Thursday 19 April 2012

SURAU DI TEMPAT KAMI

SURAU DI TEMPAT KAMI
Walaupun kecil tetapi solat jemaah tetap ada setiap waktu, paling tak adanya tiga orang sahaja. Jadilah.
Surau di tempat kami walau kecil, selalu ada tazkirah. Bukan setiap hari, tetapi ada hari tertentu. Ada yang menarik dan ada yang biasa-biasa sahaja.
Surau ini dinaungi oleh seorang Datuk dan Datin. Biasalah, orang dah agak tentu pendatukan dan pendatinan zaman UBN. Pengaruh UBN tetap ada sebab surau dipantau oleh Jawi.
Akan tetapi surau di tempat kami ini hanya diimarahkan oleh kelompok yang melawan arus.
Baguslah kalau begitu, papan kenyataan selalu ditampal bahan tazkirah dari HARAKAH dan memang panita surau ini cenderung kepada kelainan dari bergantung kepada payungan zaman silam.
Yang menjadi sindiran, ada puak yang suka pegang jawatan tertinggi di peringkat surau, tetapi bab jenguk surau jauh sekali. Atau mereka hanya tunggu waktu mesyuarat atau majlis penting barulah pakai songkok dan tunjuk muka.
Bab tunjuk muka paling utama, kerana maklumlah di kawasan kampung, terutama kalau dekat pilihan raya, maka kertas-kertas makluman ditampalkan di surau kami.
Contoh pertemuan pihak penguasa dengan pegawai surau dan masjid di Putrajaya. Satu orang pun tak pergi dari pihak surau, maka hubaya atasan merungut, kenapa tidak pergi? Bagi mereka yang ada kepentingan cium tangan mungkin mustahak, tapi yang tak pernah cium tangan, jauh sekali bersalaman, maka bagi mereka elok menjauh.
Surau di tempat kami biasanya tazkirah ada enam orang atau lebih.Jadi, nak wacana tajuk apa pun boleh. Tak payah kitab pun boleh, wacana umum, bab bid'ah pun boleh, gebang-gebang politik pun boleh, kalau cakap hal politik pun tak boleh, surau apa namanya, sebab kutbah jumaat di KL ini jelas bermotif politik, biarpun lenggok bahasanya diselangi dengan al-Quran dan hadis.
Surau tempat kami kalau tak ada orang nak azan, siapa sahaja boleh uji bakat. Bila lagi, ini surau kecik. Kalau masjid takut suara tak sedap.
Dan di surau kami ada ruang untuk uji bakar jadi imam. Sesiapa yang suaranya sedap, tak payah taranum semua, boleh tampil. Silakan. Jemaah tak ramai mana pun, yang tetap ada empat orang, bila solat dah mula, baru masuk dua tiga orang lagi, penuhlah satu saf yang tak panjang mana.
Kemudian, surau ini rajin pula hidang makanan lepas solat isyak.
Ada nasi ayam, ada nasi campur, bihun dan roti potong. Makanlah jangan banyak cakap. Ini stail kampung. Makan cari orang kampung, kalau tak ada air kopi o, air mineral pun jadi. Lagipun bukan ada siapa nak layan, sendirilah, macam layandiri. Tak ada protokol, tak ada nak hormat datuk dan datin semua, kita akan surau kampung biasa.
Surau di tempat kami, walau tak ada orang nak dengar ceramah, kuliah tetap teruskan juga. Ada kalanya lima orang sahaja dengar kuliah. Apa nak hairan, tapi kalau Siti Nurhaliza bagi tazkirah berhimpit orang nak dengar.
Surau kami ini biasa, ada empat orang sahaja berjemaah. Ada kalanya setelah habis solat yang berzikir hanya tinggal tiga orang. Belakang ada jin yang ikut. Yang lain semua dah pergi sebab nak kerja. Jadi kena maklum keadaan ini, lainlah orang tak kerja, boleh zikir panjang dan duduk bersila lama.
Surau di tempat kami kekadang ada suara muadzin yang menarik. Lantunan suaranya serak garau, melantun naik sampai ke pucuk kelapa, tapi nak turun punyalah lambat. Azan di surau kampung lain sudah habis, di masjid lain sudah habis, di tempat kita masih tersangkut kat dahan kelapa yang kering.
Biasalah.
Tapi kalau surau di tempat kami nak dirobohkan ikut perancangan masa depan yang gemilang lagi berwawasan? Maka tinggalkan ceritanya sahaja. Cuma kata seorang jemaah mengingatkan, "Jangan tanda tangan kertas apa pun, tapi kalau terpaksa kita kena beritahu, JANGAN NAK TIPU YA, KALAU TIPU KAMI HARAMKAN SEGALA PERANCANGAN KAMU."
Yang lepas-lepas pegawai atau agen takut dan serba salah. Kenapa? Sebab perancangan pindah-randah ini memang tipu.
Beli tanah harga murah, dijual kepada kompeni harga mahal, dapat duit, senyum sampai ke telinga. Siapa kenyang? Puak yang jadi orang tengahlah, biasanya ada kaitan dengan UBN.
Inilah nasih surau kami di masa depan. Surau itu di mana? Ada di pinggir kota. Dekat KL. Kata orang jauhnya sepembalingan, jaraknya sebatang rokok [haram] pun tak sampai. []

No comments:

Post a Comment