Sunday 15 April 2012

GAY, HOMO, LESBI DAN NYAH

METRO AHAD, 15hb.Apr.2012, melaporkan aktiviti sekelompok umat yang dikategorikan cenderung kepada amalan homo kini semakin meningkat, hanya tidak ada statistik sahaja yang dikumpulkan. Kalau ada statistik kajian pun, ia tidak boleh dianggap lengkap dan kemaskini. Kalau buat kajian pun mungkin berdasarkan responden yang kedudukannnya diragui untuk dijadikan bahan kajian.
Maka, akhbar berkenaan melaporkan dalam facebook sahaja kelompok gay ini mendapat sambutan sampai mencecah 4,000 berdasarkan LIKE yang disentuh. Sebenarnya, kita kena rasional, LIKE bukanlah gambaran kelompok, ia sekadar berkunjung ke situ dan suka-suka menyentuh LIKE sehingga bilangan bertambah. Jika ia dijadikan ukuran, maka ini adalah jangkaan yang silap.
Begitu juga kita nak menuduh bahawa umat Melayu kita hari ini sudah semakin liberal, menuju transformasi sanggup melampaui gender dan macam-macam tuduhan.
Sila semak semula, kelompok yang dikatakan pengamal homoseks ini memang ada di mana-mana belahan dunia. Kalau pun ada semacam kelab kelompok ini, ia bukanlah kelab dengan pengertian yang sebenar.
Kita perlu menyedari siapakah yang suka berlonggok di tempat berkenaan? Sudah tentu mereka yang mempunyai habit sedemikian. Amalan homoseks tidak dikenali di bumi Malaysia, kecuali setelah media arus perdana kita mempermainkan isu fitnah seks, daripada seks dengan wanita, mereka fitnahkan seks dengan kaum sejenis untuk menggambarkan begitu teruk dan dahsyatnya perangai seseorang yang dimusuhi pihak tertentu atas landasan politik.
Apabila media arus perdana memainkan isu ini, diperkatakan setiap hari, maka lama kelamaan ia menjadi terakru dan diterima pakai di dalam ruang minda rakyat. Bagaimana pun tidak semua rakyat menerima segala fitnah dan tohmahan itu kerana ia sebenarnya adalah isu politik dan bukan isu homoseks.
Jika seseorang itu dituduh melakukan hubungan seks dengan wanita, ia adalah normal  bagi lelaki, tetapi ia dianggap golongan yang tak beriman. Sebaliknya jika seorang lelaki difitnah melakukan seks dengan lelaki berumur dan berganti-ganti pasangan, ia menggambarkan jiwa yang sakit parah di kalangan penuduh atau yang mencipta petuduhan itu.
Massa di negara kita seolah-olah dipaksa mempercayai cerita karut ini kerana itulah yang dijejalkan dalam media kita setiap hari. Sejak pecah reformasi hingga tahun 2012, orang masih gembira mengusung dosa fitnah, menambahkan fitnah dengan berbagai versi.
Sealiran dengan fitnah politik yang terancang dan direstui pihak atasan, maka fitnah juga menyasarkan kalangan awam dengan mencipta laporan berita, konon wartawan menyamar sebagai pelanggan [kalau memang benar melakukan bagaimana?]
Dalam kes ini wartawan seolah-olah diberi kebebasan untuk keluar masuk tempat maksiat, dengan alasan konon mencari laporan yang eksklusif yang paling tepat dan jitu. Maka penyamaran pun dilakukan untuk mengorek cerita.
Bukankah ada di kalangan wartawan sendiri yang termasuk dalam salah satu kelompok puak yang diperkatakan ini? Aneh sekali, ada media yang seolah-olah menafikan jika di kalangan wartawan juga ada kaitan dengan pertumbuhan wabak menyimpang begini?
Jika benar kita tidak suka kepada kelompok yang diperkatakan itu sehingga dituduh mempunyai kelab dan sebagainya, maka kita perlu perangi dunia hiburan kita dahulu. Dunia hiburan yang disemarakkan oleh majalah dan ruang hiburan akhbar, kemudian program khusus tv kita, semua ini menjurus kepada penyanjungan ke atas salah satu kelompok umat yang dipandang sinis itu.
Dalam pada kita tidak gemar lelaki berpakaian wanita atau menjadi wanita, menjadi lembut, tetapi kita sanjung kalangan artis yang memperagakan pakaian wanita, buat show depan umum dengan berpakaian begitu, adakah golongan artis begitu istimewa, manakala Maknyah jalanan dijadikan buruan kerana berpakaian wanita?
Nampak aneh sekali dunia hiburan kita. Dan jika anda perasan ada komen melalui SMS, ruang lapor Harian Metro misalnya, selalu pembaca buat komen mengapa pengacara tv kita perlukan orang yang seakan-akan menyamai ciri-ciri kelompok yang kita benci ini? Lihatlah bagaimana penampilan mereka, dan bagaimana sanjungan masyarakat terhadap mereka.
