Saturday 2 June 2012

CERITA HANG TUAH YANG MENIPU

BARU-BARU INI seorang profesor sejarah dengan beraninya mengatakan Hang Tuah tak pernah wujud di bumi Melaka. Keberanian mengatakan tidak kepada tokoh yang telah diakui "wujud" mungkin akan menimbulkan polemik yang berpanjangan.
Dan kita harap, tak ada sesiapa yang membuat laporan polis terhadap perkara yang tidak membawa faedah kepada umat Melayu ini.

EPIK, LEGENDA DAN FANTASI
Kassim Ahmad pernah buat kajian tentang Hikayat Hang Tuah [DBP,KL] dan dia mengatakan cerita pahlawan ini hanya epik Melayu yang di dalamnya memuatkan cerita-cerita kebesaran bangsa Melayu.
Hikayat Hang Tuah bukanlah sebuah penulisan sejarah tentang Hang Tuah, ia hanya sebuah hasil karya sastera Melayu yang bersifat dongeng, epik, legenda dan fantasi.
Jadi, apa yang dipaparkan dalam hikayat itu adalah rekaan belaka, atau istilahnya sebagai fiksyen.  Bukan sejarah, kerana tidak ada tarikh Hang Tuah dilahirkan, dan tidak ada tarikh dia meninggal. Bahkan amat keterlaluan mengatakan tokoh pahlawan Melayu ini menjadi wali, hidup beratus tahun hingga sekarang.
Untuk dikatakan dia masih hidup, makam Hang Tuah ada terletak di Tanjung Kling, Melaka. Ini berdasarkan cerita dalam SEJARAH MELAYU.
"Shahdan akan Laksamana Hang Tuah pun kenbali ke rahmat Allah taala. Maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling dengan sepenuh-penuh adat dianugerah, maka Khoja Hassan menggantikan mertuanya menjadi Laksamana...."[edisi Shellabear, hal.153]
Soal manusia boleh hidup sekian tahun atau hingga ratusan tahun tidak difikirkan langsung oleh penulis hikayat ini yang dikatakan ditulis setelah Melaka kalah kepada Portugis.
Mungkin kerana dendam Melaka dikalahkan Portugis, maka ada idea untuk lahirkan wira kecundang bagi menaikkan imej Melaka yang telah roboh dan punah.
Hang Tuah, ikut ceritanya, hidup sejak Melaka baru dibuka hinggalah datang Portugis pada tahun 1511.
Dan dalam tahun 1641 apabila Belanda pula datang mengalahkan Portugis di Melaka. Konon Hang Tuah masih lagi hidup.
Bayangkan bagaimana orang tua ini berdepan dengan Belanda pula?
Hikayat Hang Tuah tidak berani menyebut Hang Tuah menjadi tua dan meninggal di sebuah kampung tertentu. Semuanya dirahsiakan. Pengarangnya mahu Hang Tuah itu hidup, hingga sekarang tahun 2012.
Ia hidup di alam fantasi, alam dongeng, epik atau legenda. Jadi, soal fakta jangan difikirkan.
Bayangkanlah, mengikut hikayat yang merapu itu:
"Maka akan Tun Tuah pun tiadalah tersebut lagi di dalam negeri itu tetapi Tun Tuah tiada mati kerana ia hulubalang besar dan lagi ia menjadi wali Allah. Maka sekarang ia khabarnya Tun Tuah ini ada di puncak hulu Sungai Perak dan ia duduk menjadi raja segala Batak dan orang hutan." [Hikayat Hang Tuah, Dinas Penerbitan Balai Pustaka, Jakarta, 1958].
Kalaulah umur pahlawan ini pun tidak betul, ia boleh hidup lama, maka sudah tentu cerita-cerita dalam hikayat tersebut lebih merapu dan hanya rekaan pengarangnya sahaja. Elok juga ada pengarang yang berani mencarik adat, menokok tambah cerita, memanjangkan usia, tetapi ia bukan pemuda Ashabul Kahfi, hanya seorang pahlawan di alam fantasi guna mendodoikan umat Melayu agar bangga dengan kepahlawanannya.
Watak Hang Tuah diputihkan oleh pengarangnya. Dia sentiasa berbuat baik, walilah katakan, sentiasa taat kepada tuannya Sultan Melaka hingga konon dia mengatakan, "pantang anak melayu menderhaka kepada raja."
Kata-kata ini adalah tulisan pengarang hikayat. Hang Tuah tidak kata begitu pun. Tetapi sampai sekarang, konsep derhaka itu menjadi terakru walaupun hanya mainan seorang pengarang yang dah tentu bertugas di istana. Tujuan hikayat ini adalah hendak menunjukkan betapa setianya seorang pahlawan melayu kepada raja. Jadi sesiapa yang ingin jadi pahlawan Melayu, maka dia kena setia kepada raja.
Ketika bila cerita Tuah ini ditulis? Pengkaji kata, kalau berdasarkan kata-kata pinjaman dari Portugis seperti lancang, armada, kapitan dan beledu, ia mungkin ditulis selepas Portugis mengalahkan Melaka [1511]. 
Cerita Tuah ini adalah sebuah hikayat, rekaan pengarangnya, bagaimana dia menyusun kisah sejak mula hingga akhir cerita? Tentulah sukar hendak menulisnya.
Kalau merujuk Sejarah Melayu, Tuah makamnya di Tanjung Keling, sementara merujuk kepada cerita Hikayat Hang Tuah, dia berkelana dalam hutan dan jadi raja rimba.
Perihal Tuah konon masih hidup sebagai wali, maka ada pahlawan dalam seni silat kita yang masuk ke hutan dan telah bertembung dengan makhluk halus bernama Hang Tuah. Maka kisah pertemuan itu dianggap sahih oleh mahaguru silat itu lalu diceritakan kepada semua orang. Walaupun kisah ini daif, ramai yang percaya dengan kelebihan mahaguru bertemu dengan jelmaan Tuah dalam hutan.
Pengaruh Tuah amat hebat dalam dunia Melayu. Dalam dunia pertapaan dan khalwat, nama Tuah sentiasa disebut-sebut. Tuah konon bertapa di bawah bimbingan gurunya Sang Wirana. Tuah juga konon pernah berkhalwat di Bukit Jugra, Selangor.
"Mengerjakan amar Allah siang malam, terlalu keras, tiadalah Laksamana ingatkan pekerjaan dunia, melainkan syuhudnya pada Allah Taala semata-mata." [1995:585]
Kesan daripada nama pahlawan dalam fantasi ini adalah gelaran yang kekal dan diamalkan oleh generasi berikutnya, termasuklah gelaran TUN dan LAKSAMANA.
Nama Tuah juga banyak diabadikan di mana-mana di Negeri Melaka.
Untuk mengkaji Tuah, kita kena merujuk dua buku induk Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.
Kalau Tuah itu fantasi, rekaan sahaja, maka Puteri Gunung Ledang lagi merapu. Hanya pengkaji tidak menemui lagi bahawa cerita Puteri Gunung Ledang adalah peniruan kepada kisah Ratu Kidul di Jawa.
Tarikh 1641, jika benar andaian yang mengatakan cerita Tuah ditulis pada masa itu, maka Ratu Kidul telah wujud, kisahnya tersebar hingga ke Semenanjung dan Melaka, dibawa oleh pedagang Jawa atau buruh pelabuhan Jawa dari Tanjung Priok atau Betawi.
Maka idea Puteri Gunung Ledang hanya mahu melahirkan kisah fantasi, manusia berkawan dengan lelembut seperti Ratu Kidul.
Walaupun Puteri Gunung Ledang hanya rekaan dari alam fantasi, para peminat mistik di tempat kita tetap menceritakan kisah aneh dan pelik, mereka bertemu dengan puteri berkenaan ketika berada di Gunung Ledang. Bukan tidak ada para pahlawan atau raden bertemu dengan puteri yang satu ini ketika singgah di Gunung Ledang. Sebenarnya penulis teringat fatwa tentang seorang lelaki yang berilmu di kawasan gunung itu, kisahnya pernah menggemparkan [sila semak www.e-fatwa.gov.my].

