Monday 30 April 2012

BERSIH 3.0 AMAT BERJAYA TETAPI

USAHA mengumpulkan ratusan ribu umat di suatu ruang di tengah kota yang banyak batasan dan undang-undangnya bukanlah mudah. Tetapi pengajaran daripada beberapa siri Bersih yang lalu, penganjur semakin matang, dan himpunan Bersih 3.0 bagi saya amat berjaya, kerana bilangan yang turun padang terlalu ramai dan di luar jangkaan. Bayangkanlah segenap penjuru dan ruang di simpang utama kawasan berhampiran Dataran Merdeka penuh sesak. Jika dibiarkan nescaya ia adalah sebuah perhimpunan aman yang terbaik.
Andainya perhimpunan itu dianggap terbaik, maka di mana cacat celanya yang media utama penguasa zalim hendak laporkan? Bukankah media utama memang memikirkan sesuatu yang buruk mesti berlaku untuk dilaporkan. Dan perkara negatif inilah yang sangat diharapkan oleh media utama propemerintah kerana perhimpunan yang aman itu perlu diberikan gambaran seburuk mungkin.
Contohnya, kes sebuah kereta peronda polis. Ia sudah menjadi berita karut. Ada berita versi pemerintah dan ada berita versi kumpulan Bersih 3.0. Sebagai orang yang hadir sama di kawasan berkenaan, memanglah tidak diduga suatu kemalangan pelik boleh berlaku. Kereta peronda terlanggar peserta Bersih 3.0. Apakah media kerajaan akan melaporkan hal sebenar tambahan pemandunya adalah penjawat awam. Di sinilah nilai pemberitaan itu menjadi tempang. Kes pelanggaran langsung tidak dilaporkan tetapi hanya cerita buruk bagaimana dilontar botol atau batu. Cerita kemalangan lain yang berkaitan tidak disebut. Inilah berita bohong namanya. Pihak penjawat awam yang cedera dan dirawat lebih utama dibanding rakyat.
Dalam bab ini slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan adalah kata-kata indah yang tidak pernah dipraktikkan. Ia hanya mengumpan rakyat dengan cara menaburkan harapan kosong. Begitulah yang saya lihat apabila berlaku perhimpunan Bersih 3.0.
Rakyat yang hadir ke perhimpunan ini lebih besar bilangannya dibandingkan dengan perhimpunan Bersih yang terdahulu. Jelas, jika diadakan himpunan Bersih 4.0 ia pasti lebih meriah lagi.
Perhimpunan yang asalnya hanya untuk duduk bantah, jadi terbantut apabila pihak polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang orang ramai terutama penganjur mengadakan himpunan di Dataran Merdeka.
Mungkin ramai tidak perasan, bahawa arahan mahkamah pun dibuat secara tergesa-gesa, bayangkan esok nak diadakan perhimpunan, hari ini baru sibuk ke mahkamah. Bermakna pihak yang menguatkuasakan undang-undang sendiri pun tidak merancang apa yang hendak dibuat.
Mungkin pihak polis mengharapkan DBKL menguruskan hal itu. Memandangkan DBKL tidak ada pengalaman berdepan dengan bilangan orang yang terlalu padat, ia meminta jasa baik polis. Bukti larangan itu tidak dirancang ialah apabila pada notis itu menyebut:
"...bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan Perhimpunan tersebut akan diadakan pada 28.4.2012."
Notis melarang orang awam menyertai perhimpunan itu tidak memberi kesan walaupun ditampal di sepanjang jalan kanan-kiri sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Kemudian dalam notis itu juga menyebut:
"...bahawa adalah perlu bagi suatu tindakan segera diambil bagi mengelakkan satu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia  atau rusuhan atau gaduh gempar jika Perhimpunan tersebut diadakan."
Bagi peserta Bersih yang telah melalui siri-siri yang lepas, mereka amat memahami bahawa keamanan di dalam perhimpunan adalah perkara yang diutamakan. Bahkan para peserta sudah diperingatkan beberapa perkara. Misalnya: mereka perlu waspada terhadap penyamar peserta Bersih dengan baju kuning [mereka adalah anggota SB]; mereka diajar agar mengenal wajah-wajah orang yang suka melakukan provokasi dengan membuka ruang kepada tindakan ganas seperti memukul, melanggar, menendang, menjerit atau melakukan tindakan berani yang luar biasa.
Peserta perhimpunan sudah diberitahu, peserta biasa tidak bertindak berlebihan, tetapi orang yang menyamar mereka berani melanggar sekatan polis, berani pijak bumbung kereta, berani melakukan aksi yang luar biasa, kerana kehadiran pelakon ini adalah diatur sedemikian rupa.
