Tuesday 3 April 2012

TENTANG PILIHANRAYA YANG KALUT

SEBAIK PARLIMEN DIBUBARKAN maka meluncurlah berbagai propaganda mahal dan murahan digolekkan di depan rakyat. Rakyat yang sudah sedia maklum hanya mendapat maklumat dari sumber televisyen, radio dan akhbar milik penguasa bernama UBN tentu hanya berpeluang menikmati hidangan sepihak, dan mereka dihalang daripada menikmati sumber dari pihak Pakatan Rakyat.
Sudah sedia maklum kempen UBN kali ini tidak banyak berkisah melainkan soal projek pembangunan di sana-sini, kebetulan pula ketika Perdana Menteri dengan Timbalannya telah menabur janji akan projek di serata negeri, 14 buah negeri dengan 178 projek, peruntukan sebesar RM608.68 juta.
Ketika kempen pilihan raya nanti, projek itu akan diulas lagi setiap kali turun padang bagi kempen sterusnya. Sekarang pun sebelum Parlimen dibubarkan mereka sudah kempen, maka apabila sudah bubar, kempen mereka semakin rancak lagi. Hanya yang orang bimbang, terutama daripada pihak PR adalah samseng dari budak-budak upahan Umno. Ada upah ada kerja, biarpun banyak risiko. Akan tetapi sesuatu yang pihak PR tidak fikirkan ialah betapa undang-undang yang dikatakan telus, tidak pula telus untuk mengatasi masalah kesamsengan ini. Budaya gangster seperti dipupuk sekian lama [lihat bagaimana bekas pegawai polis sendiri mendedahkan betapa gangster main peranan dalam kenaikan pangkat, sayangnya dakwaan ini walaupun daripada bekas pegawai atasan polis, ia tidak disiasat].
Ada beberapa perkara menarik menjelang pilihanraya nanti:

1.FITNAH SEKS DIKITAR SEMULA.
Bukan mudah hendak mereka skrip cerita seks bagi tujuan memalukan, mempersenda dan menjatuhkan maruah seseorang. Memanglah, kalau kita berpaksikan kepada ajaran Islam, kisah fitnah ini termasuk dosa besar. Penceritaan orang fasiq tidak layak didengar apa lagi diulas. Tetapi di negara kita, perkhabaran dari golongan ini diangkat statusnya menjadi sahih dan "mutawatir" menurut hukum penguasa yang memang tidak pernah melakukan seleksi untuk mengetengahkan bahan kempen. Yang lucah, yang dedah, yang meloyakan, itulah yang dimainkan, dan sedihnya para ulama, tak kira ulama muda atau tua yang berpaksikan kepada penguasa diam membisu kerana mereka semua sedang hidup selesa. Contoh kes baling selipar oleh seorang bekas imam, tidak ada sesiapa berani mengulas. Tetapi kes ini boleh membuka mata pihak tertentu bahawa urusan pentadbiran masjid terutama di Wilayah Persekutuan hendaklah diambil perhatian. Wang masjid jarang diketahui oleh jemaah. Terutama masjid yang tidak mempunyai "perkampungan" seperti Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur dekat LRT itu. Kita tunggu khabar lemah dari golongan fasiq ini yang akan diangkat menjadi tajuk utama Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Sinar Harian dan media lainnya. Melihat tajuk itu betapa hebatnya negara kita melampaui darjah nilai-nilai Barat, nilai yang kita kritik selama ini.

