Saturday 14 April 2012

TUANKU TAMBUSAI adalah tokoh penting dalam sejarah Perang Padri di Sumatera. Raja yang gigih melawan Tuanku Tambusai adalah Datu Bange. Sejarah perang antara kampung yang berlaku di Sumatera pada masa silam adalah berkaitan dengan usaha untuk membanteras amalan-amalan lapuk yang tidak sesuai dilakukan oleh umat Islam.

MAKSIAT PENDUDUK KAMPUNG

Dalam keadaan yang tidak mengerti dan memahami Islam sepenuhnya, bermacam perbuatan yang menyalahi hukum dilakukan oleh penduduk kampung. Mereka [sebagaimana yang dipaparkan di dalam Surat Keterangan  Syeikh Jalaluddin Karangan Fakih Saghir, selenggaraan E.Ulrich Kratz, DBP, 2002] melakukan apa sahaja  iaitu menyamun dan menyakar, maling dan curi, merabut dan merampas, berjual orang, minum tuak dan minum kilang, makan darah kerbau, makan daging tak disembelih, makan ulat dan sirangkak, memakan sekalian yang haram, menyabung dan berjudi, bekendak, menghisap madad, sekhalwat, membinasakan masjid, membinasakan labuh dan tepian, membinasakan larangan dan pegangan, berputar akal dan berdusta, menghukum dengan aniaya, tidak solat, enggan berzakat, mengumpul emas, tidak tepati janji, lalai dengan amal dunia dan akhirat [hal.50].

PERANG PADRI

Perang Padri merupakan peristiwa penting di Sumatera yang tidak banyak diketahui orang Semenanjung. Tambusai sebenarnya menganut aliran Wahabiyah, penganut setia Mazhab Imam Hanbali. Aliran mazhab ini dikaitkan dengan pendirinya Muhammad Abdul Wahab [1703-1791] yang lahir di Uyainah, Nejed.
Ulama ini mengamalkan al-Quran dan hadis dengan cara yang ketat, semua yang tak sesuai dengan al-Quran dan hadis akan diperangi, ia melahirkan semacam gerakan reformasi. Sasaran utama mereka adalah umat yang tidak berfahaman Wahabi, dan kedua adalah mereka yang menyembah berhala.
Umum mengetahui bahawa mereka ini memerangi umat yang:
Membangun makam; menyelimuti dan membuat bumbung makam; memasang lampu di makam; meminta sesuatu kepada orang yang sudah meninggal di makam; mempercayai dukun atau peramal nasib; percaya kepada tukang sihir [perdukunan] dan percaya kepada tukang teluh. Kes begini juga terjadi di Suamtera dan menjadi sasaran puak Wahabi di sana.
Perang Padri melanda Padang Lawas. Ia diketuai oleh Hamonangan Harahap atau Hj Muhammad Salleh bin Imam Maulana Kadhi bin Hj Ibrahim Sutan Malenggang. Namanya kemudian lebih dikenali sebagai Tuanku Tambusai, dia selaku panglima perangnya dan Padang Lawas dijadikan medan perangnya.
Dalam kumpulan Tambusai termasuklah orang-orang Batak sendiri yang tinggal di Padang Lawas. Mereka termasuklah Tuanku Rao, Tuanku Lelo, Tuanku Ali Sakti dan Tuanku Tambusai yang berasal dari Kampar, Riau.
Perang ini adalah perang saudara, perang antara kampung yang berhampiran.

WAHABIYAH

Muhammad Salleh dan ayahnya Imam Maulana Kadhi telah pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Dan sekembalinya dari sana [l.k.1820-1825] dia yang terpengaruh dengan gerakan Wahabi, cuba melakukan gerakan reformasi untuk membersihkan ajaran Islam agar tidak bercampur baur dengan adat dan kepercayaan yang sudah turun temurun di kalangan masyarakat. Mereka menekankan pendidikan di madrasah kampung. Imam Maulana ayah Tuanku Tambusai mempunyai murid yang ramai di madrasah. Apabila Imam Maulana meninggal dunia, tugasnya diambil alih oleh Tuanku Tambusai. Pengikutnya makin ramai, semuanya mengikut ajaran Mazhab Wahabi.

