Wednesday 11 April 2012

LARI LINTANG PUKANG

BIASANYA LARI LINTANG PUKANG ada sebabnya.
Ketika unjuk rasa di mana-mana, macam di Dataran Merdeka, pihak tertentu akan memberi amaran supaya bersurai, jika tidak, tindakan lebih keras akan dilakukan ke atas peserta unjuk rasa. Ketika itulah, apabila kekerasan dilaksanakan, mereka lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri.
Kesannya, setiap orang yang lari lintang pukang ini akan ingat sampai bila-bila. Dan timbul semacam perasaan geram dalam diri peribadi terhadap pihak tertentu.
Dan tidak dinafikan, banyak yang mengucapkan kata nista entah dalam hati atau dilontarkan kepada rakan-rakan lain. Dalam keadaan lintang pukang, apa pun boleh terjadi.
Mengikut tinjauan rambang, kelompok peserta unjuk rasa reformasi sejak zaman pecahnya reformasi di tanah air, mereka tetap konsisten dalam perjuangan antipenguasa.
Kelompok ini rupa-rupanya tidak boleh dikasari, sebab jika dikasari sampai bila-bila pun mereka akan menyimpan perasaan dendam dan benci kepada pihak yang menentang mereka.
Seorang yang lari lintang pukang akan pulang ke rumah masing-masing dan menceritakan pengalaman mereka menghadapi tentangan pihak berkuasa.
Cerita yang dituturkan itu ada kalanya mengudang rasa simpati rakan-rakan atau ahli keluarga. Justeru ketika lari lintang pukang tadi, jangan ada kekasaran dilakukan. Jangan ada kecerderaan dari sebab pihak tertentu yang bertindak, kerana ini akan memberi kesan mendalam dalam jangka panjang.
Peserta reformasi sudah biasa menerima komando dari seseorang. Apabila seorang menyebut takbir umpamanya, spontan peserta akan menyambutnya dengan penuh semangat.
Mereka patuh dan sedia mengikut apa sahaja yang perlu diucapkan atau dilaungkan dengan penuh semangat. Jadi pengalaman bertahun-tahun dalam gerakan reformasi dan melahirkan Pakatan Rakyat telah mematangkan para peseta.
Hal ini berbeza sama sekali dengan kalangan muda dalam Umno yang hanya menerima layanan serba sopan daripada pihak tertentu. Sikap manja yang dibelai oleh gerakan mereka termasuk dalam wadah BN menyebabkan mereka tidak sanggup untuk lari lintang pukang seperti para peserta unjuk rasa pembangkang yang sudah mahir.
Mungkin ada yang kata pemuda Umno pun biasa unjuk rasa, begitu juga Perkasa yang suka buat kacau ganggu. Pengalaman unjuk rasa pemuda Umno dan Perkasa masih sedikit, bahkan mereka selalunya dibelai manja oleh pihak yang ditugaskan untuk mengekang unjuk rasa.
Berbanding dengan peserta unjuk rasa dalam gabungan PR, mereka tahu bagaimana mahu lari lintang pukang pun. Mereka tahu kaedah bersurai dan bergabung semula. Mereka juga sudah mahir mengenal siapa yang jadi musang berbulu ayam di dalam kelompoknya.
Mereka juga dapat mengenal aksi kaki provokasi yang memang "luar biasa" penampilannya.
Kalau terjadi apa-apa yang tidak enak ketika unjuk rasa, walaupun unjuk rasa dengan cara duduk atau baring sekalipun, pasti akan ada yang lari lintang pukang.
Adakah anda seronok melihat anak-anak muda berlari begitu? Ingatlah, mereka yang lari lintang pukang hari ini adalah pemimpin masa depan. Ingatlah, pemimpin yang petah berbicara di depan ramai tidak dilatih di dalam dewan persidangan sahaja, malah di pentas-pentas ceramah dan arena unjuk rasa seperti Bersih 3.0.
Anak muda yang lari lintang pukang ketika diligan pihak tertentu, bakal menjadi pemimpin dan peneraju pada masa depan. Siapa sangka, mereka yang lari itu adalah Perdana Menteri kita! []

No comments:

Post a Comment