2.KELUAR MASUK PARTI POLITIK.
Kita akan mendengar perisytiharan kelompok dari pihak Pakatan Rakyat dan sekutunya mereka keluar parti dan masuk Umno atau sekutunya. Selalunya perisytiharan ini dihebahkan dalam berita, diulang-ulang, dibesarkan laporannya, tetapi dalam masa yang sama, dari kelompok ini keluar parti dan menyertai Pakatan Rakyat ada di mana-mana. Ramai juga yang diam membisu, tetapi undi mereka nanti tidak ada siapa yang tahu. Kisah keluar parti ini sebenarnya menyeronokkan, bayangkanlah, tak pernah masuk televisyen tiba-tiba dikerumuni orang bertanyakan tentang itu dan ini. Yang sudah tentu, mereka akan kata, "Saya tertarik dengan gaya kepimpinan Najib yang konsisten. Saya tidak suka pemimpin pembangkang yang tidak bermoral." Semua ini kadang-kadang bukan orang itu yang kata, tetapi rekaan wartawan mabuk. Dalam hal keluar masuk ini UBN lebih bimbang sekiranya ada pemimpin dari MCA agau Gerakan isytiharkan keluar parti dan menyertai DAP, seterusnya menguatkan PR. Inilah yang pihak UBN hendak elakkan. Politik itu tidak dapat diagak. Momentum luar biasa akan berlaku pada bila-bila masa.

3.ISU KAPAL SELAM SCORPENE.
Jangan fikir isu kapal selam ini perkara kecil, kerana di Paris sana, isu ini sedang galak dihujahkan di dalam kamar makhkamah. Kita mengharapkan mahkamah di sana akan bertindak adil dan seterusnya rakyat di sini akan mengetahui betapa busuknya tembelang yang dilakukan para pemimpin UBN selama ini. Terbukti, apabila mereka berkuasa bertahun-tahun, mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk meraih sebanyak mana kekayaan dunia. Berkongsi dengan kroni mereka, berkongsi menguasai undang-undang dan polis sehingga undang-undang Malaysia jadi bahan ketawa orang luar.Setidak-tidaknya, kes kapal selam ini mengaitkan nama dua kambing hitam polis Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar, mengaitkan nama Abdul Razak Baginda, mengaitkan Altantuya Shaaribuu, skandal dengan wanita Mongolia ini, P Balasubramaniam, perakuan sumpahnya yang berharga RM5 juta seandainya ia ditarik balik, kemudian penglibatan Nazim Razak dalam hal perakuan bersumpah ini. Pendeknya, semua perkara akan diserlahkan, sebab di Malaysia, kes pembunuhan wanita Mongolia ini tidak dinyatakan apa MOTIF pembunuhannya. Ini adalah kes yang luar biasa, sedangkan dalam apa pun kes pihak tertentu akan mencari motif sesuatu kejadian bunuh.

4.ISU NFC DAN ISU FELDA.
Pihak UBN pasti bertungkus-lumus hendak merendamkan kisah ini supaya orang lupa. Kalau rakyat lupa adalah lebih mudah untuk mereka berkempen di sana-sini. Akan tetapi kes NFC bukan satu kes kegagalan yang pernah dilakukan oleh pihak UBN. Ia sebenarnya memalitkan isu-isu lain juga. Ia memberi simbolik bahawa para pemimpin memang berebut-rebut untuk mendapatkan kekayaan negara melalui apa sahaja projek kerajaan yang ada. Setengah projek itu terpaksa diwujudkan semata-mata untuk memberi tugasan kepada individu tertentu dalam politik. Jadi, projek yang mengatasnamakan rakyat itu tidak jujur, kerana ia adalah projek untuk seseorang sahaja. Mungkin orang lupa dengan isu Kerpan, isu Perwaja, isu pembunuhan pegawai bank di Hong Kong dulu, kes Pelabuhan Klang dan banyak lagi kes sebenarnya. NFC memberi perlambangan dan contoh terbaik bagaimana pihak penguasa penyalahgunakan projek untuk membahagiakan seseorang. Dalam kes ini melibatkan pemimpin tertingginya sendiri. Benarlah kata timbalan Wanita Umno yang sedih kerana dilabelkan sebagai lembu di sana-sini. Inilah kesan negatif daripada salahguna dana awam. Isu Felda pun masih tak tentu hala, apabila ia dirancang oleh pihak atasan, mereka yang mendapat faedah daripada kalangan peneroka bawahan. Ganjaran wang ringgit, dan macam-macam yang ditawarkan itu hanyalah mukadimah. Setelah mereka dapat, akan timbul cerita lain pula.

Rasanya banyak isu lagi yang boleh dipaparkan di sini. Insya-Allah akan disambung. []

No comments:

Post a Comment