Sunday 22 April 2012

TAJUK ANEH: MAKIN RAMAI ARTIS PAKAI TUDUNG

SALAH SATU TAJUK ANEH DALAM METRO AHAD [22hb.April 2012] adalah hal semakin ramai artis kita pakai tudung. Sepatutnya pemakaian tudung di kalangan artis tidak perlu digembar-gemburkan, apa lagi pihak media hendak memburu mereka beraksi dengan berbagai macam fesyen tudung.
Kita tidak mahu perkara memakai tudung dianggap sebagai kemegahan, dan bukan hal yang menghairankan kerana menutup aurat bukan perkara aneh dalam dunia Islam, ia cuma aneh, pelik bin ajaib dalam dunia Melayu yang memang masih berada di dunia kecil jahiliyah.
Kejahiliyahan ini amat ketara apabila masyarakat Melayu umumnya sangat fokus kepada dunia hiburan. 80% kehidupan Melayu adalah hiburan, dan selebihnya adalah perkara peradatan dan segmen yang terkecil adalah keperihalan agama.
Mengenai menutup aurat ini, iaitu dengan pemakaian tudung, ia perlu dijelaskan dengan lebih terperinci. Islam bukan menuntut kaum wanita menutup aurat di kepala itu sahaja, malah keseluruhan tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Memanglah kesedaran memakai tudung telah ada, akan tetapi kita belum pasti apakah pemakaian tudung itu hanya trend, ikutan, semacam mahu menunjuk-nunjuk atau keikhlasan setelah taubat dengan bersungguh-sungguh sesudah ini tidak akan mendedahkan aurat lagi.
Dan maksud aurat ini bukan setakat tudung berstail, tetapi kena dengan tuntutan syariat, bukan tuntutan fesyen mengikut kehendak pereka fesyen atau jurugambar di studio yang sibuk membetulkan letak tudung dan berposing.
Hal berposing ini kena rujuk kepada kalangan ulama, lagi-lagi dedahkan diri kepada orang ramai untuk ditatap gambarnya baik dalam akhbar [ruang hiburan], media tv atau majalah. Diharapkan wartawan majalah tidak terlalu fokus dengan artis bertudung dengan menampilkan berbagai gaya atas alasan selebriti, kerana Islam tidak mengenal pemeragaan mengikut acuan Yahudi dan Nasrani. Kena ingat.
Akhbar dan majalah main peranan. Ia patut mendidik akhlak remaja. Pemakaian tudung di kalangan wanita Melayu di negara kita buat masa ini masih menyedihkan. Mereka bertudung, tetapi tetap telanjang. Ustaz dan ustazah selalu ingatkan kaum wanita jangan hanya menjaga tudung di kepala, tetapi tudung di kepala itu sendiripun tidak mengikut syariat yang dikehendaki.
Hal jilbab masih tidak difahami wanita yang tidak berpendidikan agama. Mereka perlu ditarbiyahkan lagi tentang fesyen bagaimana yang boleh dan tak boleh dipakai di depan umum. Jika kita perhatikan cara wanita Melayu berfesyen, bertudung, memang nampak manis, tetapi banyak juga yang melanggar syariat.
Justeru, peranan ruang hiburan untuk membetulkan keadaan ini. Perlu dijelaskan tentang pemakaian tudung dan keseluruhannya. Jika wartawan hiburan sendiri pun hanyut bersama mereka dan menyanjung artis bertudung tetapi rambut terjurai di dahi, atau nampak jambul, maka ia masih tidak menepati kehendak syariat.
Begitulah antara lain perkara aneh yang biasa dipaparkan di media massa kita hari ini. Memakai tudung masih dianggap pelik bagi orang Melayu. Sedangkan hukum menutup aurat sejak zaman Nabi s.a.w. lagi. Kita pula hanya tahun kebelakangan ini sahaja.

No comments:

Post a Comment