Friday 13 April 2012

DBP MANDUL KARYA BERMUTU?

TERTARIK DENGAN TULISAN DALAM ruang Budaya SUARA KEADILAN 61, 10 April 2012. Ya, betapa keadaannya begitu bersahaja, seperti dahulu juga, DBP tidak menonjol sangat dibandingkan penerbit lain yang galak menerbitkan buku-buku baru baik sastera atau bukan sastera.
Terus terang, sebagai penulis, saya mula menjauhkan diri dari menatap Dewan Sastera, Dewan Budaya dan buku-buku terbitan DBP. Ada tak adanya, saya jenguk di kedai buku "terbaca" jika ada bahan-bahan yang boleh dihimbau semula. Itu sahaja.
Mungkin zaman sudah berubah, selera untuk menatap majalah kegemaran itu sudah luntur kerana DBP sejak dahulu lagi memang pembawaannya begitu, ia membopong sekali dasar penguasa yang ada di pusat sana.
Mana mungkin sasterawan yang sudah menyeberang mahu menyalurkan bahan karya kepada majalah terbitan DBP, kerana kalau boleh mereka yang propenguasa sahaja yang layak menyalurkan bahan ke situ.
Dan tidak hairan di kalangan penulis ada yang tutup buku terhadap karya sastera dan apa juga halaman sastera kerana mereka sudah kehilangan majalah dan akhbar untuk ditatap. Ada tidaknya adalah apa yang dipaparkan dalam Harakah dan Suara Keadilan.
Ramai penulis yang tak mungkin berpaling untuk menatap Mingguan Malaysia dan Berita Minggu lagi. Mereka memilih jalan "mogok seni" sehingga keadaan politik di negara kita pulih. Selagi suasana politik kita tidak bebas dari cengkaman penjajahan seperti yang ada sekarang, maka ramai penulis enggan meneruskan kegemarannya berkarya.
Dan biarlah Malaysia tidak mempunyai karya terbaik pun. Sedang DBP sendiri hanya menerbitkan karya para kenalan dan orang yang biasa bertandang ke kamar DBP bagi tunjuk muka, bersalaman dan gebang-gebang. DBP adalah tempat bagi orang muda yang tidak mengenal politik kepartian, masih selesa berbaju yang ada lambang 1Malaysia, sedangkan pihak lain memandang sinis ke arah itu.
Jika melihat betapa banyak buku terbitan DBP yang tak laku, memanglah dalam dunia industri buku ini, tidak ada penerbit bumiputera yang benar-benar gah dalam dunia penerbitan. Ada dua tiga nama sahaja yang sedang menanjak naik dalam industri buku, sedangkan DBP masih dengan cara lama, kerana mereka ditadbir urus oleh orang yang sedemikian, mereka masih meneruskan cara kerja zaman dulu, tidak suka kepada perubahan apa lagi hendak melakukan percubaan.
Lagipun DBP berada di bawah ketiak kementerian. Dan jika ia diswastakan mungkin sudah lama jadi macam kebanyakan penerbit bumiputera yang tak berdaya maju dan tak mampu berdaya saing. Kita kena jujur, industri buku bumiputera masih di takuk lama, kita hanya pandai memproses produk, tetapi kita tidak pandai memasarkan. Tambahan pula tidak ada "supermarket" dan "mini market" yang membantu pasaran buku kita andainya tidak ada bantuan bukan bumiputera. Paling penting, karya sastera bukanlah barang yang laku. Jika nak laku produk itu perlu disettingkan agar menjadi seperti Ombak Rindu atau Ombak Tsunami.[]

No comments:

Post a Comment