Sunday 22 April 2012

TENTANG KATA-KATA KOTOR DAN CACI MAKI

KOMEN INI merujuk kepada Risalah Masjid Kota Damansara, bil.51, 15April, 2012, bertajuk SENTIASA AWASI LIDAH KITA yang dipetik dari tulisan Mohd Shauki Abd. Majid (Yadim). Paparan yang dicetuskan oleh Shauki itu baik sebab ia semacam nasihat kepada semua orang agar menjaga mulut, menjaga minda, agar tidak mengeluarkan kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina kerana semua ini merupakan perkara yang sangat tercela dan dilarang.
Setiap umat tahu apa hukumnya, melainkan mereka itu jenis degil, tak mahu menambah ilmu, atau sengaja melanggarnya demi menegakkan pegangan sikap dan politik mereka.
Dalam kes ini, saya percaya, Shauki pernah memaparkan bahan ini di dalam majalah terbitan Yadim yang pasarannya terhad, bahkan tidak menonjol pun di pasaran. Jika Yadim bertujuan hendak berdakwah, dakwahnya hanya berkisar di bawah kepak Yadim dan sekitarnya, maknanya audiennya sangat kecil. Dan jika risalah sebuah masjid menyiarkan semua artikelnya, maka ia tersebar ke mana-mana. Dan saya sendiri mendapat risalah ini dari salah seorang AJK masjid berkenaan yang kebetulan orang Perkim, ketika saya mengikuti kuliah mingguan di pejabat Perkim.
Memanglah kita ditegah daripada mengumbar fitnah, mengaibkan orang lain, tetapi apakah pihak Yadim sendiri tidak menyedari golongan manakah yang memulakan sesi fitnah, mencarut, memaki orang dan mengaibkan seseorang?
Semuanya bermula sejak pemecatan Anwar Ibrahim. Inilah sejarah paling gemilang bagi umat Melayu di Malaysia, tetapi sayangnya, tuduhan selalu dilemparkan kepada orang yang terfitnah. Apabila Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara yang merupakan ahli Pas, pernah menang pilihanraya umum, menulis novel SHIT, ia dianggap meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel berkenaan. Novel itu katas Shauki pernah menimbulkan kontroversi.
Sebenarnya bagi orang yang nak mengkaji kritikan melalui novel, maka novel Shit pun dijadikan panduan utama. Pengkaji novel ini boleh mendapat gelaran Dr. jika dia sanggup buat tesis tentang perkara sebenar yang berada di luar teks. Tidak kiralah dengan menggunakan pendekatan apa pun, strukturalisme, diskontruksi atau hermeneutik dan yang sealiran dengannya.
Nah, sebenarnya novel SHIT sedikitpun tidak memalukan. Novel tidak dibaca orang semua orang. Seorang peminat sastera pun belum tentu telah membaca novel itu, lainlah jika suatu hari nanti novel SHIT dijadikan teks wajib untuk peperiksaan sekolah menengah [memang layak pun!]
Kenapa tidak memalukan?
Bagi saya, novel masih dikira sebaik-baik paparan dalam bersastera, carutan dan makian tidak ketara, kerana ia berlegar kepada aksi perwatakan, dialog pewatak utama, interior monologue dan sebagainya. Ini semua kena semak mengikut pandangan pengkritik sastera barat sana.
Bagaimana pula paparan di dalam akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu, The Star, dan akhbar bahasa Inggeris lainnya, termasuk The Malay Mail yang tinggal nyawa-nyawa ikan sekarang?
Perlu diingat, paparan dalam akhbar tadi, termasuk media tv adalah paparan caci maki, kata-kaa kotor, pengaiban yang sudah mencapai darjah tertinggi dalam sejarah peradaban bangsa Melayu. Tahun 90-an ketika Dr M berkuasa, adalah puncak kelucahan melampau yang dipersembahkan secara berani melalui media massa, cerita lucah, cerita cabul, gambar berahi sudah diperkenalkan dalam minda Melayu, semuanya tumpang seronok, dan tidak diketahui apa sikap dan pandangan penulis dan wartawan di Yadim mengenai hal ini.
