Monday 16 April 2012

BERBAGAI ISU DIBANGKITKAN TAPI TAK MENJADI

USAHA MEDIA UTAMA YANG MENJADI LIDAH UMNO untuk memporak-perandakan pakatan pembangkang nampaknya sentiasa gagal. Sudah banyak kali media utama yang mendakwa sebagai penyebar fikiran rakyat telah menjadi penyebar dakyah kepada rakyat. Rakyat hari ini sudah celik, mereka tidak mudah memakan umpan.
Mereka sudah tahu tajuk muka depan sesebuah akhbar media utama atau media elektornik lainnya adalah bertujuan politik belaka. Lidah untuk rakyat sudah dijadikan lidah politik.

ISU YANG DILUPAKAN
Akhbar media utama tidak pernah melaporkan kes Scorpene yang akan dibuka filenya di Paris, akhbar itu juga tak minat hendak siarkan ulasan tentang Altantuya, komisyen pembelian kapal selam, begitu juga ulasan tentang penyalahgunaan dana kerajaan untuk NFC, begitu juga tentang isu yang dibangkitkan rakyat tentang kegagalan SPR memenuhi tuntutan rakyat.
Dengan bijak, media perdana kita mengalihkan isu kepada perkara lain, termasuk konon ada MP pembangkang menghina raja-raja Melayu dan macam-macam lagi. Pendeknya, inilah antara beberapa ikhtiar media arus perdana hendak menimbulkan kebencian dan kegelisahan rakyat agar mereka menolak pembangkang.
Apabila majalah berpengaruh seperti Asia fokus kepada isu Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang perlu diperhatikan, maka Utusan Malaysia atau Berita Harian tidak berani mengulas pun. Mereka akan dedahkan di muka depan kalau majalah bertaraf antarabangsa siarkan gambar Tuk Jib.
Tidak ada tokoh di Malaysia yang mendapat tempat dalam media antarabangsa seperti Anwar Ibrahim. Percayalah, tidak ada tokoh dalam UBN yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Apabila ada tokoh dari Malaysia muncul di pentas dunia seperti Anwar, maka pihak media arus perdana berusaha untuk memberi gambaran buruk kepada tokoh ini dengan laporan dan ulasan yang menjurus kepada pemikiran seks Melayu melampau.
Paling tidak mereka katakan dapat bantuan asing! Inilah yang selalu dimainkan. Atau dapat dana dari Israel. Sebab pihak PR selalu bangkitkan isu negara adakan perdagangan dengan negara itu, dan negara juga mendapat bantuan latihan daripada asing.

KITAR SEMULA BAHAN
Maka pihak media arus perdana akan membelek laporan lama untuk dikitar semula. Bahan kitar semula ini sudah jatuh harga, bagi pengamal media, bahan seperti ini memberi gambaran betapa lapuknya pemikiran kalangan pengendali media yang ada. Ia memberi gambaran bahawa pihak mereka sudah ketandusan bahan, apa lagi yang hendak dipaparkan untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan sekutunya?
Kini, semakin ramai anak-anak muda kembali kepada Islam. Semakin ramai artis yang sedar bahawa selama ini hiburan yang mereka redahi telah menjerumuskan meraka ke lorong kegelapan dalam agama.
Hiburan yang keterlaluan yang menjadi fokus utama media arus perdana sudah menuju ke pintu kelemahan, akhirnya umat menyedari bahawa hiburan yang ada hari ini melekakan, merosakkan agama, muda-mudi kita semakin jauh meninggalkan landasan Islam, terpedaya oleh mainan syaitan atas nama hiburan.
Media arus perdana melihat kelemahan orang Melayu adalah dalam soal kelekaan dan hiburan.
Hiburan adalah segala-galanya bagi umat Melayu. Sejak zaman silam hingga sekarang pun, umat kita amat leka dengan hiburan. Bahkan hiburan telah menjadi panutan kita, 70% hiburan menjana rezeki umat, mereka menjadikan 30% sahaja kepada Islam, itupun dipecahkan lagi kepada beberapa bahagian hingga Islam ini hanya 5% berada dalam minda umat.

