Friday 13 April 2012

YOU TAHU DI MANA NAK GUGURKAN JANIN?

SUATU HARI saya turun dari sebuah hotel di George Town, saya nak ke Masjid Kapitan Kling nak pekena nasi kandar di lorong terselit antara deretan kedai emas dan tembok pagar masjid itu. Tiba-tiba kedengaran seseorang melaung nama saya.
Apabila saya berpaling, saya lihat di celah jendela kamar hotel itu seorang lelaki melambai menyuruh saya naik. Tidak sangka sama sekali, lelaki itu adalah orang sekampung di Kg Warisan Pasir Panjang, Sekincan.
Lelaki itu mempersilakan saya masuk ke kamar sewaannya. Kebetulan saya memang menyewa hotel itu selama berbulan-bulan sepanjang saya bekerja di sebuah syarikat penerbitan di bawah sayap NGO yang dibiayai oleh Toyota Foundation [dalam tahun 1981-82].
Saya dapati kawan sekampung ini yang kakaknya pernah menjadi guru sementara di sekolah menengah macam saya, bertanya satu soalan ganjil.
"You tahu tak di mana ada orang yang mahir nak gugurkan janin?" tanya kawan saya berbisik.
Saya lihat, di atas katil bertaburan pakaian lelaki dan perempuan. Dan pasangan kawan saya itu siapa? Jadi, saya jawab tak tahu. Dia kawan saya, daripada bisikan yang dia tuturkan, temanitanya seorang guru pelatih kolej, bakal guru, sudah termengandung kerana kebiasaan berseronok, berdua-duaan begitu.
Mungkin kalau saya membebel tentang perangainya itu akan terjadi pergaduhan. Gaduh dengan orang sekampung tentu tak kena. Balik kampung jumpa juga.
Jadi dengan perkataan tak tahu itulah, saya tak masuk campur langsung. Tak ada pula beri cadangan itu dan ini. Saya fikir nak pekena nasi kandak sahaja. Tamat cerita.
Kenapa kisah ini dipaparkan di sini? Ya, kerana watak lelaki yang juga teman saya ini sebenarnya sejarahnya samar kepada saya. Kini isterinya, seorang wanita dari Jawa menetap di rumah pusaka di Kg. Warisan itu. Yang hendak saya paparkan ialah bagaimana teruknya di kampung kami ketika itu, sebilangan besar sahabat saya terguling gugur di medan pertempuran melawan HIV/AIDS.
Semua ini adalah gara-gara berleluasanya bekalan dadah di seluruh kampung, entah di kawasan bakau atau bendang tali airnya, atau bawah pokok kelapa atau sawitnya, semua sudah jadi wabak. Terus terang, di kampung saya itu, tidak kurang enam orang sahabat saya gugur kerana AIDS/HIV. Semua kerana angkara dadah.
Tempat saya itu bukan tidak ada kemudahan, tepi jalan utama Sabak Bernam-Kuala Selangor. Anehnya, dadah meracuni anak-anak muda kampung yang kebanyakannya kerja kampung. Nampaknya tidak ada usaha dari pihak mana pun untuk mengatasinya. Jauh daripada hendak mencegahnya. Termasuk yang gugur adalah kawan yang memanggil saya di sebuah hotel di George Town itu.

GUGUR JANIN
Sebenarnya kisah gugurkan janin ini masih samar kepada saya. Tidak terfikir pula ada bidan kampung, dukun, bomoh atau orang pintar yang "ahli" dalam soal pengguguran janin.
Pada masa itu tidak ada pun berita orang gugurkan janin atau buang bayi seperti tahun 2012 sekarang. Sebaik saya jejakkan kaki di Kuala Lumpur dan menjadi wartawan tabloid Mingguan Bumi, juga menulis untuk Mingguan Tanahair, saya dapat maklumat ada klinik yang jadi tumpuan wanita atau perempuan muda gugurkan janin.
Orang kota bijak menutup aib mereka dengan cara berkonsultasi di klinik pakar atau tak pakar. Atau memang tempat itu sudah jadi rahsia mereka untuk dikunjungi apabila darurat terjadi.
Bukankah pada masa itu kegiatan pelacuran, wanita pelayan bar, pelayan kabaret dan kelab malam begitu hebat? Ini yang pengkaji katakan sebagai budaya popular.
Dan daripada bahan-bahan yang dikutip, setiap wanita yang bekerja di sektor hiburan malam itu mempunyai pelanggan yang ramai, silih berganti, dan mereka mempunyai "kendak" dan sesekali beraksi sebagai muncikari mereka.
Perbuatan membuang janin mungkin sudah lama di setengah kota kita. Di mana ada aktiviti amoral begini, sudah pasti akan tampil pakar penyelamat dengan menetapkan bayaran tertentu. Kita tidak membuat kajian tentang aktiviti ini di kampung-kampung, bagaimana orang tertentu yang pakar melakukan tugas menggugurkan janin secara tradisi, menggunakan bahan-bahan bersifat "tajam" dan sebagainya.
Jadi, suasana kampung yang bersifat tertutup itu telah berjaya menutup aib seseorang. Kita tidak boleh kata suasana di kampung jauh lebih baik dari kota. Sebab pada masa silam, aktiviti masjid hanyalah sekadar maulidul rasul, israq mikraj, solat terawih, solat jenazah dan tazkirah pula hanya pada waktu utama sahaja, tidak seperti sekarang, setiap hari ada tazkirah meskipun jemaah yang mendengar ada enam orang sahaja.
Aktiviti tidak bermoral di kampung tidak diketahui sangat pada masa itu, dan sebab tulah jika ada anak-anak muda bergelumang dengan dadah, menjadi "doktor" bawah pokok pisang atau dalam pondok buruk, tak ada siapa peduli.
Orang politik pun tidak peduli, dan di tempat saya itu adalah wadah pejuang Umno tulen berkhidmat bakti, sayangnya, wacana dan kebisingan seperti sekarang tidak wujud pada zaman itu.
YB kita adalah bekas kerani sekolah sahaja, kemudian jadi penghulu muda dan menanjak jadi calon pilihanraya. Ada kisah menarik konfrontasi saya dengan YB ini gara-gara sebuah cerpen bertajuk MABUK dipaparkan dalam media ketika itu, menyebabkan ada di kalangan kerabat terdekat mengesyorkan saya tidak balik kampung, takut kena beduk dek orang-orang YB.
Di balai raya kampung dulu ada sekelompok penduduk yang dianggap elitis kampung, setiap hari mengacau buah dadu kerana main macuk. Masa itu, tidak ada siapa menegur walaupun balai raya tempat main macuk itu dekat masjid, tambahan yang main adalah orang kuat kampung belaka!
Bayangkan, jika beginilah kaedahnya, maka apabila anak-anak muda jadi penagih sampai ke tahap kronik, tidak ada siapa nak menuding jari. Mungkin ada menuding jari telunjuk 1MALAYSIA!

No comments:

Post a Comment