Monday 30 April 2012

SEORANG TEMAN DI BRISBANE

TEMAN INI adalah seorang pelukis. Dulu ketika bersama saya di Institut  Masyarakat, Lorong Kucing, Pulau Tikus, Pulau Pinang, dia adalah pelukis untuk menghiasi majalah bulanan terbitan syarikat.
Dia selalu berpakaian biasa, terlalu humble, dan saya selesa berkhidmat di pejabat tak bersepatu di situ bersama dia dan petugas lain.
Kini, dia di Brisbane, Australia, tinggal di sana kerana isterinya bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi di sana.
Yang menariknya, ketika bersama saya di Penang dahulu, dia kurang akrap dengan soal agama. Hanya baru tadi siang, dia menghubungi saya dari Brisbane mahu bersembang tentang apa sahaja topik.
Amat berbeza, dia rupa-rupanya mahu memaklumklan kepada saya bahawa dia sudah bertukar arah. Maksudnya dia sudah berhijrah untuk lebih mendekati Islam.
Dalam usia yang sudah menjengah angka 6, maka dia wajar bertindak demikian, dan belum terlambat, walaupun sepatutnya dia bertukar sejak tahun 80-an lagi ketika di Penang.
Sayangnya, hubungan saya dengan pelukis ini tamat begitu sahaja apabila saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengendalikan Mingguan Bumi, sebuah tabloid mingguan yang cenderung kepada Pas.
Teman ini yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan mengadukan hal keluarga dan apa yang dia hadapi sekarang di perantauan.
Dia ada menceritakan tentang peristiwa hitam yang menimpa arwah adiknya, Rostah yang meninggal kerana dibunuh di Nilai, Negeri Sembilan. Mungkin ketika menatap laporan pembunuhan itu saya tidak terfikir pun bahawa ia ada kaitan dengan teman ini.
Dulu teman saya ini pernah tunjuk bakat melukis apa sahaja motif dan karikatur kehendak pelanggan untuk hiasan baju t jenis cotton asli.
Kemudian saya kehilangan jejak. Tahu-tahu dia beritahu telah hijrah lagi ke Alhambra. Mungkin banyak kenangan manis di sana. Dia juga berada di Sepanyol dan Afrika Utara sana. Entah apa yang dicari.
Setelah berpetualang di perantauan, dia memilih untuk hijrah ke Australia pula. Dan kini di Brisbane.
Bagaimana boleh meneruskan kehidupan di bumi asing itu? Sebagai pelukis sambilan, dia sampai sekarang masih melukis kalau ada ruang dan lukisan gaya Picasso memang digemari. Dengan cat garang-garang dan kanvas yang nampak kasar.
Ketika di Central Market, dia mengaku dia membelanjakan RM50 sehari untuk "dadah" bahkan pernah penyanyi Jamal Abdillah ajaknya mencari bahan terlarang itu di Ampang. Nampaknya teman ini kawan baik Jamal rupanya.
Kini, di Australia, dia beryukur kerana dia tinggal di kawasan yang berhampiran masjid. Dia boleh berjemaah di sana dengan kerusi roda. Imam masjid itu orang dari Jordan. Dia menderita stroke sejak dua tahun yang lalu.
Dan dalam perbualan panjang itu dia menyedari bahawa nikmat yang Allah swt beri telah mula ditarik sedikit demi sedikit. Kini dia semacam menjalani muhasabah diri, cuba mendekati al-Quran sedapat mungkin, membaca terjemahan versi Inggeris, membaca buku-buku keagamaan, dan menurutnya dia ada membaca buku bertajuk ANA AL-HAQ yang bukunya ditegah untuk dipasarkan, tetapi siapa yang nak buat kajian boleh sahaja.
Dia juga ada menyimpan koleksi buku Al-Ghazali dan beberapa kitab tafsir. Nampak dia mulai cenderung kepada agama. Sayangnya dia baru menyedari kepentingan hal ini pada tahun kebelakangan ini sahaja setelah menghadapi masalah kesihatan.
Dia menceritakan, setiap kali balik ke Malaysia, dan nak pulang semula ke Brisbane ada sahaja berita duka. Dulu ayahnya pergi, kemudian setelah berkahwin dengan Emma, ibunya pula menyusul. Kemudian abangnya yang tinggal di Johor, dan tak lupa kes bunuh yang melibatkan adik perempuannya.
Dengan nada bergurau, mungkin kalau dia balik ke Malaysia, dia pula yang akan pergi!
 

PUISI BERKAITAN TAK NAK LGBT SEKS BEBAS

KETIKA Ambiga Sreneevasan sibuk mengadakan rundingan untuk Perhimpunan Bersih 3.0, berbagai percubaan dilakukan oleh Umno dengan cara memberi galakan kepada NGO yang mendukung mereka agar mengadakan kempen di seluruh negara tentang LBGT Sek Bebas, konon ia sebuah program kesedaran tentang ancaman seks bebas dan LGBT.
Kumpulan NGO juga sengaja memohon kepada DBKL untuk gunakan Dataran Merdeka, tetapi memang tahu ia pasti ditolak, bagi menggambarkan bahawa NGO itu patuh dengan arahan. Sedangkan pihak penganjur Bersih 3.0 tidak patuh.
Kumpulan ini juga adakan perhimpunan di UPM, di UTM dan kawasan Kg.Bharu. Apakah NGO ini jujur berjuang untuk membebaskan negara dari ancaman seks bebas? Tidak. Mereka kekeringan idea, mereka hanya jadi alat untuk menonjolkan diri sebagai "sahabat" Umno.
Siapa yang hendak bersahabat dengan "orang jahat" seperti dalam Pakatan Rakyat? Jadi, mereka lebih memilih bersahabat dengan orang bermoral tinggi seperti puak-puak yang mendukung Umno-BN.
Spontan dengan keghairan yang tak berkesudahan yang bertujuan mengapi-apikan orang Melayu agar menolak penganjur Bersih 3.0, mereka pun sibuk kempen ancaman bebas seks. Padahal Jawi atau Jakim pun tidak pernah anjurkan ancaman begini, sebaliknya NGO yang tidak berkaitan tumpang sekaki.
Dan lantaran itulah saya menulis puisi berikut:

BETAPA BIJAKSANA

[Harakah, bil.1738, 30 April-3 Mei, 2012]

Bukankah di masa lampau
media yang mengarusperdana itu
melakukan hingar-bingar
tentang pelaku seks
dari berbagai dimensi sekularis
peri menyatakan kebejatan umat
bagi mendukung ghibah yang menular
dan merambat ke serata ceruk rantau.

Bukankah di masa itu setiap orang pun 
tertawa mengejek betapa bejatnya moral umat kita
yang bukan terkena batang hidung sesiapa
melainkan terkena paruh sendiri.

Kini sekelompok umat bangkit
bicara tentang moral dan dekadensi moral
ayuh rapatkan barisan 
perangi seks bebas
jangan biarkan homoseks atau
lesbian membara.

Betapa jahilnya diri
menyalak ke dinding yang tidak ketahuan
melanyak sebilang umat yang dinista gila
dalam diam-diam mereka lupa
semua ini adalah buah ranum yang dipetik
dari liwat versi demi versi
yang dihafaz oleh kelompok itu
kini mereka menempelak pula 
untuk membanteras.

Sayang sekali kelompok ini masih malu
masih enggan menyatakan peri
kehancuran umat ini
adalah legasi dari tindakan mereka.

Gombak, Selangor. 

BERSIH 3.0 AMAT BERJAYA TETAPI

USAHA mengumpulkan ratusan ribu umat di suatu ruang di tengah kota yang banyak batasan dan undang-undangnya bukanlah mudah. Tetapi pengajaran daripada beberapa siri Bersih yang lalu, penganjur semakin matang, dan himpunan Bersih 3.0 bagi saya amat berjaya, kerana bilangan yang turun padang terlalu ramai dan di luar jangkaan. Bayangkanlah segenap penjuru dan ruang di simpang utama kawasan berhampiran Dataran Merdeka penuh sesak. Jika dibiarkan nescaya ia adalah sebuah perhimpunan aman yang terbaik.
Andainya perhimpunan itu dianggap terbaik, maka di mana cacat celanya yang media utama penguasa zalim hendak laporkan? Bukankah media utama memang memikirkan sesuatu yang buruk mesti berlaku untuk dilaporkan. Dan perkara negatif inilah yang sangat diharapkan oleh media utama propemerintah kerana perhimpunan yang aman itu perlu diberikan gambaran seburuk mungkin.
Contohnya, kes sebuah kereta peronda polis. Ia sudah menjadi berita karut. Ada berita versi pemerintah dan ada berita versi kumpulan Bersih 3.0. Sebagai orang yang hadir sama di kawasan berkenaan, memanglah tidak diduga suatu kemalangan pelik boleh berlaku. Kereta peronda terlanggar peserta Bersih 3.0. Apakah media kerajaan akan melaporkan hal sebenar tambahan pemandunya adalah penjawat awam. Di sinilah nilai pemberitaan itu menjadi tempang. Kes pelanggaran langsung tidak dilaporkan tetapi hanya cerita buruk bagaimana dilontar botol atau batu. Cerita kemalangan lain yang berkaitan tidak disebut. Inilah berita bohong namanya. Pihak penjawat awam yang cedera dan dirawat lebih utama dibanding rakyat.
Dalam bab ini slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan adalah kata-kata indah yang tidak pernah dipraktikkan. Ia hanya mengumpan rakyat dengan cara menaburkan harapan kosong. Begitulah yang saya lihat apabila berlaku perhimpunan Bersih 3.0.
Rakyat yang hadir ke perhimpunan ini lebih besar bilangannya dibandingkan dengan perhimpunan Bersih yang terdahulu. Jelas, jika diadakan himpunan Bersih 4.0 ia pasti lebih meriah lagi.
Perhimpunan yang asalnya hanya untuk duduk bantah, jadi terbantut apabila pihak polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang orang ramai terutama penganjur mengadakan himpunan di Dataran Merdeka.
Mungkin ramai tidak perasan, bahawa arahan mahkamah pun dibuat secara tergesa-gesa, bayangkan esok nak diadakan perhimpunan, hari ini baru sibuk ke mahkamah. Bermakna pihak yang menguatkuasakan undang-undang sendiri pun tidak merancang apa yang hendak dibuat.
Mungkin pihak polis mengharapkan DBKL menguruskan hal itu. Memandangkan DBKL tidak ada pengalaman berdepan dengan bilangan orang yang terlalu padat, ia meminta jasa baik polis. Bukti larangan itu tidak dirancang ialah apabila pada notis itu menyebut:
"...bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan Perhimpunan tersebut akan diadakan pada 28.4.2012."
Notis melarang orang awam menyertai perhimpunan itu tidak memberi kesan walaupun ditampal di sepanjang jalan kanan-kiri sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Kemudian dalam notis itu juga menyebut:
"...bahawa adalah perlu bagi suatu tindakan segera diambil bagi mengelakkan satu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia  atau rusuhan atau gaduh gempar jika Perhimpunan tersebut diadakan."
Bagi peserta Bersih yang telah melalui siri-siri yang lepas, mereka amat memahami bahawa keamanan di dalam perhimpunan adalah perkara yang diutamakan. Bahkan para peserta sudah diperingatkan beberapa perkara. Misalnya: mereka perlu waspada terhadap penyamar peserta Bersih dengan baju kuning [mereka adalah anggota SB]; mereka diajar agar mengenal wajah-wajah orang yang suka melakukan provokasi dengan membuka ruang kepada tindakan ganas seperti memukul, melanggar, menendang, menjerit atau melakukan tindakan berani yang luar biasa.
Peserta perhimpunan sudah diberitahu, peserta biasa tidak bertindak berlebihan, tetapi orang yang menyamar mereka berani melanggar sekatan polis, berani pijak bumbung kereta, berani melakukan aksi yang luar biasa, kerana kehadiran pelakon ini adalah diatur sedemikian rupa.
Peserta juga telah diingatkan, tidak ada keganasan dalam perhimpunan jika tidak ada provokasi jahat dari puak yang menyamar ini.
Mereka sanggup memecahkan keamanan dengan melakukan tindakan berani dan dengan aksi tertentu bertujuan membangkitkan semangat peserta lain. Bagi orang baru yang tak kenal siapa mereka itu, pasti segala tindakan akan diikut.
Ketika itulah dengan sengaja, keganasan dimulakan. Apa gunanya perbuatan ini? Dalam propaganda memburukkan pembangkang ia amat berguna. Akhbar mingguan esok harinya menyiarkan tajuk yang ganas, hebat dan memualkan.
Mujur para peserta perhimpunan yang datang dari segenap ceruk rantau melihat keadaan yang sebenar. Dan esok harinya mereka melihat media utama yang tergantung di kedai memaparkan tajuk jahat. Mereka menuduh peserta perhimpunan melakukan keganasan terhadap pihak polis, sedangkan cerita polis memijak orang berbaju kuning tidak dipaparkan, begitu cerita kereta melanggar peserta Bersih. Pendeknya, media pemerintah mahu menggambarkan peserta Bersih jahat belaka.
Lihatlah apa komen dalam laman sosial yang ada. Semuanya dikomen orang budak muda yang tidak faham situasi. Mereka hanya mendengar cerita dalam tv yang menipu, mereka hanya mendengar berita radio yang pembohong, mereka juga mendengar ulasan menteri-menteri yang tak ada integriti sama sekali untuk bercakap dan mengulas, maka rakyat yang tidak turun ke lapangan diperbodohkan mentah-mentah.
Buat masa ini pihak pemerintah kita masih selesa membodohkan rakyat. Mereka sanggup memainkan isu perkauman ketika terdesak. Contohnya, mereka mempersoalkan kenapa Ambiga perlu jadi ketua dalam Bersih 3.0 itu, sedangkan peranan A Samad Said diketepikan. Ini agenda apa? Maksudnya agar orang Melayu tidak ikut serta sebab ia diketuai oleh orang berketurunan India. Bukankah aneh, apabila puak mereka yang melakukan hal  seperti ini tidak timbul pula isu kaum. Inilah mentaliti rendahan pihak pemimpin Umno dan wartawan-wartawan yang bersekongkol dengannya.
Agenda jahat wartawan pula, mereka sanggup datang ke katil hospital untuk bertanya tentang bagaimana insiden itu terjadi. Andainya orang itu menyebut dipukul dan dipijak oleh pihak tertentu, wartawan tak akan tulis, sebaliknya diputarkan menjadi cerita lain. Begitu yang terjadi pada kes kereta terbalik itu.
Kini ramai peserta Bersih 3.0 yang celik berita dan laporan. Kita memang telah nasihatkan mereka siang-siang lagi, tajuk muka depan hari Ahad nanti. Jangan percaya dengan laporan tv dan berita mereka. Anda sudah turun ke lapangan, anda lebih tahu daripada wartawan itu sendiri.
Inilah pelajaran yang diperoleh hasil dari menyertai perhimpunan. Mereka diajar bagaimana mengenal penyamar yang buat kacau. Siapa mereka? Mereka memang wujud di mana-mana setiap kali perhimpunan. Bahkan peserta masih ingat, orang yang memijak bumbung kereta Tv3 pun tak pernah ditangkap dan disaman. Bahkan yang mengamuk sakan tendang sana dan tendang sini pun tidak dikenakan apa-apa. Ini adalah kes sejak tahun 89 lagi yang para peserta pernah saksikan. Bahkan termasuk membakar motosikal pun. Ini cerita lama di persimpangan Jalan Raja Abdullah yang para peserta perhimpunan tetap ingat.
Semua ini adalah lakonan samseng yang memang diberi tugas untuk memberikan gambaran bahawa peserta himpunan ganas. Tanpa bantuan samseng begini, imej perhimpunan yang bersiri ini tidak ada masalah sama sekali. Lihatlah bagaimana orang ramai boleh berhimpun di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Itu kerana Pulau Pinang adalah negeri Pakatan Rakyat. Kerajaan di sana berkuasa.
Dan kita tak perlu bimbang, jika memang telah ditentukan untuk mengambil alih dari BN nanti, maka Dataran Merdeka kita akan ubah fungsinya. Jadikan ia dataran untuk majlis agama, untuk solat di situ, ceramah agama, dan bukan pementasan artis seperti yang digemari pemerintah yang ada. Kita kena tukar fungsi dataran yang konon menjadi warisan negara. Insya-Allah. []

