Tuesday 24 April 2012

BISNIS KAWALAN KESELAMATAN MENGUNTUNGKAN

MUNGKIN orang anggap bidang kawalan keselamatan ini hanya hal remeh dan biasa. Orang tak pandang pada bidang ini kerana ia dianggap tidak ada masa depan. Cuba perhatikan nama-nama besar dalam industri kawalan keselamatan ini.
Paparan ini bukanlah gambaran sebenar kerana bahan ini hanya bersumber dari temu-bual biasa dengan para pengawal keselamatan yang pernah saya temui.
Ketika gaji yang pengawal keselamatan biasa dapat begitu rendah, orang memandang sebelah mata kepada kerja ini. Jangan anggap begitu, boleh dikatakan ramai juga orang kerja pengawal keselamatan biarpun sekali seumur hidup. Ia dilakukan ketika menghadapi masalah ekonomi, sumber pendapatan tidak mencukupi, atau ingin menambah sedikit lagi.
Seorang teman yang bekerja di UPM sanggup bersengkang mata jadi pengawal keselamatan di sebuah kilang di Balakong kerana ingin menambah pendapatan yang ada. Bukan dia seorang, ada yang menjadi pemandu teksi dan pada masa yang sama jadi pengawal keselamatan. Ada yang siang kerja, malam pun kerja, anda boleh bayangkan bagaimana ketahanan diri orang ini.
Saya tidak mengorek berapa pendapatan seorang pengawal keselamatan, sebab bidang ini ada banyak tugasan  yang memerlukan skill berbeza dan gaji yang ditawarkan juga lebih tinggi. Seorang pengawal biasa tidak serupa dengan mereka yang pegang senjata.

PINJAMAN
Biasanya, seorang pengawal keselamatan biasa [tahap paling minima] kena bertugas di sesi malam atau siang. Masa bertugas 12 jam. Kalau masuk 7.00 pagi, tamat tugas 7.00 malam. Esok pagi-pagi sebelum subuh kena bersiap sedia untuk ke tempat kerja. Begitu juga ada yang masuk jam 8.00 pagi tamat 8.00 malam. Masuk jam 10.00 malam keluar 10.00 pagi esoknya.
Bagi pengawal baru bertugas yang tidak ada duit belanja, mereka diberi wang pinjaman setiap hari. Misalnya, jika Mamat mula bekerja tak berduit, dia diberi pinjaman setiap hari RM10. Dia kena berjimat. Wang itulah untuk tambang bas dan untuk makan minum.
Biasanya wang pinjaman diberi pada setiap 20hb setiap bulan bertugas. Sejak mula bertugas dari tarikh 1hb. hingga 20hb. bermakna sudah RM200 diberikan kepada pengawal ini. Ketika itu dia juga mendapat RM200 paling kurang atau lebih, mengikut skema gaji syarakat kawalan tertentu. Jika gaji dikira mengikut kadar gaji baru, maka pengawal itu mendapat lebih lagi.
Tanpa disedari pengawal biasa tadi, gaji sebenarnya sudah ditolak RM400. Dan dia mulai selesa bekerja dengan wang saku yang lebih. Setelah mendapat pinjaman RM200 dia tidak perlu pinjaman harian lagi sehinggalah ke akhir bulan.

