Wednesday 25 April 2012

GELABAH BERSIH 3.0

BERSIH 3.0 adalah suatu pesta besar bagi rakyat. Sejak Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 rakyat semakin terbuka mindanya tentang gejala pilihan raya di Malaysia. Sepanjang BN memerintah negara, dengan segala keselesaan dari gangguan orang lain, pihak penguasa telah melakukan segala-galanya atas nama pembangunan dan kesejahteraan rakyat, termasuklah mencipta berbagai skandal yang menyebabkan pemerintah tercalar imejnya.
Calar imej pemerintah ini di mata rakyat adalah suatu penyakit kepada negara yang sedang membangun, sebelum kita berangan menuju ke negara maju, maka kita membawa sifat-sifat atau perangai buruk Melayu yang tidak sesuai dengan Islam, jika benar ia dianggap sebagai agama rasmi.
Rakyat umumnya melihat, bahawa pekerja dalam kelompok penguasa, cuba menguasai apa sahaja peluang ekonomi negara dan membahagikan kek ekonomi kepada kumpulan mereka sahaja, dan tempiasannya hanyalah berupa berita tentang pembangunan, pelaburan projek besar, menaiktaraf lebuh raya, memranapkan rumah sertinggan, menghancurkan perkampungan Melayu, dan semua ini sangat memberi kesan untuk menggelembungkan kantung pemimpin tertentu termasuk yang di bawahan.
Imej pemerintah selama ini adalah imej penjajah yang merampas, dijadikan harta milik, dan kemudian dijual pula untuk mendapatkan wang lump sum, dan di kemudian hari timbullah cerita salah guna kuasa, syarikat menanggung kerugian, projek tak jalan, atau bermacam skandal seperti yang rakyat lihat di Port Klang, kes NFC, kes bail out terhadap orang ternama tertentu, bahkan istilah jenayah pun boleh dilembutkan menjadi sebagai suatu kes biasa sahaja di kalangan mereka. Akhirnya rakyat muak.
Bersih 3.0 adalah gambaran keresahan rakyat. Jangan anggap bahawa rakyat hari ini diperbodohkan untuk mendukung pembangkang atau NGO yang propembangkang.
Kita kerap dengar gaya pemberitaan dan laporan sinis menyebut NGO propembangkang. Bagaimana dengan NGO yang prokerajaan? Pihak penguasa yang zalim tidak pula risau kepada NGO yang menyokong mereka. Pihak penguasa lebih gusar kalau kebanyakan NGO menyebelahi pihak pembangkang.
Gelabah pihak kerajaan pusat terhadap bersih 3.0 nampak begitu nyata. Hanya kerana masalah dalam SPR yang dibangkitkan, pihak kerajaan tidak melakukan apa pun pembaikan yang diminta oleh kelompok Bersih 2.0 yang lalu.
Gembar-gembur dalam berita media kerajaan seolah-olah tiada apa masalah dalam pendaftaran pengundi, kenaikan pendaftar di sesetengah tempat sehingga pihak SPR sendiri menerbitkan buku setebal 12 halaman. Bagi saya ia tak sesuai disebut buku, ia lebih sesuatu untuk sebuah risalah kecil SPR. Maknanya SPR tiak mempu menjawab tuduhan rakyat dengan bersungguh-sungguh kerana itulah yang diajar oleh pemimpin Umno.
Kelompok Bersih 3.0 nampaknya lebih menumpukan permusuhannya kepada pemimpin Umno daripada lain-lain pemimpin dalam BN. Mereka anggap parti komponen dalam BN hanya parasit, menumpang kebahagiaan BN, bahkan ada yang tak ada peranan apa pun, selain untuk duduk bersama PM dan TPM dan bermegah-megah dalam acara negara.
Betapa gelabahnya media hendak berdepan dengan Bersih 3.0, mereka menggambarkan Bersih 3.0 adalah agenda pembangkang, jadi tidak perlu dilayan. Jika pihak UBN mengambil sikap demikian, pihak PR tentulah lebih-lebih lagi, mengajak NGO yang ada agar tidak bersuara lunak kepada pemimpin UBN.