Sunday 29 April 2012

PERHIMPUNAN RAJA BERDAULAT KASIH DIJUNJUNG JATI-PERKASA

KETIKA MENYERTAI PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 pada Sabtu 28hb.April semalam, saya terpandang pemidang yang sudah dipijak-pijak orang ramai dan koyak. Untuk mengetahui apa yang tertulis saya buka dan baca apa isinya.
Ia adalah makluman tentang sebuah perhimpunan yang bertemakan judul di atas. Tidak setakat Kasih Dijunjung, makluman itu ditambah dengan nada semangat: Ke titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Perhimpunan yang disertai sekitar 100 orang itu diadakan di Padang Kelab Selangor, bagi tujuan mengimbau sejarah masa silam perjuangan Melayu mendaulatkan posisi raja dalam perlembagaan negara. Turut berucap di majlis yang kurang sambutan dari segenap lapisan rakyat itu adalah Hassan Ali, Ibrahim Ali dan pakar sejarah Umno Ramlah Adam.
Tidak dapat dipastikan, apakah matlamat perhimpunan itu, kerana rata yang datang adalah kenalan rapat para petugas dan beberapa orang luar termasuk saya yang tak merasakan sesuatu yang kena dengan tema perhimpunan Raja Berdaulat.
Sebaliknya yang saya lihat, pemidang yang dicacakkan di tengah padang berbunyi sebagaimana berikut:
HUKUM AZMIN DAN TIAN CHUA SEGERA!! [apa kesalahan dua MP ini?]
PILIHANRAYA DI MALAYSIA SUDAH CUKUP TELUS
Maknanya, ketika orang sibuk mengatakan SPR tidak telus dalam mengendalikan pilihan raya, ada NGO yang tidak faham, mengatakan pilihan raya kita sudah cukup hebat dan cantik.
TERUS DAN TAMBAHKAN PTPTN
Maknanya hasrat rakyat nak dapatkan pendidikan percuma hingga ke menara gading tidak direstui oleh Jati dan Perkasa.
BERSIH TERIMA DANA ASING UNTUK JATUHKAN KERAJAAN.
Itulah fitnah yang ditaburkan di padang itu, oleh kumpulan yang berselindung di sebalik Kasih Dijunjung.
Memang orang tertanya-tanya apa motif perhimpunan itu? Tidak nampak apa-apa, bahkan ucapan Hassan Ali pun hambar dan tidak memikat kerana dia macam tergesa-gesa sebab hendak menghadiri mesyuarat Jati di tempat lain. Bermakna tinggal Si Ramlah dengan Ibrahim Ali terkapai-kapai.

RAJA BERDAULAT
Di mana sinifikannya tema Raja Berdaulat seperti plastik pemidang yang panjang berjela terpampang di tepi padang ketika perhimpunan. Tidak ada seorang kerabat diraja yang datang untuk berwacana tentang kedaulatan raja-raja. Dan amat menyedihkan Ramlah yang pakar dalam sejarah tidak sentuh langsung tentang pindaan Perlembagaan di Zaman Dr.M di bawah Umno.
Agaknya hal itu sudah dilupakan orang. Tidak nampak kejituan hasil daripada perhimpunan itu, tetapi hanya kedengaran suara takbir yang meniru-niru angkatan muda reformasi dulu. Bermakna mereka juga mengambil teladan sedikit sebanyak daripada tunjuk perasaan di masa lampau.
Sesuatu yang tak kena dengan perhimpunan yang konon mahu mendaulatkan raja-raja Melayu, sebaliknya ia seperti kehilangan visi apabila mencampur-adukkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan perjuangan Perkasa dan Jati.
Nampak benar, NGO ini sangat bergantung kepada fenomena sekitar. Mereka mengutip bahan daripada Pakatan Rakyat, apa sahaja yang diprogramkan oleh Pakatan Rakyat mereka jadikan bahan momokan. Sebaliknya apa sahaja program Umno yang lintang-pukang, mereka langsung tidak ambil peduli.
Secara tak langsung, pemerhati dan penganalisis luar melihat perjuangan Jati dan Perkasa sudah tersasar dari matlamat. Kalau sekadar melontarkan kritikan kepada Bersih 3.0, kepada pemimpin PR, atau perjuangan yang dicita-citakan oleh mahasiswa tanahair, jelas, baik Jati atau Perkasa kekeringan idea.
Dua NGO ini sangat bergantung kepada modal yang dibawa dari Pakatan Rakyat. Mereka berbicara dengan nada yang sama dengan pemimpin Umno.
Jika begitu tidak perlulah Jati atau Perkasa wujud, atau ia sebagai wadah untuk cari makan di masa depan. Daripada sokong Pakatan Rakyat, lebih baik sokong Umno. Tetapi di padang ini pertubuhan itu seperti membantai Pakatan Rakyat, kenapa mereka ke situ pula perginya. Contohnya, mereka kata Bersih 3.0 dapat dana asing untuk jatuhkan kerajaan.
Silap. Pakatan Rakyat akan menjatuhkan kerajaan melalui pilihan raya demokrasi. Sebab itulah mereka mahu SPR telus dalam mengendalikan pilihan raya. Ketika kecoh-kecoh dengan senarai pengundi rakyat asing, Parlimen tidak wajar dibubarkan. Jika begitu terkejar-kejar ada sesuatu yang diabaikan oleh penguasa yang ada hari ini.
Posisi ini tidak dilihat oleh Jati dan Perkasa kerana NGO ini seperti kematian arah. Ke mana hala tuju perjuangannya di masa depan. Percayalah, lama kelamaan perjuangannya akan tenggelam oleh peredaran masa.
Jika begitulah, akhirnya orang yang hadir di situ, terutama yang bukan ahli dua pertubuhan itu, mereka tertanya-tanya, pendaulatan apakah yang diperjuangkan oleh mereka? []

Saturday 28 April 2012

HIMPUNAN BERSIH DI JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN BERJAYA

MESKI DATARAN MERDEKA dikawal rapi dan dipasang kawat berduri, anak-anak muda yang menyertai kumpulan Bersih 3.0 dari segenap pelusuk tanah air tidak dihampakan kerana mereka masih dapat unjuk rasa di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sekatan yang terlalu banyak di sana-sini menyebabkan kumpulan Bersih 3.0 bergerak dari arah yang berlainan dan kemudian mereka bersatu di suatu sudut yang sangat sempit di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan simpan Jalan Tun Perak.
Sebahagian besar duduk atau berdiri di kanan-kiri jalan dengan penuh ceria dan tetap bersiap sedia andainya provokasi dari pihak aparat yang bertopi merah sedia menggempur kumpulan unjuk rasa. Di sinilah seolah-olah berlaku pertembungan antara pihak awam dengan pihak polis yang dikerah oleh pemimpin atasan.
Apa perkara yang terjadi biasanya dipersalahkan kepada pihak Bersih 3.0 dan pihak yang benar adalah pihak beruniform dan bertopi merah.
Sebenarnya pertembungan ini amat bahaya kerana memberikan tanggapan buruk pada masa depan dari rakyat kecil terhadap anggota pasukan yang bertugas. Benar mereka menjalankan tugas, tetapi apa pun penggempuran dengan gas pemedih mata akan mengena kepada sanak saudara mereka juga, akhirnya menimbulkan perseteruan berterusan dalam keluarga. Inilah nasih yang menimpa anggota pasukan yang dikerah tanpa memikirkan budi bicara atau cuba bertindak dengan kesan risiko yang minimum.
Sebaliknya berlaku kecuaian yang amat nyata, apabila pihak pengunjuk rasa mengadu mereka dikasari. Semua ini adalah kesilapan dari pihak DBKL yang dengan tiba-tiba meminta mahkamah isytiharkan kawasan larangan di dataran dan kawasan berhampiran. Inilah peranan rundingan. Rakyat bukan mahu bertempurl. Jauh sekali mencari seteru, akan tetapi pihak aparat yang bertugas bertindak dengan sembrono memusuhi rakyat. Apa pun kesan kebencian akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan raya, meskipun pilihan raya kali ini banyak penipuan.
Himpunan Bersih 3.0 adalah berjaya. Biarlah media utama kerajaan mengatakan himpunan gagal. Jika mereka kata himpunan kita gagal itu bermakna media utama kerajaan menghasut rakyat. Sama juga andainya Anwar tidak hadir di situ, mereka akan bangkitkan isu, kenapa pemimpin utama tidak hadir? Ini bukan pemimpin jika tidak hadir dalam perhimpunan.
Perhimpunan ini amat berjaya. Ketika anak-anak muda bersemangat bertakbir di bawah sana, di atas helikopter berlegar-legar bagai mencari musuh sasaran. Begitulah gambaran sepintas lalu. Mereka yang hadir kebanyakannya dari luar bandar, mereka merasai bagaimana peritnya hidup di tengah kota jika berdepan dengan FRU.[]

Friday 27 April 2012

HARI INI RAKYAT BERPESTA MERAIKAN KEBENCIAN TERHADAP SPR

KEBENCIAN RAKYAT telah ditunjukkan dengan cara mereka hadir beramai-ramai. Bilangannya tidak terkira. Tetapi bilangan ini esok akan dinafikan. PERHIMPUNAN TAK ADA SAMBUTAN!
Itulah penipuan yang dibuat oleh Mingguan Malaysia, Berita Minggu, The Star dan rakan regunya. TV tak usah katalah, ada panel jemputan bagi pandangan yang senada dengan Tuk Jib.
Maknanya perhimpunan massa telah berjaya dilaksanakan meskipun kekurangan dana. Mereka yang datang itu tidak diberikan tiket atau duit. Mereka sanggup datang sendiri. Inilah kesanggupan rakyat kecil yang pihak Umno tak pandang.
Umno hanya mengira sambutan ke-66 dan nak kumpul tanda tangan sampai juta-juta. Itu cara mudah. Ada beberapa ribu orang pun boleh buat tanda tangan sapai sejuta.
Ghairah Umno nak sambut ulang tahun tenggelam oleh kebanjiran rakyat di mana-mana kota dan bandar di seluruh dunia, hatta Makkah dan Madinah pun ikut sama.
Maka pada hari ini nama Malaysia harum di mata dunia kerana rakyat berhimpun, tambahan pemimpin negara sudah lama mengidam luputan media massa dunia terhadap Malaysia. Tapi tak kunjung padam hinggakan sanggup mengupah untuk buat publisiti. Ini bercanggah dengan etika kewartawanan. Apa etika pun memang bercanggah.
Kini kehadiran rakyat tidak boleh ditahan lagi. Pihak aparat tidak boleh bertindak kepada rakyat yang bilangannya jauh lebih besar daripada mereka. Tunduk sahajalah kepada kehendak mereka, tidak ada ertinya sesiapa pun memerangi rakyatnya sendiri.
Pemimpin yang berperang dengan rakyat akhirnya menjadi buangan negeri. Banyak sejarah membuktikan kebenaran ini. Justeru tunduklah kepada kebenaran.
Mengaku sahajalah bahawa SPR itu memang digunakan untuk menjadi talian hayat bagi menghadapi pilihan raya.
Inilah masanya rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Maknanya SPR kena berubah, jangan jadi boneka kepada Umno, kerana Umno sudah menjadi jasad tanpa roh kata seorang ustaz. Ramai setuju dengan misalan yang cantik ini.
Para pemimpin dunia yang kemudian kecundang juga bercakap besar ketika berdepan dengan gelombang rakyat yang tak terbendung.
Kini Kuala Lumpur sekali lagi menjadi wadah yang sebenar. Rakyat dari segenap lapisan telah turun, bukan kerana parti pembangkang, bukan kerana Anwar, bukan kerana Lim Guan Eng, bukan kerana Tuk Guru, tetapi kerana mahu mendesak SPR agar berubah sikap.
Atau lebih mudah, singkirkan semua orang-orang kanan dalam SPR yang ada hari ini dan gantikan muka baru yang berfikiran lebih terbuka. Perang rakyat sekarang bukan terhadap UBn tetapi terhadap SPR. Kalau SPR masih berdegil dengan sikap dan pandangannya, ia mencerminkan hati budi UBN yang sebenar.
Maka apabila pukul anak, dah tentu sindir menantu. Apakah pihak UBN nak mendiamkan diri. Gelombang rakyat tidak boleh ditahan. Ia umpama tsunami. Apabila tsunami melanda, anda tidak boleh dirikan tembok simen tebal di pantai. Ia roboh juga. Jangan melawan arus.
Kini himpunan rakyat benar-benar terbukti. Bukan cakap kosong. Nampak UBN begitu gerun dengan kebangkitan ini. UBN tak akan mampu menghimpun rakyat begini ramai, percayalah.
Kalau tanpa bantuan wang ehsan, bantuan itu dan ini, UBN tak akan dapat himpun rakyat sampai sejuta pun. Memang BN tak mampu kerana dasar mereka selama ini adalah DUIT dan JAMUAN PERDANA.
Mampukah UBN memanggil orang berkumpul sebegini ramai?
Hari ini bukti telah dipamerkan. Tetapi masih ada media milik UBN yang menggelapkan berita dan laporan ini. Mereka sibuk mencari celah-celah yang negatif. Tengoklah apa yang akan mereka paparkan esok.
Jelas paparan itu meloyakan! Sementara itu di Gombak, kami mendengar helikopter sentiasa bergerak dan berlegar-legar di ruang angkasa. Ia sama seperti yang berlaku ketika reformasi rakyat dulu.
Jadi, jangan cuba memerangi rakyat.[]