Peserta juga telah diingatkan, tidak ada keganasan dalam perhimpunan jika tidak ada provokasi jahat dari puak yang menyamar ini.
Mereka sanggup memecahkan keamanan dengan melakukan tindakan berani dan dengan aksi tertentu bertujuan membangkitkan semangat peserta lain. Bagi orang baru yang tak kenal siapa mereka itu, pasti segala tindakan akan diikut.
Ketika itulah dengan sengaja, keganasan dimulakan. Apa gunanya perbuatan ini? Dalam propaganda memburukkan pembangkang ia amat berguna. Akhbar mingguan esok harinya menyiarkan tajuk yang ganas, hebat dan memualkan.
Mujur para peserta perhimpunan yang datang dari segenap ceruk rantau melihat keadaan yang sebenar. Dan esok harinya mereka melihat media utama yang tergantung di kedai memaparkan tajuk jahat. Mereka menuduh peserta perhimpunan melakukan keganasan terhadap pihak polis, sedangkan cerita polis memijak orang berbaju kuning tidak dipaparkan, begitu cerita kereta melanggar peserta Bersih. Pendeknya, media pemerintah mahu menggambarkan peserta Bersih jahat belaka.
Lihatlah apa komen dalam laman sosial yang ada. Semuanya dikomen orang budak muda yang tidak faham situasi. Mereka hanya mendengar cerita dalam tv yang menipu, mereka hanya mendengar berita radio yang pembohong, mereka juga mendengar ulasan menteri-menteri yang tak ada integriti sama sekali untuk bercakap dan mengulas, maka rakyat yang tidak turun ke lapangan diperbodohkan mentah-mentah.
Buat masa ini pihak pemerintah kita masih selesa membodohkan rakyat. Mereka sanggup memainkan isu perkauman ketika terdesak. Contohnya, mereka mempersoalkan kenapa Ambiga perlu jadi ketua dalam Bersih 3.0 itu, sedangkan peranan A Samad Said diketepikan. Ini agenda apa? Maksudnya agar orang Melayu tidak ikut serta sebab ia diketuai oleh orang berketurunan India. Bukankah aneh, apabila puak mereka yang melakukan hal  seperti ini tidak timbul pula isu kaum. Inilah mentaliti rendahan pihak pemimpin Umno dan wartawan-wartawan yang bersekongkol dengannya.
Agenda jahat wartawan pula, mereka sanggup datang ke katil hospital untuk bertanya tentang bagaimana insiden itu terjadi. Andainya orang itu menyebut dipukul dan dipijak oleh pihak tertentu, wartawan tak akan tulis, sebaliknya diputarkan menjadi cerita lain. Begitu yang terjadi pada kes kereta terbalik itu.
Kini ramai peserta Bersih 3.0 yang celik berita dan laporan. Kita memang telah nasihatkan mereka siang-siang lagi, tajuk muka depan hari Ahad nanti. Jangan percaya dengan laporan tv dan berita mereka. Anda sudah turun ke lapangan, anda lebih tahu daripada wartawan itu sendiri.
Inilah pelajaran yang diperoleh hasil dari menyertai perhimpunan. Mereka diajar bagaimana mengenal penyamar yang buat kacau. Siapa mereka? Mereka memang wujud di mana-mana setiap kali perhimpunan. Bahkan peserta masih ingat, orang yang memijak bumbung kereta Tv3 pun tak pernah ditangkap dan disaman. Bahkan yang mengamuk sakan tendang sana dan tendang sini pun tidak dikenakan apa-apa. Ini adalah kes sejak tahun 89 lagi yang para peserta pernah saksikan. Bahkan termasuk membakar motosikal pun. Ini cerita lama di persimpangan Jalan Raja Abdullah yang para peserta perhimpunan tetap ingat.
Semua ini adalah lakonan samseng yang memang diberi tugas untuk memberikan gambaran bahawa peserta himpunan ganas. Tanpa bantuan samseng begini, imej perhimpunan yang bersiri ini tidak ada masalah sama sekali. Lihatlah bagaimana orang ramai boleh berhimpun di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Itu kerana Pulau Pinang adalah negeri Pakatan Rakyat. Kerajaan di sana berkuasa.
Dan kita tak perlu bimbang, jika memang telah ditentukan untuk mengambil alih dari BN nanti, maka Dataran Merdeka kita akan ubah fungsinya. Jadikan ia dataran untuk majlis agama, untuk solat di situ, ceramah agama, dan bukan pementasan artis seperti yang digemari pemerintah yang ada. Kita kena tukar fungsi dataran yang konon menjadi warisan negara. Insya-Allah. []

No comments:

Post a Comment