Umum sudah mengetahui SPR dipergunakan oleh UBN untuk mempertahankan kerusi yang semakin goyang. Berbagai skandal timbul melibatkan para pemimpin UBN ketika pilihan raya semakin dekat, maka gelabah UBN menjadi semakin kalut.
Anak-anak muda yang bangkit menuntut kelegaan dalam soal pinjaman belajar di pusat pengajian tinggi dilayan dengan buruk. UBN gunakan tenaga DBKL untuk menghapuskan mereka. Alasannya, para mahasiswa dipengaruhi atau dihasut oleh pembangkang. Pihak UBN lupa, melalui kuasa menteri pengajian tinggi, mereka juga sedang menghasut pelajar agar membenci kelompok mahasiswa yang berada di Dataran Merdeka. Padahal jika tuntutan mereka itu menjadi nyata, semua orang menikmati faedahnya, baik yang menentang atau yang mendukung.
Gelabah UBN dapat dibaca daripada kenyataan para pemimpin Umno yang akan menyambut ulang tahun Umno ke-66 tahun. Memanglah megah, tetapi para pemimpin Umno yang bertukar ganti perlu muhasabah diri, bagaimana mereka boleh berada sampai ke tahap ini? Adakah mereka melalui proses pilihan raya yang bersih dan telus?
Rasanya, kalau kita mendengar pengakuan para bekasan menteri Umno, maka kita lihat pilihan raya ini seperti dibuat-buat untuk memenuhi perundangan kena adakan pilihan raya lima tahun sekali. Kalau boleh tidak perlu pilihan raya sama sekali.
Lagipun kes di Perak selepas pilihanraya 2008 mempamerkan tindakan kotor pemerintah pusat untuk tidak mahu mengaku kalah. Difahamkan hasil dari kejayaan merampas Perak dari tangan PR itulah, ada projek mega yang dilaksanakan bagi memenuhi janji upah kerana memenangkan kes itu.Ini namanya rasuah dalam politik. Akan tetapi para pemimpin UBN memandang ia sebagai isu biasa. Akan tetapi jika suatu hari ini PR melakukan hal yang serupa menjatuhkan negeri di bawah BN dengan cara yang sama bagaimana?
Ketika itu pihak UBN akan bermati-matian menganggap negeri itu negeri rampasan dan tak sah dari segi perlembagaan. Itu sebab kena batang hidung sendiri. Jika kena para orang, mereka kata sah pula. Inilah sikap UBN yang tidak konsisten.
Hanya kerana rakyat hendak berhimpun dengan cara duduk ramai-ramai pihak UBN sudah gerun. Mereka gunakan DBKL sebagai "polis bantuan" untuk memadamkan kemarahan rakyat. Khabarnya masalah penggunaan dataran pun jadi kecoh, bahkan alasan bahawa dataran hanya untuk upacara penting sahaja tidak boleh diterima, kerana penduduk di Lembah Klang sudah tahu, bahawa di dataran merdeka itu sentiasa ada upacara hiburan yang tak memberi faedah kepada rakyat. Pesta yang kerap diadakan itu hanya memberi dfaedah kepada penganjur hiburan dan pentas, sewa khemah, sewa PA system, upah pengacara, upah penyanyi, upah penari, upah agen persembahan, dan macam-macam upah. Inilah cerita sebenarnya.
Jika Bersih 3.0 hendak duduk sahaja di situ, lebih baik dataran merdeka adakan majlis lain yang lebih mendatangkan duit kepada pemilik alat muzik sewaan, pemilik kedai butik, pemilik grup tarian tradisional, pemilik grup wayang kulit, atau apa sahaja, sehingga khabarnya ada Laman Seni hendak diaktifkan di situ, hakikatnya jika anda tengok apa yang dikatakan seni itu, adalah macam pasar malam biasa!
