Friday 20 April 2012

KEBEBALAN DI MASA JAHILIAH

Bolehlah dianggap sebagai kebebalan diri. Apabila menoleh ke masa lampau, banyak sangat perkara yang memalukan berlaku di tengah masyarakat kita, bahkan termasuk diri kita juga, dan penulis juga merasakan betapa bebalnya kita di masa lampau.
Bayangkanlah, bukankah kita diperintah untuk menutup aurat. Ia adalah suruhan di dalam al-Quran, ustaz hanya mengingatkan kita sahaja. Akan tetapi perihal aurat ini masih ramai orang kita tak faham. Mereka kata aurat itu ertinya kemaluan. Selagi tak dedah kemaluan itu tak mengapa. Rambut bukan aurat.
Itulah kefahaman di zaman jahiliah orang kita. Kejahilan ini sampai sekarang masih ada. Lihatlah di kanan kiri kita golongan mana yang belum sampai seru ke arah menutup aurat. Kaum lelaki sudah jelas di mana auratnya, tetapi kaum wanita masih memandang remeh dengan persoalan aurat. Mereka masih sayang dengan stail rambut yang menarik itu.
Kenapa masih berlaku kedegilan ini? Mungkin mereka menunggu contoh yang baik daripada pemimpin idola mereka yang masih belum patuh dengan suruhan-Nya.
Ayat-ayat al-Quran dan as-sunnah yang menerangkan ancaman kepada mereka yang tidak menutup aurat tidak boleh dibantah lagi. Hendaklah kamu dengar dan patuh. Kita terlalu banyak alasan.
Mujur ada gerakan pemurniaan agama yang berlaku sejak tahun 70-an silam, jika tidak, sehingga sekarang kita masih berada dalam wadah kejahilan.
Kaum lelaki pula, sibuk dengan dunianya. Gara-gara ikut kawan, sanggup buat apa sahaja yang dianggap tidak mengapa. Contohnya, banyak budak kampung pada masa dulu menggunakan khidmat bomoh bukan Islam. Agaknya mereka tidak tahu ada perubatan cara Islam iaitu dengan ruqyah. Masa itu mana ada perubatan macam ini. Orang jumpa bomoh kadang-kadang bukan hendak berubat sangat, tetapi lebih menjurus kepada hendak mendapatkan sesuatu ilmu.
Contoh, ada orang sanggup juga bomoh Orang Asli. Kalau sekadar tanya akar kayu, atau rahsia ramuan herba tradisional yang mereka guna tak jadi hal, tetapi mereka bertanya lebih dari itu. Mereka bertanya tentang pengasihan, bagaimana hendak memikat anak dara atau janda ternama, bagaimana hendak dapatkan angka pertaruhan bertuah dan sebagainya.
Sebenarnya perbuatan berjumpa bomoh sahaja sudah dianggap suatu maksiat. Kita ditegah jumpa bomoh untuk bertanyakan hal-hal yang bersifat ilmuan dan keghaiban kerana mereka juga tak tahu apa. Lainlah kalau kita bertanya soal pokok dalam hutan.
Akan tetapi kalau kita meyakini bahawa teras pokok dalam hutan sekian-sekian boleh mendatangkan kekebalan, memberi manfaat kepada pemiliknya, maka ia sudah bertentangan dengan tugasan pakar itu yang sebenar.
Dahulu, kerap benar orang kita berurusan dengan orang pintar yang bukan Islam. Mungkin kita tidak ada pakar agaknya, maka ilmu sedemikian tidak diminati kerana ia merosakkan aqidah pengamalnya. Bagi mereka yang cenderung kepada berbagai perkara nyeleneh, orang pintarlah yang jadi sasaran.
Bayangkanlah ada orang Islam sanggup jumpa bomoh sakai, atau bomoh orang iban, bomoh pak dayak untuk mendapatkan sesuatu. Mereka sudah jelas bukan islam, dan kita yang beruagama Islam pula sanggup duduk bersila di depannya.
Bukasn setakat itu, apa yang dikatakan akan dipatuhi, kalau orang suruh puasa, maka kita pun puasa, tetapi puasa kerana kehendak dia bukan puasa syariat. Kalau suruh ambil tanah liat waktu maghrib kita pun buat juga, suruh pergi buang benda di sungai pun kita buat. Pendeknya apa yang dituturkan oleh orang pintar itu dijadikan ritual yang dipatuhi. Sukar hendak berkata tidak.
Begitu juga ketika berdepan dengan orang pintar bukan Islam, jika mereka minta mandi bunga, maka pelanggan dengan senang hati mandi bunga tanpa alasan tertentu.
Jika diminta pakai cincin mata kucing konon ia sesuai dengan pemakai, maka kita pun patuh. Itulah zaman ketika kita amat jahil dalam persoalan ini. Ketika kita jahil, kita akan jadi barang mainan. Kita tidak pernah membantah atau menyelidik kebenaran sesuatu perkara.
Bahkan cakap kawan-kawan mengatakan bahawa bomoh atau dukun bukan islam ini berhantu, tidak boleh main-main, ini menimbulkan ketaksuban yang bukan kepalang kepada orang yang bertemu mereka.
Sebenarnya, kejahilan umat Melayu ketika berurusan dengan orang pintar adalah warisan dari zaman silam, zaman kita masih patuh kepada adanya Kerajaan Jin di negara kita. Bahkan pawang istimewa sangat melayani apa yang dinamai sebagai kerajaan jin. Ada jin Maya udara, ada jin langit biru, ada jin hutan kelam dan ada jin muara sungai. Pendeknya di mana-mana ada jin.
Memang betul ada jin termasuk di tandas rumah kita. Jin jantan dan betina. Akan tetapi kita selalu dimainkan oleh cerita-cerita dongeng yang sepatutnya hanya sekadar hiburan bagi menggambarkan pemikiran masyarakat dulu. Apabila orang memaparkan kisah misteri dan mistik, ia sebenarnya menggambarkan sebahagian kepercayaan masyarakat moden yang masih berbau jahiliah.