Sebenarnya kelompok menyimpang ini mendapat liputan yang istimewa di kalangan para wartawan hiburan. Cara mereka menulis memberi gambaran bahawa perlakuan itu dibenarkan kerana mereka adalah artis, dan wartawan juga telah menanamkan keyakinan umat bahawa perbuatan itu tidak salah jika untuk mendapatkan rezeki. Dan "fatwa" para artis yang dipaparkan kisahnya itu dijadikan panduan kepada generasi yang jahil termasuk kelompok yang mewakili salah satu grup yang disebutkan di atas.
Cara media melayani kelompok menyimpang ini menyebabkan masyarakat umum redha dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, untuk menjadi gay, homo, lesbi dan nyah, seseorang itu tidak perlu menyertai kelab. Stail pakaian yang menjadi kegemaran artis kita ketika mentas juga adalah stail yang digemari oleh kelompok yang dikritik tadi. Malah kelompok lesbi yang berselindung di sebalik gelaran pengkid juga menjadi wabak di tengah kota.
Kecenderungan kepada seksual yang menyimpang ini bermula dari dunia peniruan. Rakan sebaya akan mempengaruhi seseorang menjadi homo, gay atau lesbi. Bahkan wartawan pun jika tidak berhati-hati, mereka boleh terjebak dalam kancah ini.
Kebiasaan berkawan dengan kumpulan Nyah akan menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan cara penampilan mereka. Untuk menjadi lembut seseorang perlu mempelajari apa yang digemari oleh mereka.
Nyah sebenarnya tidak ada matlamat dalam hidup, selain berambisi untuk menukar jantina, mereka banyak yang memilih meneruskan "karier" menggunakan ketrampilan yang ada untuk mendapat wang dan keseronokan.
Dengan kata mudah, apabila keinginan syahwat tidak dibendung dan tidak dapat disalurkan di tempat yang halal [baca perkahwinan] maka mereka memilih untuk melampiaskan dengan pasangannya. Dalam kelompok yang menyimpang ini mereka memilih gay, homo atau lesbi kerana perlakuan mereka tidak dikesan oleh orang lain.
Umum akan menjangkakan dua lelaki [dari kumpulan gay] adalah manusia biasa seperti orang lain, tetapi mereka tidak menyangka pula mereka boleh berada di atas satu ranjang. Begitu juga kumpulan pengkid, mereka melakukan demikian kerana pandangan serong itu jadi tumpul kerana orang menjangkakan mereka berkawan perempuan dengan perempuan, tidak ada pertuduhan untuk khalwat, begitu juga lelaki dengan lelaki meskipun salah satunya tergolong Nyah [kecuali kalau berpakaian wanita mengalahkan selebriti].
Hubungan terlarang ini ada yang dianggap sebagai eskapisme bagi mereka yang tak ada pasangan. Jadi amat janggal dan gila sekali kalau orang yang sudah beristeri masih mengadakan hubungan dengan salah satu dari umat yang mempunyai habit menyimpang tadi.
Kenapa berlaku begini? Tidak dapat dinafikan selain naluri bejat yang dipupuk sejak zaman remaja, mungkin asuhan salah dari orang tua, atau salah memilih kawan, ada juga dari kelompok introvert yang gagal mencari pasangan wanita, dan mereka memilih gay, kaki homo atau Nyah untuk melepaskan syahwat. Ini lumrah.
Saya pernah diundang diskusi bersama sebuah kementerian akan hal Nyah di Kuala Lumpur ini suatu masa dulu, dan lontaran pendapat saya dipandang sinis oleh kelompok ini.
Jika gay mengadakan hubungan seks sesama lelaki, tak kira sasa atau lembut, maka dalam kelompok gay inilah amalan homoseks berlangsung. Kelompok gay sudah tentu menggemari homoseks, dan perlakuan Nyah juga boleh dikategorikan sebagai homoseks juga kerana Nyah adalah lelaki, bahkan ramai juga yang sebenarnya lelaki sejati. Hanya kerana ikut rakan-rakan sebaya, atau salah asuhan ibu bapa, maka setelah dewasa mereka memilih jalan yang menyimpang.
Akan tetapi mereka juga akan menghadapi dilema apabila berada di persimpangan kehidupan. Ya, apabila usia telah mencecah 50-an, ke mana hala hendak dituju? Adakah mahu meneruskan agenda songsang atau kembali ke pangkal jalan, BERTAUBAT NASUHA?
Dalam diri kelompok ini sebenarnya ada semacam naluri dalaman yang terpendam, ia dibancuh dengan kepelbagaian pengalaman zaman kanak-kanak dalam soal seksual.