TENTANG PULAU BESAR MELAKA

BIASANYA ketika menyambut maulidul rasul, di pulau mistik ini diadakan upacara tahunan iaitu majlis doa selamat, upacara menaikkan bendera Sultan Ariffin Syeikh Ismail. Biasanya satu majlis kenduri diadakan di situ, kerana panitia yang mengadakan upacara itu memang mempunyai dana baik daripada sumbangan orang ramai atau individu seperti misalnya Wakaf Dharga Bhava.
Majlis di Pulau besar itu dihebahkan melalui sebaran surat makluman di masjid India Kuala Lumpur. Biasanya rombongan besar akan berada di Melaka bagi meraikan majlis yang istimewa itu.
Selain itu terdapat makam Syeikh Yusuf as-Siddiq dan abangnya Syeiklh Ibrahim Abdul Qadir.
Menariknya Pulau Besar ini pada tahun 1981 satu operasi peruntuhan makam cuba dilakukan oleh pihak berkuasa Negeri dengan alasan untuk membasmi amalan tahayul dan khurafat.
Pelik juga andainya Pulau Besar dijadikan sasaran, sedangkan di Melaka sendiri ada beberapa tempat yang sering menjadi tumpuan dan sebutan kalangan spiritual yang memburu keperihalan mistik. Makam di Tg.Tuan walaupun berada di Port Dickson, Negeri Sembilan, ia boleh dikatakan hampir dengan Melaka, dan di situ konon terdapat kubur Parameswara. Operasi membanteras khurafat dan tahayul berkaitan sebuah kubur yang dianggap keramat pernah dilakukan di situ. Sebaliknya keramat Sg Udang di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan tidak kurang hebatnya menjadi tumpuan penziarah.
Ketika operasi peruntuhan makam dilaksanakan (1991), mengikut sumber mistik, bulldozer telah meranapkan makam-makam yang ada. Operasi seperti seolah-olah gerakan Wahabi sedang menular di pulau itu. Sedangkan dalam sejarah silam, gerakan Wahabi pernah berlaku di Sumatera ketika Perang Paderi melibat Tuanku Tambusai dan kelompoknya.
Gerakan merobohkan lokasi tumpuan yang disifatkan sebagai tumpuan ahlul bid'ah dan khurafat itu kemudian mendapat perhatian masyarakat di luar.[]

KUTBAH SENTUH BEBAS SEKS

ENTAH MENGAPA kutbah Jumaat pada 27hb.Januari 2012, tidak fokus kepada Bersih 3.0. Mungkin pihak yang mengendalikan kutbah multimedia di jabatan utama sudah rasa muak menyediakan kutbah yang sejajar dengan penguasa sana.
Maka sebagai pelarian, kutbah menyebut tentang merebaknya amalan umat Nabi Luth iaitu seperti apa yang terjadi di Gomorrah sana, dan biarlah negeri itu diterbalikkan. Apakah ada umat yang mengharapkan KL diterbalikkan?
Hanya sayang sekali kutbah yang demikian baik, tidak menerangkan punca maraknya amalan ini. Dan apa tindakan pihak kita terhadap gejala ini?
Kita hanya memaparkan tindak-tanduk dan gejala tetapi tak ada jalan untuk menguranginya atau memeranginya. Memerangi gejala ini bermakna, ia melibatkan semua sekali. Dunia HIBURAN hendaklah dijadikan sasaran utama.
Media kita memainkan peranan untuk menyebarkan unsur-unsur kebejatan moral ini melalui paparan artis yang konon jadi idola. Sebenarnya tidak ada artis yang boleh dijadikan idola, kerana selagi bernama artis sukar hendak menjalani kehidupan agama yang sebenar.
Mujur Ust Zamihan ada buat tazkirah tentang solat. Dia menyentuh kita solat berjemaah tetapi tak faham apa yang dimaksudkan rapatkan saf. Bahu bertemu bahu, tumit bertemu tumit tidak dipraktikkan orang kita kerana dalam satu saf ada orang miskin, ada orang kaya, si kaya yang wangi tak mahu bersentuhan bahu dengan si miskin yang berbau tembakau atau peluh. Atau berbau nafas yang aduhai segar!
Inilah halangan utama dalam saf yang selalu diingatkan agar rapatkan saf. Apa ertinya semua ini?
Masyarakat kita sudah diacu demikian rupa oleh penguasa hari ini, sistem protokol, sistem penyembahan, sistem peraian seseorang tokoh amat memualkan. Sampai bila masyarakat kita dipupuk dengan jiwa hamba?
Sistem yang berlaku di negara kita adalah sistem jiwa hamba, yang di bawah kena tunduk dan patuh sekalipun menzalimi.
Teguran Ustaz Zamihan kepada orang yang datang ke masjid solat pakai bangku. Kenapa mereka ini boleh pula shopping sana-sini, boleh pandu kereta, boleh riadah, apabila masuk masjid tarik bangku, solat atas bangku, alasan uzur amat. Ingatan beliau kena dengan tempatnya. Di masjid jamek LRT ini tidak ada yang pakai bangku begitu, tetapi ada masjid tu memang sediakan banyak bangku, entah kenapa.
Kemudian bab solat. Banyak umat yang mengabaikan solat demi tugas harian. Kata ustaz, tidak kira kamu kerja dengan SPR, dengan jabatan Polis atau DBKL sekalipun, tiba masa solat hendaklah mereka solat. Jika tak solat, itulah yang terjadi. Banyak masalah moral dan disiplin berlaku di kalangan orang yang tak solat atau abaikan solat. Kalau lalu-lintas boleh jaga, kenapa solat tak boleh jaga tanya ustaz. Bagus, teguran ini kena pada semua orang yang mendengarnya.
Kemudian di akhir solat, ada buku baru ustaz berkenaan bertajuk PENMYELEWENGAN FAHAMAN TAJSIM WAHABIY [2012]. Saya sudah telaah isi buku ini, kebanyakannya adalah kritik peribadi terhadap beberapa kitab atau buku lain termasuk buku terbitan Jakim sendiri. Keberanian Zamihan ini kerana beliau memang ada kaitan dengan Jakim suatu ketika dulu, dia mantan penolong Pengarah Dakwah Jakim. Pernah jadi panel soal jawab agama Jakim. Kini nak buat PhD dalam bidang Aqidah dan Pemikiran, dan dalam masa yang sama bertugas sebagai pegawai hal ehwal Islam, bahagian keselamatan dan ketenteraman awam, KDN. Ustaz ada sentuh juga tentang perhimpunan Bersih 3.0.
Istilah TAJSIM ini adalah berat hendak dihuraikan kerana ia menyentuh dengan ALLAH. Ustaz ini juga mengkritik kitab terbitan Jakim berjudul Syarah Aqidah Tahawiah, Ibn Abi al-Izz al-Hanafi, terj, Hasnan Kasan. Yang dipersoalkan ialah tentang kecelaruan akidah dalam kitab ini, pengarang dan penerjemah seolah-olah [kata saya] sepakat menafikan sifat Qidam [sediakala] bagi Allah swt.
Fahaman Tajsim ini katanya terus berkembang  disebalik nama Tauhid AL-ASMA' WA AS-SIFAT yang merupakan satu cabang daripada tauhid tiga yang menjadi idea utama dikembangkan oleh para pendakyah Wahabiyah seluruh dunia.
Teringat saya kepada seorang uastaz yang bagi kuliah gunakan teks terjemahan berjudul PERISAI BAGI SEKALIAN MUKALLAF atau Simpulan Iman Atas Mazhab Salaf, Syeikh Abdul Qadir b Abdul Muthalib al-Indunesia al-Mandili, Al-Hidayah, KL, 2009. Ia dijadikan teks pengajian. Sayangnya teks itu hanya dialih bahasa [?] dari jawi ke rumi oleh Noranine Abu. Ayatnya langgam lama, ramai yang hadir kuliah pening, tak faham, ustaz nak menerangkan pun haru.
Umpamanya: Dan tiada ada sesuatu yang melemahkan akan Dia. Pendeknya langgam lama, sepatutnya Norainie jernihkan penjelasan di dalam buku itu. Dan saya dapati banyak buku terbitan Al Hiadayah tidak peduli dengan persoalan ini. Mereka asal terbit sahaja. Buku ini juga menghuraikan tentang tauhid yang juga disentuh oleh pendakyah Wahabi.
Golongan yang berpegang kepada fahaman Tajsim dipanggil Mujassimah. Tajsim ini fahaman yang mempercayai Allah swt mempunyai anggota badan, tetapi bagi mereka anggota badan itu tidak sama seperti makhluk-Nya. Oang yang berfahaman begitu, berminda begitu, maka ia menganut fahaman Tajsim.
Fahaman Tajsim ini atas nama apa sekalipun, termasuk tauhid Rubbubiyah, tauhid Uluhiyah, tauhid al-Asma' wa as-Sifat - kata ustaz Zamihan perlu dibanteras  kerana kesesatan amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak para ulama ASWJ sejak zaman salaf al-Soleh hingga sekarang [hal.2, Tajsim, 2012].
Begitulah sekelumit ilmu tentang Tajsim, sebuah istilah yang asing bagi mereka yang tidak gemar mentelaah bahan. Isu ini bagi penulis bukan soal dakyah, tetapi soal bagaimana seseorang ustaz yang beri tazkirah atau kuliah hendak menghuraikan tajuk berkenaan dengan bahasa paling mudah, tidak berbelit dengan langgam bahasa kitab kuning dulu. Kefahaman itu penting dalam pengajian.
Baiklah, isu utama blog ini adalah kutbah Jumaat. Ramai yang rasa lega kerana kutbah kali ini tidak fokus kepada Bersih 3.0, tidak ada kritikan mengatakan itu haram dan ini haram. Apakah logik jika ada umat berjuang untuk mencari kebaikan dikatakan tindakan haram? Pembaikan ke atas SPR adalah sesuatu yang wajar, perlu dilaksanakan walau orang tak berani kata wajib. SPR kena proaktif, dan jangan dengar sebelah pihak yang ada kepentingan. Kini apabila isu SPR dibangkitkan, pihak UBN tuduh PR ada kepentingan, dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya ia tak ada penyelesaian. Bagi sekelompok umat yang merdeka, bantah duduk adalah jawapannya. []

