Wednesday 11 April 2012

KISAH WANITA MONGOLIA ITU BELUM TAMAT

IBARAT SEBUAH FILEM DALAM SIRI X-FILE, kisah wanita Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu itu masih belum berakhir. Masih ada sambungan ceritanya.
Sayang sekali, kisah menarik tentang pembunuhan yang mengejutkan, tidak pernah terjadi dalam sejarah jenayah, bunuh dan diletupkan dengan bahan peledak. Ini memang kisah menarik.
Jika sekarang, kisah ini bagai tergantung, mungkin 10 tahun lagi, ia akan menjadi kisah menarik yang ingin diketahui oleh audiennya.
Tidak diketahui, adakah kisah ini akan membuatkan pecah panggung? Atau kutipan jualan tiket akan mencecah lebih RM9 juta?
Dikhuatiri, audien tempatan akan membaca sinopsis cerita sahaja dan enggan masuk panggung kerana ceritanya masih bernilai malar segar.
Apa pun kedatangan orang tua Altantuya memang menarik. Ia umpama satu percubaan untuk menyambung skrip yang terbengkalai lagipun sutradara memerlukan sebuah skrip yang terkini agar cerita menjadi kemas, perjalanan cerita tidak tergantung kerana motif peletupan mangsa tidak begitu jelas.
Jika difilemkan, memang Malaysia tidak mampu melahirkan filem besar sebegini, melainkan sutradara Barat yang biasa memasukkan berbagai elemen untuk menjadi sebuah filem Bond yang menarik.
Kita sudah ada pelakon yang layak memainkan peranan sebagai Altantuya itu. Kita tidak mampu membuat babak letupan yang kemas, kecuali pengarah luar yang biasa menmgerjakan filem-filem berkaitan kejenayahan seperti kes ini.
Menariknya, kapal selam Scorpene adalah benda asing yang tidak diketahui oleh orang ramai. Bagaimana cara kerjanya, dan kemampuannya tidak diketahui, kecuali para pengendalinya. Memang soal kapal selam boleh dipelajari dengan cara membaca bahan-bahan yang ada. Tetapi mampukah seorang penganalisis biasa memilih model kapal selam yang sesuai dengan suasana di lautan kita?
Cerita ini jadi menarik kerana soal pemilihan dan pembelian benda yang asing ini diserahkan kepada orang yang tidak tahu apa tentang kapal selam. Sama juga jika kita meminta orang belikan kapal angkasa yang sesuai untuk kegunaan eksplorasi angkasa. Memang kita ada angkasawan negara, kemahiran angkasawan kita belum cukup untuk mengenal model terbaik yang sesuai dengan kemampuan kita.
Mungkin kita mahir dan biasa membeli kapal ukuran kecil dengan kelajuan apa pun, tetapi kita tentu "jahil" dengan teknologi kapal selam yang terkini.
Jadi, kisah wanita Mongolia ini belum tamat. Ia bukan kisah kapal selam sahaja sebenarnya, tetapi ia melibatkan wang ratusan juta yang dipermainkan di gelanggang jual beli kapal selam. Judul filemnya mungkin SCORPENE kerana ia ada nilai internasional. Sutradara tempatan sudah tentu tertolak, bukan memperkecilkan bakat seniman tempatan, tetapi untuk pasaran dunia, kita tidak boleh meniru stail Gerak Khas yang nampak komedi itu. Terus terang, kita belum mampu melahirkan filem bertaraf dunia.
Jika kisah wanita itu belum tamat, pasti ada kesinambungannya. Ya, inilah yang orang tunggu-tunggu. Apa kesudahannya cerita ini. Skrip perlu ditulis. Hanya perlu diolah semula, ditulis menurut keperluan sutradara Barat. Tempat shooting tak semestinya di KL atau mana-mana tempat di Malaysia dengan alasan produk pelancongan.
Dan episod seterusnya... []

No comments:

Post a Comment