Saturday 21 April 2012

BERSIH 3.0, ISUNYA ADALAH SPR

MUNGKIN BANYAK TANGGAPAN NYELENEH kedengaran menjelang himpunan Bersih 3.0. Umum sudah tahu Bersih dalam siri yang lalu mendapat sambutan segenap lapisan rakyat. Ia memberi petunjuk bahawa kebanyakan rakyat sudah sedar peri pentingnya SPR mendengar rintihan dan bantahan rakyat.
Di masa inilah slogan rakyat didahulukan perlu dipraktikkan. Nampaknya amat berat bagi SPR hendak memenuhi tuntutan rakyat kerana mereka lebih rela mendengar tuntutan para pemimpin yang kegelisahan sekiranya SPR mendengar keluhan rakyat.

BUKTIKAN RAKYAT DIUTAMAKAN
Inilah kelucuan yang terjadi di Malaysia. Di mana-mana orang melihat slogan rakyat didahulukan, tetapi dalam kes duduk bantah ini, kepentingan rakyat tidak diambil kira.
Adakah demokrasi kita kini sedang menuju ke arah penggerogotan nilai yang bakal mengundang masa depan parah? Keluhan rakyat tidak mengira dari kelompok mana harus didengar.
Alangkah pelik, sekiranya pemimpin pusat bersungguh-sungguh mendengar rintihan kelompok minoriti rakyat menjelang pilihan raya umum nanti, sebaliknya keluhan dan permintaan rakyat yang berkaitan dengan pilihan raya dipekakkan.
Tanggapan rakyat yang beredar di mana sekarang adalah bukti bahawa SPR adalah alat semata-mata untuk menjaga kepentingan Umno, mereka tidak kata BN secara umum, kerana semua paksi kejahatan dan manipulasi adalah dari "hati" Umno.
Maka kini rakyat melihat, Umno menjadi watak yang memualkan. Para pemimpin Umno terkenal dengan bermacam skandal. Ketidakpedulian pemimpin Umno yang mengawal selia BN menyebabkan rakyat mewujudkan Bersih 3.0.
Berbagai tanggapan bodoh dilemparkan apabila rakyat hendak menggunakan dataran merdeka. Maka para pemimpin penting berkata dataran itu adalah untuk majlis rasmi, dataran itu adalah warisan sejarah, tidaklah mereka sedar, bahawa siri Bersih yang lalu telah dicatat dalam sejarah? Bukankah tindakan anak-anak muda mahasiswa dan sesiapa sahaja yang menyertai Bersih 3.0 adalah lakaran sejarah juga?
Umum mengetahui dataran itu setiap minggu digunakan untuk iseng-iseng, hiburan dan kemaksiatan yang dipupuk dan dibaja agar umat Melayu cair keimanannya dan mendengar apa sahaja yang difatwakan oleh penganjur hiburan. Ingat, hiburan ini hendak diletakkan di mana di antara yang HAQ dan yang BATIL?