4 comments:

  1. Saya tak nak komen banyak2 ttg lajenda hang tuah, cuma 1, ia nya memang mengandungi bahan bahan dongengan yg di reality kan.

    ReplyDelete
  2. Tiada kebenaran ttg Hang Tuah dan Lukisan nya, di zaman silam tidak ada pelukis dari kalangan org2 melayu dan lukisan gambar tuah itu pula berusia kurang dari 100 tahun.

    ReplyDelete
  3. sape yg tulis ni mgkn bodo kot, cerita hang tuah ni dh berabat dr dlu lg.. dr nenek moyang pny moyang pny nenek smp la sekarang.. sah2 la cite hang tuah tu d tmbh2 kn lg bg sdp jln cerita.. pd sy la cite hang tuah ni mgkn btl cume jd x btl nye sbb dh d tmbh2 kn kn dr dlu.. normal la bang org melayu mmg suke tmbh2 kn cite..

    ReplyDelete
  4. Bagi mereka yg.pernah mendalami ilmu persilatan melayu biasanya percaya kewujudan Laksamana Hang Tuah lima bersaudara. Kebanyakan yg.meragui kewujudannya biasa menghukum dengan logik akal yg.disokong fakta ilmiah sains kemanusiaan. Mereka yg.mendalami silat pula menghukum dgn.pengalaman, pengetahuan mistik yg.bersifat mencarik adat yg.selalunya dikaitkan dgn.karamah yg.zahir dari amalan rohani. Apapun pada kita elok juga hal ini dipandang dlm.pelbagai sudut. Agar ia tidak didominasi oleh gol.yg.ekstrem dgn.fahamannya yg.tersendiri...

    ReplyDelete