Monday 30 April 2012

SEORANG TEMAN DI BRISBANE

TEMAN INI adalah seorang pelukis. Dulu ketika bersama saya di Institut  Masyarakat, Lorong Kucing, Pulau Tikus, Pulau Pinang, dia adalah pelukis untuk menghiasi majalah bulanan terbitan syarikat.
Dia selalu berpakaian biasa, terlalu humble, dan saya selesa berkhidmat di pejabat tak bersepatu di situ bersama dia dan petugas lain.
Kini, dia di Brisbane, Australia, tinggal di sana kerana isterinya bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi di sana.
Yang menariknya, ketika bersama saya di Penang dahulu, dia kurang akrap dengan soal agama. Hanya baru tadi siang, dia menghubungi saya dari Brisbane mahu bersembang tentang apa sahaja topik.
Amat berbeza, dia rupa-rupanya mahu memaklumklan kepada saya bahawa dia sudah bertukar arah. Maksudnya dia sudah berhijrah untuk lebih mendekati Islam.
Dalam usia yang sudah menjengah angka 6, maka dia wajar bertindak demikian, dan belum terlambat, walaupun sepatutnya dia bertukar sejak tahun 80-an lagi ketika di Penang.
Sayangnya, hubungan saya dengan pelukis ini tamat begitu sahaja apabila saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengendalikan Mingguan Bumi, sebuah tabloid mingguan yang cenderung kepada Pas.
Teman ini yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan mengadukan hal keluarga dan apa yang dia hadapi sekarang di perantauan.
Dia ada menceritakan tentang peristiwa hitam yang menimpa arwah adiknya, Rostah yang meninggal kerana dibunuh di Nilai, Negeri Sembilan. Mungkin ketika menatap laporan pembunuhan itu saya tidak terfikir pun bahawa ia ada kaitan dengan teman ini.
Dulu teman saya ini pernah tunjuk bakat melukis apa sahaja motif dan karikatur kehendak pelanggan untuk hiasan baju t jenis cotton asli.
Kemudian saya kehilangan jejak. Tahu-tahu dia beritahu telah hijrah lagi ke Alhambra. Mungkin banyak kenangan manis di sana. Dia juga berada di Sepanyol dan Afrika Utara sana. Entah apa yang dicari.
Setelah berpetualang di perantauan, dia memilih untuk hijrah ke Australia pula. Dan kini di Brisbane.
Bagaimana boleh meneruskan kehidupan di bumi asing itu? Sebagai pelukis sambilan, dia sampai sekarang masih melukis kalau ada ruang dan lukisan gaya Picasso memang digemari. Dengan cat garang-garang dan kanvas yang nampak kasar.
Ketika di Central Market, dia mengaku dia membelanjakan RM50 sehari untuk "dadah" bahkan pernah penyanyi Jamal Abdillah ajaknya mencari bahan terlarang itu di Ampang. Nampaknya teman ini kawan baik Jamal rupanya.
Kini, di Australia, dia beryukur kerana dia tinggal di kawasan yang berhampiran masjid. Dia boleh berjemaah di sana dengan kerusi roda. Imam masjid itu orang dari Jordan. Dia menderita stroke sejak dua tahun yang lalu.
Dan dalam perbualan panjang itu dia menyedari bahawa nikmat yang Allah swt beri telah mula ditarik sedikit demi sedikit. Kini dia semacam menjalani muhasabah diri, cuba mendekati al-Quran sedapat mungkin, membaca terjemahan versi Inggeris, membaca buku-buku keagamaan, dan menurutnya dia ada membaca buku bertajuk ANA AL-HAQ yang bukunya ditegah untuk dipasarkan, tetapi siapa yang nak buat kajian boleh sahaja.
Dia juga ada menyimpan koleksi buku Al-Ghazali dan beberapa kitab tafsir. Nampak dia mulai cenderung kepada agama. Sayangnya dia baru menyedari kepentingan hal ini pada tahun kebelakangan ini sahaja setelah menghadapi masalah kesihatan.
Dia menceritakan, setiap kali balik ke Malaysia, dan nak pulang semula ke Brisbane ada sahaja berita duka. Dulu ayahnya pergi, kemudian setelah berkahwin dengan Emma, ibunya pula menyusul. Kemudian abangnya yang tinggal di Johor, dan tak lupa kes bunuh yang melibatkan adik perempuannya.
Dengan nada bergurau, mungkin kalau dia balik ke Malaysia, dia pula yang akan pergi!
 

No comments:

Post a Comment