Sunday 29 April 2012

PERHIMPUNAN RAJA BERDAULAT KASIH DIJUNJUNG JATI-PERKASA

KETIKA MENYERTAI PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 pada Sabtu 28hb.April semalam, saya terpandang pemidang yang sudah dipijak-pijak orang ramai dan koyak. Untuk mengetahui apa yang tertulis saya buka dan baca apa isinya.
Ia adalah makluman tentang sebuah perhimpunan yang bertemakan judul di atas. Tidak setakat Kasih Dijunjung, makluman itu ditambah dengan nada semangat: Ke titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Perhimpunan yang disertai sekitar 100 orang itu diadakan di Padang Kelab Selangor, bagi tujuan mengimbau sejarah masa silam perjuangan Melayu mendaulatkan posisi raja dalam perlembagaan negara. Turut berucap di majlis yang kurang sambutan dari segenap lapisan rakyat itu adalah Hassan Ali, Ibrahim Ali dan pakar sejarah Umno Ramlah Adam.
Tidak dapat dipastikan, apakah matlamat perhimpunan itu, kerana rata yang datang adalah kenalan rapat para petugas dan beberapa orang luar termasuk saya yang tak merasakan sesuatu yang kena dengan tema perhimpunan Raja Berdaulat.
Sebaliknya yang saya lihat, pemidang yang dicacakkan di tengah padang berbunyi sebagaimana berikut:
HUKUM AZMIN DAN TIAN CHUA SEGERA!! [apa kesalahan dua MP ini?]
PILIHANRAYA DI MALAYSIA SUDAH CUKUP TELUS
Maknanya, ketika orang sibuk mengatakan SPR tidak telus dalam mengendalikan pilihan raya, ada NGO yang tidak faham, mengatakan pilihan raya kita sudah cukup hebat dan cantik.
TERUS DAN TAMBAHKAN PTPTN
Maknanya hasrat rakyat nak dapatkan pendidikan percuma hingga ke menara gading tidak direstui oleh Jati dan Perkasa.
BERSIH TERIMA DANA ASING UNTUK JATUHKAN KERAJAAN.
Itulah fitnah yang ditaburkan di padang itu, oleh kumpulan yang berselindung di sebalik Kasih Dijunjung.
Memang orang tertanya-tanya apa motif perhimpunan itu? Tidak nampak apa-apa, bahkan ucapan Hassan Ali pun hambar dan tidak memikat kerana dia macam tergesa-gesa sebab hendak menghadiri mesyuarat Jati di tempat lain. Bermakna tinggal Si Ramlah dengan Ibrahim Ali terkapai-kapai.

RAJA BERDAULAT
Di mana sinifikannya tema Raja Berdaulat seperti plastik pemidang yang panjang berjela terpampang di tepi padang ketika perhimpunan. Tidak ada seorang kerabat diraja yang datang untuk berwacana tentang kedaulatan raja-raja. Dan amat menyedihkan Ramlah yang pakar dalam sejarah tidak sentuh langsung tentang pindaan Perlembagaan di Zaman Dr.M di bawah Umno.
Agaknya hal itu sudah dilupakan orang. Tidak nampak kejituan hasil daripada perhimpunan itu, tetapi hanya kedengaran suara takbir yang meniru-niru angkatan muda reformasi dulu. Bermakna mereka juga mengambil teladan sedikit sebanyak daripada tunjuk perasaan di masa lampau.
Sesuatu yang tak kena dengan perhimpunan yang konon mahu mendaulatkan raja-raja Melayu, sebaliknya ia seperti kehilangan visi apabila mencampur-adukkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan perjuangan Perkasa dan Jati.
Nampak benar, NGO ini sangat bergantung kepada fenomena sekitar. Mereka mengutip bahan daripada Pakatan Rakyat, apa sahaja yang diprogramkan oleh Pakatan Rakyat mereka jadikan bahan momokan. Sebaliknya apa sahaja program Umno yang lintang-pukang, mereka langsung tidak ambil peduli.
Secara tak langsung, pemerhati dan penganalisis luar melihat perjuangan Jati dan Perkasa sudah tersasar dari matlamat. Kalau sekadar melontarkan kritikan kepada Bersih 3.0, kepada pemimpin PR, atau perjuangan yang dicita-citakan oleh mahasiswa tanahair, jelas, baik Jati atau Perkasa kekeringan idea.
Dua NGO ini sangat bergantung kepada modal yang dibawa dari Pakatan Rakyat. Mereka berbicara dengan nada yang sama dengan pemimpin Umno.
Jika begitu tidak perlulah Jati atau Perkasa wujud, atau ia sebagai wadah untuk cari makan di masa depan. Daripada sokong Pakatan Rakyat, lebih baik sokong Umno. Tetapi di padang ini pertubuhan itu seperti membantai Pakatan Rakyat, kenapa mereka ke situ pula perginya. Contohnya, mereka kata Bersih 3.0 dapat dana asing untuk jatuhkan kerajaan.
Silap. Pakatan Rakyat akan menjatuhkan kerajaan melalui pilihan raya demokrasi. Sebab itulah mereka mahu SPR telus dalam mengendalikan pilihan raya. Ketika kecoh-kecoh dengan senarai pengundi rakyat asing, Parlimen tidak wajar dibubarkan. Jika begitu terkejar-kejar ada sesuatu yang diabaikan oleh penguasa yang ada hari ini.
Posisi ini tidak dilihat oleh Jati dan Perkasa kerana NGO ini seperti kematian arah. Ke mana hala tuju perjuangannya di masa depan. Percayalah, lama kelamaan perjuangannya akan tenggelam oleh peredaran masa.
Jika begitulah, akhirnya orang yang hadir di situ, terutama yang bukan ahli dua pertubuhan itu, mereka tertanya-tanya, pendaulatan apakah yang diperjuangkan oleh mereka? []

No comments:

Post a Comment