Thursday 19 April 2012

RUQYAH DAN MANTERA

UMUM SUDAH MENGETAHUI bahawa meruqyah itu maksudnya menjampi. Siapa pun boleh menjampi kalau tahu jampinya terutama merujuk kepada teks jampi.
Akan tetapi jampi yang dimaksudkan bukanlah mantera-mantera yang biasa digunakan oleh pawang, pemagar kawasan, pembuka gelanggang seni pertahan diri atau gelanggang kepangan, termasuk wayang kulitan itu.
Menggunakan jampi yang berasal dari syaitan, mantra dari syaitan adalah dilarang sama sekali.
Cukuplah sudah dengan zaman kejahilan yang lampau. Mantera dari syaitan maksudnya yang diambil bukan dari al-Quran atau hadis Nabi Shallallhu alaihi wasallam.
Apa sahaja amalan yang datang dari syaitan? Ia adalah apa-apa juga yang diperintahkan oleh dukun, atau melakukan adat, melakukan ritual yang tidak sesuai dengan Islam, umpamanya anda diminta mencari ayam putih, ayam bulu walik, ayam hitam, kambing kendit, kambing hitam atau kerbau balar.
Perdukunan dan persantetan[santauan], sihir, tenung, teluh atau yang lainnya [paranormal, sebeh, orang pintar, tuai, tuk batin, orang pintar]dan tak kiralah apa namapun, semuanya menjurus kepada pekerjaan syaitan.
Orang pun sudah tahu, sesiapa yang berdukun maka ia sama sahaja dengan mendaftarkan diri untuk masuk ke neraka, kecuali mereka yang bertaubat dengan sebenar-benarnya.
Mungkin orang kata, di Malaysia tidaklah separah di negara jiran kerana kita tak ada kambing kendit, ayam cemani atau ayam walik. Jangan kata begitu.
Di Malaysia pun ada, buktinya, ada pengamal perubatan tradisi "menyimpang" sanggup berkelana mencari kerbau balar untuk ditumbangkan bagi memenuhi kehendak jin perempuan.
Daripada pertuturan paranormal itu sendiri membuktikan bahawa di Malaysia tidak kurang hebatnya, sudah ramai orang yang keketuman [macam kecanduan] bersahabat dengan perdukunan hanya untuk memenuhi sesuatu hajat duniawi.
Bukankah apabila Harian Metro menyiarkan kisah anak-anak muda menemui orang pintar untuk mendapatkan ilmu pengasihan, ilmu susuk kecantikan atau susuk kekebalan diri, maka semua ini adalah sebahagian dari perdukunan.
Begitu juga ada di antara kita yang ditipu para dukun, dan antara yang biasa berlaku ialah penipuan ilmu. Ada yang menawarkan kehebatan mereka untuk bedah batin, mandi aura, meningkatkan karisma dan aura diri, bekal untuk pilihan raya umum agar retoriknya membius massa, dan ada yang menggunakan tangkal atau benda-benda mistik yang konon sebagai pendinding diri.
Kisah kekebalan masih jadi cerita klasik, yang kita tidak kenal kundu sumai, selendang mistik yang diambil dari sekor pontianak manja yang menggoda lelaki. Dalam suasana orang sekitar mengejar kebendaan, maka perdukunan juga main peranan dengan menjual iklan diri. Rasanya dalam paparan blog ini juga ada kisah bagaimana seseorang yang mengaku pintar itu mendapatkan ilmu. Dikhuatiri ilmu hanya dikutip dari hujung daun di tengah hutan, mendapat bisikan iblis atau syaitan, kemudian duduk di kubur tua lalu managih mimpi atau sekadar mereka cipta bertemu dengan lelaki berjubah dan memberikan sejambak ilmu. Maka ini juga termasuk dalam kelompok mantera syaitan. Walllahu a'lam. [] 

No comments:

Post a Comment