Thursday 26 April 2012

Cerpen: SESUATU YANG DICARI DI SITU

Pada suatu hari, berduyun-duyun orang datang membanjiri sebuah dataran. Itu adalah sebuah dataran yang tak bernama. Dataran itu tidak ada sesiapa yang menjaganya, ia sebuah tanah lapang yang tidak ada penghuni. Sesiapa sahaja boleh datang ke situ, terpulang sama ada hendak melepak atau jenguk-jenguk sahaja.
Akan tetapi hari itu, kehadiran pengunjung cukup luar biasa. Mereka datang dari segenap ceruk rantau, mereka mencari sesuatu yang belum ditemui. Semua mengatakan bahawa sesuatu itu ada di dataran itu. Dengan cara berkumpul begitulah, mereka mendapat sesuatu itu.
Jadi, pada hari Sabtu yang cerah, mereka pun berhimpunlah di dataran yang luas itu. Tidak ada ketua sebenarnya. Sesiapa pun bol;eh menjadi ketua untuk mengacarai majlis perhimpunan. Ia perhimpunan rakyat. Tua muda, besar kecil, berpangkat dan tak berpangkat semuanya berkumpul di situ.
Ada beberapa kumpulan anak muda yang bercakap tentang pilihan raya. Mereka merungut-rungut kepada pihak penguasa kerana tidak ambil peduli terhadap sistem pilihan raya yang ada di negeri itu.
Menurut mereka, ada di antara pengundi yang berdaftar itu adalah warga dari planet luar, tidak diketahui dan ada yang menggunakan alamat di sekitar dataran itu.
Orang yang berjejalan semakin ramai. Jurugambar dan wartawan akhbar media utama sibuk melayani situasi yang tidak pernah terjadi sedemikian rupa.
Mereka sibuk menemuramah orang yang duduk berhimpitan itu. Ada yang mengambil gambar dengan kamera digitalnya. Anak-anak muda yang berada di situ menempelak jurugambar.
"Anda ambillah gambar kami banyak-banyak, tapi tidak sekeping pun yang akan disiarkan dalam akhbar anda," kata anak muda memprotes.
Jurugambar tersipu-sipu dipersenda begitu. Betul kata anak-anak muda itu. Jurugambar hanya tahu ambil gambar. Dia tidak boleh menentukan gambar mana yang hendak disiarkan. Mungkin dia akan cari wanita gelandangan yang menghisap rokok dan bergincu tebal dedah aurat.
Memang ini kerja akhbar utama. Gambar wanita gelandangan menghisap rokok, duduk mencangkung macam pelacur hotel murah pun dikatanya sebagai mahasiswa universiti tempatan. Bukankah caption begitu akan mengundang kemarahan mahasiswa semua?
Akhbar arus perdana memang begitu. Suka menjolok sesuatu. Tetapi kini apabila bilangan rakyat sudah semakin ramai, dataran yang lapang itu tidak muat lagi, maka mereka duduk terpinga-pinga. Baik wartawan atau jurugambar dari media utama itu, mereka sudah jadi orang asing.
Bahkan ada sekelompok yang berada di dataran itu mengusir wartawan itu. "Anda tidak mampu membuat laporan yang baik. Laporan anda bias!"
"Anda patut melaporkan sebuah kapal persiaran yang berlabuh di selat dan menjadi tempat pembesar bermaksiat di situ," kata seorang lagi.
Pendeknya, wartawan media perdana tidak berani angkat muka di situ. Jika mereka mahu angkat muka, mungkin mereka akan diusir dari situ.
Sementara itu jurugambar yang mewakili media perdana semuanya sudah beredar dari kawasan sesak dan padat itu. Mereka tidak mahu mengambil gambar apa-apa pun. Jika diambil pun media mereka tidak akan siarkan.
Di kalangan orang ramai itu terselit juga orang yang mendakwa dari kelompok pertubuhan bukan kerajaan atau NGO. Mereka kehairanan melihat orang ramai berpesta di dataran itu. Salah seorang dari mereka bertanya, "Kenapa anda berhimpun di sini?"
Dengan nada hairan, orang ramai pun membalas, "Anda tidak layak bersama kami, kerana anda adalah dari golongan penguasa yang telah menzalimi kami!"
"Tapi kamu ikhlas ikut bersama kamu di dataran ini!"
"Anda berpura-pura, anda sebenarnya menyamar untuk merisik perbuatan kami," kata anak-anak muda di dataran.
Lelaki yang mendakwa dari NGO itu kemudian terdiam. Dia menjadi cuak dengan keadaan sedemikian. Ketika ramai, dialah yang kuat berkokok, tetapi apabila bilangannya sudah kecil tak ada kawan, jadi monyoklah dia. Padahal gambarnya kerap terpampang di dalam dalam media arus perdana.
Lontaran kata-katanya sering menjadi tajuk muka depan. Kini dia membisu. Sedarlah dia bahawa masa telah berubah, dia kini berada di tengah orang ramai yang berpusu-pusu di sebuah dataran.
Mereka semakin ramai. Ada yang datang dari Langkawi, ada yang datang dari Sabah, dari Sarawak, dari seluruh ceruk Semenanjung. Mereka sanggup tidur di dataran itu, membina khemah sementara menunggu hari yang ditunggu-tunggu, hari Sabtu yang ceria.
Wajah-wajah yang hadir di dataran itu semuanya cerita belaka. Mereka datang dengan satu hasrat ingin menyatakan kesatuan fikirannya, ingin menyatakan bantahannya, dan ingin menunjukkan kepada dunia, bahawa di salah sebuah negara bernama Asean ada negeri kecil yang mengamalkan pilihan raya yang tidak telus.
Bahkan sejak dahulu lagi ketidaktelusan itu sudah bermaharajalela. Semakin dibiarkan, kalangan penguasa semakin menzalimi musuh politik mereka. Bermacam akta dibentangkan dan diluluskan. Semuanya dalam keadaan tergesa-gesa seolah-olah negara akan berperang.
Kini bilangan pengunjung semakin padat. Semua orang duduk dan berpakaian serba kuning. Bukan tidak ada warna lain, ada! Tetapi warna yang paling dominan adalah warna kuning.
Tepat jam 4.00 petang, dataran yang redup dan berangin itu dipukau oleh suara seorang lelaki yang berkumandang. Dia berdiri nun jauh di hujung dataran, nampak kecil, tetapi kemudahan PA system membuatkan sekitar dataran boleh mendengar butir perbicaraannya.
Lelaki itu adalah seorang pemimpin di kalangan mereka yang berhimpun itu. Dia mengenakan baju t warna kuning. Sama sahaja seperti pakaian yang dipakai oleh orang ramai yang berjejal di kawasan padang. Orang ramai bertepuk, mereka bersorak, dan sesekali kedengaran jeritan takbir dari seorang lelaki yang berjubah dan berkaca mata gelap.
Takbir!
Orang ramai serentak menyambut dengan penuh semangat.
Takbir!
Suara orang ramai bergema menyambut.
Begitulah, kemudian lelaki yang berpidato di atas pentas khas suaranya tenggelam timbul. Sorakan orang ramai begitu gamat. Inilah perhimpunan yang paling hebat. Ia akan dicatat dalam sejarah negara. Perhimpunan warna kuning bagi menyatakan bantahan terhadap sebuah suruhanjaya yang tidak ambil peduli ke atas apa yang dirungutkan.
Kerap kali rungutan rakyat dijawab dengan kata-kata mudah.
"Tidak ada penipuan dalam daftar pemilih di mana-mana, kami telus!" ujar seorang pegawai.
Kata-kata macam itu sudah banyak kali disuarakan. Jika ada sidang akhbar pun mereka kata begitu juga.
Kini  giliran pemimpin lain pula berpidato di atas pentas. Pidatonya amat bersemangat. Perhimpunan ramai itu lagi tambah semangat apabila mendengar pidatonya.
Ketika hari semakin redup, perhimpunan pun dibubarkan. Seorang sasterawan terkenal muncul di atas pentas, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada orang ramai terutama pendukung perhimpunan duduk bantah itu.
Itulah perhimpunan yang berjaya. Ia berjaya dilaksanakan di sebuah dataran yang tenang. Tidak ada gangguan petugas beruniform, tidak ada lori merah berjaring, tidak ada meriam merah di sana, tidak ada, semuanya aman. Yang ada orang-orang kampung yang ambil kesempatan berniaga. Mereka seronok dapat berniaga di situ. Orang pun hairan, bagaimana da persatuan peniaga kecil merungut perniagaan mereka terjejas kerana ada orang berhimpun duduk-duduk macam burung penguin begitu.
Hairan sungguh!
Esok mungkin akhbar arus perdana melaporkan PERHIMPUNAN BANTAH DUDUK TIADA SAMBUTAN DI DATARAN MERDEKA!
Maka pembaca yang menatap akhbar itu tertanya-tanya. "Memanglah tak ada sambutan di Dataran Merdeka tu, sebab merepa sudah pindah ke Pantai Merdeka! Kawasan padang tepi laut!"
Sementara itu, stesyen televisyen luar negeri melaporkan perhimpunan di dataran itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat. Segenap lapisan rakyat berhimpun menyatakan sokongannya kepada perhimpunan itu. Mereka meraikan perhimpunan itu seperti hari besar.
Lusa, mungkin akhbar arus perdana menyiarkan ada penduduk kesal kerana hasil tanaman mereka rosak dipijak-pihak peserta perhimpuan duduk bantah di dataran itu. Ada kalangan tertentu yang meminta agar kerosakan tanaman itu dinilai, dan pihak pusat dengan bangganya akan menyerahkan wang bantuan kepada para petani yang tanaman mereka rosak dipijak peserta perhimpunan duduk bantah itu.
"Nak bantuan apa? Pokok pisang tu mana ada buah pun, kita saja tanam, tu pisang hutan!" kata Pak Ya memberitahu wartawan media utama.
"Ini Perdana Menteri sendiri akan hulurkan bantuan," pujuk wartawan itu.
"Dah gelabah sangat nak kalah pilihan raya kut? Pisang tak seberapa, heboh satu negeri?" kata Pak Ya.
"PM nak datang pak cik!"
"Tak peduli, dia nak datang, datanglah..." kata Pak Ya lagi.
Akan tetapi disebabkan gambar Pak Ya sudah dirakamkan dalam kamera digital, esoknya terpampang muka Pak Ya yang mengucapkan terima kasih kepada PM kerana sanggup datang memberi bantuan kepada mereka.
Salah seorang penduduk yang pokok pisangnya tumbang tiga batang juga mendapat bantuan lebih dari RM300! Bukan banyak mana pun. Tetapi akhbar dan tv siaran larut malam mengatakan ia adalah bukti menunjukkan keperihatinan pemimpin yang berjiwa rakyat.
Orang yang berhimpun di dataran itu akan pulang ke tempat masing-masing membawa sejuta kenangan. Yang menggelikan hati, ada juga ulasan berita yang mengatakan perhimpunan duduk bantah itu tidak dapat sambutan.[]

Wednesday 25 April 2012

KUTBAH JUMAAT PUN DIGUNAKAN UNTUK BANTAI BERSIH 3.0

KEBETULAN acara Bersih yang lepas-lepas pun diadakan pada hari Sabtu, maka pada hari Jumaat adalah wadah sesuai untuk pihak jabatan agama mengeluarkan fatwa yang berapi-api menasihat rakyat agar tidak keluar dan termakan hasutan kumpulan yang merosakkan keamanan negara, dan macam-macam lagi perkataan yang menyakitkan hati telinga jemaah yang bersila di lantai masjid.
Sepatutnya kutbah Jumaat tidak dijadikan mimbar untuk berpolitik bagi pihak UBN atau mana-mana jabatan agama pun. Jabatan hendaklah berkecuali, kerana selama inipun kebanyakan masjid di wilayah tertentu AJKnya dipantau habis sehingga setengah masjid menjadi murah kehilangan ceria.
Kenapa? Para jemaah pun faham, bahawa orang itu dan ini adalah orang pihak A, dan orang itu dan ini adalah orang pihak B. Cerita begini sudah lumrah di masjid dan surau.
Setahu saya, kemeriahan sesebuah masjid hanya apabila kumpulan itu tidak menonjolkan ciri pusat yang nyata. Kumpulan ini hanya seronok memegang jawatan, tetapi jenguk masjid dan surau adalah rutin yang melelahkan. Ada yang kata, mereka ini hanya suka cari nama apabila datang pembesar ke masjid atau majlis besar Maulidul rasul, Israk Mikraj dan majlis penyampaian bantuan kepada orang tertentu [yang dipilih].
Kutbah Jumaat, pada masa sebelum menjelang Bersih 2.0 digunakan secukup-cukupnya untuk membantai kumpulan bersih. Bermacam tuduhan dilemparkan. Sayangnya, kutbah yang dianggap wacana ilmiah itu tidak ada sesiapa yang membalas balik.
Sebabnya, jemaah diminta dengar dan taat!
Inilah antara episod yang dijangka akan berlaku esok. Kerana esok hari Jumaat. Dan mereka yang tidak suka mendengar kutbah propaganda begitu akan memilih masjid yang nadanya lain. Mungkin di Lembah Klang mereka akan memilih masjid di Selangor.
Atau di KL ini mereka memilih masjid Pakistan atau Masjid India. Tak faham tak apa, sebab tak sakit hati mendengar kutbah yang sudah diset demikian rupa. Tengoklah nanti. Apa pun ini hanya andaian dan telahan saya peribadi. Jika saya pilih Masjid Pakistan, saya tidak tahu menahu isi kutbah di masjid lain. Kecuali saya hubungi rakan-rakan lain untuk mengetahui tema kutbah hari esok.
Diharap pihak jabatan tidak menyalahgunakan masjid sebagai ruang untuk memecahbelahkan umat. []