Kini, apabila Shauki menulis mengenai tajuk ini saya rasa bagai tidak kena. Hendak dikritik kepada siapa pun tidak diketahui. Risalah yang dikeluarkan pihak masjid hanya ditatap mereka yang datang berjemaah di masjid itu, biasanya hari Jumaat. Baca dan buang. Ada yang rajin mereka simpan dan difailkan. Saya dapat risalah melalui geng Perkim, Jalan Ipoh, KL.
Baiklah, kita tidak boleh salahkan sebelah pihak sahaja, dan dalam hal ini nada tulisan dari pihak Yadim hanya ditujukan kepada pembangkang dan penyokongnya. Yadim perlu jelas dalam soal dakwah. Kesalahan awal kelompok yang memperkenalkan kenistaan dan pengaiban ke atas umat adalah dari pihak penguasa sendiri.
Kita hendaklah mengakui, inilah kesilapan paling utama yang dilakukan oleh Dr M dan kemudian didukung oleh segenap aparat pemerintah untuk mendukung, memperkasa cerita-cerita yang aib ini di pentas politik Malaysia.
Kita tidak perlu berkeluh-kesah, mengatakan masyarakat Melayu kita sudah rosak akhlak. Bagaimana tidak rosak jika pemimpinnya sendiri telah melakukan kerosakan akhlak yang paling utama. Pemimpin akan jadi panutan, tetapi di Malaysia, apa sahaja yang diutarakan oleh pemimpin ia dianggap fatwa.
Jika anda semak semula halaman depan akhbar arus perdana Malaysia tahun 90-an ketika Anwar dipecat, difitnah dengan Liwat I dan kemudian Liwat II, apakah berita dan laporan yang kerap dipaparkan di halaman depan? Bagaimana ulasan dan propaganda RTM dan TV yang ada di rumah kita?
Bukankah membuka keaiban seorang tokoh yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, sekalipun sudah dipecat. Ia secara tak langsung menggambarkan akhlak kalangan menteri yang lain juga. Jangan fikir Anwar itu keseorangan.
Biasanya orang akan mengkaji seseorang itu dari golongan mana. Seorang yang membicarakan soal Ahlul bait senada dengan pemikiran Syiah akan dilihat ke mana hala kecenderungannya. Dia pernah aktif dengan gerakan apa? Bahkan dalam kes pengganas, latar cerita itu diungkit, dan dalam kes Anwar seolah-olah tidak ada pertalian.
Mengaibkan seorang bekas menteri, sama sahajalah memberi gambaran kelompok yang lain pula serupa. Dalam hal ini Dr M telah meninggalkan satu legasi yang akan dikenang sampai bila-bila pun. Dialah yang melakukan semua rencana yang amat mengaibkan umat Islam.
Umat Melayu di zaman Kesultanan Melaka yang teruk itu pun tidak tergamak hendak mengaibkan tokoh tertentu. Sejarah Melayu masa silam kita pun banyak skandal mengaibkan, termasuk skandal orang istana, tetapi penceritaan dibuat secara simbolik atau cakap berlapik.
Di Malaysia pemberitaan dan laporan gaya baru, gaya kewartawanan moden mengancurkan tatasusila umat Melayu. Bermula dari zaman Dr M inilah orang tidak peduli lagi dengan kelucahan. Mereka semakin berani.
Menyebarkan gambar lucah sudah jadi perkara biasa. Seperti juga menulis cerita lucah. Kelucahan melampau ini dipaparkan media kita yang diterajui oleh wartawan islam. Tidak tahulah bagaimana kewartawan islam yang dimaksudkan ketika itu. Rasanya nilai-nilai Islam itu memang tak ada langsung.
Jika dibandingkan mana yang memualkan, mana yang meloyakan? Maka jawabnya laporan akhbar arus perdana yang didukung oleh Umno-BN jauh lebih lucah dan melampau dibandingkan dengan novel SHIT.
Novel SHIT ditulis menurut alur kesusasteraan, sebaliknya berita dan laporan yang dipaparkan dalam media arus perdana ketika itu lebih bersifat terus terang, bahkan keterlaluan.
Ketika itulah masyarakat kita mula berkenalan dengan amalan songsang HOMOSEKS. media kita memaparkan keperihalan ini dengan terus terang tanpa selindung, tanpa rasa bersalah pun, setiap hari mengaibkan orang. Ketika itu tidak ada kisah lain, semuanya tentang bulu kemaluan, air mani, tilam, seks lelaki dengan lelaki yang semuanya ini adalah gambaran betapa rendahnya akhlak wartawan Melayu kita. Dalam hal ini Yadim tidak pernah sentuh pun.
