Monday 16 April 2012

DERMAWAN SUNGGUH SI RAJA JIN ITU: SEBUAH KISAH MISTIK

HARTA KARUN
Sudah lama peminat kisah mistik misteri mendengar adanya aktiviti sekelompok manusia mencari harta karun. Mereka mencari harta karun sepanjang masa, selagi nadi masih berdenyut, ada sahaja program menarik di hujung minggu untuk dapatkan harta karun, iaitu harta yang terpendalam di dalam tanah.
Harta karun itu dikatakan telah ditinggalkan di suatu tempat pada zaman dahulu, dan kemudian entah bagaimana kelompok manusia ini boleh tahu bahawa di tempat tertentu ada tersimpan harta karun.
Maka, apabila cerita itu sudah dihebahkan, orang pun tercari-cari kaedah, dengan cara bagaimana harta karun itu hendak dikeluarkan?
Timbulkan cerita tentang kehebatan orang-orang yang berwatak pintar, mengaku dukun, mengaku bomoh, yang lebih penting mereka adalah sarjana dalam perdukunan yang pernah berguru di bidang harta karun dan tahu selok belok berkomunikasi dengan bangsa jin.
Sibuklah kelompok ini bertanya itu dan ini jika ada sesiapa tahu di mana ada orang pintar lulusan di bidang carigali harta karun, tetapi bukanlah suatu kerja ekskavasi muzium sebagaimana yang orang tahu, sebaliknya penggalian secara pintar, menggunakan teropong misteri serba mistik, boleh menditeksi di mana ada tersimpan harta karun.

PERLUKAN BAHAN-BAHAN
Maka, ada di antara cerdik pandai di bidang harta karun mistik ini mengesyorkan agar seseorang itu menyediakan keris berdiri, menyediakan barang-barang pusaka kuno yang ada khadam untuk dijadikan sebagai alat mengeluarkan harta karun.
Kenapa tidak gunakan cangkul, jentera pengorek tanah dan sebagainya? Banyak alasannya, kerja mencari harta karun tidak perlu korek mengorek, sebab orang yang pakar hanya akan melakukan bacaan mantera sambil menyeru agar harta karun itu muncul dari tanah yang tiba-tiba terbelah.
Wah, hebat kalau begitu ceritanya. Memanglah begini cerita yang telah dirawikan kepada penulis tentang cara mengeluarkan harta karun.
Kenapa begitu sukar hendak keluarkan harta karun yang tak bertuan itu? Jangan kata tidak bertuan, meskipun ia berada di dalam tanah, di kaki bukit, dalam gua atau di dasar laut, ada sahaja makhluk jin yang menjaga harta karun itu.
Jin seolah-olah menjadi penjaga kepada harta karun milik manusia yang ditinggalkan atas sebab-sebab darurat. Jin-jin itu boleh menyamar sebagai nenek kebayan sebagaimana kes di Bukit Tujuh, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang. Ada yang menyamar sebagai Tuk Ayah, sebagaimana di Kota Gelanggi, Pahang atau di Gunung Tebu, Terengganu.
Jadi, sesiapa yang berhajat hendak mengambil harta karun yang berupa emas tulen, mereka perlu jadi orang yang bijak. Orang itu perlu menguasai bagaimana memikat makhluk menjaga, bertutur dengan cara yang baik, kerana khabarnya, bukan mudah manusia hendak mendapatkan harta karun yang sudah dikuasai oleh makhluk jin.
Cerita terbaru, bahawa di Selat Melaka sana, ada sebuah kapal milik Jepun, DAI NIPPON yang terbenam di dasar laut. Konon di dalam kapal itu terdapat simpanan emas yang tidak diketahui berapa nilainya.
Maka, cerdik-pandai dalam bidang kemistikan telah bermesyuarat secara sulit untuk mengapungkan kapal dagang itu bagi mendapatkan harta karun di dalamnya.
Bolehkah mereka lakukan kerja-kerja itu? Bukankah ini memerlukan biaya yang besar? Khabarnya, kapal Jepun ini sekarang dijaga oleh 40 ekor jin laut. Jangan sesiapa berani dekati bangkai kapal itu, jin laut akan bertindak mempertahankan haknya, kecuali ada perjanjian lisan yang dipersetujui.

