Friday 27 April 2012

KUTBAH SENTUH BEBAS SEKS

ENTAH MENGAPA kutbah Jumaat pada 27hb.Januari 2012, tidak fokus kepada Bersih 3.0. Mungkin pihak yang mengendalikan kutbah multimedia di jabatan utama sudah rasa muak menyediakan kutbah yang sejajar dengan penguasa sana.
Maka sebagai pelarian, kutbah menyebut tentang merebaknya amalan umat Nabi Luth iaitu seperti apa yang terjadi di Gomorrah sana, dan biarlah negeri itu diterbalikkan. Apakah ada umat yang mengharapkan KL diterbalikkan?
Hanya sayang sekali kutbah yang demikian baik, tidak menerangkan punca maraknya amalan ini. Dan apa tindakan pihak kita terhadap gejala ini?
Kita hanya memaparkan tindak-tanduk dan gejala tetapi tak ada jalan untuk menguranginya atau memeranginya. Memerangi gejala ini bermakna, ia melibatkan semua sekali. Dunia HIBURAN hendaklah dijadikan sasaran utama.
Media kita memainkan peranan untuk menyebarkan unsur-unsur kebejatan moral ini melalui paparan artis yang konon jadi idola. Sebenarnya tidak ada artis yang boleh dijadikan idola, kerana selagi bernama artis sukar hendak menjalani kehidupan agama yang sebenar.
Mujur Ust Zamihan ada buat tazkirah tentang solat. Dia menyentuh kita solat berjemaah tetapi tak faham apa yang dimaksudkan rapatkan saf. Bahu bertemu bahu, tumit bertemu tumit tidak dipraktikkan orang kita kerana dalam satu saf ada orang miskin, ada orang kaya, si kaya yang wangi tak mahu bersentuhan bahu dengan si miskin yang berbau tembakau atau peluh. Atau berbau nafas yang aduhai segar!
Inilah halangan utama dalam saf yang selalu diingatkan agar rapatkan saf. Apa ertinya semua ini?
Masyarakat kita sudah diacu demikian rupa oleh penguasa hari ini, sistem protokol, sistem penyembahan, sistem peraian seseorang tokoh amat memualkan. Sampai bila masyarakat kita dipupuk dengan jiwa hamba?
Sistem yang berlaku di negara kita adalah sistem jiwa hamba, yang di bawah kena tunduk dan patuh sekalipun menzalimi.
Teguran Ustaz Zamihan kepada orang yang datang ke masjid solat pakai bangku. Kenapa mereka ini boleh pula shopping sana-sini, boleh pandu kereta, boleh riadah, apabila masuk masjid tarik bangku, solat atas bangku, alasan uzur amat. Ingatan beliau kena dengan tempatnya. Di masjid jamek LRT ini tidak ada yang pakai bangku begitu, tetapi ada masjid tu memang sediakan banyak bangku, entah kenapa.
Kemudian bab solat. Banyak umat yang mengabaikan solat demi tugas harian. Kata ustaz, tidak kira kamu kerja dengan SPR, dengan jabatan Polis atau DBKL sekalipun, tiba masa solat hendaklah mereka solat. Jika tak solat, itulah yang terjadi. Banyak masalah moral dan disiplin berlaku di kalangan orang yang tak solat atau abaikan solat. Kalau lalu-lintas boleh jaga, kenapa solat tak boleh jaga tanya ustaz. Bagus, teguran ini kena pada semua orang yang mendengarnya.
Kemudian di akhir solat, ada buku baru ustaz berkenaan bertajuk PENMYELEWENGAN FAHAMAN TAJSIM WAHABIY [2012]. Saya sudah telaah isi buku ini, kebanyakannya adalah kritik peribadi terhadap beberapa kitab atau buku lain termasuk buku terbitan Jakim sendiri. Keberanian Zamihan ini kerana beliau memang ada kaitan dengan Jakim suatu ketika dulu, dia mantan penolong Pengarah Dakwah Jakim. Pernah jadi panel soal jawab agama Jakim. Kini nak buat PhD dalam bidang Aqidah dan Pemikiran, dan dalam masa yang sama bertugas sebagai pegawai hal ehwal Islam, bahagian keselamatan dan ketenteraman awam, KDN. Ustaz ada sentuh juga tentang perhimpunan Bersih 3.0.