Gelabah Bersih 3.0 menyebabkan pihak JPJ pun ikut sibuk, mengeluarkan atau tidak mengeluarkan permit perjalanan bas ke Kuala Lumpur. Kemudian akan diadakan sekatan jalan. Kemudian sekatan itu dan ini di Kuala Lumpur, tujuannya biar orang ramai merungut dan menyalahkan anak-anak muda Bersih 3.0.
Adakah jalur udara juga menghadapi ancaman pihak tertentu agar, penerbangan tambang murah dibatalkan untuk ke Sepang atau LCCT yang ada? Atau kemungkinan jalur LRT, STAR dan Komuter dihentikan buat sementara kerana meraikan Bersih 3.0?
Sebenarnya, Bersih 3.0 adalah peluang untuk perniagaan. Bukan keluhan dan rintihan peniaga kecil seperti yang dihebohkan oleh Presiden Persatuan Penjaja itu. Memo yang mereka buat adalah senada dengan para pemimpin Umno pusat yang gerun dengan kebangkitan baju kuning. Mereka dalam phobia melihat baju kuning. Kalau boleh baju warna itu hendak diharamkan terus. Bagaimana kalau suatu hari nanti Bersih 3.0 juga menuntut agar baju warna biru diharamkan? Tindak-balas begini memang akan mengejutkan UBN.
Sebenarnya pemimpin UBN masih tidur. Mereka bersenang-senang dengan kemewahan yang mereka peroleh dengan jalan yang tidak munasabah. Semua rakyat tahu akan kepincangan ini. Penggerogotan ekonomi negara tidak seimbang. Bilangan kereta mewah yang menjalar lebih banyak daripada kereta kecil milik rakyat.
Kemewahan yang ditonjolkan oleh para pemimpin UBN sebenarnya menyebabkan rakyat berasa marah dan ditipu. Hari ini bercakap tentang kesejahteraan rakyat, esok rakyat dalam kelompok lain terpaksa menanggung pembangunan yang dilaksanakan.
Secara rasional, Bersih 3.0 tidak membahayakan kepada keselamatan negara. Mereka hanya hendak datang ke dataran dan duduk-duduk sahaja. Jangan buat provokasi, atau berkasar dengan mereka, ketika bilangan rakyat sudah tidak terkawal apa pun akan terjadi. Kita bimbang ada pihak samseng upahan yang akan melakonkan watak pentingnya nanti. Ini bertujuan memberi gambaran bahawa budak-budak peserta Bersih 3.0 sebagai kumpulan ganas. Ini adalah tindakan cara lama, rakyat sudah maklum bahawa sejak dulu kerajaan UBN melaksanakan sistem ini termasuklah operasi lalang zaman Dr M.
Kehadiran samseng di dalam apa juga perhimpunan besar begini menggambarkan pemimpin UBN sangat gelabah, ada pihak tertentu sanggup menyediakan orang-orangnya bagi merosakkan kedamaian yang ada. ini akan dijadikan alasan.
Selain dari itu, Bersih 3.0 adalah hendak menguji undang-undang perhimpunan di tempat umum yang telah diberikan pelayanan baru. Kita lihat, apakah masih ada kekasaran pihak tertentu terhadap kumpulan bersih 3.0, sebabnya dalam himpunan Bersih 2.0 pihak tertentu telah menyediakan hidangan nasi istimewa di bawah khemah sebagai menggambarkan BAIKnya pihak petugas yang telah bertindak ganas di lapangan umum.
Nah, apakah kali ini ada layanan dari pihak penguasa sedemikian? Jika penguasa mahu sanjungan, mereka tak akan bergaduh kepada rakyat. Inilah masanya mereka mengdahulukan kehendak rakyat dan bukan bermusuh dengan rakyat. Kita tak mahu negara kita jadi seperti Syria itu. Di sana kesnya berbeza kerana kita tidak nampak adanya gelombang Syiah di negara kita, yang ada adalah gelombang kuning yang akan meranapkan gelombang biru! Insya-Allah jaya. [] 

No comments:

Post a Comment