GELABAH BERSIH 3.0

BERSIH 3.0 adalah suatu pesta besar bagi rakyat. Sejak Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 rakyat semakin terbuka mindanya tentang gejala pilihan raya di Malaysia. Sepanjang BN memerintah negara, dengan segala keselesaan dari gangguan orang lain, pihak penguasa telah melakukan segala-galanya atas nama pembangunan dan kesejahteraan rakyat, termasuklah mencipta berbagai skandal yang menyebabkan pemerintah tercalar imejnya.
Calar imej pemerintah ini di mata rakyat adalah suatu penyakit kepada negara yang sedang membangun, sebelum kita berangan menuju ke negara maju, maka kita membawa sifat-sifat atau perangai buruk Melayu yang tidak sesuai dengan Islam, jika benar ia dianggap sebagai agama rasmi.
Rakyat umumnya melihat, bahawa pekerja dalam kelompok penguasa, cuba menguasai apa sahaja peluang ekonomi negara dan membahagikan kek ekonomi kepada kumpulan mereka sahaja, dan tempiasannya hanyalah berupa berita tentang pembangunan, pelaburan projek besar, menaiktaraf lebuh raya, memranapkan rumah sertinggan, menghancurkan perkampungan Melayu, dan semua ini sangat memberi kesan untuk menggelembungkan kantung pemimpin tertentu termasuk yang di bawahan.
Imej pemerintah selama ini adalah imej penjajah yang merampas, dijadikan harta milik, dan kemudian dijual pula untuk mendapatkan wang lump sum, dan di kemudian hari timbullah cerita salah guna kuasa, syarikat menanggung kerugian, projek tak jalan, atau bermacam skandal seperti yang rakyat lihat di Port Klang, kes NFC, kes bail out terhadap orang ternama tertentu, bahkan istilah jenayah pun boleh dilembutkan menjadi sebagai suatu kes biasa sahaja di kalangan mereka. Akhirnya rakyat muak.
Bersih 3.0 adalah gambaran keresahan rakyat. Jangan anggap bahawa rakyat hari ini diperbodohkan untuk mendukung pembangkang atau NGO yang propembangkang.
Kita kerap dengar gaya pemberitaan dan laporan sinis menyebut NGO propembangkang. Bagaimana dengan NGO yang prokerajaan? Pihak penguasa yang zalim tidak pula risau kepada NGO yang menyokong mereka. Pihak penguasa lebih gusar kalau kebanyakan NGO menyebelahi pihak pembangkang.
Gelabah pihak kerajaan pusat terhadap bersih 3.0 nampak begitu nyata. Hanya kerana masalah dalam SPR yang dibangkitkan, pihak kerajaan tidak melakukan apa pun pembaikan yang diminta oleh kelompok Bersih 2.0 yang lalu.
Gembar-gembur dalam berita media kerajaan seolah-olah tiada apa masalah dalam pendaftaran pengundi, kenaikan pendaftar di sesetengah tempat sehingga pihak SPR sendiri menerbitkan buku setebal 12 halaman. Bagi saya ia tak sesuai disebut buku, ia lebih sesuatu untuk sebuah risalah kecil SPR. Maknanya SPR tiak mempu menjawab tuduhan rakyat dengan bersungguh-sungguh kerana itulah yang diajar oleh pemimpin Umno.
Kelompok Bersih 3.0 nampaknya lebih menumpukan permusuhannya kepada pemimpin Umno daripada lain-lain pemimpin dalam BN. Mereka anggap parti komponen dalam BN hanya parasit, menumpang kebahagiaan BN, bahkan ada yang tak ada peranan apa pun, selain untuk duduk bersama PM dan TPM dan bermegah-megah dalam acara negara.
Betapa gelabahnya media hendak berdepan dengan Bersih 3.0, mereka menggambarkan Bersih 3.0 adalah agenda pembangkang, jadi tidak perlu dilayan. Jika pihak UBN mengambil sikap demikian, pihak PR tentulah lebih-lebih lagi, mengajak NGO yang ada agar tidak bersuara lunak kepada pemimpin UBN.
Umum sudah mengetahui SPR dipergunakan oleh UBN untuk mempertahankan kerusi yang semakin goyang. Berbagai skandal timbul melibatkan para pemimpin UBN ketika pilihan raya semakin dekat, maka gelabah UBN menjadi semakin kalut.
Anak-anak muda yang bangkit menuntut kelegaan dalam soal pinjaman belajar di pusat pengajian tinggi dilayan dengan buruk. UBN gunakan tenaga DBKL untuk menghapuskan mereka. Alasannya, para mahasiswa dipengaruhi atau dihasut oleh pembangkang. Pihak UBN lupa, melalui kuasa menteri pengajian tinggi, mereka juga sedang menghasut pelajar agar membenci kelompok mahasiswa yang berada di Dataran Merdeka. Padahal jika tuntutan mereka itu menjadi nyata, semua orang menikmati faedahnya, baik yang menentang atau yang mendukung.
Gelabah UBN dapat dibaca daripada kenyataan para pemimpin Umno yang akan menyambut ulang tahun Umno ke-66 tahun. Memanglah megah, tetapi para pemimpin Umno yang bertukar ganti perlu muhasabah diri, bagaimana mereka boleh berada sampai ke tahap ini? Adakah mereka melalui proses pilihan raya yang bersih dan telus?
Rasanya, kalau kita mendengar pengakuan para bekasan menteri Umno, maka kita lihat pilihan raya ini seperti dibuat-buat untuk memenuhi perundangan kena adakan pilihan raya lima tahun sekali. Kalau boleh tidak perlu pilihan raya sama sekali.
Lagipun kes di Perak selepas pilihanraya 2008 mempamerkan tindakan kotor pemerintah pusat untuk tidak mahu mengaku kalah. Difahamkan hasil dari kejayaan merampas Perak dari tangan PR itulah, ada projek mega yang dilaksanakan bagi memenuhi janji upah kerana memenangkan kes itu.Ini namanya rasuah dalam politik. Akan tetapi para pemimpin UBN memandang ia sebagai isu biasa. Akan tetapi jika suatu hari ini PR melakukan hal yang serupa menjatuhkan negeri di bawah BN dengan cara yang sama bagaimana?
Ketika itu pihak UBN akan bermati-matian menganggap negeri itu negeri rampasan dan tak sah dari segi perlembagaan. Itu sebab kena batang hidung sendiri. Jika kena para orang, mereka kata sah pula. Inilah sikap UBN yang tidak konsisten.
Hanya kerana rakyat hendak berhimpun dengan cara duduk ramai-ramai pihak UBN sudah gerun. Mereka gunakan DBKL sebagai "polis bantuan" untuk memadamkan kemarahan rakyat. Khabarnya masalah penggunaan dataran pun jadi kecoh, bahkan alasan bahawa dataran hanya untuk upacara penting sahaja tidak boleh diterima, kerana penduduk di Lembah Klang sudah tahu, bahawa di dataran merdeka itu sentiasa ada upacara hiburan yang tak memberi faedah kepada rakyat. Pesta yang kerap diadakan itu hanya memberi dfaedah kepada penganjur hiburan dan pentas, sewa khemah, sewa PA system, upah pengacara, upah penyanyi, upah penari, upah agen persembahan, dan macam-macam upah. Inilah cerita sebenarnya.
Jika Bersih 3.0 hendak duduk sahaja di situ, lebih baik dataran merdeka adakan majlis lain yang lebih mendatangkan duit kepada pemilik alat muzik sewaan, pemilik kedai butik, pemilik grup tarian tradisional, pemilik grup wayang kulit, atau apa sahaja, sehingga khabarnya ada Laman Seni hendak diaktifkan di situ, hakikatnya jika anda tengok apa yang dikatakan seni itu, adalah macam pasar malam biasa!
Gelabah Bersih 3.0 menyebabkan pihak JPJ pun ikut sibuk, mengeluarkan atau tidak mengeluarkan permit perjalanan bas ke Kuala Lumpur. Kemudian akan diadakan sekatan jalan. Kemudian sekatan itu dan ini di Kuala Lumpur, tujuannya biar orang ramai merungut dan menyalahkan anak-anak muda Bersih 3.0.
Adakah jalur udara juga menghadapi ancaman pihak tertentu agar, penerbangan tambang murah dibatalkan untuk ke Sepang atau LCCT yang ada? Atau kemungkinan jalur LRT, STAR dan Komuter dihentikan buat sementara kerana meraikan Bersih 3.0?
Sebenarnya, Bersih 3.0 adalah peluang untuk perniagaan. Bukan keluhan dan rintihan peniaga kecil seperti yang dihebohkan oleh Presiden Persatuan Penjaja itu. Memo yang mereka buat adalah senada dengan para pemimpin Umno pusat yang gerun dengan kebangkitan baju kuning. Mereka dalam phobia melihat baju kuning. Kalau boleh baju warna itu hendak diharamkan terus. Bagaimana kalau suatu hari nanti Bersih 3.0 juga menuntut agar baju warna biru diharamkan? Tindak-balas begini memang akan mengejutkan UBN.
Sebenarnya pemimpin UBN masih tidur. Mereka bersenang-senang dengan kemewahan yang mereka peroleh dengan jalan yang tidak munasabah. Semua rakyat tahu akan kepincangan ini. Penggerogotan ekonomi negara tidak seimbang. Bilangan kereta mewah yang menjalar lebih banyak daripada kereta kecil milik rakyat.
Kemewahan yang ditonjolkan oleh para pemimpin UBN sebenarnya menyebabkan rakyat berasa marah dan ditipu. Hari ini bercakap tentang kesejahteraan rakyat, esok rakyat dalam kelompok lain terpaksa menanggung pembangunan yang dilaksanakan.
Secara rasional, Bersih 3.0 tidak membahayakan kepada keselamatan negara. Mereka hanya hendak datang ke dataran dan duduk-duduk sahaja. Jangan buat provokasi, atau berkasar dengan mereka, ketika bilangan rakyat sudah tidak terkawal apa pun akan terjadi. Kita bimbang ada pihak samseng upahan yang akan melakonkan watak pentingnya nanti. Ini bertujuan memberi gambaran bahawa budak-budak peserta Bersih 3.0 sebagai kumpulan ganas. Ini adalah tindakan cara lama, rakyat sudah maklum bahawa sejak dulu kerajaan UBN melaksanakan sistem ini termasuklah operasi lalang zaman Dr M.
Kehadiran samseng di dalam apa juga perhimpunan besar begini menggambarkan pemimpin UBN sangat gelabah, ada pihak tertentu sanggup menyediakan orang-orangnya bagi merosakkan kedamaian yang ada. ini akan dijadikan alasan.
Selain dari itu, Bersih 3.0 adalah hendak menguji undang-undang perhimpunan di tempat umum yang telah diberikan pelayanan baru. Kita lihat, apakah masih ada kekasaran pihak tertentu terhadap kumpulan bersih 3.0, sebabnya dalam himpunan Bersih 2.0 pihak tertentu telah menyediakan hidangan nasi istimewa di bawah khemah sebagai menggambarkan BAIKnya pihak petugas yang telah bertindak ganas di lapangan umum.
Nah, apakah kali ini ada layanan dari pihak penguasa sedemikian? Jika penguasa mahu sanjungan, mereka tak akan bergaduh kepada rakyat. Inilah masanya mereka mengdahulukan kehendak rakyat dan bukan bermusuh dengan rakyat. Kita tak mahu negara kita jadi seperti Syria itu. Di sana kesnya berbeza kerana kita tidak nampak adanya gelombang Syiah di negara kita, yang ada adalah gelombang kuning yang akan meranapkan gelombang biru! Insya-Allah jaya. [] 

Tuesday 24 April 2012

BERSIH 3.0 MESKI DIHALANG IA TETAP SEJARAH NEGARA

BAYANGKAN ketika Umno menuntut kemerdekaan dulu, kemeriahannya tidaklah seperti Bersih 2.0 atau Bersih 3.0, tetapi canang dan glamor sejarah itu sampai sekarang masih dipaparkan bahkan kekadang dijadikan bahan untuk soalan sejarah dalam SPM atau STPM.
Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 yang akan berlangsung ini juga merupakan lakaran sejarah. Biarlah orang kata ia bukan sejarah negara, tetapi apabila bicara tentang sejarah ia meliputi semua perkara, tidak ada ukuran pembangkang, NGO propembangkang atau pemerintah yang ada sekarang.
Sejarah tidak pilih bulu, jika piliih bulu tempanglah sejarah.

SEJARAH DIUKIR
Selama ini pun, gerakan reformasi kesan dari pemecatan Anwar Ibrahim adalah suatu gelombang dahsyat dalam politik tanah air. Ia tetap jadi sejarah dan dikenang sampai bila-bila pun. Pemecatan ini dan kes berlanjutan berkaitan Liwat I dan II juga suatu sejarah, begitu juga kes pembelian kapal selam Scorpene yang menimbulkan kegalauan di kalangan pucuk pimpinan tertinggi negara.
Kini, di mana-mana rakyat gelisah. Gelisah melihat perlakuan para pemimpin Umno yang masih memaksa agar rakyat menyokong mereka. Ibarat dinasour yang tidak boleh hidup di dalam suasana yang berubah, begitulah juga nasib Umno sekarang, rata-rata anak muda yang sedar tidak mahu mendampingi Umno lagi.
Jika ada dampingan pun, secara tak jelas, kerana pihak pemimpin UBN sering mengadakan program hiburan di sana-sini, ketika PR mengadakan ceramah mereka pun sibuk degung-degang, ada tarian gelek, hiburan dan nyanyian, ini semua bertentangan dengan ajaran Islam.
Di masa kasar pengundi, Umno sudah menampilkan ajaran yang jahat, mengadu-domba, menghasut dan memfitnah pihak pembangkang yang cuba meluruskan ketimpangan yang berlaku sekarang.
Memang politik negara perlu suatu pembaharuan, bukan transformasi cara Najib yang mahu mengekalkan UBN berkuasa buat selama-lamanya.
Kegelabahan pihak penguasa jelas sekali apabila apa sahaja yang mereka canangkan kembali lebur setelah berhari-hari dikempenkan. Apa yang dicanangkan oleh pusat mudah lenyap, semua ini kerana kesilapan mereka sendiri mempermainkan rakyat dengan dana dan wang ringgit. UBN semacam menunjukkan kemewahan pemimpin, dengan sebab itu mereka selalu bercakap tentang projek besar yang tak memberi faedah kepada rakyat.
Begitu juga kes Felda, mereka sibuk bercakap tentang penyenaraian, menaikkan taraf Felda di mata dunia, siapa yang naik? Peneroka tetap peneroka dengan durian mengkal runtuhnya, sementara yang senang lenang adalah orang tertentu yang dilantik untuk menguruskan dana-dana dan pelabuhan yang ada.
Peneroka tetap miskin meskipun durian telah runtuh, bahkan kalau pokok durian itu dicabut pun keadaan peneroka macam itu juga. Bukan tidak ada peneroka kaya, rumah hebat macam banglo di kawasan tanah rancangan, tetapi tidak semua. Peneroka jenis bagaimana yang hidup mewah begitu?
Memang kalangan elitis UBN memandang kemewahan hidup dari segi kebendaan, mereka tak pandang dari sudut rohani. Mereka mendidik rakyat agar cintakan harta duniawi lebih daripada lainnya.
Kini apabila rakyat bangkit membantak penipuan yang dilakukan oleh SPR, para pemimpin Umno sibuk membetulkan persepsi itu dengan alasan, bahawa pemimpin pembangkang dah ketandusan isu, takut kalah apabila golongan muda beralih arah kepada BN.
Kita tidak tahu siapa yang ketandusan sebenarnya. Bagi orang ramai, mereka lihat gelabah para pemimpiin Umno lebih menonjol kerana mereka sedang berkuasa, mereka memiliki harta dan kekayaan yang melimpah ruah, mereka ada kuasa, ada kelebihan untuk menguasai kek ekonomi negara, persetanlah dengan rakyat yang miskin dan tidur bawah jambatan itu. Para penguasa yang zalim hanya memikirkan temboloknya sahaja.