Istilah TAJSIM ini adalah berat hendak dihuraikan kerana ia menyentuh dengan ALLAH. Ustaz ini juga mengkritik kitab terbitan Jakim berjudul Syarah Aqidah Tahawiah, Ibn Abi al-Izz al-Hanafi, terj, Hasnan Kasan. Yang dipersoalkan ialah tentang kecelaruan akidah dalam kitab ini, pengarang dan penerjemah seolah-olah [kata saya] sepakat menafikan sifat Qidam [sediakala] bagi Allah swt.
Fahaman Tajsim ini katanya terus berkembang  disebalik nama Tauhid AL-ASMA' WA AS-SIFAT yang merupakan satu cabang daripada tauhid tiga yang menjadi idea utama dikembangkan oleh para pendakyah Wahabiyah seluruh dunia.
Teringat saya kepada seorang uastaz yang bagi kuliah gunakan teks terjemahan berjudul PERISAI BAGI SEKALIAN MUKALLAF atau Simpulan Iman Atas Mazhab Salaf, Syeikh Abdul Qadir b Abdul Muthalib al-Indunesia al-Mandili, Al-Hidayah, KL, 2009. Ia dijadikan teks pengajian. Sayangnya teks itu hanya dialih bahasa [?] dari jawi ke rumi oleh Noranine Abu. Ayatnya langgam lama, ramai yang hadir kuliah pening, tak faham, ustaz nak menerangkan pun haru.
Umpamanya: Dan tiada ada sesuatu yang melemahkan akan Dia. Pendeknya langgam lama, sepatutnya Norainie jernihkan penjelasan di dalam buku itu. Dan saya dapati banyak buku terbitan Al Hiadayah tidak peduli dengan persoalan ini. Mereka asal terbit sahaja. Buku ini juga menghuraikan tentang tauhid yang juga disentuh oleh pendakyah Wahabi.
Golongan yang berpegang kepada fahaman Tajsim dipanggil Mujassimah. Tajsim ini fahaman yang mempercayai Allah swt mempunyai anggota badan, tetapi bagi mereka anggota badan itu tidak sama seperti makhluk-Nya. Oang yang berfahaman begitu, berminda begitu, maka ia menganut fahaman Tajsim.
Fahaman Tajsim ini atas nama apa sekalipun, termasuk tauhid Rubbubiyah, tauhid Uluhiyah, tauhid al-Asma' wa as-Sifat - kata ustaz Zamihan perlu dibanteras  kerana kesesatan amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak para ulama ASWJ sejak zaman salaf al-Soleh hingga sekarang [hal.2, Tajsim, 2012].
Begitulah sekelumit ilmu tentang Tajsim, sebuah istilah yang asing bagi mereka yang tidak gemar mentelaah bahan. Isu ini bagi penulis bukan soal dakyah, tetapi soal bagaimana seseorang ustaz yang beri tazkirah atau kuliah hendak menghuraikan tajuk berkenaan dengan bahasa paling mudah, tidak berbelit dengan langgam bahasa kitab kuning dulu. Kefahaman itu penting dalam pengajian.
Baiklah, isu utama blog ini adalah kutbah Jumaat. Ramai yang rasa lega kerana kutbah kali ini tidak fokus kepada Bersih 3.0, tidak ada kritikan mengatakan itu haram dan ini haram. Apakah logik jika ada umat berjuang untuk mencari kebaikan dikatakan tindakan haram? Pembaikan ke atas SPR adalah sesuatu yang wajar, perlu dilaksanakan walau orang tak berani kata wajib. SPR kena proaktif, dan jangan dengar sebelah pihak yang ada kepentingan. Kini apabila isu SPR dibangkitkan, pihak UBN tuduh PR ada kepentingan, dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya ia tak ada penyelesaian. Bagi sekelompok umat yang merdeka, bantah duduk adalah jawapannya. []

No comments:

Post a Comment