Wednesday 11 April 2012

EKSPERIMEN LARGER THAN LIFE TERPANCAR

MEMBACA JUDUL DI ATAS dalam laporan Harian Metro baru-baru ini nampak sangat kita semacam semacam kehilangan arah.
Hendak dibawa ke mana dunia hiburan kita?
Setiap tahun ada sahaja upacara meriah yang dihebahkan untuk menganugerahkan berbagai gelaran kepada orang-orang seni.
Kemeriahan yang dipancarkan seperti yang dipaparkan dalam media seolah-olah ia versi penyampaian anugerah di Barat sana.
Lihatlah bagaimana artis [?] kita tampil dengan berbagai stail pakaian, penampilan dan persembahan. Semua orang berlumba-lumba hendak menggayakan stail terkini.
Dan yang menjadi harapan daripada sebarang penampilan diri itu adalah lensa kamera yang sentiasa berdesit-desit kerana sistem digital amat memudahkan.
Maka pengulas media hiburan pun memuji persembahan si fulan dan si fulan. Dikatakan persembahan orang lama pun dahsyat-dahsyat - kata mereka menonjolkan kegemilangan jauh lebih luas dari jangkaan. Ewah!
Semua yang naik pentas mahu tunjukkan bakat dan showmanship yang aduhai, dan kalau tidak dikatakan ia diadakan di Tanah Tinggi Genting, maka orang menyangka ia berlaku di Las Vegas sana.
Bayangkan dengan lengkingan suara, dengan lompatan dan terkinja-kinja ketika persembahan yang gamat, maka wartawan hiburan terpukau sejenak, lantas memuji persembahan mereka.
Kalau dua penyanyi dikatakan serasi, kalau seorang pun tetap memukau. Pendeknya, tidak ada kata indah untuk memuji para artis yang mentas malam itu. Meriah bukan main.
Tetapi, cuba cuba tanyakan mereka. Selepas ini acara anugerah apa lagi yang akan diadakan? Pasti ada lagi anugerah yang akan menyusul. Di mana-mana anugerah pun yang tampil adalah orang yang sama. Hari ini orang itu dapat anugerah, esok orang lain pula. Jadi, janganlah risau. Ada masanya anugerah akan jadi milik mereka.
Sayangnya, anugerah seperti ini hanya sementara. Ia tidak bertahan lama. Anugerah yang dikatakan sangat istimewa sudah tidak bernilai lagi kerana terlalu kerap memberi anugerah. Jika setiap kelompok mahu menyediakan anugerah, maka orang itu jugalah yang tampil menerima anugerah.
Dan dalam setiap pemberian anugerah dalam acara yang dianggap gemilang itu, ada sahaja anugerah yang diwujudkan hanya hendak memberi anugerah kepada seseorang artis. Sepatutnya ia tidak perlu diadakan sama sekali. Ada semacam rasa simpati kepada seseorang artis ternama kerana tidak ada kategori sesuai untuknya, maka disediakan anugerah khas. Padahal ia hanya sekadar anugerah biasa yang tidak bermakna. Jika tidak ada pun tak mengapa. []

No comments:

Post a Comment