Wednesday 18 April 2012

KISAH PENGUTIP BARANG BUANGAN

BAYANGKAN HAL INI TERJADI DI TEMPAT KITA. Seorang  lelaki yang kerjanya asyik menyelongkar tong sampah atau longgokan sampah, berapa yang dia boleh dapat dalam sehari? Kerjanya bebas, tak ada siapa kongkong, dia nak keluar pagi-pagi, nak keluar malam ketika orang lain tidur, atau nak keluar tengah hari, tak ada siapa marah.
Memang ada di Kuala Lumpur ni pengutip barang rongsokan boleh duduk rehat waktu siang, sedangkan di malam hari dia pandu volvo 240 kutip bahan terbuang. Apa sahaja yang ada harga dia kutip dan sumbat dalam kereta. Itulah kerjanya setiap hari. Sampah di kota kita tidak pernah surut, sentiasa ada, pagi buang orang kutip, tengah hari ada lagi. Pendeknya ia macam kitaran juga, sedangkan semua bahan yang dikutip itu memang untuk dikitar semula.
Jika kelompok orang kecil tidak melakukan kerja macam ini, nescaya sampah yang terlonggok lebih banyak. Mujur botol kosong air mineral pun ada harga. Kertas, apa sahaja kertas, surat khabar lama, bateri lama, dan apa sahaja boleh jadi duit.
Bagaimana pula kalau pada suatu hari, ketika menyelongkar tong atau longgokan sampah tiba-tiba terjumpa benda pelik? Seperti misalnya sebilah keris kecil yang tak ada apa-apa gunanya? Nak jual jadi besi buruk?
Ada orang dapat keris kecil, dia simpan dan kemudian selitkan dalam dompet. Dia teruskan kerja kutip apa sahaja dengan menyelongkar sampah.
Penat menyelongkar dia beli nasi bungkus, duduk di bawah pokok makan nasi bungkus [tetapi bukan dibeli dari gerai 1Malaysia, restoran rakyat], makan cincai sahaja, nasi, sayur kangkung campur petola, ikan kerisi atau ayam goreng.
Ketika makan di bawah pokok datanglah seekor anjing anjing menjelirkan lidah.
Melihatkan anjing itu yang mungkin kelaparan, dia pun mengasingkan nasi dicampur lauk untuk diserahkan kepada anjing hitam itu. Ada orang yang menganggap anjing hitam ini adalah jelmaan jin. Lelaki pencari barang lusuh ini tak peduli jin atau anjing hitam sejati.
Setelah makan, anjing hitam itu pergi. Anjing itu menyelongkar longgokan sampah tidak jauh dari itu. Lelaki yang mencari benda-benda terbuang itu meneruskan tugasnya. Orang macam dia tidak ada siapa peduli, ahli politik, perdana menteri, timbalan perdana menteri, pemandu peribadi atau penunggang motosikal pun tidak peduli padanya. Yang ambil peduli hanya anjing hitam itu.
Esoknya, dia selongkar lagi. Dan ketika duduk rehat untuk menjamah nasi bungkus yang dibeli di warung lain, dia lihat anjing hitam itu datang lagi.
Dia longgokkan nasi dan lauknya dan kemudian diserahkan kepada anjing itu. Kalau orang beri anjing kehausan pun dapat pahala apa lagi memberi makan anjing lapar seperti itu.
Setelah makan, anjing itu beredar. Anjing itu pergi ke longgokan sampah dan mengais-ngais. Ia menyalak seperti ada sesuatu yang dilihat.
Setelah dia jenguk longgokan sampah untuk mengetahui apa yang menyebabkan anjing itu menyalak, dia dapati di situ ada sebentuk cincin kekuningan. Dia ambil cincin itu dan diamati baik-baik. Ini cincin emas atau cincin saduran untuk kanak-kanak?
Setelah dibersihkan, cincin itu disimpan ke dalam saku. Dia teruskan perjalanan menyelongkar sampah untuk mengutip apa sahaja yang boleh dijual di kedai Maniam. Hanya beli sampah sahaja Maniam sudah jadi jutawan.
Lelaki itu tidak akan jadi jutawan selagi dia mengutip kertas, plastik atau aluminium terbuang. Dia mulai memikirkan kenapa setiap hari dia melihat anjing hitam itu.
Anjing hitam itu selalu berada di mana-mana sahaja ketika dia mencari benda-benda terbuang.
Lama kelamaan anjing itu sudah jadi sahabat setia.
Esoknya, anjing itu muncul lagi. Setiap kali dia makan nasi, hidangan yang sama juga akan diserahkan kepada anjing. Dia sanggup berkongsi nasi campur dengan anjing hitam itu.
Selesai makan anjing itu beredar, menuju ke kawasan longgokan sampah dan kemudian menyalak sambil mengais-ngaiskan kakinya. Dan ketika lelaki pencari barang rongsokan itu ke situ, dia lihat ada seutas rantai kekuningan terletak di celah-celah rumput. Sebab itulah anjing hitam tadi menyalak agaknya.
Dia ambil rantai yang tidak diketahui sama ada emas tulen atau barang tiruan.
Dia sudah memiliki dua benda, cincin dan rantai. Dua benda itu akan ditunjukkan kepada ibunya nanti kalau dia sudah sampai di rumah.
Setelah dia jengah kedai Maniam untuk tolak barang-barang kutipan, dia pun terus balik ke rumah. Dia tunjukkan dua benda yang seperti emas itu kepada ibunya.
Kata si ibu, cincin dan rantai itu adalah emas. Ibu nak pakai atau bagaimana? Kata ibu elok dijualkan sahajalah. Kalau disimpan pun nak buat apa.