Apabila umat Melayu sudah dibiasakan dengan istilah kurang ajar itu dalam media massa, didukung oleh semua pihak atasan dan bawahan, maka akhirnya kita sudah jadi masyarakat yang biasa dengan apa pun kelucahan. Inilah kesan jangka panjang. Dalam tahun 90-an akhir, kita dipupuk agar mengenal erti HOMOSEKS, kemudian ia jadi pelajaran wajib secara tak formal.
Kita lihat di sana-sini orang galak berhomoseks mengikut ajaran umat Nabi Luth, tetapi kita salahkan mereka yang terjebak. Kita lupa, bahawa dosa besar penyebar fitnah ini adalah para wartawan dan golongan ahli politik yang mabuk kuasa. Mereka lupa dengan adab susila Melayu, jangan sebutlah bahasa jiwa bangsa, Ketika itu tidak penting apabila nafsu sudah menguasai diri.
Kesannya, masih ada di kalangan orang berkedudukan mengusung cerita pita atau video seks yang dikatakan melibatkan tokoh yang pernah diaibkan. Siapa tokoh yang paling banyak menerima fitnah dan pengaiban di abad ini? Semua sudah tahu. Pihak Yadim pun tahu.
Dan saya bukan tidak membilik majalah keluaran Yadim yang memaparkan hal perlakuan songsang ini, sayangnya wartawan atau penulisnya lupa, di mana semua ini bermula? Kenapa tidak bermuhasabah diri? Semaklah semula lembaran lama. Kita sebenarnya telah melakukan kesilapan paling besar, bahkan melakukan dosa besar kerana mencaci, memaki, memfitnah, mengaibkan rakan dalam dunia politik, meskipun telah dipecat, tatasusila Melayu perlu dipertahankan.
Kesan daripada laporan berita kelucahan dan pengaiban itu, lahirlah berita-berita yang yang tidak sedap dibaca atau didengar. Semua ini adalah BALA yang Allah s.w.t. timpakan kepada umat kita kerana melakukan tindakan bodoh semata-mata menyelamatkan politik sekularisme.
Cuba semak apa yang berlaku sekarang?
  • Pembuangan bayi merata-rata membuktikan bahawa hubungan seks di luar nikah, bersekedudukan, rogol, dan apa sahaja tindakan berkaitan seks dua jantina telah merebak parah. Benda ini tidak cukup dengan kutbah Jumaat, tidak cukup dengan tazkirah di surau dan masjid, dan tidak cukup dengan menyebarkan risalah sahaja, dan tidak cukup dengan penerbitan majalah atau jurnal sahaja.
  • Hubungan seks songsang, semakin menjadi fenomena sejagat. Baik kelompok lelaki yang dipanggil gay melakukan homoseksual, kelompok wanita pula memperjuangkan emansipasinya melahirkan pengkid, melahirkan lesbianisme - dan semua ini adalah kesan daripada keinginan kita membesar-besarkan isu yang bukan isu besar. Tetapi kerana politik, kita sanggup berbohong dan merosakkan minda rakyat tua muda dan kanak-kanak yang membesar dalam era akhir tahun 90-an.
  • Orang semakin berani melakonkan adegan seks terlarang untuk dirakamkan dan disebarkan sebagai bukti kehebatan main ranjang. Bahkan apabila pihak atasan pun merestui penyebarannya, maka kalangan rakyat bawahan anggap tidak ada salahnya memuat turun gambar lucah, boleh berbogel di depan kawan, ambil gambar guna telefon bimbit, sebarkan, muatkan dalam facebook atau twitter. Ini semua adalah bahana yang bermula dari perkara di atas tadi. Semak semula, berapa pemimpin negara kita yang dihebahkan dengan skandal seks? Jangan tumpu kepada pembangkang sahaja, semak juga kes yang melibatkan pemimpin tertinggi dalam BN.