PROGRAM LEKA
Sejak akhir-akhir ini media arus perdana telah menjadi wadah paling berkesan untuk melekakan umat Melayu. Bermacam program diadakan untuk melekakan umat, dan salah satu program yang amat menarik kepada umat muda Melayu adalah program realiti seperti nyanyian, tari-menari, mencari mentor, mencari bakal lakonan, hinggakan hendak mencari imam muda pun terpaksa gunakan program yang dicedok dari media Barat. Kita hanya meniru daripada acuan mereka, bahkan saluran media kita yang ada pun bukan menjurus sangat kepada penambah ilmu, sebaliknya hanya menambah ruang kelekaan.
Bukankah ini matlamat musuh-musuh umat agar kita menghabiskan masa untuk hiburan dan dunia sehingga puluhan jam, sedangkan untuk Islam hanya beberapa minit sahaja.
Kita melihat, media arus perdana bagai kehilangan arah. Selain memaparkan ucapan pemimpin ketika merasmikan itu dan ini, maka paparan yang lain adalah berupa hasutan agar rakyat ini tidak terpengaruh dengan dakyah pemimpin pembangkang.
Media arus perdana lupa, bahawa rakyat harus beringat dengan dakyah para pemimpin pusat yang memburuk-burukkan pemimpin pembangkang.
Jika media arus perdana fikir media mereka cukup kuat untuk mempengaruhi rakyat, maka rakyat yang sudah celik tidak menatap lagi media arus perdana yang penuh penipuan dan ulasan menghasut. Mereka memilih media lain yang lebih menyeluruh dan sesuai dengan selera masing-masing.
Kini, sebarang majlis rasmi atau tak rasmi dari penguasa pusat, semuanya menjurus kepada politik. Soal pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara jatuh kepada agenda akhir.

SUKAR
Usaha pihak pusat untuk memenangi hati rakyat nampak begitu sukar, sehingga setiap hari gong terpaksa dipukul untuk memberitahu rakyat bahawa penguasa yang ada hari ini telah menunaikan segala janji yang ditabur kepada rakyat.
Memanglah bersemangat, kerana mereka hanya mendengar laporan dan melaporkan bagi sebelah pihak. Hasrat rakyat bawahan tidak diselami. Sekadar adakan majlis temu rakyat, dengan anak muda bermotosikal atau basikal, ia bukan penentu sokongan rakyat. Begitu majlis bersama anak-anak muda yang dihimpun dengan pakaian yang sewarna, ia adalah kerahan yang dipaksakan ke atas anak muda, ia tidak bersifat spontan, paksaan yang dipamerkan untuk menimbulkan suasana selesa akan makan diri sebenarnya.
Zaman sudah berubah, anak-anak muda yang cerdik makin ramai. Menabur gula-gula yang memang manis tidak semestinya akan dihurung oleh semut rakyat.
Kini, rakyat melihat, tajuk-tajuk muka depan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu, The Star atau Sinar Harian menggambarkan usaha menidakkan gelombang politik baru yang melanda negara sekarang. Akhbar utama ini cuba menafikan hak rakyat, masih menggambarkan bahawa selain Umno dan sekutunya, tidak ada parti lain yang mampu mentadbir urus negara ini.

KETIRISAN WANG
Akhbar arus perdana ini tidak pernah membangkitkan isu ketirisan wang negara, ke mana wang yang begitu besar hingga ratusan billion boleh "hilang" begitu sahaja. Siapa yang melakukan semua ini? Media arus perdana tidak pernah bangkitkan di halaman depan. Sebaliknya mereka masih kita semula isu tentang Raja-raja Melayu, inilah dahan terakhir untuk mereka berpaut, hendak memainkan isu itu agar orang Melayu bersatu di bawah lambang keris terhunus.
Sayang sekali, ia sudah tidak menarik lagi. Ibarat magnet yang tidak boleh lekat kepada besi keris itu lagi kerana keris yang terkini bukan tempaan dari Mpu Gandring yang mumpuni, ia adalah keris yang dibuat dari adunan besi campuran, magnet tidak melekat padanya lagi.
Begitulah sukarnya media arus perdana memainkan isu. Dari satu isu kepada isu lain. Semuanya tidak menjadi. Isu kemelut Pakatan Rakyat Kedah sudah selesai, begitu juga isu Lim Guan Eng, kemudian mereka kacau Selangor, kemudian isukan Hassan Ali yang semakin tenggelam gelagatnya, isu Kelantan pun tidak menjadi, akhirnya pengamal media arus perdana kepenatan mencari isu.
Tajuk apa lagi yang mahu dipaparkan di halaman depan?
Kita bimbang, pada suatu ketika nanti media arus perdana ini berpaling tadah. Mereka mula melakukan serangan terhadap ketua mereka sendiri. Ketika itu baharulah ia benar-benar menjadi lidah rakyat.
Apa yang penulis katakan ini adalah paparan dalam media utama yang bakal mencorakkan politik Malaysia di mana depan. Anak muda hari ini tidak tergoda lagi dengan paparan media utama. Mereka mungkin sudah jelak, ucapan pemimpin sudah berpolitik, mimbar masjid berpolitik, sehinggakan semua pegawai dalam jabatan tertentu pun asyik berpolitik, akhirnya rakyat jelak.
Kini, pengamal media sedang merancang topik baru. Apa lagi? Apakah skandal seks lagi? Jika masih bermain kepada seks, jelaslah betapa rendahnya moral pengamal media kita. []  

No comments:

Post a Comment