Tuesday 24 April 2012

BERSIH 3.0 MESKI DIHALANG IA TETAP SEJARAH NEGARA

BAYANGKAN ketika Umno menuntut kemerdekaan dulu, kemeriahannya tidaklah seperti Bersih 2.0 atau Bersih 3.0, tetapi canang dan glamor sejarah itu sampai sekarang masih dipaparkan bahkan kekadang dijadikan bahan untuk soalan sejarah dalam SPM atau STPM.
Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 yang akan berlangsung ini juga merupakan lakaran sejarah. Biarlah orang kata ia bukan sejarah negara, tetapi apabila bicara tentang sejarah ia meliputi semua perkara, tidak ada ukuran pembangkang, NGO propembangkang atau pemerintah yang ada sekarang.
Sejarah tidak pilih bulu, jika piliih bulu tempanglah sejarah.

SEJARAH DIUKIR
Selama ini pun, gerakan reformasi kesan dari pemecatan Anwar Ibrahim adalah suatu gelombang dahsyat dalam politik tanah air. Ia tetap jadi sejarah dan dikenang sampai bila-bila pun. Pemecatan ini dan kes berlanjutan berkaitan Liwat I dan II juga suatu sejarah, begitu juga kes pembelian kapal selam Scorpene yang menimbulkan kegalauan di kalangan pucuk pimpinan tertinggi negara.
Kini, di mana-mana rakyat gelisah. Gelisah melihat perlakuan para pemimpin Umno yang masih memaksa agar rakyat menyokong mereka. Ibarat dinasour yang tidak boleh hidup di dalam suasana yang berubah, begitulah juga nasib Umno sekarang, rata-rata anak muda yang sedar tidak mahu mendampingi Umno lagi.
Jika ada dampingan pun, secara tak jelas, kerana pihak pemimpin UBN sering mengadakan program hiburan di sana-sini, ketika PR mengadakan ceramah mereka pun sibuk degung-degang, ada tarian gelek, hiburan dan nyanyian, ini semua bertentangan dengan ajaran Islam.
Di masa kasar pengundi, Umno sudah menampilkan ajaran yang jahat, mengadu-domba, menghasut dan memfitnah pihak pembangkang yang cuba meluruskan ketimpangan yang berlaku sekarang.
Memang politik negara perlu suatu pembaharuan, bukan transformasi cara Najib yang mahu mengekalkan UBN berkuasa buat selama-lamanya.
Kegelabahan pihak penguasa jelas sekali apabila apa sahaja yang mereka canangkan kembali lebur setelah berhari-hari dikempenkan. Apa yang dicanangkan oleh pusat mudah lenyap, semua ini kerana kesilapan mereka sendiri mempermainkan rakyat dengan dana dan wang ringgit. UBN semacam menunjukkan kemewahan pemimpin, dengan sebab itu mereka selalu bercakap tentang projek besar yang tak memberi faedah kepada rakyat.
Begitu juga kes Felda, mereka sibuk bercakap tentang penyenaraian, menaikkan taraf Felda di mata dunia, siapa yang naik? Peneroka tetap peneroka dengan durian mengkal runtuhnya, sementara yang senang lenang adalah orang tertentu yang dilantik untuk menguruskan dana-dana dan pelabuhan yang ada.
Peneroka tetap miskin meskipun durian telah runtuh, bahkan kalau pokok durian itu dicabut pun keadaan peneroka macam itu juga. Bukan tidak ada peneroka kaya, rumah hebat macam banglo di kawasan tanah rancangan, tetapi tidak semua. Peneroka jenis bagaimana yang hidup mewah begitu?
Memang kalangan elitis UBN memandang kemewahan hidup dari segi kebendaan, mereka tak pandang dari sudut rohani. Mereka mendidik rakyat agar cintakan harta duniawi lebih daripada lainnya.
Kini apabila rakyat bangkit membantak penipuan yang dilakukan oleh SPR, para pemimpin Umno sibuk membetulkan persepsi itu dengan alasan, bahawa pemimpin pembangkang dah ketandusan isu, takut kalah apabila golongan muda beralih arah kepada BN.
Kita tidak tahu siapa yang ketandusan sebenarnya. Bagi orang ramai, mereka lihat gelabah para pemimpiin Umno lebih menonjol kerana mereka sedang berkuasa, mereka memiliki harta dan kekayaan yang melimpah ruah, mereka ada kuasa, ada kelebihan untuk menguasai kek ekonomi negara, persetanlah dengan rakyat yang miskin dan tidur bawah jambatan itu. Para penguasa yang zalim hanya memikirkan temboloknya sahaja.