RAJA-RAJA DIPERANGI

Dia berdakwah tak mengira siapa, termasuk Yang Dipertuan Rantau Binuang. Akhirnya Tuanku Tambusai dihalau dari kampung itu, akan tetapi muridnya sudah ramai, mereka simpati kepada guru mereka. Lalu Tuanku Tambusai datang semula memeriahkan madrasahnya. Yang Dipertuan jadi gerun dengan pengaruh Tambusai, maka dia meninggalkan Tambusai dan pindah ke Tanah Putih.
Mereka berdakwah bukan sahaja kepada umat islam, malah kepada golongan penyembah berhala. Sesiapa yang tidak mahu masuk islam, mereka adalah kafir. Gerakan Tambusai berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang membolehkan mereka memerangi orang kafir dan boleh membunuhnya kecuali mereka itu bertaubat.
Gerakan dakwah itu memasuki kampung dan menasihatkan penyembah berhala agar memeluk islam atau akan menerima hukuman bunuh. Mereka masuk ke Lubu, Siutom dan menyusuri sungai Sosa. Banyaklah orang Batak yang tunduk kepada Tambusai dan memeluk Islam. Raja Sosa yang ketakutan dibunuh telah menyatakan keislamannya, tetapi apabila kelompok dakwah Tambusai pergi, mereka kembali murtad.
Banyak juga raja-raja tradisional yang ada di sekitar Tambusai tunduk kepadanya, dan mereka perlu menyediakan anggotanya untuk menyertai kelompok dakwah bersenjata yang diketuai Tambusai.
Akibat daripada pengislaman yang tidak sepenuh hati lantaran gerun dengan parang panjang, mereka ikut Islam tetapi ajaran nenek moyang, dalam adat dan ritual lama masih diteruskan. Jadi mereka mengamalkan ritual yang caca-marba. Raja Natal sebagai contoh melakukan sumpah dengan al-Quran tetapi diiringi dengan asap pedupaan. Urusan jenazah puak mereka tetap meniru cara lama sebelum Islam. Datu Bange di Simanabun juga tunduk kepada Tambusai. Akan tetapi mereka kemudiannya terpaksa berperang juga.
Hairannya gerakan Tambusai itu dikaitkan dengan paderi. Siapa paderi sebenarnya? Willer [dalam Almanak, 1841 dan seterusnya] menulis tenang gerakan Tambusai yang melakukan kekerasan ketika menyebarkan Islam di Sumatera (1846).

PADERI

Dia menulis pihak paderi diketuai oleh Tambusai menawan kampung demi kampung dengan pedang, ada yang dibakar, ternakan dirampas, harta penduduk kampung dijarah, hampir semua penduduk dibunuh atau dijadikan hamba abdi, manakala yang selamat melarikan diri masuk ke hutan, bertahun-tahun dalam ketakutan serbuah pasukan Tambusai.
Miller melaporkan, bahawa Tambusai memaksa penduduk kampung masuk Islam, jika tidak akan dibunuh dan harta mereka dirampas dan rumah dibakar. Ramai yang lari.Kata Miller [1855:120] Tambusai mengamuk di Padang Lawas, di tengah malam, orang lelaki yang enggan patuh dibunuhnya, sementara kaum wanita dijadikan tawanan dan hamba.
Di wilayah ini, Datu Bange menentang gerakan Tambusai. Medan Parsagoan membuktikan bahawa tentangan Datu Bange menyebabkan Tambusai berundur dari Simanabun.
Tambusai juga mensasarkan kampung di Mandailing dan Rao.
Dalam laporan sejarah yang ditulis oleh Belanda, Tambusai dan orang-orangnya menjarah kampung dan menawan gadis-gadis, ada yang diperkosa dan dijadikan budak jualan. Orang jual orang terjadi. Hasilnya digunakan untuk membeli senjata bagi meneruskan perang.
Raja yang berpaling tadah dan murtad bergabung dan menyerang kumpulan Tambusai semula. Dan pihak Tambusai menghadapi tentangan sengit hingga Tambusai luka perang di Rao dan Mandailing.
Tambusai menurut catatan pemerhati Belanda, dia memakai kupiah turban, memperlihatkan sebagai ulama kharismatik, cerdas dan garang, dia digeruni orang.
Raja-raja yang ketakutan terpaksa memeluk Islam dan yang murtad ada yang menyatakan keislaman semula, dan mereka yang fanatik menjadi pengikut setia Tambusai akan diberi gelaran sebagai Kadhi.
Perang dengan Datu Bange adalah yang hebat kerana Bange enggan mengikut ajaran Tambusai. Dia melarikan diri dan membuat pemukiman di tanah tinggi. Tapi rahsia Datu Bange dibocorkan sendiri oleh adiknya, Ja Sobob. Ketika pasukan Tambusai menawan kawasan Datu Bange, orang tua dan kanak-kanak dibunuh atau dicederakan dengan teruk sekali.Mayat yang bergelimpangan dicampak ke jurang tanpa belas sedikit pun.

