Thursday 26 April 2012

Cerpen: SESUATU YANG DICARI DI SITU

Pada suatu hari, berduyun-duyun orang datang membanjiri sebuah dataran. Itu adalah sebuah dataran yang tak bernama. Dataran itu tidak ada sesiapa yang menjaganya, ia sebuah tanah lapang yang tidak ada penghuni. Sesiapa sahaja boleh datang ke situ, terpulang sama ada hendak melepak atau jenguk-jenguk sahaja.
Akan tetapi hari itu, kehadiran pengunjung cukup luar biasa. Mereka datang dari segenap ceruk rantau, mereka mencari sesuatu yang belum ditemui. Semua mengatakan bahawa sesuatu itu ada di dataran itu. Dengan cara berkumpul begitulah, mereka mendapat sesuatu itu.
Jadi, pada hari Sabtu yang cerah, mereka pun berhimpunlah di dataran yang luas itu. Tidak ada ketua sebenarnya. Sesiapa pun bol;eh menjadi ketua untuk mengacarai majlis perhimpunan. Ia perhimpunan rakyat. Tua muda, besar kecil, berpangkat dan tak berpangkat semuanya berkumpul di situ.
Ada beberapa kumpulan anak muda yang bercakap tentang pilihan raya. Mereka merungut-rungut kepada pihak penguasa kerana tidak ambil peduli terhadap sistem pilihan raya yang ada di negeri itu.
Menurut mereka, ada di antara pengundi yang berdaftar itu adalah warga dari planet luar, tidak diketahui dan ada yang menggunakan alamat di sekitar dataran itu.
Orang yang berjejalan semakin ramai. Jurugambar dan wartawan akhbar media utama sibuk melayani situasi yang tidak pernah terjadi sedemikian rupa.
Mereka sibuk menemuramah orang yang duduk berhimpitan itu. Ada yang mengambil gambar dengan kamera digitalnya. Anak-anak muda yang berada di situ menempelak jurugambar.
"Anda ambillah gambar kami banyak-banyak, tapi tidak sekeping pun yang akan disiarkan dalam akhbar anda," kata anak muda memprotes.
Jurugambar tersipu-sipu dipersenda begitu. Betul kata anak-anak muda itu. Jurugambar hanya tahu ambil gambar. Dia tidak boleh menentukan gambar mana yang hendak disiarkan. Mungkin dia akan cari wanita gelandangan yang menghisap rokok dan bergincu tebal dedah aurat.
Memang ini kerja akhbar utama. Gambar wanita gelandangan menghisap rokok, duduk mencangkung macam pelacur hotel murah pun dikatanya sebagai mahasiswa universiti tempatan. Bukankah caption begitu akan mengundang kemarahan mahasiswa semua?
Akhbar arus perdana memang begitu. Suka menjolok sesuatu. Tetapi kini apabila bilangan rakyat sudah semakin ramai, dataran yang lapang itu tidak muat lagi, maka mereka duduk terpinga-pinga. Baik wartawan atau jurugambar dari media utama itu, mereka sudah jadi orang asing.
Bahkan ada sekelompok yang berada di dataran itu mengusir wartawan itu. "Anda tidak mampu membuat laporan yang baik. Laporan anda bias!"
"Anda patut melaporkan sebuah kapal persiaran yang berlabuh di selat dan menjadi tempat pembesar bermaksiat di situ," kata seorang lagi.
Pendeknya, wartawan media perdana tidak berani angkat muka di situ. Jika mereka mahu angkat muka, mungkin mereka akan diusir dari situ.
Sementara itu jurugambar yang mewakili media perdana semuanya sudah beredar dari kawasan sesak dan padat itu. Mereka tidak mahu mengambil gambar apa-apa pun. Jika diambil pun media mereka tidak akan siarkan.
Di kalangan orang ramai itu terselit juga orang yang mendakwa dari kelompok pertubuhan bukan kerajaan atau NGO. Mereka kehairanan melihat orang ramai berpesta di dataran itu. Salah seorang dari mereka bertanya, "Kenapa anda berhimpun di sini?"
Dengan nada hairan, orang ramai pun membalas, "Anda tidak layak bersama kami, kerana anda adalah dari golongan penguasa yang telah menzalimi kami!"
"Tapi kamu ikhlas ikut bersama kamu di dataran ini!"
"Anda berpura-pura, anda sebenarnya menyamar untuk merisik perbuatan kami," kata anak-anak muda di dataran.
Lelaki yang mendakwa dari NGO itu kemudian terdiam. Dia menjadi cuak dengan keadaan sedemikian. Ketika ramai, dialah yang kuat berkokok, tetapi apabila bilangannya sudah kecil tak ada kawan, jadi monyoklah dia. Padahal gambarnya kerap terpampang di dalam dalam media arus perdana.
Lontaran kata-katanya sering menjadi tajuk muka depan. Kini dia membisu. Sedarlah dia bahawa masa telah berubah, dia kini berada di tengah orang ramai yang berpusu-pusu di sebuah dataran.
Mereka semakin ramai. Ada yang datang dari Langkawi, ada yang datang dari Sabah, dari Sarawak, dari seluruh ceruk Semenanjung. Mereka sanggup tidur di dataran itu, membina khemah sementara menunggu hari yang ditunggu-tunggu, hari Sabtu yang ceria.
Wajah-wajah yang hadir di dataran itu semuanya cerita belaka. Mereka datang dengan satu hasrat ingin menyatakan kesatuan fikirannya, ingin menyatakan bantahannya, dan ingin menunjukkan kepada dunia, bahawa di salah sebuah negara bernama Asean ada negeri kecil yang mengamalkan pilihan raya yang tidak telus.
