Tuesday 17 April 2012

ANWAR IBRAHIM SEJAK ABIM TETAP KONSISTEN

SAYA TERTARIK menatap majalah lama SARINA, BIL.41,Ogos 1979.
Mungkin orang fikir apa ada pada majalah lama kertas newsprint, lembut, hitam putih sahaja, itulah gaya penampilan majalah pada masa dulu. Pak Harun Hassan jadi ketua pengarang, dan Jalil Ali jadi pengarangnya, pejabat di Wisma Central, Jalan Ampang. Apa yang dipaparkan pada majalah ini memberi gambaran bahawa masyarakat Islam [baca Melayu] pada masa dulu memandang suatu kelainan dengan dakwah Islamiah.
"Tetapi di celah-celah apa yang dianggap modenisasi akan jelas kelihatan betapa unsur-unsur dakwah Islam mulai menjalar dari pakaian anak-anak muda yang berketayap, berserban dan bagi gadis-gadis dan wanitanya pula berselubung lingkup menutup aurat mengikut Islam bahkan yang terlalu ekstrim menutup wajahnya sekali!" [hal.8].
Begitulah gambaran yang ditulis di dalam sebuah artikel yang termuat dalam Sarina ketika itu. Jelas, pada masa itu orang muda berketayap, berserban atau gadis bertudung menjadi semacam "kejutan budaya" di kalangan orang Melayu.
Kewajiban menutup aurat bagi wanita Islam seolah-olah terselubung daripada pemikiran orang Melayu. Mereka melihat acuan yang dipamerkan oleh pemimpin peringkat atasan hingga bawahan, bahawa istilah aurat itu hanya apabila seseorang itu bogel. Rambut atau helaian rambut di dahi tidak dianggap aurat pada masa itu.

AURAT
Saya ingat, ketika itu ada beberapa buah buku yang memperkatakan tentang jilbab. Mungkin hal jilbab masih asing bagi wanita Melayu pada masa itu, dan rasa asing itu berlanjutan sampai sekarang [2012] apabila masih ramai wanita Melayu tidak patuh kepada ajaran Islam. Mereka anggap seruan menutup aurat itu hanya lahir dari bibir ustaz dan pak imam, atau dengan pandangan sinis, ia hanya lahir daripada para pemimpin PAS, tetapi tidak lahir dari para pemimpin Umno.
Orang mungkin lupa, fenomena menutup aurat yang menjadi kejutan budaya pada ketika itu adalah sebahagian besar dari peranan sebuah pertubuhan dakwah Islamiah, ABIM [Angkatan Belia Islam Malaysia] yang pernah diterajui Anwar Ibrahim. Selain itu ada pertubuhan dakwah lain yang aktif seperti al-Arqam, Jameah dan sebagainya.

PERANAN ISLAM
Ketika menerajui ABIM, Anwar Ibrahim telah menyentuh tentang peranan Islam sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk di negara kita. Maksudnya Islam mampu mengatasi masalah kemelut perpaduan yang ada di negara kita. Dan terbukti, kewujudan reformasi, meskipun Najib berkata reformasi sudah tamat, tetapi natijahnya, kewujudan Pakatan Rakyat adalah buah kepada reformasi yang wujud di negara ini.
Saya lihat Anwar tetap konsisten perjuangannya sebagaimana ketika beliau berada dalam ABIM.
Kata Anwar ketika dalam ABIM, masalah masyarakat majmuk di negara ini tidak dapat diselesaikan tanpa penyelesaian melalui karamah insaniyah - kemuliaan dan kehormatan manusia- yang menjadi dasar hubungan kemanusiaan dalam Islam.

NASIONALISME SEMPIT
Masalah atau faham perkauman dalam masyarakat Malaysia ketika itu adalah berpunca daripada faham nasionalisme sempit berdasarkan kepada kaum dan etinik.Beliau juga menyebut pendapat Arnold Toynbee yang menyatakan Islam sebagai mempunyai potensi bagi menyelesaikan segala masalah kekusutan dunia dan perpaduan berdasarkan kecemerlangan amalannya.
Anwar juga menekankan  agar proses pengislaman dalam erti kata peningkatan faham dan amalan Islam di kalangan masyarakat mestilah digalakkan terus supaya dapat dikekalkan kebenaran dan ajarannya, kesederhanaan caranya [wasatiyah hanya disebut Najib baru-baru ini sahaja, 2012], sikap yang toleransi dan risalahnya untuk melaksanakan keadilan yang melampaui batas-batas perkauman.
Kebetulan ketika diadakan muktamar ABIM [1978] sebuah perisytiharan telah dibuat, antara lain menekankan tentang kepincangan yang berlaku di negara ini dalam beberapa perkara:

AMALAN RASUAH, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa berleluasa di kalangan pihak yang berkuasa di setiap peringkat [masa itu kes Bank Rakyat dan Harun Idris menjadi paparan media dan kritikan media bebas, inilah pemimpin pertama dalam Umno yang menerima hukuman kerana salah guna wang, setelah itu, semuanya dialihkan filenya].
PENGGUBALAN DAN PELAKSANAAN  undang-undang dan akta-akta yang bertentangan dengan perisytiharan PBB mengenai Hak Asasi Manusia, menyekat dengan sewenang-wenangnya hak dan kewajipan insan mengenali dan menyebarkan kebenaran.
SISTEM PENDIDIKAN SEKULAR menjadi punca berlaku kekeliruan ilmu dan kekacauan peradaban pelajar, keruntuhan akhlak menjadi-jadi.
DASAR BUDAYA  bercirikan kebudayaan nafsu yang menjadikan keseronokan sementara sebagai matlamat dan amalan hidup menerusi berbagai kegiatan seni, rasmi tak rasmi, menerusi sebaran am, telah dan sedang membantutkan perkembangan akal fikiran dan pembangunan akhlak, menggalakk laku tindak maksiat dan seks, pelacuran, perjudian dan jenayah lainnya.

TOPIK
Itulah sebahagian topik yang diperkatakan di setiap seminar dan muktamar ABIM pada masa itu. Beberapa tajuk antaranya masih relevan dengan keadaan kita sekarang. Dan kalau kita semak semula paparan masa dulu, jelas Anwar tetap konsisten dalam perjuangannya.
Dahulu dia bercakap tentang rasuah dan nepotisme, sekarang pun, setelah menggerakkan reformasi  dan mewujudkan Pakatan Rakyat, beliau masih bercakap tentang hal yang sama. Isu rasuah tidak habis-habisnya membudayai warga politik Malaysia. Hanya corak dan bentuk serta tindak-tanduk rasuah yang berbeza sedikit.
Mungkin ada pembaca yang masih ingat bahawa ABIM banyak menerbitkan buku-buku terjemahan yang memuatkan pemikiran dari Timur Tengah sana, baik pemikiran Syed Qutb, Malek ben Nabi, pemikiran Maryam Jameelah, wacana tentang sekularisme Naquib al-Attas, dan banyak lagi.
Kita tidak boleh mengesampingkan ABIM sebagai pewadah yang menggerakkan umat agar cenderung kepada Islam. Bayangkan, dari zaman buka aurat, zaman jahiliyah Melayu kita hingga kepada zaman kesedaran sekarang, semua ini bergerak secara berperingkat. Daripada budaya yang dianggap asing, berkupiah, berserban, gaya tabligh, gaya Arqam atau gaya ABIM semuanya memberi sumbangan ke arah kepatuhan kepada ajaran Islam.
Mungkin jika tanpa gerakan daripada ABIM, umat Melayu kita masih perlahan untuk menerima keterangan yang jelas dalam al-Quran, mereka hanya tahu membaca tetapi tidak menghayati isinya.
Tanpa golongan pendakwah yang sentiasa bergerak berdakwah dan menerangkan ilmu-ilmu agama, tentu sampai hari ini kita masih dedah aurat.

HIBURAN
Saki baki dedah aurat masih ada dalam sektor hiburan. Itulah yang pernah ABIM tekankan dalam muktamar mereka. Kebudayaan kita hanya berlandaskan keseronokan dan hiburan yang melekakan. Dari dulu lagi kita sudah mengkritik corak hiburan yang ada dalam dunia Melayu. Bahkan kadang-kadang kita sendiri malu sebagai Melayu apabila dikatakan bahawa kita selalu NOMBOR 1 dalam bab hiburan, dalam bab nyanyian, main band [dulu kugiran] dan berpesta-pesta. Tidak hairan di setiap negeri ada sahaja pestanya, Pesta Perlis [di tapak stadium yang ada hari ini, dulu bendang, sawah padi], Pesta Kedah, Pesta Laut Lumut-Perak, Pesta Pekan-Pahang, Pesta Pantai Batu Buruk-Kuala Terengganu, Pesta Besut-Terengganu, Pesta Pulau Pinang, Pesta PD dan macam-macam bentuk kepestaan lagi.
Pesta-pesta ini menyemarakkan band-band rock, dan macam-macam pecahan rock lagi, kemudian ada pula kegilaan kepada dangdut [Inul nak datang ke KL tak lama lagi].
Semua perkara yang berlaku kemudian rupa-rupanya telah disentuh oleh ABIM ketika mengadakan muktamar, dan seingat saya, saya amat fanatik dengan RISALAH yang dikeluarkan oleh ABIM kerana isinya memang menjurus Islamiyah berbanding ruang hiburan dalam Utusan Malaysia atau Berita Harian.
Jika kita semak majalah lain yang sezaman dengannya [tahun 70-an] kita akan lihat bahawa Anwar masih mengulangi dasar perjuangannya di dalam ABIM. Meski dia ditohmah dengan berbagai skandal ciptaan, dia tetap berpengaruh, dia tetap ada pendukung, bahkan masyarakat dunia juga melihat dia sebagai salah seorang ahli politik yang tidak boleh dipandang sebelah mata. []

No comments:

Post a Comment