TAK CUKUP MAKAN DAN REHAT
Ada syarikat tepat pada akhir bulan serahkan gaji kepada pekerja. Tetapi kebanyakan masih ikut stail lama, gaji diserahkan pada 7hb. begitulah seterusnya. Sementara menunggu ke tarikh itu, bermula dari 20 hb. tadi hingga 7hb. ada berapa hari?  Ada 18 hari bekerja untuk menunggu waktu gaji. Bermakna kena berjimat, jangan merokok dan jangan beli makanan mewah. Makan biasa-biasa sahaja. Tidak hairan ada pengawal gemar makan mi segera setiap hari atau roti canai sahaja. 18 hari bermakna memerlukan RM180 sahaja. Ada baki RM20 atau lebih jika pandai berjimat.
Pada hari gaji pula berapa dia boleh dapat? Jika gaji masih di takuk lama misalnya RM1000 sahaja sebulan. Maka setelah ditolak wang pinjaman dan pendahuluan, dia hanya dapat RM600 gaji bersih. Bayangkanlah, dengan wang sebanyak ini nak digunakan untuk bayar ansuran motosikal [jika ada], sewa rumah [atau bilik atau tak sewa  kerana duduk asrama], berapa yang tinggal dengan income yang ciput ini?
Jika ikut skim gaji baru, pinjaman harian ditambah lagi, ada yang RM15 sehari. Pinjaman RM400 atau lebih. Boleh dikira berapa yang dia dapat pada hari gaji 7hb nanti.
Kenapa menunggu hingga 7hb? Ia ada kaitan dengan kutipan pembayaran, cek-cek perlu penjelasan dari bank-bank. Dan perlu diselaraskan dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi [mereka digalakkan buka akaun bank mengikut kehendak syarikat].
Kisah yang kerap saya dengar ialah gaji belum dibayar sehingga 7hb. pun, bahkan terlajak hingga 10 hb. Bayangkanlah. Kesukaran hidup pengawal keselamatan kategori biasa [bukan elit, bukan tugasan dengan skill tertentu] tidak dipedulikan pihak atasan.
Mungkin pihak penguasa menganggap dengan adanya kedai rakyat, klinik rakyat, restoran rakyat, ikan rakyat, dan semua yang rakyat itu akan menyelesaikan masalah rakyat. Golongan pengawal keselamatan ini memang tergolong miskin. Bayangkan, orang bercakap tentang kemiskinan yang pendapatan seisi keluarga kurang RM3000 sebulan. Pengawal keselamatan ini di bawah kategori apa?

JIKA RAKAN KERJA PONTENG
Rungutan pengawal keselamatan biasa terdengar di mana-mana. Gaji rendah. Kerja tidak menentu. Maksudnya, dia yang sepatutnya kerja dari jam 7.00 pagi dan keluar 7.00 malam, masih tidak dapat tinggalkan tempat itu kerana pengawal petugas tidak hadir atau ponteng.
Akibatnya, pengawal yang tersangkut ini diminta oleh pegawainya agar sambung tugas, bermakna dia akan bertugas 12 jam. Keinginan untuk rehat, tidur dan mandi sudah terbantut. Itu belum lagi bab solat dan ibadah lainnya.
Perkara yang paling dibenci pengawal keselamatan adalah apabila diminta sambung tugas. Apabila anda sudah bertugas waktu siang 12 jam dan diminta sambung 12 jam lagi, esoknya pula siapa nak bertugas? Bukankah anda juga petugas yang sepatutnya? Maka dengan berat hati, dengan keadaan uniform yang itu juga dipakai, seluar itu, dan maaf, seluar dalam itu juga, dia kena sambung 12 jam lagi. Dia kena bertugas 36 jam berterusan.
Seandainya dia bertugas di tempat yang berisiko bagaimana? Begitu juga mereka yang bertugas waktu malam. Dia mula bertugas jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi. Petugas sesi pagi tidak dapat datang, jadi dia terpaksa sambung tugas sesi siang pula untuk 12 jam lagi. Dan sesi malam nanti memang dia punya, maka dia kena sambung sampai pagi esoknya setelah 36 jam baharulah dapat rehat.
Inilah rutin yang dilakukan oleh pengawal keselamatan biasa.

