Friday 13 April 2012

APAKAH SETELAH BERSIH 3.0 SPR MASIH MEMBATU?

ADA YANG PERSOALKAN, bagaimana jika perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di Dataran Merdeka tidak dapat mengubah sikap SPR? Adakah kita akan adakan Bersih 4.0 dan seterus siri-siri Bersih dan Kotor pula?
Di sana-sini orang bercakap tentang penipuan SPR. Penipuan SPR semakin galak, pendaftaran pengundi baru di Selangor nampak begitu mendadak seperti dipaksa-paksa. Ia bukan perkara biasa, malah disyaki permainan pihak SPR yang menjadi kuda tunggangan Umno-BN.
Kata orang, keadaan sekarang cukup genting bagi UBN. Hidup matinya ditentukan oleh keengganan SPR mengikut kehendak generasi Bersih. Jika SPR mengikut kata generasi Bersih 4.0 maka UBN tentu lebih risau lagi.
Dengan sebab itulah apa sahaja permintaan generasi Bersih 3.0 tidak dipedulikan. Akan tetapi apabila orang ramai [rakyat] berhimpun dengan cara duduk beramai-ramai adakah pihak penguasa akan bertindak keras atau menyediakan "nasi briyani lauk kambing" sebagai menunjukkan rakyat didahulukan?
Sebenarnya pihak UBN sedang memikirkan apakah tindakan yang hendak dilakukan ke atas rakyat. Jika slogan mereka rakyat didahulukan, maka inilah masanya mereka kena buktikan.
Rakyat di sana-sini berkeluh kesah kerana sistem pilihanraya kita banyak menipu. Cerita pengundi hantu bukanlah rekaan. Ia mempunyai makna ganda yang perlu difahami dengan jujur. Pengundi hantu ini melibatkan apa sahaja perbuatan seperti mendaftarkan rakyat asing, menyediakan Mykad palsu dan menambah rakyat dengan mengistimewakan mereka [seperti kes di kawasan Parlimen Pekan, Pahang, menurut sumber sahih].
Sebenarnya apa yang berlaku sekarang amat menyedihkan. Rakyat hari ini sudah celik, tidak boleh dibuai dengan slogan dan sogokan wang lagi. Wang tidak ada makna. Mereka pun faham, penipuan dalam pilihanraya akan melahirkan sebuah kerajaan yang menipu. Akhirnya jadi bahan ketawa rakyat.
Selama ini penguasa berkata mereka mengutamakan rakyat. Rakyat tidak mudah dikelabukan mata mereka hanya dengan dana dan sumbangan wang di sana-sini. Lihatlah sejak mutakhir ini, pemimpin UBN begitu keterlaluan ketika turun padang, ada sahaja projek dan ada sahaja yang ditawarkan kepada rakyat.
Ketika mereka menawarkan kepada rakyat mereka lupa, bahawa Pakatan Rakyat juga menawarkan pendidikan percuma. Pinjaman pendidikan tinggi nak dilupuskan. Maka terbeliaklah mata para pemimpin UBN.
Kini mereka sedang memikirkan bagaimana hendak membuat satu skim yang sesuai bagi melawan tawaran Pakatan Rakyat itu.
Walaupun pihak penguasa hari ini mengingatkan rakyat bahawa tawaran PR itu mustahil di mulut, dalam hati mereka terasa kecut juga. Sebab ada logiknya.
Seandainya negara kita boleh tenang walaupun berlaku ketirisan wang hingga ratusan bilion ringgit, kenapa hendak ribut dengan pendidikan percuma? Belum dicuba sudah mengatakan Petronas akan kekeringan minyak.Nampak benar pemimpin kita tak sayangkan rakyat, tak sayangkan orang lain, mereka hanya sayang dengan tembolok masing-masing.
Jelaslah, kalau mereka kata itu tawaran karut, maka pemimpin UBN masih mahu menjadi golongan elitis bangsawan yang memanipulasi kemiskinan orang Melayu.
Kemiskinan orang Melayu perlu dibiarkan kerana ia adalah wadah untuk menaburkan gula-gula politik dan apa sahaja kempen mereka ketika berurusan dengan rakyat terutama ketika membuat lawatan sambil berkempen untuk meraih undi.
Baru-baru ini di Wangsa Maju, seorang bekas menteri yang sudah tinggalkan kementerian terang-terang berkempen, agar yang berhimpun hari itu mengundi BN. Dia memuji kehebatan PM yang semua orang sudah tahu. Ucapan beliau seolah-olah menagih simpati agar diberi ruang dalam pilihan raya akan datang, atau diberi lantikan baru untuk sepenggal lagi.
Kini, apabila tawaran PR hendak memberikan pendidikan percuma, ada pemimpin dalam UBN yang mengatakan tawaran PR adalah untuk memancing undi. Ini kata-kata yang perlu dibetulkan. Bukankah kesibukan para pemimpin UBN ke sana-sini dan menabur fitnah ke atas PR dan sekutunya sebagai memancing undi juga?
Siapa yang memancing undi? Jujurlah, bahawa sekarang memang musim memancing, tak kiralah memancing ikan atau memancing undi. Cakap politik baik UBN atau PR adalah untuk memancing undi. Begitu juga kalau ada pemimpin serah kunci rumah, pemimpin bagi cek ganjaran kerana banyak jasa, atau cek kepada pesara pahlawan dan macam-macam lagi termasuk warga masjid, maka semua ini adalah pemancingan undi belaka.
Media kerajaan yang ada memang menjadi bacaan orang yang tak tahu perkembangan politik. Mereka yang sedar penipuan yang ada tentu tak akan membaca dan tak akan menonton siaran televisyen lagi.
Kita bimbang, pihak UBN akan jadikan SPR sebagai badan yang kaku dan tidak bertindak ketika disindir, dikritik atau dilabelkan dengan macam-macam label. Orang yang berada dalam SPR adalah pekerja politik untuk UBN.  Maka sukarlah bagi mereka hendak memenuhi tuntutan rakyat. Jika demikian, slogan terbaru kita adalah rakyat dikemudiankan, pemimpin elitis kini diutamakan! []

No comments:

Post a Comment