Sunday 3 June 2012

PARAKANG: MISTIK SEBUAH ILMU

ADA SEJENIS ILMU yang dinamai sebagai ilmu parakang. Ada yang mengatakan ia adalah sebuah ilmu yang dipusakai dari nenek moyang. Sesiapa yang meyakini kehebatan ilmu purba ini, maka ia akan dianggap sebagai ilmu saka. Ilmu seperti ini tidak ramai yang tahu, bahkan maklumat ini hanya setakat luaran.
Konon ilmu ini pernah diamalkan oleh sekelompok umat di tanah Sulawesi sana. Sesiapa yang mengamalkan ilmu ini, mereka boleh mengubah dirinya menjadi haiwan tertentu atau menjadi benda makhluk yang menakutkan orang.
Sudah barang tentu, penjelmaan ini hanya berlaku pada waktu malam. Orang yang menguasai ilmu parakang sahaja boleh melakukan penjelmaan ini.
Biasanya pengamal lebih suka memilih bertukar menjadi seekor harimau. Ia bukanlah harimau biasa, sebaliknya hanya seekor harimau jelmaan atau siluman.
Menurut yang empunya cerita, harimau ini sangat bahaya kerana ia mempunyai daya hidu yang kuat jika di sesebuah perkampungan itu ada orang yang sedang sakit tenat atau bayi yang baru lahir.
Bagaimana siluman harimau ini bertindak untuk mencari mangsanya? Sejauh ini disebabkan ilmu karut ini hanya tinggal cerita, dan kesan buruknya dibenci masyarakat sekitar, maka pengamal ilmu  merahsiakan sahaja atau membiarkan ilmu itu tumpul.
Sesebuah ilmu karut seperti ini sudah tentu memerlukan ritual bulanan atau tahunan untuk mengecas agar ia berfungsi ketika mahu digunakan. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, orang itu tidak sanggup menganiaya orang lain ketika menjadi siluman.
Hanya kerana faktor terdesak, bagi menghidupkan ilmu yang akan pupus, maka daya siluman harimau itu perlu diaktifkan. Sasarannya tentulah orang-orang yang sedang menanggung beban penyakit yang tidak sembuh atau bayi yang tidak mengerti apa.
Ketika ilmu diaktifkan, harimau siluman mendadak aktif mencari mangsanya. Kehilangan seseorang bayi atau orang yang sedang sakit teruk biasanya dikaitkan dengan kerja jahat siluman dari ilmu parakang.

No comments:

Post a Comment