Bahkan sejak dahulu lagi ketidaktelusan itu sudah bermaharajalela. Semakin dibiarkan, kalangan penguasa semakin menzalimi musuh politik mereka. Bermacam akta dibentangkan dan diluluskan. Semuanya dalam keadaan tergesa-gesa seolah-olah negara akan berperang.
Kini bilangan pengunjung semakin padat. Semua orang duduk dan berpakaian serba kuning. Bukan tidak ada warna lain, ada! Tetapi warna yang paling dominan adalah warna kuning.
Tepat jam 4.00 petang, dataran yang redup dan berangin itu dipukau oleh suara seorang lelaki yang berkumandang. Dia berdiri nun jauh di hujung dataran, nampak kecil, tetapi kemudahan PA system membuatkan sekitar dataran boleh mendengar butir perbicaraannya.
Lelaki itu adalah seorang pemimpin di kalangan mereka yang berhimpun itu. Dia mengenakan baju t warna kuning. Sama sahaja seperti pakaian yang dipakai oleh orang ramai yang berjejal di kawasan padang. Orang ramai bertepuk, mereka bersorak, dan sesekali kedengaran jeritan takbir dari seorang lelaki yang berjubah dan berkaca mata gelap.
Takbir!
Orang ramai serentak menyambut dengan penuh semangat.
Takbir!
Suara orang ramai bergema menyambut.
Begitulah, kemudian lelaki yang berpidato di atas pentas khas suaranya tenggelam timbul. Sorakan orang ramai begitu gamat. Inilah perhimpunan yang paling hebat. Ia akan dicatat dalam sejarah negara. Perhimpunan warna kuning bagi menyatakan bantahan terhadap sebuah suruhanjaya yang tidak ambil peduli ke atas apa yang dirungutkan.
Kerap kali rungutan rakyat dijawab dengan kata-kata mudah.
"Tidak ada penipuan dalam daftar pemilih di mana-mana, kami telus!" ujar seorang pegawai.
Kata-kata macam itu sudah banyak kali disuarakan. Jika ada sidang akhbar pun mereka kata begitu juga.
Kini  giliran pemimpin lain pula berpidato di atas pentas. Pidatonya amat bersemangat. Perhimpunan ramai itu lagi tambah semangat apabila mendengar pidatonya.
Ketika hari semakin redup, perhimpunan pun dibubarkan. Seorang sasterawan terkenal muncul di atas pentas, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada orang ramai terutama pendukung perhimpunan duduk bantah itu.
Itulah perhimpunan yang berjaya. Ia berjaya dilaksanakan di sebuah dataran yang tenang. Tidak ada gangguan petugas beruniform, tidak ada lori merah berjaring, tidak ada meriam merah di sana, tidak ada, semuanya aman. Yang ada orang-orang kampung yang ambil kesempatan berniaga. Mereka seronok dapat berniaga di situ. Orang pun hairan, bagaimana da persatuan peniaga kecil merungut perniagaan mereka terjejas kerana ada orang berhimpun duduk-duduk macam burung penguin begitu.
Hairan sungguh!
Esok mungkin akhbar arus perdana melaporkan PERHIMPUNAN BANTAH DUDUK TIADA SAMBUTAN DI DATARAN MERDEKA!
Maka pembaca yang menatap akhbar itu tertanya-tanya. "Memanglah tak ada sambutan di Dataran Merdeka tu, sebab merepa sudah pindah ke Pantai Merdeka! Kawasan padang tepi laut!"
Sementara itu, stesyen televisyen luar negeri melaporkan perhimpunan di dataran itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat. Segenap lapisan rakyat berhimpun menyatakan sokongannya kepada perhimpunan itu. Mereka meraikan perhimpunan itu seperti hari besar.
Lusa, mungkin akhbar arus perdana menyiarkan ada penduduk kesal kerana hasil tanaman mereka rosak dipijak-pihak peserta perhimpuan duduk bantah di dataran itu. Ada kalangan tertentu yang meminta agar kerosakan tanaman itu dinilai, dan pihak pusat dengan bangganya akan menyerahkan wang bantuan kepada para petani yang tanaman mereka rosak dipijak peserta perhimpunan duduk bantah itu.
"Nak bantuan apa? Pokok pisang tu mana ada buah pun, kita saja tanam, tu pisang hutan!" kata Pak Ya memberitahu wartawan media utama.
"Ini Perdana Menteri sendiri akan hulurkan bantuan," pujuk wartawan itu.
"Dah gelabah sangat nak kalah pilihan raya kut? Pisang tak seberapa, heboh satu negeri?" kata Pak Ya.
"PM nak datang pak cik!"
"Tak peduli, dia nak datang, datanglah..." kata Pak Ya lagi.
Akan tetapi disebabkan gambar Pak Ya sudah dirakamkan dalam kamera digital, esoknya terpampang muka Pak Ya yang mengucapkan terima kasih kepada PM kerana sanggup datang memberi bantuan kepada mereka.
Salah seorang penduduk yang pokok pisangnya tumbang tiga batang juga mendapat bantuan lebih dari RM300! Bukan banyak mana pun. Tetapi akhbar dan tv siaran larut malam mengatakan ia adalah bukti menunjukkan keperihatinan pemimpin yang berjiwa rakyat.
Orang yang berhimpun di dataran itu akan pulang ke tempat masing-masing membawa sejuta kenangan. Yang menggelikan hati, ada juga ulasan berita yang mengatakan perhimpunan duduk bantah itu tidak dapat sambutan.[]

No comments:

Post a Comment