BERSIH 3.0 LAWAN SPR
Isu yang berbangkit sekarang hanya rakyat majoriti lawan SPR. Ia bukan lawan Najib atau UBN, tetapi disebabkan SPR itu sendiri adalah anak didik atasan, maka terasalah mereka. Rakyat marah kerana daftar undi dimanipulasi, bilangan pengundi hantu kubur mendadak di mana-mana, apabila orang ungkit, mereka kata biasalah, fenomena sejagat sebabnya negeri Selangor negeri maju.
Jadi, sejak Selangor diperintah PR ia menjadi tarikan kepada pelabur asing. Rakyat asing berjejal masuk ke Selangor. Jika begitu, memang wajar PR meneruskan pemerintahannya di Selangor. Jika UBN ambil alih semula ia akan jadi macam Perak, pembangunan terencat, dan projek besar hanya milik orang bahagian, orang politik elitis tertentu. Rakyat dapat apa? Tak dapat apa, sebenarnya kalau tidak turun menoreh, kalau tidak potong sawit, kalau tidak ke laut, atau kalau tak buat kerja-kerja jahat bagi dapatkan duit. Jenayah juga ada kaitan dengan masalah ekonomi yang tidak merata.
Disebabkan lawan sebenar sekarang adalah SPR di dataran merdeka itu, maka pemimpin dalam SPR patut tampil di depan ramai, beri penjelasan, akan tetapi  selama ini SPR seperti watak yang eksklusif, payah ditemui, ia macam mahkul dari planet lain, terlalu istimewa, tak boleh diganggu. Apa halangan sebenar yang berlaku? Apakah SPR dipegang kuat oleh UBN sehingga orang yang berada di peringkat tertinggi tidak berani buka mulut?
Selama ini SPR jarang buat kenyataan yang menggembirakan. Jawapannya adalah jawapan Umno. Tidak menunjukkan ia sebuah badan yang telus. Jika pengundian pun menipu, kita akan melahirkan sebuah kerajaan yang dikuasai oleh golongan penipu. Jika dipandang dari sudut syariat bagaimana? Begitu sukar hendak menjelaskan isu halal dan haram dalam keadaan ini kerana dasar sekularisme memang membenarkan segala-galanya.
Sekarang rakyat berhadapan dengan SPR dalam isu Bersih 3.0. Sebaliknya DBKL menggunakan kuasa hebatnya konon ia penjaga Dataran Merdeka yang bersejarah itu. Tidak benarkan rakyat berhimpun di situ. Habis dataran itu untuk apa, untuk siapa, dan apa istimewanya? Keistimewaan dataran ini hanya sanjungan dari sejarawan Umno. Orang di luar Umno tidak pandang padang itu sebagai bahan sejarah atau warisan.
Sejarah yang sebenarnya ialah apabila rakyat bangkit dalam tahun 2012 menentang penguasa yang zalim memperalatkan SPR untuk kepentingan politik mereka.
Ingatlah, rakyat semua tahu bahawa banyak penyelewengan berlaku di negara kita yang sengaja dipendamkan oleh media utama. Banyak isu yang dibangkitkan dalam media utama adalah mainan wartawan yang sibuk mengampu para pemimpin Umno.
Meskipun banyak halangan, Bersih 3.0 khabarnya akan diteruskan di dataran itu. Ia tidak bahaya kepada negara, tetapi bahaya kepada pemimpin Umno dan orang di atas yang berkuasa pada masa ini. Apabila masa telah tiba, ketika mereka semua tergolek, baharulah mereka menyedari, bahawa Bersih 3.0 adalah sejarah gemilang negara. Sejarah yang dilakar rakyat tanpa mengira keturunan, kaum dan agama. HIDUP BERSIH!.

BISNIS KAWALAN KESELAMATAN MENGUNTUNGKAN

MUNGKIN orang anggap bidang kawalan keselamatan ini hanya hal remeh dan biasa. Orang tak pandang pada bidang ini kerana ia dianggap tidak ada masa depan. Cuba perhatikan nama-nama besar dalam industri kawalan keselamatan ini.
Paparan ini bukanlah gambaran sebenar kerana bahan ini hanya bersumber dari temu-bual biasa dengan para pengawal keselamatan yang pernah saya temui.
Ketika gaji yang pengawal keselamatan biasa dapat begitu rendah, orang memandang sebelah mata kepada kerja ini. Jangan anggap begitu, boleh dikatakan ramai juga orang kerja pengawal keselamatan biarpun sekali seumur hidup. Ia dilakukan ketika menghadapi masalah ekonomi, sumber pendapatan tidak mencukupi, atau ingin menambah sedikit lagi.
Seorang teman yang bekerja di UPM sanggup bersengkang mata jadi pengawal keselamatan di sebuah kilang di Balakong kerana ingin menambah pendapatan yang ada. Bukan dia seorang, ada yang menjadi pemandu teksi dan pada masa yang sama jadi pengawal keselamatan. Ada yang siang kerja, malam pun kerja, anda boleh bayangkan bagaimana ketahanan diri orang ini.
Saya tidak mengorek berapa pendapatan seorang pengawal keselamatan, sebab bidang ini ada banyak tugasan  yang memerlukan skill berbeza dan gaji yang ditawarkan juga lebih tinggi. Seorang pengawal biasa tidak serupa dengan mereka yang pegang senjata.

PINJAMAN
Biasanya, seorang pengawal keselamatan biasa [tahap paling minima] kena bertugas di sesi malam atau siang. Masa bertugas 12 jam. Kalau masuk 7.00 pagi, tamat tugas 7.00 malam. Esok pagi-pagi sebelum subuh kena bersiap sedia untuk ke tempat kerja. Begitu juga ada yang masuk jam 8.00 pagi tamat 8.00 malam. Masuk jam 10.00 malam keluar 10.00 pagi esoknya.
Bagi pengawal baru bertugas yang tidak ada duit belanja, mereka diberi wang pinjaman setiap hari. Misalnya, jika Mamat mula bekerja tak berduit, dia diberi pinjaman setiap hari RM10. Dia kena berjimat. Wang itulah untuk tambang bas dan untuk makan minum.
Biasanya wang pinjaman diberi pada setiap 20hb setiap bulan bertugas. Sejak mula bertugas dari tarikh 1hb. hingga 20hb. bermakna sudah RM200 diberikan kepada pengawal ini. Ketika itu dia juga mendapat RM200 paling kurang atau lebih, mengikut skema gaji syarakat kawalan tertentu. Jika gaji dikira mengikut kadar gaji baru, maka pengawal itu mendapat lebih lagi.
Tanpa disedari pengawal biasa tadi, gaji sebenarnya sudah ditolak RM400. Dan dia mulai selesa bekerja dengan wang saku yang lebih. Setelah mendapat pinjaman RM200 dia tidak perlu pinjaman harian lagi sehinggalah ke akhir bulan.

TAK CUKUP MAKAN DAN REHAT
Ada syarikat tepat pada akhir bulan serahkan gaji kepada pekerja. Tetapi kebanyakan masih ikut stail lama, gaji diserahkan pada 7hb. begitulah seterusnya. Sementara menunggu ke tarikh itu, bermula dari 20 hb. tadi hingga 7hb. ada berapa hari?  Ada 18 hari bekerja untuk menunggu waktu gaji. Bermakna kena berjimat, jangan merokok dan jangan beli makanan mewah. Makan biasa-biasa sahaja. Tidak hairan ada pengawal gemar makan mi segera setiap hari atau roti canai sahaja. 18 hari bermakna memerlukan RM180 sahaja. Ada baki RM20 atau lebih jika pandai berjimat.
Pada hari gaji pula berapa dia boleh dapat? Jika gaji masih di takuk lama misalnya RM1000 sahaja sebulan. Maka setelah ditolak wang pinjaman dan pendahuluan, dia hanya dapat RM600 gaji bersih. Bayangkanlah, dengan wang sebanyak ini nak digunakan untuk bayar ansuran motosikal [jika ada], sewa rumah [atau bilik atau tak sewa  kerana duduk asrama], berapa yang tinggal dengan income yang ciput ini?
Jika ikut skim gaji baru, pinjaman harian ditambah lagi, ada yang RM15 sehari. Pinjaman RM400 atau lebih. Boleh dikira berapa yang dia dapat pada hari gaji 7hb nanti.
Kenapa menunggu hingga 7hb? Ia ada kaitan dengan kutipan pembayaran, cek-cek perlu penjelasan dari bank-bank. Dan perlu diselaraskan dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi [mereka digalakkan buka akaun bank mengikut kehendak syarikat].
Kisah yang kerap saya dengar ialah gaji belum dibayar sehingga 7hb. pun, bahkan terlajak hingga 10 hb. Bayangkanlah. Kesukaran hidup pengawal keselamatan kategori biasa [bukan elit, bukan tugasan dengan skill tertentu] tidak dipedulikan pihak atasan.
Mungkin pihak penguasa menganggap dengan adanya kedai rakyat, klinik rakyat, restoran rakyat, ikan rakyat, dan semua yang rakyat itu akan menyelesaikan masalah rakyat. Golongan pengawal keselamatan ini memang tergolong miskin. Bayangkan, orang bercakap tentang kemiskinan yang pendapatan seisi keluarga kurang RM3000 sebulan. Pengawal keselamatan ini di bawah kategori apa?

JIKA RAKAN KERJA PONTENG
Rungutan pengawal keselamatan biasa terdengar di mana-mana. Gaji rendah. Kerja tidak menentu. Maksudnya, dia yang sepatutnya kerja dari jam 7.00 pagi dan keluar 7.00 malam, masih tidak dapat tinggalkan tempat itu kerana pengawal petugas tidak hadir atau ponteng.
Akibatnya, pengawal yang tersangkut ini diminta oleh pegawainya agar sambung tugas, bermakna dia akan bertugas 12 jam. Keinginan untuk rehat, tidur dan mandi sudah terbantut. Itu belum lagi bab solat dan ibadah lainnya.
Perkara yang paling dibenci pengawal keselamatan adalah apabila diminta sambung tugas. Apabila anda sudah bertugas waktu siang 12 jam dan diminta sambung 12 jam lagi, esoknya pula siapa nak bertugas? Bukankah anda juga petugas yang sepatutnya? Maka dengan berat hati, dengan keadaan uniform yang itu juga dipakai, seluar itu, dan maaf, seluar dalam itu juga, dia kena sambung 12 jam lagi. Dia kena bertugas 36 jam berterusan.
Seandainya dia bertugas di tempat yang berisiko bagaimana? Begitu juga mereka yang bertugas waktu malam. Dia mula bertugas jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi. Petugas sesi pagi tidak dapat datang, jadi dia terpaksa sambung tugas sesi siang pula untuk 12 jam lagi. Dan sesi malam nanti memang dia punya, maka dia kena sambung sampai pagi esoknya setelah 36 jam baharulah dapat rehat.
Inilah rutin yang dilakukan oleh pengawal keselamatan biasa.

SYARIKAT DAPAT LEBIH
Bisnis kawalan keselamatan sebenarnya menguntungkan. Syarikat besar, baik yang mempunyai pejabat, kilang, bangunan dan sebagainya memerlukan kawalan keselamatan 24 jam.
Contoh:
SEBUAH SYARIKAT LOGISTIK SYARIKAT PENGANGKUTAN
Pengawal diperlukan 5 orang - 2 siang dan 3 malam.
2 pengawal x 12 jam x 31 hari x RM3.80/jam =RM 2827.20
3 pengawal x 12 jam x 31 hari x RM3.80/jam =RM 4240.80 = RM 7068.00
5% cukai perkhidmatan dikenakan [mungkin lebih sekarang]  =  RM  353.40
JUMLAH PERLU DIBAYAR KEPADA SYARIKAT
KAWALAN KESELAMATAN                                            =  RM 7421.40

Berdasarkan kiraan tersebut [saya kutip dari kiraan sebuah syarikat kawalan keselamatan yang memberi gaji bulanan RM850 sebulan, bandingkan berapa syarikat kawalan dapat dan berapa yang syarikat pengangkutan itu bayar setiap bulan. Bandingkan berapa yang pengawal kecil itu dapat?]
Lagi besar sesebuah syarikat atau premis yang hendak dikawal, maka makin banyaklah bayarannya setiap bulan. Pada masa sekarang, khabarnya gaji pengawal sudah dinaikkan, sebenarnya tidak semua. Hanya syarikat yang dapat tender dengan pihak kerajaan sahaja yang dikawalselia pembayaran gaji mereka. Contohnya, pejabat kerajaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi, hospital, klinik dan sebagainya.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana syarikat pengawal keselamatan sanggup beri gaji RM850 sebulan sedangkan mengikut kiraan di atas tadi, dia berharga RM1413.60. Pihak syarikat mengaut lebih RM500 dari seorang pengawal. Kalau 5 orang, sudah RM2500. Bagaimana syarikat kawalan keselamatan tidak kaya?

KILANG TUTUP
Bisnis kawalan keselamatan tidak kisah kalau kilang tutup. Bahkan ada kilang tutup yang memerlukan ia dikawal lagi 24 jam. Begitu juga bangunan yang berharga. Walaupun hanya bangunan kosong, ia tetap dikawal, paling tidak seorang pengawal. Bidang kawalan keselamatan memang berdaya maju, semakin banyak bangunan didirikan, villa, kondo, apartment, semuanya memerlukan kawalan keselamatan.
Bidang ini tidak glamor. Akan tetapi di masa sekarang skima gaji pengawal bolehlah dianggap selesa sikit, hanya kedegilan sesetengah syarikat nak untung lebih.
Seperti kiraan tadi [berdasarkan tahun 2007] gaji pengawal masih di tahap yang menyedihkan. Akan tetapi mereka ditugaskan untuk menjaga harta yang banyak, berjuta, berbilion, mahu dilihat segak, tampan, sentiasa waspada, sedangkan mereka makan makanan yang tak bergizi kerana gaji kecil, atau setahu saya pengawal dari Nepal banyak yang makan mi segera sahaja, budak dari Sabah pula makan nasi berlaukkan mi segera. Puncanya gaji tidak cukup. []