  • Apabila dalam persoalan SEKS kita semakin terbuka, makin berani, maka pencarutan tidak jadi halangan lagi. Iklan-iklan produk kesihatan pun dengan beraninya mengiklankan agar kaum lelaki menggunakannya untuk kuat perkasa. Tidak setakat produk kesihatan, minuman 3 campur 1 pun galak dengan nama yang berbau lucah [tak payah sebut]. Ini kemudian melahirkan iklan KUAT di tepi jalan, orang rasa malu tengok iklan kuat ditampal di batang pokok, di tempat menunggu bas atau teksi, di mana-mana sahaja, kenapa tahu malu tengok iklan seks, sedangkan berita seks, laporan dan ulasan seks tidak mahu pula? Bukankah di masa dulu, setiap pemimpin mahu bercakap konon tahu skandal si fulan dan si fulan. Ghibah begini tidak kita perhatikan. Laporan itu dianggap gosip artis bukan ghibah yang tercela. 
  • Setelah keadaan dikatakan gawat, maka di sana-sini sibuk buat perhimpunan. Contohnya, perhimpunan bagi menyatakan TAK NAK LGBT SEKS BEBAS. Ia didakwa sebagai program kesedaran ancaman seks bebas dan LGBT, Bukankah pelik namanya? Kita sendiri yang menanam benih seks bebas dan kemudian kita marah-marah pula. Nak marah kepada siapa?  Masalah seks bebas ini kerana kita memang dari dulu sibuk dengan kelucahan, memfitnah dengan kelucahan dan setiap hari berkisah tentang bulu kemaluan dan tilam tebal, ada yang mengusungnya sekali. Bukankah ini benih kepada ancaman seks bebas? Itu sebab kita jangan ambil jalan mudah, nak marah-marah kepada pihak tertentu tetapi kita lupa siapa sebenarnya pihak yang mencetuskan idea kebebasan ini? Apabila orang hebat menayangkan video seks di tempat eksklusif dan dilaporkan dengan hebat tanpa sebarang tindakan, ia memberi konotasi bahawa sesiapa pun bebas menjaja video sedemikian, tidak dilarang walaupun peraturan sudah ada tentang tegahannya. Fikirkan, jangan mudah melatah gunakan NGO atau persatuan sampaikan Jemaah Tabligh pun hendak ditasykilkan. Sepatutnya Jemaah Tabligh menarik golongan yang bebas seks itu keluar dari lorong dzulumat [saya pun pernah terlibat dengan Tabligh sejak di Georgo Town, Penang dan Masjid India tahun 80-an].
  • Kini kita lihat kebejatan masyarakat Melayu kita makin menjadi-jadi, bermula dari gelandangan, dadah, pencurian, pelacuran, melakukan kelucahan melampau, seks dengan kanak-kanak, bahkan termasuk anak sendiri [haruan makan anak tak sesuai lagi kerana sekarang ikan haruan payah hendak beriringan dengan anak-anak haruan macam tahun 70-an dulu - kes sawah padi di Sekincan]. Daripada kebejatan ini kemudian membawa kepada kebejatan lain, tetapi pemimpin kita lupa bahawa sebahagian besar yang menjadikan kebejatan ini adalah hiburan yang melampau-lampau dalam dunia Melayu. Baik media masa atau apa sahaja, hiburanlah yang diutamakan. Orang meletakkan agama di garisan akhir, iaitu ketika sudah bersara, masa itu jenguklah masjid, alangkah baiknya bertaubat ketika muda? Lebih ramai artis pakai tudung lagi bagus, tetapi kita tidak mahu tudung sahaja jika masih pakai kasut tumit tinggi dan pakai legging yang menampil bentuk tubuh yang mengghairahkan. Apabila artis berpakaian begitu, siapa pun tidak berani tegur. Forum tv pun tak berani. Takut tak dapat tempat dalam program tv lagi.
  • Berbalik kepada risalah dari masjid Kota Damansara tadi, tentang awasilah lidah kita, ia satu nasihat yang baik. Akan tetapi sebelum kita hendak mengatakan ia suatu kesalahan kepada Shahnon Ahmad ketika menulis SHIT [faktor luaran dalam penulisan karya adalah kemestian. Bahkan pengkritik sastera selalu fokus kepada faktor ini]. Mungkin penulis dari Yadim ini lupa nak menegur pihak atasan dan media yang menjadi pemutar-belitkan fakta yang pada jangka panjang menjadikan umat kita rosak parah. []

No comments:

Post a Comment