Maka si anak menyuruh ibunya jualkan cincin dan rantai itu ke kedai yang membeli emas, jam rolex dan macam-macam lagi.
Setelah diperiksa ketulenannya, si ibu terkejut, nilai dua benda itu lebih dari seribu ringgit.
Hari itu si ibu pulang ke rumah dengan membawa wang yang lebih dari biasa. Tidak pernah terjadi dalam sejarah. Bagi orang makan gaji duit sebanyak itu tidak menghairankan, setiap bulan mereka boleh tarik duit dari mesin ATM, tetapi bagi keluarga miskin itu, wang sebanyak itu adalah besar. Terlalu besar.
Dapat benda-benda macam itu mungkin hal biasa. Walau sudah ada duit lebih, lelaki itu tetap meneruskan kerjanya macam biasa. Menyelongkar tong sampah dan mencari apa sahaja benda yang boleh jadi duit.
Ketika tercari-cari sesuatu itu dia didatangi oleh anjing hitam itu lagi.
"Nak makan?" tanyanya kepada anjing hitam itu. "Tunggu, nanti aku beli nasi!"
Seperti tahu anjing itu duduk di bawah pokok dan berehat menunggu lelaki itu membelikan nasi bungkus. Kali ini lelaki itu beli dua bungkus. Satu untuk dia, dan sebungkus lagi untuk si anjing hitam.
Selesai makan anjing itu melakukan perbuatan yang sama seperti semalam. Anjing itu mencakar-cakar longgokan sampah dan kemudian menyalak sambil memandang ke arah lelaki pencari benda terbuang.
"Apa lagi ha?" tanya lelaki itu ingin kepastian.
Dia ke sana, melihat longgokan sampah. Dia kais-kais longgokan sampah itu untuk mencari sesuatu. Anehnya, kali ini dia mendapat seutas rantai lagi. Dia tak perlu teragak-agak lagi. "Ini pasti rantai emas!" katanya.
Begitulah adegan yang dilalui setiap hari.
Dia makan nasi bersama seekor anjing hitam, dan kemudian dia menemui barang-barang berharga seperti cincin, rantai leher atau gelang emas. Jika dikumpulkan memang penuh satu uncang dengan benda-benda berharga itu. Jika ditimbang entah berapa gram beratnya.
Seperti biasa, dia menyuruh ibunya menjual emas yang diperoleh. Harga emas semasa yang tinggi menyebabkan keluarga miskin itu mendapat harta yang tak disangka-sangka.
Kisah penemuan benda-benda mistik seperti ini menjadi rahsia dua beranak ini sahaja. Yang memelikkan, ketika dia pergi ke pekan kecil tidak jauh dari tempat tinggalnya, dia nampak anjing hitam itu di sana.
Anjing itu seolah-olah menjadi pemandu arah. Setiap kali menyalak dan mengais-ngais sampah, pasti ada sesuatu di situ. Padahal dia bukan hendak mencari sampah di pekan itu. Kebetulan lalu di kawasan yang ada longgokan sampah yang dihurungi lalat.
Anehnya di pekan itu dia mendapat lagi benda berharga. Pekedai emas sudah kenal dengan si ibu yang selalu datang membawa barang-barang berharga.
Bawalah banyak mana pun, pekedai itu sanggup membeli. Pekedai itu mampu membeli biarpun harganya beribu-ribu.
Dalam masa singkat, pencari benda-benda terbuang itu sudah mampu membaiki rumah lama yang diduduki. Dia juga mampu membuka akaun bank. Simpanannya makin banyak.
Akan tetapi dia tetap meneruskan tugasnya setiap hari. Biarlah orang pandang hina. Biarlah pakaiannya berbau hapak kerana yang itu dipakai setiap hari.
Suatu hari, ibunya bertanya apa rahsia yang menyebabkan si anak mendapat barang berharga setiap hari? Maka si anak pun ceritakan tentang anjing misteri yang setiap hari diberi makan nasi dan makan bersama dengan haiwan itu. Anjing itulah yang menunjukkan di mana ada benda-benda berharga. Selalunya tidak menghampakan.
Si anak pun tunjukkan keris kecil yang dia simpan dalam dompet. Setelah dirujuk kepada Pak Dukun kampung, nyatalah bahawa keris kecil itu adalah benda mistik.
Semua ini berpunca dari keris itu. Keris ini sangat bertuah. Tetapi kata Pak Dukun, keris itu perlu dimandikan dengan asap dan dilimaukan.
"Kenapa pula?" lelaki yang kerjanya mengutip sampah itu kehairanan. Lama kelamaan dia jadi takut. Dia fikir, lebih baik serahkan keris itu kepada Pak Dukun.
Dia dengar nasihat ibunya. Jangan ambil risiko. Sebab kata Pak Dukun, anjing hitam itu adalah makluk jelmaan yang sengaja hadir untuk memberikan sesuatu kepada lelaki itu.
Akhirnya keris itu dipisahkan dari tuannya. Dia tak perlu keris lagi. Biarlah.
Untuk mengelakkan daripada bertemu anjing hitam, lelaki itu terpaksa menukar kerjayanya. Dia tidak mengutip sampah lagi.
Kata Pak Dukun, lebih baik hindari anjing hitam itu. Bimbang suatu hari nanti dia akan meminta sesuatu pula kerana selama ini anjing itu banyak membantunya.
Pak Dukun pun tak tahu keris itu keris apa. []

1 comment:

  1. wah makasih kisahnya, lumayan menarik..

    http://landongobatherbal.com/obat-herbal-penyakit-migren/

    ReplyDelete