Sunday 22 April 2012

TENTANG KATA-KATA KOTOR DAN CACI MAKI

KOMEN INI merujuk kepada Risalah Masjid Kota Damansara, bil.51, 15April, 2012, bertajuk SENTIASA AWASI LIDAH KITA yang dipetik dari tulisan Mohd Shauki Abd. Majid (Yadim). Paparan yang dicetuskan oleh Shauki itu baik sebab ia semacam nasihat kepada semua orang agar menjaga mulut, menjaga minda, agar tidak mengeluarkan kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina kerana semua ini merupakan perkara yang sangat tercela dan dilarang.
Setiap umat tahu apa hukumnya, melainkan mereka itu jenis degil, tak mahu menambah ilmu, atau sengaja melanggarnya demi menegakkan pegangan sikap dan politik mereka.
Dalam kes ini, saya percaya, Shauki pernah memaparkan bahan ini di dalam majalah terbitan Yadim yang pasarannya terhad, bahkan tidak menonjol pun di pasaran. Jika Yadim bertujuan hendak berdakwah, dakwahnya hanya berkisar di bawah kepak Yadim dan sekitarnya, maknanya audiennya sangat kecil. Dan jika risalah sebuah masjid menyiarkan semua artikelnya, maka ia tersebar ke mana-mana. Dan saya sendiri mendapat risalah ini dari salah seorang AJK masjid berkenaan yang kebetulan orang Perkim, ketika saya mengikuti kuliah mingguan di pejabat Perkim.
Memanglah kita ditegah daripada mengumbar fitnah, mengaibkan orang lain, tetapi apakah pihak Yadim sendiri tidak menyedari golongan manakah yang memulakan sesi fitnah, mencarut, memaki orang dan mengaibkan seseorang?
Semuanya bermula sejak pemecatan Anwar Ibrahim. Inilah sejarah paling gemilang bagi umat Melayu di Malaysia, tetapi sayangnya, tuduhan selalu dilemparkan kepada orang yang terfitnah. Apabila Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara yang merupakan ahli Pas, pernah menang pilihanraya umum, menulis novel SHIT, ia dianggap meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel berkenaan. Novel itu katas Shauki pernah menimbulkan kontroversi.
Sebenarnya bagi orang yang nak mengkaji kritikan melalui novel, maka novel Shit pun dijadikan panduan utama. Pengkaji novel ini boleh mendapat gelaran Dr. jika dia sanggup buat tesis tentang perkara sebenar yang berada di luar teks. Tidak kiralah dengan menggunakan pendekatan apa pun, strukturalisme, diskontruksi atau hermeneutik dan yang sealiran dengannya.
Nah, sebenarnya novel SHIT sedikitpun tidak memalukan. Novel tidak dibaca orang semua orang. Seorang peminat sastera pun belum tentu telah membaca novel itu, lainlah jika suatu hari nanti novel SHIT dijadikan teks wajib untuk peperiksaan sekolah menengah [memang layak pun!]
Kenapa tidak memalukan?
Bagi saya, novel masih dikira sebaik-baik paparan dalam bersastera, carutan dan makian tidak ketara, kerana ia berlegar kepada aksi perwatakan, dialog pewatak utama, interior monologue dan sebagainya. Ini semua kena semak mengikut pandangan pengkritik sastera barat sana.
Bagaimana pula paparan di dalam akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Berita Harian, Berita Minggu, The Star, dan akhbar bahasa Inggeris lainnya, termasuk The Malay Mail yang tinggal nyawa-nyawa ikan sekarang?
Perlu diingat, paparan dalam akhbar tadi, termasuk media tv adalah paparan caci maki, kata-kaa kotor, pengaiban yang sudah mencapai darjah tertinggi dalam sejarah peradaban bangsa Melayu. Tahun 90-an ketika Dr M berkuasa, adalah puncak kelucahan melampau yang dipersembahkan secara berani melalui media massa, cerita lucah, cerita cabul, gambar berahi sudah diperkenalkan dalam minda Melayu, semuanya tumpang seronok, dan tidak diketahui apa sikap dan pandangan penulis dan wartawan di Yadim mengenai hal ini.
Kini, apabila Shauki menulis mengenai tajuk ini saya rasa bagai tidak kena. Hendak dikritik kepada siapa pun tidak diketahui. Risalah yang dikeluarkan pihak masjid hanya ditatap mereka yang datang berjemaah di masjid itu, biasanya hari Jumaat. Baca dan buang. Ada yang rajin mereka simpan dan difailkan. Saya dapat risalah melalui geng Perkim, Jalan Ipoh, KL.
Baiklah, kita tidak boleh salahkan sebelah pihak sahaja, dan dalam hal ini nada tulisan dari pihak Yadim hanya ditujukan kepada pembangkang dan penyokongnya. Yadim perlu jelas dalam soal dakwah. Kesalahan awal kelompok yang memperkenalkan kenistaan dan pengaiban ke atas umat adalah dari pihak penguasa sendiri.
Kita hendaklah mengakui, inilah kesilapan paling utama yang dilakukan oleh Dr M dan kemudian didukung oleh segenap aparat pemerintah untuk mendukung, memperkasa cerita-cerita yang aib ini di pentas politik Malaysia.
Kita tidak perlu berkeluh-kesah, mengatakan masyarakat Melayu kita sudah rosak akhlak. Bagaimana tidak rosak jika pemimpinnya sendiri telah melakukan kerosakan akhlak yang paling utama. Pemimpin akan jadi panutan, tetapi di Malaysia, apa sahaja yang diutarakan oleh pemimpin ia dianggap fatwa.
Jika anda semak semula halaman depan akhbar arus perdana Malaysia tahun 90-an ketika Anwar dipecat, difitnah dengan Liwat I dan kemudian Liwat II, apakah berita dan laporan yang kerap dipaparkan di halaman depan? Bagaimana ulasan dan propaganda RTM dan TV yang ada di rumah kita?
Bukankah membuka keaiban seorang tokoh yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, sekalipun sudah dipecat. Ia secara tak langsung menggambarkan akhlak kalangan menteri yang lain juga. Jangan fikir Anwar itu keseorangan.
Biasanya orang akan mengkaji seseorang itu dari golongan mana. Seorang yang membicarakan soal Ahlul bait senada dengan pemikiran Syiah akan dilihat ke mana hala kecenderungannya. Dia pernah aktif dengan gerakan apa? Bahkan dalam kes pengganas, latar cerita itu diungkit, dan dalam kes Anwar seolah-olah tidak ada pertalian.
Mengaibkan seorang bekas menteri, sama sahajalah memberi gambaran kelompok yang lain pula serupa. Dalam hal ini Dr M telah meninggalkan satu legasi yang akan dikenang sampai bila-bila pun. Dialah yang melakukan semua rencana yang amat mengaibkan umat Islam.
Umat Melayu di zaman Kesultanan Melaka yang teruk itu pun tidak tergamak hendak mengaibkan tokoh tertentu. Sejarah Melayu masa silam kita pun banyak skandal mengaibkan, termasuk skandal orang istana, tetapi penceritaan dibuat secara simbolik atau cakap berlapik.
Di Malaysia pemberitaan dan laporan gaya baru, gaya kewartawanan moden mengancurkan tatasusila umat Melayu. Bermula dari zaman Dr M inilah orang tidak peduli lagi dengan kelucahan. Mereka semakin berani.
Menyebarkan gambar lucah sudah jadi perkara biasa. Seperti juga menulis cerita lucah. Kelucahan melampau ini dipaparkan media kita yang diterajui oleh wartawan islam. Tidak tahulah bagaimana kewartawan islam yang dimaksudkan ketika itu. Rasanya nilai-nilai Islam itu memang tak ada langsung.
Jika dibandingkan mana yang memualkan, mana yang meloyakan? Maka jawabnya laporan akhbar arus perdana yang didukung oleh Umno-BN jauh lebih lucah dan melampau dibandingkan dengan novel SHIT.
Novel SHIT ditulis menurut alur kesusasteraan, sebaliknya berita dan laporan yang dipaparkan dalam media arus perdana ketika itu lebih bersifat terus terang, bahkan keterlaluan.
Ketika itulah masyarakat kita mula berkenalan dengan amalan songsang HOMOSEKS. media kita memaparkan keperihalan ini dengan terus terang tanpa selindung, tanpa rasa bersalah pun, setiap hari mengaibkan orang. Ketika itu tidak ada kisah lain, semuanya tentang bulu kemaluan, air mani, tilam, seks lelaki dengan lelaki yang semuanya ini adalah gambaran betapa rendahnya akhlak wartawan Melayu kita. Dalam hal ini Yadim tidak pernah sentuh pun.
Apabila umat Melayu sudah dibiasakan dengan istilah kurang ajar itu dalam media massa, didukung oleh semua pihak atasan dan bawahan, maka akhirnya kita sudah jadi masyarakat yang biasa dengan apa pun kelucahan. Inilah kesan jangka panjang. Dalam tahun 90-an akhir, kita dipupuk agar mengenal erti HOMOSEKS, kemudian ia jadi pelajaran wajib secara tak formal.
Kita lihat di sana-sini orang galak berhomoseks mengikut ajaran umat Nabi Luth, tetapi kita salahkan mereka yang terjebak. Kita lupa, bahawa dosa besar penyebar fitnah ini adalah para wartawan dan golongan ahli politik yang mabuk kuasa. Mereka lupa dengan adab susila Melayu, jangan sebutlah bahasa jiwa bangsa, Ketika itu tidak penting apabila nafsu sudah menguasai diri.
Kesannya, masih ada di kalangan orang berkedudukan mengusung cerita pita atau video seks yang dikatakan melibatkan tokoh yang pernah diaibkan. Siapa tokoh yang paling banyak menerima fitnah dan pengaiban di abad ini? Semua sudah tahu. Pihak Yadim pun tahu.
Dan saya bukan tidak membilik majalah keluaran Yadim yang memaparkan hal perlakuan songsang ini, sayangnya wartawan atau penulisnya lupa, di mana semua ini bermula? Kenapa tidak bermuhasabah diri? Semaklah semula lembaran lama. Kita sebenarnya telah melakukan kesilapan paling besar, bahkan melakukan dosa besar kerana mencaci, memaki, memfitnah, mengaibkan rakan dalam dunia politik, meskipun telah dipecat, tatasusila Melayu perlu dipertahankan.
Kesan daripada laporan berita kelucahan dan pengaiban itu, lahirlah berita-berita yang yang tidak sedap dibaca atau didengar. Semua ini adalah BALA yang Allah s.w.t. timpakan kepada umat kita kerana melakukan tindakan bodoh semata-mata menyelamatkan politik sekularisme.
Cuba semak apa yang berlaku sekarang?
  • Pembuangan bayi merata-rata membuktikan bahawa hubungan seks di luar nikah, bersekedudukan, rogol, dan apa sahaja tindakan berkaitan seks dua jantina telah merebak parah. Benda ini tidak cukup dengan kutbah Jumaat, tidak cukup dengan tazkirah di surau dan masjid, dan tidak cukup dengan menyebarkan risalah sahaja, dan tidak cukup dengan penerbitan majalah atau jurnal sahaja.
  • Hubungan seks songsang, semakin menjadi fenomena sejagat. Baik kelompok lelaki yang dipanggil gay melakukan homoseksual, kelompok wanita pula memperjuangkan emansipasinya melahirkan pengkid, melahirkan lesbianisme - dan semua ini adalah kesan daripada keinginan kita membesar-besarkan isu yang bukan isu besar. Tetapi kerana politik, kita sanggup berbohong dan merosakkan minda rakyat tua muda dan kanak-kanak yang membesar dalam era akhir tahun 90-an.
  • Orang semakin berani melakonkan adegan seks terlarang untuk dirakamkan dan disebarkan sebagai bukti kehebatan main ranjang. Bahkan apabila pihak atasan pun merestui penyebarannya, maka kalangan rakyat bawahan anggap tidak ada salahnya memuat turun gambar lucah, boleh berbogel di depan kawan, ambil gambar guna telefon bimbit, sebarkan, muatkan dalam facebook atau twitter. Ini semua adalah bahana yang bermula dari perkara di atas tadi. Semak semula, berapa pemimpin negara kita yang dihebahkan dengan skandal seks? Jangan tumpu kepada pembangkang sahaja, semak juga kes yang melibatkan pemimpin tertinggi dalam BN.
  • Apabila dalam persoalan SEKS kita semakin terbuka, makin berani, maka pencarutan tidak jadi halangan lagi. Iklan-iklan produk kesihatan pun dengan beraninya mengiklankan agar kaum lelaki menggunakannya untuk kuat perkasa. Tidak setakat produk kesihatan, minuman 3 campur 1 pun galak dengan nama yang berbau lucah [tak payah sebut]. Ini kemudian melahirkan iklan KUAT di tepi jalan, orang rasa malu tengok iklan kuat ditampal di batang pokok, di tempat menunggu bas atau teksi, di mana-mana sahaja, kenapa tahu malu tengok iklan seks, sedangkan berita seks, laporan dan ulasan seks tidak mahu pula? Bukankah di masa dulu, setiap pemimpin mahu bercakap konon tahu skandal si fulan dan si fulan. Ghibah begini tidak kita perhatikan. Laporan itu dianggap gosip artis bukan ghibah yang tercela. 
  • Setelah keadaan dikatakan gawat, maka di sana-sini sibuk buat perhimpunan. Contohnya, perhimpunan bagi menyatakan TAK NAK LGBT SEKS BEBAS. Ia didakwa sebagai program kesedaran ancaman seks bebas dan LGBT, Bukankah pelik namanya? Kita sendiri yang menanam benih seks bebas dan kemudian kita marah-marah pula. Nak marah kepada siapa?  Masalah seks bebas ini kerana kita memang dari dulu sibuk dengan kelucahan, memfitnah dengan kelucahan dan setiap hari berkisah tentang bulu kemaluan dan tilam tebal, ada yang mengusungnya sekali. Bukankah ini benih kepada ancaman seks bebas? Itu sebab kita jangan ambil jalan mudah, nak marah-marah kepada pihak tertentu tetapi kita lupa siapa sebenarnya pihak yang mencetuskan idea kebebasan ini? Apabila orang hebat menayangkan video seks di tempat eksklusif dan dilaporkan dengan hebat tanpa sebarang tindakan, ia memberi konotasi bahawa sesiapa pun bebas menjaja video sedemikian, tidak dilarang walaupun peraturan sudah ada tentang tegahannya. Fikirkan, jangan mudah melatah gunakan NGO atau persatuan sampaikan Jemaah Tabligh pun hendak ditasykilkan. Sepatutnya Jemaah Tabligh menarik golongan yang bebas seks itu keluar dari lorong dzulumat [saya pun pernah terlibat dengan Tabligh sejak di Georgo Town, Penang dan Masjid India tahun 80-an].
  • Kini kita lihat kebejatan masyarakat Melayu kita makin menjadi-jadi, bermula dari gelandangan, dadah, pencurian, pelacuran, melakukan kelucahan melampau, seks dengan kanak-kanak, bahkan termasuk anak sendiri [haruan makan anak tak sesuai lagi kerana sekarang ikan haruan payah hendak beriringan dengan anak-anak haruan macam tahun 70-an dulu - kes sawah padi di Sekincan]. Daripada kebejatan ini kemudian membawa kepada kebejatan lain, tetapi pemimpin kita lupa bahawa sebahagian besar yang menjadikan kebejatan ini adalah hiburan yang melampau-lampau dalam dunia Melayu. Baik media masa atau apa sahaja, hiburanlah yang diutamakan. Orang meletakkan agama di garisan akhir, iaitu ketika sudah bersara, masa itu jenguklah masjid, alangkah baiknya bertaubat ketika muda? Lebih ramai artis pakai tudung lagi bagus, tetapi kita tidak mahu tudung sahaja jika masih pakai kasut tumit tinggi dan pakai legging yang menampil bentuk tubuh yang mengghairahkan. Apabila artis berpakaian begitu, siapa pun tidak berani tegur. Forum tv pun tak berani. Takut tak dapat tempat dalam program tv lagi.
  • Berbalik kepada risalah dari masjid Kota Damansara tadi, tentang awasilah lidah kita, ia satu nasihat yang baik. Akan tetapi sebelum kita hendak mengatakan ia suatu kesalahan kepada Shahnon Ahmad ketika menulis SHIT [faktor luaran dalam penulisan karya adalah kemestian. Bahkan pengkritik sastera selalu fokus kepada faktor ini]. Mungkin penulis dari Yadim ini lupa nak menegur pihak atasan dan media yang menjadi pemutar-belitkan fakta yang pada jangka panjang menjadikan umat kita rosak parah. []