SYARIKAT DAPAT LEBIH
Bisnis kawalan keselamatan sebenarnya menguntungkan. Syarikat besar, baik yang mempunyai pejabat, kilang, bangunan dan sebagainya memerlukan kawalan keselamatan 24 jam.
Contoh:
SEBUAH SYARIKAT LOGISTIK SYARIKAT PENGANGKUTAN
Pengawal diperlukan 5 orang - 2 siang dan 3 malam.
2 pengawal x 12 jam x 31 hari x RM3.80/jam =RM 2827.20
3 pengawal x 12 jam x 31 hari x RM3.80/jam =RM 4240.80 = RM 7068.00
5% cukai perkhidmatan dikenakan [mungkin lebih sekarang]  =  RM  353.40
JUMLAH PERLU DIBAYAR KEPADA SYARIKAT
KAWALAN KESELAMATAN                                            =  RM 7421.40

Berdasarkan kiraan tersebut [saya kutip dari kiraan sebuah syarikat kawalan keselamatan yang memberi gaji bulanan RM850 sebulan, bandingkan berapa syarikat kawalan dapat dan berapa yang syarikat pengangkutan itu bayar setiap bulan. Bandingkan berapa yang pengawal kecil itu dapat?]
Lagi besar sesebuah syarikat atau premis yang hendak dikawal, maka makin banyaklah bayarannya setiap bulan. Pada masa sekarang, khabarnya gaji pengawal sudah dinaikkan, sebenarnya tidak semua. Hanya syarikat yang dapat tender dengan pihak kerajaan sahaja yang dikawalselia pembayaran gaji mereka. Contohnya, pejabat kerajaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi, hospital, klinik dan sebagainya.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana syarikat pengawal keselamatan sanggup beri gaji RM850 sebulan sedangkan mengikut kiraan di atas tadi, dia berharga RM1413.60. Pihak syarikat mengaut lebih RM500 dari seorang pengawal. Kalau 5 orang, sudah RM2500. Bagaimana syarikat kawalan keselamatan tidak kaya?

KILANG TUTUP
Bisnis kawalan keselamatan tidak kisah kalau kilang tutup. Bahkan ada kilang tutup yang memerlukan ia dikawal lagi 24 jam. Begitu juga bangunan yang berharga. Walaupun hanya bangunan kosong, ia tetap dikawal, paling tidak seorang pengawal. Bidang kawalan keselamatan memang berdaya maju, semakin banyak bangunan didirikan, villa, kondo, apartment, semuanya memerlukan kawalan keselamatan.
Bidang ini tidak glamor. Akan tetapi di masa sekarang skima gaji pengawal bolehlah dianggap selesa sikit, hanya kedegilan sesetengah syarikat nak untung lebih.
Seperti kiraan tadi [berdasarkan tahun 2007] gaji pengawal masih di tahap yang menyedihkan. Akan tetapi mereka ditugaskan untuk menjaga harta yang banyak, berjuta, berbilion, mahu dilihat segak, tampan, sentiasa waspada, sedangkan mereka makan makanan yang tak bergizi kerana gaji kecil, atau setahu saya pengawal dari Nepal banyak yang makan mi segera sahaja, budak dari Sabah pula makan nasi berlaukkan mi segera. Puncanya gaji tidak cukup. []

2 comments:

  1. Saya nak tanya pehak tuan. Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat perumahan. Di Kuantan. Masalah nya saya bekerja 12 jam sehari selama 5 hari seminggu. Sedang kan mengikut akta buruh 48 jam seminggu wajib berehat 1
    hari.sedangkan kami bekerja 5 hari seminggu melebihi 48 jam. kerja lebih yang kami lakukan 4jam sehari syarikat hanya bayar pada kami kira lumsump RM400 Sebulan. Apakah pandangan pehak tuan.

    ReplyDelete
  2. Saya nak tanya pehak tuan. Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat perumahan. Di Kuantan. Masalah nya saya bekerja 12 jam sehari selama 5 hari seminggu. Sedang kan mengikut akta buruh 48 jam seminggu wajib berehat 1
    hari.sedangkan kami bekerja 5 hari seminggu melebihi 48 jam. kerja lebih yang kami lakukan 4jam sehari syarikat hanya bayar pada kami kira lumsump RM400 Sebulan. Apakah pandangan pehak tuan.

    ReplyDelete