SEJARAH DATARAN
Inilah sejarah apabila seseorang menyentuh tentang soal kebangkitan rakyat pada tahun 2012 yang lalu [ketika kita mengingat sejarah masa lampau sebagai contoh], mereka pasti menyentuh reformasi, bantahan rakyat di mana-mana termasuk Lynnas, isu ISA yang bukan dihapuskan sebaliknya ditransformasikan dalam acuan baru yang lebih menggelisahkan rakyat - terutama para pejuang keadilan dan kemunkaran politik cara melayu.
Kini, akhbar arus perdana yang proUmno memang setiap hari memaparkan tentang kebodohan rakyat yang ingin menggunakan dataran merdeka. Setiap hari ada sahaja bahan lelucun dipaparkan.
Seorang wanita gelandangan berambut pendek, dedah aurat, hisap rokok pihak Berita Harian kaitkan dengan mahasiswa yang berkhemah di situ.
Anda siapa? Sebagai jurugambar dan wartawan, bukanlah manusia istimewa sehingga hendak menghina golongan lain, ini adalah pengaiban.
Bayangkan kalau ada media lain memaparkan wanita tadi duduk mencangkung di majlis rasmi Najib? Anda mungkin marah, jika begitu, kena ingat, orang lain pun tersinggung dengan cara anda.
Anda mudah tersinggung, majlis rasmi ada pemimpin pembangkang berbisik sesama mereka pun dianggap menyinggung. Bagaimana gambar wanita gelandangan itu didampingkan dan kemudian difitnah sebagai angkara mahasiwa? Elok juga kalau yang duduk itu adalah para wartawan lagi bagus.
Apalah ertinya akhbar anda memaparkan rencana keagamaan, menyentuh tentang sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang perlu diteladani, tetapi dalam masa yang sama anda memaparkan keaiban?
Pihak akhbar proUmno tidak melaporkan hal yang berlaku di Sabah sana, ada isu menarik yang langsung tak berani disentuh kerana pihak akhbar juga mendapat "arahan" daripada pihak pusat, tolong ya, jangan siarkan apa berita pun tentang si fulan.
Akan tetapi sekarang, laporan media utama tidaklah secantik dulu, kini mereka hanya memetik perkataan dari twitter, facebook, atau web yang berjuta itu. Itulah sumber yang dimegahkan oleh mereka sebagai bahan otentik.

PEJUANG RAKYAT
Berhubung dengan isu duduk bantah di dataran merdeka, kita perlu ingat, bahawa membiarkan ahli lembaga Pesuruhjaya Pilihan Raya sekarang terus bertugas akan menjadikan pilihan raya umum akan datang ini terkotor, tidak adil dan tidak demokratik. Itu permintaan A.Samad Said, Pengerusi bersama bersih yang juga Sasterawan Negara yang benar-benar jujur dan komited [sebab kebanyakan sasterawan yang bergelar di negara kita takut melibatkan diri dengan perjuangan rakyat, mereka jadi tikus yang selesa dalam peti beras, dan apabila rakan lain menyertai rakyat, mereka pandang sinis dan pelik, padahal sasterawan bergelar itulah yang pelik kerana mengasingkan diri dari rakyat].
Bagaimana kalau benar pilihan raya kali ini bertukar senario? Apakah pilihan raya perlu diulang sekali lagi? SPR sampai sekarang tetap degil, bilangan petugas dalam SPR di peringkat tinggi tidaklah ramai, dan mereka mempunyai kabel terbaik dengan pemimpin Umno.
Halangan inilah yang menyebabkan tuntutan bersih tidak dilayani. Jika tuntutan tidak didengar, apa lagi undilah yang akan menentukan. Tetapi di negara kita, banyak sangat penipuan yang berlaku ketika pilihan raya.
Usaha membeli undi dengan cara bom duit seperti kata bekas menteri Umno sendiri, membuktikan bahawa umpatan di luar SPR itu memang benar.
Jika benar kita mendakwa bahawa islam adalah agama rasmi kita, maka ketika pilihan raya inilah kita kena tunjukkan sejauh mana kita mengikut ajaran islam, sejauh mana kita berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin bab penipuan dan membeli undi ini perlu ditarbiyahkan, dan elok benar Forum Perdana tv kita setiap malam Jumaat itu fokus kepada penipuan dalam pilihan raya.
Akan tetapi yang memualkan, forum itu hanya tempat ustaz proUmno memaparkan jati diri mereka yang hanya memperkatakan hal-hal yang sepanjang forum tidak menyinggung pihak atasan. Bukankah ini namanya dakwah, kenapa takut dengan kebenaran? Pedulilah kalau pihak tv tidak mahu undang lagi, bercakap hal benar, tugas anda telah dilaksanakan menegur golongan yang ingkar, golongan atasan yang lupa dengan garis panduan sebenar.
Selepas ini, apa kenyataan yang pihak Umno paparkan dalam media mereka? Sayang, paparan itu hanya untuk mereka yang masih buta politik dan buta suasana sekitar yang sedang berubah. Ingat, tidak ada suatu kuasa politik pun di dunia ini yang kekal lama. Dan negara kita bila pula? []

No comments:

Post a Comment