Friday 13 April 2012

IKLAN TAK SENONOH MALU, LAPORAN TAK SENONOH SUKA!

NAMPAKNYA warga kita sudah sedar bahawa iklan yang tak senonoh, macam iklan pil perangsang seks yang ditampal di tepi jalan sangat memalukan. Akhbar di bawah kelompok arus perdana juga kerap menyiarkan keluhan yang dihantar melalui SMS, nota aduan dan sebagainya tentang iklan tak senonoh yang terpampang di sana-sini.
Kenapa baru sekarang warga kita menyedari bahawa itu iklan tak senonoh? Padahal iklan seperti itu banyak dimuatkan dalam media kita baik yang ukuran besar atau tabloid? Kemudian yang digantung di tiang lampu tepi jalan itu sebabnya sering jadi perhatian tatkala kereta berhenti menunggu lampu merah.
Si bapa pening menjawab soalan si anak, Ubat Kuat! Tentu si anak tanya, kalau betul ada ubat kuat, si adik pun nak jadi kuat macam iklan itu. Sudah tentu si ibu tersipu-sipu mendengar celoteh si anak. Ini semua gara-gara iklan ubat kuat di tepi jalan, dekat lampu merah. Inilah orang cerdik, dia tahu memanfaatkan lampu merah untuk mengiklankan produk kuat untuk lelaki.
Selain iklan produk untuk tenaga batin lelaki, ada juga iklan urut yang ditawarkan oleh agensi tertentu. Iklan beginilah yang menyebabkan orang tak senang nak tengok. Ada sahaja nombor telefon yang dipaparkan untuk dihubungi. Rumah urut bersepah-sepah, bahkan dengan menghubungi nombor tertera, anda dipersilakan datang untuk urut apa sahaja termasuk urut batiniah.
Kemudian, anda tinggal memilih di hotel atau apartment mana, atau anda pergi ke rumah si gadis urut atau si janda urut itu untuk mencari kerehatan. Maka dalam iklan begini selalu dipaparkan tentang kehebatan urut tradisional Siam kuno, urut Jawa kuno, urut Madura, urut Banjar dan macam-macam.
Baik urut badan yang khusus untuk kaum lelaki atau iklan ubat kuat untuk tenaga lelaki, ada juga iklan dalam bentuk lain yang berselindung di sebalik ketidaksenonohan.

