Wednesday 4 April 2012

SERONOK BICARAKAN AIB ORANG LAIN YA!

Pengendali halaman gosip artis cukup gemar mendedahkan atau menyindir golongan tertentu. Tulisan itu yang dibaca oleh semua orang sering mendedahkan keaiban seseorang. Lagi aib lagi seronok dilondehkan ceritanya. Kita tidak mahu tuduh apa pun, ajaran islam menegah kita membuka keaiban orang lain, bahkan aib diri sendiri pun tidak perlu didedahkan dalam bentuk SIRI PENGAKUAN.
Bukankah bodoh namanya, membuka aib diri, yang mungkin seseorang beranggapan dengan pembukaan segala keaiban diri itu akan memberi contoh kepada orang lain. Sedangkan agama menyuruh kita diam dan tidak menceritakan apa yang berlaku malam semalam pada waktu siangnya, jangan ceritakan langsung kalau cerita itu membodohkan diri sendiri. Selama cerita buruk itu tersimpan bermakna kita dalam perlindungan, dan berapa ramai orang yang berada dalam posisi ini? Telah melakukan sejuta maksiat tetapi tidak ada seorang pun yang tahu, justeru muhasabah diri dan baikilah diri sementara belum menjadi teramat parah.
Islam meletakkan maruah seseorang di kedudukan yang tinggi, jadi kita tidak ada hak untuk mencemarkan maruah orang lain dengan menjaja atau membuka aibnya.
Penyebaran gambar atau video yang dikaitkan dengan seseorang juga tidak dibenarkan. Ia adalah bentuk memberi keaiban yang terancang. Sesiapa yang terlibat di situ semuanya terpalit. Tidak kiralah mereka itu orang besar atau orang kecil. Orang suruhan atau orang upahan, semuanya menanggung palitan itu.
Kita dinasihatkan agar menutup aib sesiapa pun.
Akan tetapi di bumi Malaysia ini, keaiban sudah dianggap biasa dan dibenarkan oleh perundangan kita.
Sebuah hadis menyatakan:
"Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya." (HR.Bukhari)
Sebenarnya mudah, di negara kita ini, seseorang sudah mengenal siapa pembawa khabar daif yang mengaibkan seseorang itu. Jelas ia dibawa dari sumber yang tidak benar. Pembawa khabar pun boleh digolongkan ke dalam kelompok fasiq. Berita dari kelompok ini tidak patut kita pedulikan.
Hakikatnya, daripada golongan fasiq inilah, laporan dan apa sahaja cerita bohong dengan tujuan mengaibkan seseorang itu dibesar-besarkan oleh seseorang wartawan bertugas. Ingatlah tugas kewartawan tidak terpisah dari peraturan agama. Jangan memisahkan agama dengan status pekerjaan.
Di sinilah kita lupa, selepas kita menaip cerita bohong dan mengaibkan seseorang, siap dengan gambar yang dipaparkan, kita pun ikut solat berjemaah di surau tempat kerja, habis solat sembang lagi dan dapat bahan, sambung semula cerita aib tadi. Wartawan adalah makhluk yang bersekongkol dengan kezaliman. Betapa tidak zalim sekiranya setiap hari mengusung dan membuat follow up cerita aib itu?
Mengaibkan orang lain adalah salah satu perbuatan zalim. Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana doanya diangkat ke atas awan lalu dikabulkan. Takutlah terhadap doa orang yang tidak ada penghadang antara dia dan Tuhan sekalian alam.
"Demi keagungan-Ku, sungguh Aku akan menolong orang-orang yang dizalimi, sedangkan ia akan diberi pahala."
Tersebutlah kisah mantan pembesar yang masuk penjara, Khalid bin Barmak, dia bekas sultan, bersama anaknya masuk penjara.
"Dulu kita berkuasa, tapi sekarang kita dipenjara dan terbelenggu." kata si anak.
Maka bekas sultan menjawab," Wahai anakku doa orang yang dizalimi berjalan di tengah malam ketika kita sedang lengah terhadap doa hamba-Nya." [sumber dari Al-Kabair, adz-Dzahabi]
Kenapa kisah ini dikaitkan? Ya, kerana keaiban orang lain di negara kita ini diprojeksikan dengan dukungan atasan. Atasan sering melakukan kezaliman ke atas bawahannya. Disebabkan para ulama membisu terhadap fitnah yang melibatkan pembesar, maka orang di bawahan yang tidak berilmu ikut menterjemahkan dalam berbagai bentuk, bermula dari aib artis Melayu, mereka juga mengaibkan orang lain.Jangan hairan suatu ketika nanti orang memperlekehkan umat Melayu kerana suka fitnah dan percaya kepada fitnah terutama yang mengaibkan seseorang. []

No comments:

Post a Comment