Tuesday 17 April 2012

ILMU GAGAK HITAM: LINTANG PUKANG ILMUAN

KITA kadang-kadang dikejutkan dengan kisah pecah rumah, wang dan barang-barang berharga dilarikan orang. Biasanya orang akan tanya, siapa pelakunya? Kerana ini soalan penting bagi memastikan adakah mereka itu perbuatan orang dalam atau orang luar, atau perbuatan dari kalangan pendatang?
Biasanya, kalau melibatkan warga dari seberang, maka orang terlintas untuk mengatakan bahawa mereka telah dipukau, tidak menyedari apa sebenarnya yang telah terjadi, tahu-tahu semuanya sudah selesai, wang habis, barang berharga ludes dikerjakan penceroboh atau maling sialan.
Rupa-rupanya dalam petualangan menjelajahi dunia mistik, ada sebuah ilmu yang jarang disebut orang di negara kita, iaitu apa yang disebut sebagai ilmu gagak hitam.
Apakah ilmu ini seperti ilmu tarik wang dengan berniaga satey gagak di kawasan perkuburan pada waktu malam?
Memang ilmu-ilmu yang tidak masuk akal ini ada kalanya begitu praktis bagi mereka yang yakin bulat bahawa dengan kaedah itu mereka akan memperoleh sesuatu.
Tidak ada keterangan secara terperinci bagaimana ilmu gagak hitam ini diritualkan. Apa pun menurut kisah, dengan ilmu yang satu ini seseorang itu mampu "terbang" dan hinggap serta mampu menghilangkan diri dari pandangan orang.
Dengan cara ini sahajalah mereka boleh melakukan jenayah pecah rumah, masuk ke rumah orang begitu sahaja, boleh buka pintu dengan cara tiup sahaja sambil bermantera syirik.
Ilmu ini menurut sumber adalah juga ilmu halimunan kerana dengan ilmu ini seseorang pengamal boleh menghilang dari pandangan orang ketika keadaan cemas.
Mereka boleh melakukan operasi ghaib, menggelidah tanpa dilihat, mampu menyelubungi barang-barang curian dengan "karung mistik" sehingga mudahlah mereka membawa keluar apa sahaja benda yang berharga.
Ada yang mengatakan ia adalah ilmu ghaib.
Rasanya tidak wajar dinamakan begitu, kerana hal ghaib bukan milik manusia, manusia tidak mengetahui apa pun tentang keghaiban. Ghaib yang mereka tahu hanya ghaib rendah atau picisan, atau bersifat persangkaan mengatakan sesuatu itu ghaib, padahal di sisi Allah swt ia tidaklah ghaib. Ilmu gagak hitam adalah sejenis ilmu halimunan, ada juga yang mengaitkan ia dengan sejenis ilmu yang dikenali sebagai ilmu sendangelok, sedang ilmu halimunan itu juga disebut ilmu restu abadi.

HALIMUNAN
Sebenarnya nama ilmu tidak mustahak, kerana, lain dukun yang mengajarkan ilmu ini maka lain pula sebutannya. Lain orang lain panggilannya.
Sesiapa yang mempunyai ilmu halimunan ini mereka boleh menyusup ke bangunan kondo mewah atau villa apa pun meskipun ada kawalan keselamatan 24 jam.
Mereka boleh berjalan melewati pondok kawalan dalam keadaan selamat, kerana ketika itu mereka mengenakan "baju halimunan" yang bermaksud, kehadiran mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali mungkin ayam, itik dan kucing yang melihatnya.
Mereka menggunakan kekuatan ilmu untuk membuka pintu, tak perlu kunci pendua atau master key seperti yang orang selalu sebut. Pintu boleh dibuka lebar.
Ketika pengawal meronda tingkat demi tingkat kondo mereka akan melihat pintu terbuka. Kenapa? Hal keanehan ini akan dicatat dalam buka rekod.

CATATAN
"Jam 13.15 rondaan dilakukan di tingkat 6 didapati pintu No.457 terbuka. Siasatan mendapati rumah telah diceroboh oleh seseorang yang tidak diketahui, tuan rumah mendakwa kehilangan sejumlah wang dan barang berharga termasuk laptop dan beberapa buah jam tangan Rolex."

Jika perkara ini terjadi, ia menjadi masalah kepada pengawal keselamatan. Pihak tertentu yang membuat siasatan akan menuduh pengawal berpakat atau memang mereka yang melakukan sandiwara itu.
Hasilnya ada di antara pengawal malam yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Jadi, jika berlaku kes seperti ini awasilah, mungkin perkara ini terjadi kerana ada pengamal ilmu ghaib rendahan yang menceroboh masuk ke unit kondo mewah itu.
Mereka adalah pengamal ilmu halimunan gagak hitam atau ilmu sendangelok. Kedua ilmu ini berguna untuk melakukan kejahatan di waktu malam. Konon dengan ilmu gagak hitam ini penceroboh boleh membawa "terbang" barang-barang curian ke luar kawasan utama untuk melarikan diri.

JIKA TERTANGKAP
Ada keanehan dari pengamal ilmu ini. Konon apabila salah seorang daripada mereka atau kumpulan ini kena tangkap ketika melakukan operasi sapu, mereka boleh meloloskan diri dengan kaedah merubah penampilan menjadi benda lain.
Ada ketikanya, setelah ditahan mereka boleh menukar diri menjadi batang pisang. Jika keanehan ini terjadi pasti sesiapa pun jadi bingung atau ketakutan. Bayangkanlah, maling jadi batang pisang [gedebok].

PANAS
Ilmu karut seperti ini dipelajari dan diamalkan untuk tujuan duniawi semata-mata. Ia bukanlah ilmu berguna untuk dijadikan sebagai bekal di akhirat kelak. Ilmu ini bagi pengamalnya akan menjadi beban dalam kehidupan. Betapa tidak, ilmu ini menyebabkan pengamalnya tidak tenang fikiran, asyik memikirkan salah laku yang telah dilakukan, dibayangi oleh ketakutan dan bimbang kena tangkap, sepanjang masa was-was, selalu terkejut dalam situasi tertentu.
Untuk mendapatkan ketenangan, ilmu ini perlu dibuang. Pak dukun yang memberikan ilmu menyarankan agar buangkan ilmu ini ke laut. Bermakna ada benda mistik yang dijadikan pegangan ketika melakukan aksi berani itu. Benda mistik ini adalah pemberian Tuk Guru ilmu berkenaan. Benda mistik boleh dibuang, tetapi mantera amalan yang sudah hafal lekat di kepala.  []

No comments:

Post a Comment