BENARKAH KITA ANTI TAK SENONOH?
Rasanya kalau ditanya soalan bodoh ini orang akan herdik semula yang bertanya. Bukankah ini namanya mencegah kemunkaran. Iklan yang terpampang di pinggir jalan itu mengajak kita kepada maksiat. Maka berbuihlah orang itu bercakap tenang maksiat di sana-sini, merapulah dia sampai bab buang bayi, gugur janin dan macam-macam.
Kita perlu jujur, sejak opecah "perang reformasi" di negara kita, masyarakat kita sudah dijejali dengan laporan berita dan ulasan tentang ketidaksenonohan ini. Kita memang gemar kepada cerita seks. Semaklah blog yang ada, sehingga ada cerita-cerita seks dengan paparan yang memualkan. Ini digemari golongan muda dan tak kira peringkat umur mana pun.
Cerita seks adalah penting dalam dunia politik kita. Jika tak ada cerita seks, maka kosonglah, dan kekeringan idea golongan yang hendak menjatuhkan seseorang.
Bohong sangatlah kalau ada akhbar di negara kita yang mendakwa hendak mencegah kemunkaran tetapi dalam masa yang sama menyiarkan di halaman depan skandal seks si fulan dan si fulan demi kepentingan politik. Mengaku sahajalah, bahawa kita sebenarnya berakhlak demikian, menggemari cerita sensasi seks, kita gemar laporkan berita berbau seks untuk menjatuhkan seseorang.
Semua ini dibantu oleh semua pihak, jangan nak berselindung, bahkan umat Melayu di masa ini tidak bimbang pun dengan soal video seks lucah, seks tak lucah, buku lucah, gambar lucah dan apa sahaja yang lucah kerana memang kita gemar kepada benda-benda ini.
Buktinya, kita dengan selamba boleh tayangkan video seks di sebuah rumah agam yang eksklusif. Orang yang menayangkan pun bukan budak jaga kereta atau penyauh lanca, sebaliknya orang bergelar yang hebat. Sayangnya, perbuatan orang yang bergelar ini tidak dianggap satu kesalahan, atau satu perbuatan yang merendahkan diri orang yang membawa, menayangkan dan menghebahkan.
Bahkan cerita seks ini khabarnya sudah wujud dalam simpanan sejak tahun 2001 (sila semak Suara dari Kamunting 5, Afidavit, Saari Sungib, Focus Approach Sdn.Bhd, Mei 2002, hal.34, dan kalau rajin semak juga buku-buku siri yang lain).
Sejak bilakah cerita seks menjadi bahan utama di dalam akhbar dan media elektronik kita, jawapannya sejak zaman Dr M memerintah negara. Mengapa perkara ini membiak dengan begitu subur sekali? Kerana pada masa itu setiap orang mahu menyertai forum tentang seks dan setiap perbualan dan percakapan pada masa itu adalah berkisar pada persoalan seks.
Jadi, sejak zaman Dr.M kita telah menjaja cerita seks sebagai modal kempen pilihan raya, sedangkan dalam masa yang sama kita suruh imam dan khatib baca kutbah sewaktu solat Jumaat agar bertaqwa kepada Allah, dan patuh kepada ulil amri. Kepatuhan dalam apa yang dimaksudkan?
Jika kepatuhan kepada maksiat bagaimana jadinya? Kepatuhan kepada fitnah, menjaja fitnah, dan secara tak disedari, ketika itu ramai wartawan kita terlibat dengan dosa fitnah, dosa menyebarkan fitnah, dosa mengaibkan orang, dan sampai sekarang kita kaum penulis masih mendapat rezeki daripada kefitnahan dan dosa yang dipaparkan itu.
Jika kita bermuhasabah diri, bagaimana posisi dan status rezeki kita itu? Bukankah lebih baik kita berwacana secara sufistik. Kita memperoleh rezeki daripada maksiat yang kita lakukan.
Dari keperihalan ini, tiba-tiba orang rasa MALU melihat iklan semi lucah seperti iklan UBAT KUAT LELAKI itu. Mungkin ego lelaki yang tidak mahu mengaku kelemahan diri mereka.
Peniaga ubat semacam ini kalau anda risik dan tanya, siapa yang banyak membelinya? Tidak menghairankan kalangan orang berada pun sibuk membelinya melalui orang tengah, biasanya pemandu disuruh beli dan mereka pun bukan mengira ia ubat generik, ubat tiruan buatan mana pun, sebab ia tergolong herba!

SATU PERUBAHAN
Kini sudah ada perubahan, pihak majlis tempatan, tak kira di negeri BN atau PR, mereka kena turunkan mana-mana iklan tak senonoh itu. Dan apabila media arus perdana berani siarkan keluhan orang ramai tentang iklan tak semenggah itu, maka eloklah mulai sekarang, jangan paparkan kisah seks, fitnah dan apa sahaja sekalipun untuk kempen politik di halaman depan akhbar anda.
Dasar yang tidak jujur ini akan memalukan diri sendiri. Anda paparkan di muka depan tentang video seks si fulan dan si fulan, kemudian di dalam buat ulasan [penulis yang dikerah untuk menulis agar sebulu dengan dasar UBN], kemudian tanya jawab agama, tak kiralah ustaz atau ustazah dari puak mana, mengatakan keharamannya, tetapi bolehkah dipercayai sebuah media yang kelam kabut begini kerana tidak konsisten dalam menyikapi sesuatu isu?
Jika anda siarkan teguran iklan seks tadi, maka anda tak sepatutnya paparkan fitnah seks di muka depan. begitu juga anda tak layak untuk paparkan soal jawab agama tentang isu yang sama, kerana ia berlawanan, muka depan suka seks, forum rakyat benci iklan seks, jawapan kemuasykilan agama menantang kemaksiatan, tetapi rencana yang ditulis di halaman lain, membenarkan kisah seksual tentang si fulan dan di sulan.
Akhirnya, akhbar kita akan ditempelak, iklan tak senonoh ada rasa malu pula, tetapi siarkan berita atau laporan rekaan tentang seks boleh pula. Dasar inilah yang perlu diperbaiki.
Amat menghairakan jika kita mendengar kutbah yang ditulis oleh pihak pusat atau agennya menyatakan agar umat semuanya bertaqwa, sedang pada masa yang sama kita bergembira dengan laporan dan berita rekaan tentang seks tadi.
Hendak ke mana kita selepas ini. Transformasi apa yang dicanangkan oleh para pemimpin yang hanya tahu membaca teks, kalimat indah-indah, tetapi gagal memahami apa yang dilontarkan. []

No comments:

Post a Comment