RAJA JIN DI PULAU
Tersebutlah sebuah kisah dari belahan Sumatera sana, sekumpulan orang pintar telah melakukan misi berani dengan menaiki bot berharga Rp 50 juta untuk menuju ke sebuah pulau yang tak ada penghuni. Pulau itu adalah tempat jin bertendang. Tetapi di pulau itu ada perigi yang dikorek oleh nelayan untuk mendapatkan bekalan air tawar bersih. Pulau itu dipenuhi hutan pokok tembesu. Menghijau kelihatannya dari jauh, tetapi di situ telah bermastautin seorang Raja Jin yang tak pernah diketahui pun oleh manusia di mana-mana di belahan Nusantara ini.
Dialah raja yang mentadbir pulau misteri itu. Menurut khabar ahad yang disampaikan kepada para dukun yang dianggap sakti mandraguna, ilmu yang diperoleh dari tirakatan dan semedi lalu memohon kepada penguasa yang mentadbir alam ini, maka kesaktian dan kemampuannya menakluk bangsa jin begitu menjadi.
Nama raja jin itu ialah SUWANGGA RAGAL.
Terpulang kepada sesiapa hendak memberi gelaran tinggi lainnya seperti Yang Dipertuan Suwangga Ragal, atau Pangeran Suwangga Ragal, raja jin tetap gembira jika ada manusia mahu melawat pulau itu. Raja Jin sedia membantu sesiapa sahaja yang perlukan bantuan.
Maka, kumpulan lelaki pintar di bidang diplomasi kejinan telah berjaya menjinakkan Raja Jin Suwangga Ragal. Jin yang menguasai pulau kecil itu ketawa gembira.
"Sudah lama saya menunggu kedatangan manusia ke pulau ini, baru sekarang ada orang seperti kamu yang sanggup merafak sembah kepadaku," kata Raja Jin.
"Memang kami semua ini ada hajat besar, tuanku!"
"Apa hajat kamu?"
"Kami ini ada projek besar, hendak mendirikan beberapa buah masjid di kampung kami, surau atau madrasah untuk keperluan penduduk kampung, dan kami perlukan wang untuk membantu rumah anak-anak yatim," kata ketua kumpulan dukun pintar itu.
Jin yang sedang duduk di atas kerusi istananya itu tersenyum gembira. Ada manusia sudi datang ke istananya.
Akan tetapi untuk mendatangi istana Raja Jin ini seseorang perlu memasuki gerbang alam ghaib terlebih dahulu. Mereka perlu memiliki ilmu linuwih yang hebat. Ilmu ini perlu dipelajari secara berperingkat dan tidak perlu tergesa-gesa ke tingkat mahaguru. Belajar dari yang mudah dulu sebelum ke tahap yang susah.
Seperti kata orang pintar ini, sesiapa yang tidak tahan berguru, kadang-kadang ada yang jadi gila, orang kata gila isim. Ini sebuah ilmu mistik, ilmu yang boleh membuka tabir gerbang mistik. Ilmu yang membolehkan seseorang itu memasuki alam jin seperti cerita ini.