DUKUN TENAGA BATIN
Di sebuah tempat [tak payah sebut namanya] ada seorang dukun Orang Asli yang dianggap pintar dalam soal urut batin lelaki. Dikhabarkan kaum lelaki sering mengunjungi tempat itu pada waktu malam kerana berhajat tenaga mereka dipulihkan.
Bayangkan, seorang lelaki akan diurut "batin"nya oleh dukun perempuan. Tidak perlu bawa apa-apa kerana segala keperluan sudah disediakan di rumah  dukun itu. Semuanya tinggal beli sahaja apa yang dihajatkan.
Akan tetapi ada perkara yang amat melecehkan agama.
Apa dia? Untuk mengetahui sejauh mana ampuh atau tidak urutan batin dukun perempuan itu, seseorang pelanggan diberi dua pilihan, nak uji atau tidak? Terpulanglah jika ingin menguji, dukun perempuan itu sendiri sedia menawarkan diri untuk dijadikan pasangan seksual.
Tidak dipastikan kebenaran kisah ini, tetapi ada orang beritahu, sudah ada rakan-rakannya yang berurut di situ dan terpaksa "bermalam" kerana hendak menguji kehebatan ilmu dukun wanita itu.
Di sini, menurut khabarnya, dukun itu bukanlah orang belasan tahun tetapi sudah lima puluhan, hanya ketika mengurut dia kelihatan muda dan menggiurkan lelaki.
Ini adalah ragam kejahilan lelaki. Dengan kebebalan diri, sanggup merujuk sesuatu perkara kepada yang bukan Islam dan sanggup pula menjatuhkan darjat diri di depan wanita begitu. Di negara kita bukan tidak ada dukun seperti ini, wanita mengurut batin lelaki. Inipun satu bentuk kejahilan.
Ada banyak lagi perbuatan jahiliah yang kita lakukan tanpa disedari. Seperti wanita dedah aurat telah menyedari sekarang dan menutup aurat, kaum lelaki juga perlu sedar, mengunjungi dukun untuk ilmuan yang tak berguna adalah suatu kenistaan dalam agama. Apa lagi kalau sampai berurut batin dengan cara seperti yang diceritakan tadi.  

No comments:

Post a Comment