Wednesday 11 April 2012

A SAMAD SAID DENGAN BERSIH 3.0

DIALAH TOKOH sasterawan yang hebat kerana berani bangkit menentang dasar penguasa yang zalim. Jika di Indonesia punya barisan penulis dan seniman yang hebat, maka kita perlu bangga kerana ketandusan orang semacam Pramoedya di Malaysia sudah diisi oleh Pak Samad.
Dengan harapan akan hadir ratusan ribu umat di Dataran Merdeka untuk "duduk bantah" maka sejarah negara akan mencatatkan ia sebagai momentum yang perlu diingati pada masa depan.
Jika pada masa ini gerakan Bersih 3.0 hanya menjadi bahan berita dan ulasan politik, di masa akan datang ia pasti menjadi bahan sejarah.
Sejarah tidak bermakna jika mengenepikan kegiatan golongan yang berseberangan seperti kelompok Pakatan Rakyat dan sekutunya. Sejarah bukan milik bangsawan Umno, kerana dalam catatan sejarah masa silam sering mengutamakan sejarah kebangsawan Melayu yang tidak seimbang dengan pensejarahan sebenar.
Penulis sejarah masa lampau sangat mengutamakan sejarah penguasa dan para pemimpinnya. Justeru apabila berbicara tentang sejarah, kita asyik membicarakan tokoh-tokoh dalam Umno sahaja.
Sejarah Malaysia perlu dicatatkan bahawa Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 adalah gambaran sebenar kebangkitan rakyat.
Rakyat tidak boleh diperlekehkan lagi. Penguasa yang ada sekarang sekalipun berslogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, nampaknya masih gagal untuk mengotakan apa yang dikatakan sebagai mengutamakan rakyat.
Mengutamakan rakyat bermakna, memberi tumpuan kepada segala permasalahan yang menjadi kegelisahan rakyat, bukan masalah pemimpin yang mahu mempertahankan kuasa kerana telah melakukan banyak kenistaan.
Pak Samad bakal menjadi sasterawan unggul yang pernah menerima gelaran Sasterawan Negara, dan sebagai Sasterawan Negara, seseorang itu perlu membuktikan kehebatannya di gelanggang lain selain karya sastera.
Nah, Pak Samad telah membuatkan rakan-rakan Sasterawan Negara berasa malu kerana keberanian Pak Samad itu tidak dapat ditiru atau diikuti. Malah kebanyakan sasterawan yang mendapat gelaran hebat dan tertinggi menganggap, gelaran itu menyekat kebebasan untuk bertindak.
Pak Samad membuktikan sebaliknya. Sasterawan Negara perlu membuktikan sejauh mana dia prihatin dengan masalah rakyat golongan murbawan umpamanya.
Sasterawan Negara tidak memberi makna kalau sekadar menyampaikan pesan-pesan biasa yang senada dengan penguasa yang ada.
Sasterawan perlu sedar bahawa Pak Samadlah satu-satunya sasterawan yang menongkah arus, keberaniannya tidak sepadan dengan usianya. Tetapi dia telah membuktikan, Bersih 2.0 umpamanya telah menjadi pemangkin untuk meneruskan agenda Bersih 3.0.
Kelak, dalam periwayatan sejarah namanya akan diukir dan ditambah faktanya, bahawa dialah sasterawan yang mengepalai Bersih 3.0.
Sejarah pasti mengukir namanya. Tidak ada sasterawan yang berada di panggung sejarah begitu hebat seperti dia. Kerana dengan usia seperti dia, selalunya para sasterawan mahu duduk enak nonton televisyen sambil baca akhbar perdana.
Sasterawan hari ini tidak membaca akhbar perdana lagi, mereka tidak menganggap Berita Minggu, Berita Harian, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, dan akhbar tabloid lainnya sebagai penting lagi. Mereka perlukan wadah untuk menyalurkan gelora rasa hati mereka.
Walaupun tanpa saluran kerana kekangan pengasuh sastera dalam media yang disebutkan itu, sasterawan tetap bergerak dengan menyalurkan pandangan, kritikan, karya apa sahaja genrenya melalui media lain. Sasterawan hari ini bernasib baik kerana tidak bergantung kepada media perdana yang telah menghancurkan kepercayaan para sasterawan yang ada.
Bersih 3.0 juga menguji sejauh mana sikap dan pandangan penguasa yang ada hari ini. Apakah mereka peka dan mendengar rintihan rakyat, atau mereka akan memerangi rakyat.
Pihak penguasa tidak boleh memerangi rakyat. Mereka perlu melayani kehendak rakyat. Apa ertinya penguasa yang berkuasa di pusat sana jika mereka membenci rakyat. Sudah jelas sekarang, pihak penguasa di pusat sana seakan benci amat dengan kelompok pendukung Bersih 3.0.
Bukankah semua ini kerana hasutan kuat dari media mereka yang menganggap Pakatan Rakyat sudah mengelabui rakyat. Ada yang mengeluh mengapa perlu ada Ambiga dalam Bersih 3.0. Mereka lupa bahawa dalam Bersih 3.0 ada Sasterawan Negara!
Kalau sasterawan geraknya sama seperti Pak Samad, maka mudahlah golongan seniman membadaikan penguasa yang menzalimi rakyat dengan SPRnya.
Sesungguhnya gerakan Bersih 3.0 adalah gambaran nyata, bahawa rakyat inginkan pilihanraya yang bersih, bukan pilihanraya yang menipu, memanipulasi pengundi demi untuk menyelamatkan beberapa kerat tokoh Umno yang sedang bermasalah. []

No comments:

Post a Comment