RUPA JIN PULAU
Dikhabarkan bahawa jin ini berupa makhluk seperti manusia tetapi tubuhnya gendut pendek, berkepala botak. Inilah rupa penduduk yang menghuni pulau yang juga merupakan rakyat jelata kepada Raja Jin tadi. Dia sentiasa berada di kawasan lingkungan istana ketika manusia dari alam nyata mendatangi tempat mereka. Mereka tidak mengusik, tidak agresif, bahkan melayani kedatangan manusia dengan baik. Inipun mungkin setelah dinasihatkan oleh raja mereka.
Maka menurut orang pintar tadi, salah satu benda kegemaran Raja Jin ini adalah minyak wangi. Nah, kalau ada sesiapa hendak bertemu Raja Jin jangan lupa singgah dulu di kedai besar untuk dapatkan minyak wangi yang terbaik. Raja Jin tidak peduli minyak atar atau minyak wangi buatan Paris. Asalkan wangiannya semerbak.
Dikatakan, bahawa para jin ini bergantung kepada wangi-wangian. Selain wangian yang sudah dibotolkan, mereka juga mengutip wangian dari pokok-pokok bunga di tengah hutan sana. Mereka ada formula membuat minyak wangi, termasuk gaharu hutan yang juga dicari manusia.
Sebelum para dukun pintar itu memasuki gerbang dunia jin, mereka terlebih dahulu menyapu mata mereka kedua belah dan membaca mantera pembuka keghaiban. Itulah ilmu yang dipanggil ilmu lasatghaib.
Setelah diusap begitu dengan iringan mantera [rahsia mereka] maka berlaku perubahan yang mendadak. Sebaik mata dibuka, maka kelihatan pokok-pokok yang menghijau itu sudah berubah rupa. Dedaunan yang ada semuanya menjadi putih.
Inilah dunia yang dijengah oleh kumpulan lelaki pintar ini. Dengan membawa dua botol minyak wangi mahal, mereka serahkan hadiah istimewa itu kepada Raja Jin. Raja Jin mencium minyak wangi yang menjadi kesukaannya.
Selanjutnya, dia menitahkan pegawai istana masuk ke dalam mengambil sesuatu.
"Bawa 20 batang ke sini!" perintah Raja Jin kepada pegawainya yang gendut dan berkepala botak.
Maka kumpulan lelaki berani itu bukan main gembira tatkala melihat seramai 20 lelaki gendut berkepala botal keluar memegang sesuatu.
"Ke mari!" perintah Raja Jin.
Maka 20 batang logam kuning itu diserahkan kepada ketua kumpulan.
"Ambillah hadiah pemberian kami dari kerajaan kami untuk manusia di luar sana," kata Raja Jin.
Setelah saling tukar menukar barang hadiah, mereka pun meminta izin untuk beredar dari istana. Raja Jin senyum. Dia gembira dapat menghadiahkan 20 batang emas yang setiap satunya seberat sekilogram.
Ada 20 batang emas yang mereka dapat, ini bukannya harta karun, tetapi pemberian dari Raja Jin.
Pak Dukun yang jadi ketua menghitung-hitung harga emas sekarang, kalau 1gram berapa? Sekarang dia ada 20 kilogram. Bayangkan!
Setelah mereka keluar dari gerbang mistik di situ, maka mereka terpaksa meredah belukar yang di sana-sini kelihatan biawak pulau merayau-rayau. Mungkin mencari bangkai di situ.

DI TENGAH KOTA
Bayangkan, setelah mendapat 20 batang emas seberat 20 kg. mereka terus menuju ke bandar besar. Mereka tuju kedai emas untuk menjual emas yang mereka peroleh. Mula-mula diuji dulu sejauh mana ketulenan emas dari dunia jin itu.
"Bagaimana?" tanyanya.
"Emas tulen!"
Bukan main gembira mereka. Ada 20 kg emas yang perlu dijual. Berapa harganya?
Mereka akan jadi orang kaya baru, lebih dari dana projek kerajaan yang dia dapat.

AWAS
Wang yang diperoleh dari dunia mistik ini tidak boleh digunakan untuk enjoy dan jolly katak. Wang itu adalah hadiah dari kerajaan Jin yang mahu menolong manusia biasa. Disebabkan kumpulan orang pintar ini sangat berhati-hati, maka mereka hanya menggunakan 30% sahaja untuk keperluan peribadi, manakala selebihnya mereka belanjakan untuk disedekahkan kepada orang ramai. Mereka juga mengamanahkan wang untuk membina beberapa buah masjid di kampung pedalaman. Kalau tidak masjid pun, mereka bangunkan surau atau madrasah. Mereka juga serahkan kepada rumah-rumah kebajikan.
Inilah mistik sebenar dalam dunia harta karun yang dijaga oleh khadam jin.
Kalau bukan kepandaian Pak Dukun harta karun tadi, sudah tentu mereka tidak akan dapat 20 batang emas seberat 20 kg.
Mereka tidak melakukan jenayah sama sekali. Ia diperoleh dari rizab emas Kerajaan Jin. Dan sesiapa yang tahu berurusan dengan kerajaan mereka itu, maka orang itu akan mendapat sumbangan percuma seperti kes yang dialami lelaki pintar itu.
Kelompok lelaki ini memang orang kaya, tetapi mereka juga kaya hati. Mereka sentiasa bersedekah setelah mendapat harta karun yang diusahakan. Jin tidak marah sekiranya manusia menggunakan harta karun untuk tujuan kebajikan umat, sebaliknya menurut khabar dari riwayat ini, jin akan marah dan balas dendam sehingga kehidupan orang itu tak putus dirundung malang kalau ingkar janji.
Iblis adalah juga dari golongan jin [baca al-Kahfi:50], jin juga berketurunan [ar-Rahman: 56] seperti yang Pak Dukun lihat ketika pergi ke istana Raja Jin; mereka berada di alam ghaib yang tidak dilihat oleh manusia [al-A'raf: 27] dan jin juga ada seperti manusia, menyembah-Nya [adz-Dzariyat: 56].
[Kisah disari dan dipaparkan secara bebas, MISTERI,ed.533, 2012]. 

No comments:

Post a Comment