanah sebagai santapan yang lazat.
Kanak-kanak yang ditemui biasanya keadaannya kusut masai, rambut tak terurus, anggota tubuhnya calar balar, mungkin ketika cepet membawanya meredah belukar, mereka tak peduli apa pun keselamatannya. []

1 comment:

  1. bomoh memang lah power sangat,jarak jauh die bole buat kwn2 nak try bole sye letak nmbor whatshap die 0174334165(tok keramat gunung)..

    ReplyDelete