Sunday 15 April 2012

TENTANG GOLONGAN MUTAQQIN

MEREKA YANG MENGIMAMI dan menjalankan petunjuk al-Quran adalah orang yang bertaqwa [mutaqqin]. Mutaqqin ini menggambarkan peribadi yang berakhlak mulia, berakal sempurna, menjaga kesucian fitrah dan tulus. Allah s.w.t. berfirman maksudnya, "Alif lam Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa." [al-Baqarah: 2]
Ciri pertama orang yang bertaqwa itu diterangkan dalam ayat berikutnya:
iaitu orang yang beriman pada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang telah Kami anugerahkan kepada mereka [al-Baqarah: 3]
Mufassir mengatakan, ghaib yang dimaksudkan ini bererti sesuatu yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat dengan mata kita [diindera]. Perkara ghaib itu terbahagi dua, ghaib berdasarkan dalil dan ghaib tidak berdasarkan dalil.
Ayat tadi adalah pujian terhadap orang yang bertaqwa kerana mereka mengimani hal ghaib berdasarkan dalil. Mereka berfikir, mengamati, mencari bukti, dan beriman kepadanya. Mengetahui Allah dan sifat-sifat-Nya, mengetahui akhirat, kenabian, hukum-hukum, dan syariat termasuk sifat orang bertaqwa.
"Beriman kepada yang ghaib" dalam ayat tadi juga merupakan sifat kaum mukmin. Orang mukmin adalah yang beriman kepada Allah dalam keadaan tersembunyi [ghaib] dan dalam keadaan hudhur [terang-terangan]. Keterangan ini membazakan orang mukmin dari orang munafik. Kata ghaib tadi juga bermaksud sembunyi atau terselubung.
"Yusuf berkata,'Yang demikian itu agar dia [al-Aziz] mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mengkhianatinya di luar pengetahuan dia, dan bahawa Allah tidak meridhai tipu daya orang-orang yang berkhianat."[Yusuf: 52]
Ayat ini ada kaitan dengan pujian untuk kaum mukmin kerana lahiriah mereka sesuai dengan isi batin mereka. Sebaliknya si munafik akan mengatakan yang tidak sesuai dengan isi hatinya, di luar lain di dalam lain.
Kelompok Syiah pula percaya bahawa ghaib itu ada kaitan dengan al-Mahdi Sang Imam yang ditunggu yang Allah janjikan akan datang pada akhir zaman kelak [Tafsir al-Kabir, Jil.2]
Jadi, seorang mukmin meyakini apa yang telah dinyatakan oleh dalil sam'i berdasarkan dari kitab suci atau sunnah dan dapat dicerba oleh akal. Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan:
Makhluk ghaib yang berakal seperti malaikat dan jin; kematian - sebelum dan sesudahnya; tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kiamat; kiamat dan petakanya; hisab dan pembalasan; syurga dan neraka.
Kewujudan Allah tidak dikategorikan sebagai masalah ghaib tadi. Wujud Allah merupakan sesuatu yang pasti dan wajib ada secara logika serta tak dapat diragukan oleh orang yang berakal. Sesuatu yang wajib secara logika tidak termasuk dalam sesuatu yang ghaib. []

No comments:

Post a Comment