BERSIH 3.0 LAWAN SPR
Isu yang berbangkit sekarang hanya rakyat majoriti lawan SPR. Ia bukan lawan Najib atau UBN, tetapi disebabkan SPR itu sendiri adalah anak didik atasan, maka terasalah mereka. Rakyat marah kerana daftar undi dimanipulasi, bilangan pengundi hantu kubur mendadak di mana-mana, apabila orang ungkit, mereka kata biasalah, fenomena sejagat sebabnya negeri Selangor negeri maju.
Jadi, sejak Selangor diperintah PR ia menjadi tarikan kepada pelabur asing. Rakyat asing berjejal masuk ke Selangor. Jika begitu, memang wajar PR meneruskan pemerintahannya di Selangor. Jika UBN ambil alih semula ia akan jadi macam Perak, pembangunan terencat, dan projek besar hanya milik orang bahagian, orang politik elitis tertentu. Rakyat dapat apa? Tak dapat apa, sebenarnya kalau tidak turun menoreh, kalau tidak potong sawit, kalau tidak ke laut, atau kalau tak buat kerja-kerja jahat bagi dapatkan duit. Jenayah juga ada kaitan dengan masalah ekonomi yang tidak merata.
Disebabkan lawan sebenar sekarang adalah SPR di dataran merdeka itu, maka pemimpin dalam SPR patut tampil di depan ramai, beri penjelasan, akan tetapi  selama ini SPR seperti watak yang eksklusif, payah ditemui, ia macam mahkul dari planet lain, terlalu istimewa, tak boleh diganggu. Apa halangan sebenar yang berlaku? Apakah SPR dipegang kuat oleh UBN sehingga orang yang berada di peringkat tertinggi tidak berani buka mulut?
Selama ini SPR jarang buat kenyataan yang menggembirakan. Jawapannya adalah jawapan Umno. Tidak menunjukkan ia sebuah badan yang telus. Jika pengundian pun menipu, kita akan melahirkan sebuah kerajaan yang dikuasai oleh golongan penipu. Jika dipandang dari sudut syariat bagaimana? Begitu sukar hendak menjelaskan isu halal dan haram dalam keadaan ini kerana dasar sekularisme memang membenarkan segala-galanya.
Sekarang rakyat berhadapan dengan SPR dalam isu Bersih 3.0. Sebaliknya DBKL menggunakan kuasa hebatnya konon ia penjaga Dataran Merdeka yang bersejarah itu. Tidak benarkan rakyat berhimpun di situ. Habis dataran itu untuk apa, untuk siapa, dan apa istimewanya? Keistimewaan dataran ini hanya sanjungan dari sejarawan Umno. Orang di luar Umno tidak pandang padang itu sebagai bahan sejarah atau warisan.
Sejarah yang sebenarnya ialah apabila rakyat bangkit dalam tahun 2012 menentang penguasa yang zalim memperalatkan SPR untuk kepentingan politik mereka.
Ingatlah, rakyat semua tahu bahawa banyak penyelewengan berlaku di negara kita yang sengaja dipendamkan oleh media utama. Banyak isu yang dibangkitkan dalam media utama adalah mainan wartawan yang sibuk mengampu para pemimpin Umno.
Meskipun banyak halangan, Bersih 3.0 khabarnya akan diteruskan di dataran itu. Ia tidak bahaya kepada negara, tetapi bahaya kepada pemimpin Umno dan orang di atas yang berkuasa pada masa ini. Apabila masa telah tiba, ketika mereka semua tergolek, baharulah mereka menyedari, bahawa Bersih 3.0 adalah sejarah gemilang negara. Sejarah yang dilakar rakyat tanpa mengira keturunan, kaum dan agama. HIDUP BERSIH!.

No comments:

Post a Comment