Monday 9 April 2012

BERJUBAH UNTUK MENCURI DI SUPERMARKET?

ADA LAPORAN BERITA sekumpulan wanita berjubah mencuri susu di supermarket. Peliknya perbuatan wanita itu tidak dapat dikesan sangat ketika operasi mencuri itu sedang berlangsung. Inilah yang menjadi tanda tanya, ke mana perginya ditektif dalaman supermarket yang selalunya bermata awas dan sentiasa merenung atau mengintip pergerakan seseorang.
Mungkin ditektif dalaman supermarket itu hanya tertumpu kepada perwatakan pelanggan sengkek atau yang pakai cincai, heret selipar atau sandal. Ketika berada di NSK Selayang dulu, saya pernah mendengar keluhan ditektif dalaman supermarket yang mengeluh, ada pelanggan ambil cokelat atau air kotak dan terus makan atau minum air kotak. Pembungkus cokelat akan diselitkan di mana-mana, begitu juga tin minuman kotak. Mereka tidak ambil minuman tin kerana ketika dibuka ia akan menimbulkan syak.
Kebetulan ditektif dalaman itu pun bukan sentiasa bersedia sepanjang masa. Ketika nak makan dia suruh orang lain tinjau pula. Pendeknya, kerja ditektif dalaman ini amat leceh. Asyik perhatikan orang sahaja.
Mungkin jika ada ditektif dalaman pun, mereka tidak syak orang perempuan berjubah boleh seludup barang-barang supermarket. Mujur ada CCTV yang boleh disemak semula untuk mengesan sebarang tingkah laku yang menimbulkan syak.
Dalam keadaan biasa pun, anda boleh bayangkan bagaimana hendak seludup setin krimer manis misalnya. Jika itupun susah, tetapi wanita berjubah itu dikatakan boleh kaut susu yang bernilai RM10 ribu. Bertudung labuh, berbaju kurung, mereka boleh keluar masuk untuk mengambil tin atau kotak susu tepung. Dia dibantu gengnya yang berjumlah lebih 10 orang.
Selepas kejadian ini, nanti wanita yang berjubah akan jadi mangsa diekori atau diintip oleh ditektif dalaman pasaraya pula.
Berhubung dengan ditektif dalaman ini, pernah saya masuk ke kedai Carefour kecil di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Saya bawa beg sandang berisi kitab AL-HIKAM IBNU ATTA'ILAH dan buku nota kerana baru keluar dari Masjid Jamek KL. Sebaik saya masuk saya terus ke bahagian belakang kerana di situ ada barang yang hendak saya beli. Ditektif dalaman di situ menahan saya, dia cek poket seluar, dalam beg, saya keluarkan depan mereka. Yang ada buku dan nota sahaja. Saya belum "mencuri" apa pun.
Merah padamlah muka saya. Malu, orang tua macam saya mencuri barang Carefour. Apa yang boleh saya buat, nak komplen pada siapa, saya cuba hubungi pejabat Carefour, tapi gagal.
Dari peristiwa itu saya berdiri di depan kedai mini Carefour itu dan berdoa agar kedai itu tutup. Sebabnya, sudahlah pelanggan kurang, ditektif dalaman tak ada pengalaman bertugas. Masakan orang baru masuk sudah ditahan disyaki mencuri.
Adalah doa yang saya lafazkan kerana saya rasa saya telah dizalimi. Pengalaman berdoa ini pernah saya lakukan di sebuah supermarket lain, juga alhamdulillah. Sesuatu terjadi di supermarket itu. Mini market di Jalan Tun Perak itu akhirnya tutup. Saya lega.
Ini adalah ciri-ciri mini market yang boleh maju. Kena tegas. Siapa masuk periksa beg atau apa sahaja yang dicurigai. Jika begini sikap mereka, pelanggan akan lari. Tak ada pelanggan siapa rugi? Dan saya sebagai individu, apabila terpandang Carefour saya jadi trauma.
Bimbang pisang berbuah dua kali. []

No comments:

Post a Comment