Sebenarnya ada juga di kalangan umat yang terdesak kerana penyaluran seksualnya tidak ada. Mereka tidak ada pasangan, justeru mereka terjebak dalam permainan seks sejenis, pengalaman pertama akan menjadi kenangan, ia diulang lagi dan diulang, akhirnya menjadi semacam ketagihan. Lama kelamaan mereka terdorong kepada permainan seksual secara itu - mungkin menggemari kelompok gay yang homoseks.
Sebenarnya, masyarakat tidak mencemuh kelompok yang menyimpang dan menyongsang ini, bahkan dalam dunia hiburan kita, ia dijadikan hal biasa. Watak-watak yang menyerupai kelompok yang diperkatakan ini kerap ditampilkan dalam drama dan filem kita, ia kadang-kadang dijadikan badot untuk mentertawakan orang atau memberi sindiran secara tak langsung kepada audien.
Sebenarnya penyimpangan ini tidak ada kaitan dengan LIBERAL sebagaimana yang banyak diperkatakan orang. Apabila terdapat banyak kongkongan orang akan mencari pelepasan, jika melontarkan idea yang berbeza, ia tidak semestinya sesuatu yang liberal. Bahkan sudah ada label yang dikatakan sebagai Islam Liberal.
Kalau seseorang itu menyertai salah satu kelompok baik, gay yang homoseks itu, lesbi di kalangan wanita atau Nyah [juga dipanggil waria] ia bukan gambaran liberalisasi yang diperkatakan, dan bukan juga soal gender sangat. Ia hanya penyaluran naluri seksual sahaja. Setiap orang mempunyai kecenderungan yang berbeza, maka kelompok gay juga mencari kelainan dalam ruang yang bebas.
Seperti telah dikatakan tadi, tidak ada yang mahu berterusan untuk jadi begitu hingga usia mencecah 50-an, bukankah kita diingatkan agar mengingati mati. Orang bijaksana akan mengingati mati dan minta dijauhkan dari azab kubur. Dan bagaimana jika seseorang masih bergelumang dengan kebejatan ini di lorong dzulumat?
Nah, jika kita benci dengan kumpulan yang menyimpang ini, kita perlu sedar, semuanya bermula daripada sikap kita sendiri yang mempopularkan budaya menyimpang dalam media massa. Halaman hiburan kita sangat cenderung menampilkan stail pakaian dan pemikiran yang sejalan dengan kelompok ini.
Kita juga gemar bermain dengan pendapat sendiri, fatwa yang meringankan tindakan agar tidak dibebani dengan tohmahan berat masyarakat. Kaedah ini akan jadi penggalak sebenarnya.
Apabila kelompok seperti ini makin membesar, maka sukarlah hendak mengatasinya. Apa pun baik gay, homo, lesbi atau Nyah, mereka menggemari suasana malam yang misteri. Apa yang mereka lakukan, memang tidak dapat dibayangkan, kecuali mereka yang gemar menonton video lucah versi homo, lesbi dan Nyah yang melambak. Daripada ruang inilah mereka didorong untuk melampiaskan syahwat secara itu.
Mengenai urut batin, ada urut batin dilakukan oleh wanita. Ini bagi lelaki yang tidak ada pasangan atau membujang. Ketagih urutan pertama akan menjadi ulangan berikutnya. Akhirnya ia akan jadi pelanggan tetap urut batin. Ada juga mereka yang ketagih tukang urut lelaki sasa, kerana ada tindakan homoseks di situ bagi secara oral atau kelangsungan yang jitu. Begitu juga kaum wanita yang ketagih sesama mereka, kancah lesbianisme tidak dapat dielakkan.
Ada kes di sebuah kondo, seorang wanita sudah berumur tinggal dengan seorang wanita muda, keduanya Melayu. Tidak tahu sejauh mana hubungan mereka berdua, tetapi dengan penampilan jantan kepada wanita berumur itu, jelaslah dia menjadi "suami" mutaah [cara Syiah] kepada wanita muda itu. Sebenarnya, dalam soal gay, homo, lesbi dan Nyah ini, banyak cabang dan rencah ceritanya.
Seks sendiri adalah kompleks. Sebab itu banyak jenayah yang melihatkan seksual. Fitnah juga lebih mudah disalurkan dalam ruang ini. Seks suatu topik yang mencelikkan orang mengantuk. Dengan sebab itu, untuk menarik perhatian orang, kita kena bicara soal seks meskipun ia hanya rekaan semata-mata. Lihatlah fiksyen pengakuan dan skandal macam-macam dalam media picisan kita.
Selagi nadi berdenyut, kelompok yang menggemari perlakuan seks hairan ini akan terus hidup dengan dunia mereka. Makin dibicarakan ia akan marak kerana merasa diberi perhatian. Akan tetapi kalau kita diamkan, mereka juga akan hilang selera untuk beraktiviti dan mencari publisiti. [] 

No comments:

Post a Comment