GANAS

Jelas gambaran yang ditulis oleh Belanda ini begitu dahsyat bagi menggambarkan kejahatan Tambusai. Dari laporan Schnitger [1939], menyatakan bahawa Tambusai ini seorang yang bernafsu kuat. Dia memilih gadis-gadis yang cantik untuk dijadikan gundik atau perempuan simpanan. Ini adalah gambaran yang bertentangan dengan seorang penganut Wahabiyah yang alim dan karismatik dalam agama. Gadis-gadis tawanan yang cantik akan dijual kepada lelaki yang sanggup membeli, dan hasil jualan akan digunakan untuk membeli senjata. Seorang gadis boleh ditukar dengan satu barel mesiu.
Datu Bange yang mendapat tentangan dari pasukan Tambusai diselamatkan oleh pasukan Belanda. Mereka berkampung di Bukit Barisan. Datu Bange yang cedera teruk itu akhirnya meninggal dunia. Dia dimakamkan di Dolok Sordang. Dia banyak mewasiatkan sesuatu kepada warisnya terutama tentang ajaran islam.
Di sini kita lihat kumpulan yang berperang adalah sesama Islam, hanya satu kelompok menganggap kelompok yang lain tidak menganut Islam yang benar kerana tidak mengikut aliran Wahabiyah. Ini mungkin boleh dijadikan sebagai salah satu contoh ektrimisme di mana seseorang itu membuat tafsiran dengan kaedahnya sendiri. Usaha Tambusai memurnikan aqidah umat adalah baik, tetapi tindak-tanduknya menimbulkan kerosakan yang parah. Tindakannya terlalu keras untuk berdakwah sehingga dia dilabelkan sebagai kaum paderi.
Berdasarkan catatan Belanda juga, akhirnya Tambusai membebaskan tenteranya, dia rasa pasukannya kian menurun, anggotanya banyak yang mati, kawasan pergunungan Dolok sukar diterokai, anggota baru yang sepatutnya disediakan raja-raja yang ikut di bawahnya tidak dipenuhi, mereka sudah murtad semula.
Barang rampasan yang ada tinggal sedikit, tawanan perang sudah dijual semuanya, akhirnya tentera Tambusai kehilangan mood hendak meneruskan perang, akhirnya mereka memisahkan diri dari pasukan Tambusai.

KE MANA TAMBUSAI LARI?
Menurut khabar Belanda, dia melarikan diri ke Dalu-Dalu sekitar tahun 1838. Dari sana, kisahnya tidak diketahui. Menurut khabar lain, dia dikatakan telah melarikan diri ke Malaya setelah menyeberangi Selat Melaka bersama pengikutnya. Ada yang menyebut dia meninggal di Negeri Sembilan dalam tahun1882.
[baca Basyral Hamdy Harahap, Greget Tuanku Rao, Komunitas Bambu-Depok, 2007].


1 comment:

  1. keturunan tuanku tambusai .... https://www.facebook.com/groups/144823582294285/

    ReplyDelete