TAJUK ANEH: MAKIN RAMAI ARTIS PAKAI TUDUNG

SALAH SATU TAJUK ANEH DALAM METRO AHAD [22hb.April 2012] adalah hal semakin ramai artis kita pakai tudung. Sepatutnya pemakaian tudung di kalangan artis tidak perlu digembar-gemburkan, apa lagi pihak media hendak memburu mereka beraksi dengan berbagai macam fesyen tudung.
Kita tidak mahu perkara memakai tudung dianggap sebagai kemegahan, dan bukan hal yang menghairankan kerana menutup aurat bukan perkara aneh dalam dunia Islam, ia cuma aneh, pelik bin ajaib dalam dunia Melayu yang memang masih berada di dunia kecil jahiliyah.
Kejahiliyahan ini amat ketara apabila masyarakat Melayu umumnya sangat fokus kepada dunia hiburan. 80% kehidupan Melayu adalah hiburan, dan selebihnya adalah perkara peradatan dan segmen yang terkecil adalah keperihalan agama.
Mengenai menutup aurat ini, iaitu dengan pemakaian tudung, ia perlu dijelaskan dengan lebih terperinci. Islam bukan menuntut kaum wanita menutup aurat di kepala itu sahaja, malah keseluruhan tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Memanglah kesedaran memakai tudung telah ada, akan tetapi kita belum pasti apakah pemakaian tudung itu hanya trend, ikutan, semacam mahu menunjuk-nunjuk atau keikhlasan setelah taubat dengan bersungguh-sungguh sesudah ini tidak akan mendedahkan aurat lagi.
Dan maksud aurat ini bukan setakat tudung berstail, tetapi kena dengan tuntutan syariat, bukan tuntutan fesyen mengikut kehendak pereka fesyen atau jurugambar di studio yang sibuk membetulkan letak tudung dan berposing.
Hal berposing ini kena rujuk kepada kalangan ulama, lagi-lagi dedahkan diri kepada orang ramai untuk ditatap gambarnya baik dalam akhbar [ruang hiburan], media tv atau majalah. Diharapkan wartawan majalah tidak terlalu fokus dengan artis bertudung dengan menampilkan berbagai gaya atas alasan selebriti, kerana Islam tidak mengenal pemeragaan mengikut acuan Yahudi dan Nasrani. Kena ingat.
Akhbar dan majalah main peranan. Ia patut mendidik akhlak remaja. Pemakaian tudung di kalangan wanita Melayu di negara kita buat masa ini masih menyedihkan. Mereka bertudung, tetapi tetap telanjang. Ustaz dan ustazah selalu ingatkan kaum wanita jangan hanya menjaga tudung di kepala, tetapi tudung di kepala itu sendiripun tidak mengikut syariat yang dikehendaki.
Hal jilbab masih tidak difahami wanita yang tidak berpendidikan agama. Mereka perlu ditarbiyahkan lagi tentang fesyen bagaimana yang boleh dan tak boleh dipakai di depan umum. Jika kita perhatikan cara wanita Melayu berfesyen, bertudung, memang nampak manis, tetapi banyak juga yang melanggar syariat.
Justeru, peranan ruang hiburan untuk membetulkan keadaan ini. Perlu dijelaskan tentang pemakaian tudung dan keseluruhannya. Jika wartawan hiburan sendiri pun hanyut bersama mereka dan menyanjung artis bertudung tetapi rambut terjurai di dahi, atau nampak jambul, maka ia masih tidak menepati kehendak syariat.
Begitulah antara lain perkara aneh yang biasa dipaparkan di media massa kita hari ini. Memakai tudung masih dianggap pelik bagi orang Melayu. Sedangkan hukum menutup aurat sejak zaman Nabi s.a.w. lagi. Kita pula hanya tahun kebelakangan ini sahaja.

Saturday 21 April 2012

BERSIH 3.0, ISUNYA ADALAH SPR

MUNGKIN BANYAK TANGGAPAN NYELENEH kedengaran menjelang himpunan Bersih 3.0. Umum sudah tahu Bersih dalam siri yang lalu mendapat sambutan segenap lapisan rakyat. Ia memberi petunjuk bahawa kebanyakan rakyat sudah sedar peri pentingnya SPR mendengar rintihan dan bantahan rakyat.
Di masa inilah slogan rakyat didahulukan perlu dipraktikkan. Nampaknya amat berat bagi SPR hendak memenuhi tuntutan rakyat kerana mereka lebih rela mendengar tuntutan para pemimpin yang kegelisahan sekiranya SPR mendengar keluhan rakyat.

BUKTIKAN RAKYAT DIUTAMAKAN
Inilah kelucuan yang terjadi di Malaysia. Di mana-mana orang melihat slogan rakyat didahulukan, tetapi dalam kes duduk bantah ini, kepentingan rakyat tidak diambil kira.
Adakah demokrasi kita kini sedang menuju ke arah penggerogotan nilai yang bakal mengundang masa depan parah? Keluhan rakyat tidak mengira dari kelompok mana harus didengar.
Alangkah pelik, sekiranya pemimpin pusat bersungguh-sungguh mendengar rintihan kelompok minoriti rakyat menjelang pilihan raya umum nanti, sebaliknya keluhan dan permintaan rakyat yang berkaitan dengan pilihan raya dipekakkan.
Tanggapan rakyat yang beredar di mana sekarang adalah bukti bahawa SPR adalah alat semata-mata untuk menjaga kepentingan Umno, mereka tidak kata BN secara umum, kerana semua paksi kejahatan dan manipulasi adalah dari "hati" Umno.
Maka kini rakyat melihat, Umno menjadi watak yang memualkan. Para pemimpin Umno terkenal dengan bermacam skandal. Ketidakpedulian pemimpin Umno yang mengawal selia BN menyebabkan rakyat mewujudkan Bersih 3.0.
Berbagai tanggapan bodoh dilemparkan apabila rakyat hendak menggunakan dataran merdeka. Maka para pemimpin penting berkata dataran itu adalah untuk majlis rasmi, dataran itu adalah warisan sejarah, tidaklah mereka sedar, bahawa siri Bersih yang lalu telah dicatat dalam sejarah? Bukankah tindakan anak-anak muda mahasiswa dan sesiapa sahaja yang menyertai Bersih 3.0 adalah lakaran sejarah juga?
Umum mengetahui dataran itu setiap minggu digunakan untuk iseng-iseng, hiburan dan kemaksiatan yang dipupuk dan dibaja agar umat Melayu cair keimanannya dan mendengar apa sahaja yang difatwakan oleh penganjur hiburan. Ingat, hiburan ini hendak diletakkan di mana di antara yang HAQ dan yang BATIL?

SEJARAH DATARAN
Inilah sejarah apabila seseorang menyentuh tentang soal kebangkitan rakyat pada tahun 2012 yang lalu [ketika kita mengingat sejarah masa lampau sebagai contoh], mereka pasti menyentuh reformasi, bantahan rakyat di mana-mana termasuk Lynnas, isu ISA yang bukan dihapuskan sebaliknya ditransformasikan dalam acuan baru yang lebih menggelisahkan rakyat - terutama para pejuang keadilan dan kemunkaran politik cara melayu.
Kini, akhbar arus perdana yang proUmno memang setiap hari memaparkan tentang kebodohan rakyat yang ingin menggunakan dataran merdeka. Setiap hari ada sahaja bahan lelucun dipaparkan.
Seorang wanita gelandangan berambut pendek, dedah aurat, hisap rokok pihak Berita Harian kaitkan dengan mahasiswa yang berkhemah di situ.
Anda siapa? Sebagai jurugambar dan wartawan, bukanlah manusia istimewa sehingga hendak menghina golongan lain, ini adalah pengaiban.
Bayangkan kalau ada media lain memaparkan wanita tadi duduk mencangkung di majlis rasmi Najib? Anda mungkin marah, jika begitu, kena ingat, orang lain pun tersinggung dengan cara anda.
Anda mudah tersinggung, majlis rasmi ada pemimpin pembangkang berbisik sesama mereka pun dianggap menyinggung. Bagaimana gambar wanita gelandangan itu didampingkan dan kemudian difitnah sebagai angkara mahasiwa? Elok juga kalau yang duduk itu adalah para wartawan lagi bagus.
Apalah ertinya akhbar anda memaparkan rencana keagamaan, menyentuh tentang sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang perlu diteladani, tetapi dalam masa yang sama anda memaparkan keaiban?
Pihak akhbar proUmno tidak melaporkan hal yang berlaku di Sabah sana, ada isu menarik yang langsung tak berani disentuh kerana pihak akhbar juga mendapat "arahan" daripada pihak pusat, tolong ya, jangan siarkan apa berita pun tentang si fulan.
Akan tetapi sekarang, laporan media utama tidaklah secantik dulu, kini mereka hanya memetik perkataan dari twitter, facebook, atau web yang berjuta itu. Itulah sumber yang dimegahkan oleh mereka sebagai bahan otentik.

PEJUANG RAKYAT
Berhubung dengan isu duduk bantah di dataran merdeka, kita perlu ingat, bahawa membiarkan ahli lembaga Pesuruhjaya Pilihan Raya sekarang terus bertugas akan menjadikan pilihan raya umum akan datang ini terkotor, tidak adil dan tidak demokratik. Itu permintaan A.Samad Said, Pengerusi bersama bersih yang juga Sasterawan Negara yang benar-benar jujur dan komited [sebab kebanyakan sasterawan yang bergelar di negara kita takut melibatkan diri dengan perjuangan rakyat, mereka jadi tikus yang selesa dalam peti beras, dan apabila rakan lain menyertai rakyat, mereka pandang sinis dan pelik, padahal sasterawan bergelar itulah yang pelik kerana mengasingkan diri dari rakyat].
Bagaimana kalau benar pilihan raya kali ini bertukar senario? Apakah pilihan raya perlu diulang sekali lagi? SPR sampai sekarang tetap degil, bilangan petugas dalam SPR di peringkat tinggi tidaklah ramai, dan mereka mempunyai kabel terbaik dengan pemimpin Umno.
Halangan inilah yang menyebabkan tuntutan bersih tidak dilayani. Jika tuntutan tidak didengar, apa lagi undilah yang akan menentukan. Tetapi di negara kita, banyak sangat penipuan yang berlaku ketika pilihan raya.
Usaha membeli undi dengan cara bom duit seperti kata bekas menteri Umno sendiri, membuktikan bahawa umpatan di luar SPR itu memang benar.
Jika benar kita mendakwa bahawa islam adalah agama rasmi kita, maka ketika pilihan raya inilah kita kena tunjukkan sejauh mana kita mengikut ajaran islam, sejauh mana kita berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin bab penipuan dan membeli undi ini perlu ditarbiyahkan, dan elok benar Forum Perdana tv kita setiap malam Jumaat itu fokus kepada penipuan dalam pilihan raya.
Akan tetapi yang memualkan, forum itu hanya tempat ustaz proUmno memaparkan jati diri mereka yang hanya memperkatakan hal-hal yang sepanjang forum tidak menyinggung pihak atasan. Bukankah ini namanya dakwah, kenapa takut dengan kebenaran? Pedulilah kalau pihak tv tidak mahu undang lagi, bercakap hal benar, tugas anda telah dilaksanakan menegur golongan yang ingkar, golongan atasan yang lupa dengan garis panduan sebenar.
Selepas ini, apa kenyataan yang pihak Umno paparkan dalam media mereka? Sayang, paparan itu hanya untuk mereka yang masih buta politik dan buta suasana sekitar yang sedang berubah. Ingat, tidak ada suatu kuasa politik pun di dunia ini yang kekal lama. Dan negara kita bila pula? []

Friday 20 April 2012

KEBEBALAN DI MASA JAHILIAH

Bolehlah dianggap sebagai kebebalan diri. Apabila menoleh ke masa lampau, banyak sangat perkara yang memalukan berlaku di tengah masyarakat kita, bahkan termasuk diri kita juga, dan penulis juga merasakan betapa bebalnya kita di masa lampau.
Bayangkanlah, bukankah kita diperintah untuk menutup aurat. Ia adalah suruhan di dalam al-Quran, ustaz hanya mengingatkan kita sahaja. Akan tetapi perihal aurat ini masih ramai orang kita tak faham. Mereka kata aurat itu ertinya kemaluan. Selagi tak dedah kemaluan itu tak mengapa. Rambut bukan aurat.
Itulah kefahaman di zaman jahiliah orang kita. Kejahilan ini sampai sekarang masih ada. Lihatlah di kanan kiri kita golongan mana yang belum sampai seru ke arah menutup aurat. Kaum lelaki sudah jelas di mana auratnya, tetapi kaum wanita masih memandang remeh dengan persoalan aurat. Mereka masih sayang dengan stail rambut yang menarik itu.
Kenapa masih berlaku kedegilan ini? Mungkin mereka menunggu contoh yang baik daripada pemimpin idola mereka yang masih belum patuh dengan suruhan-Nya.
Ayat-ayat al-Quran dan as-sunnah yang menerangkan ancaman kepada mereka yang tidak menutup aurat tidak boleh dibantah lagi. Hendaklah kamu dengar dan patuh. Kita terlalu banyak alasan.
Mujur ada gerakan pemurniaan agama yang berlaku sejak tahun 70-an silam, jika tidak, sehingga sekarang kita masih berada dalam wadah kejahilan.
Kaum lelaki pula, sibuk dengan dunianya. Gara-gara ikut kawan, sanggup buat apa sahaja yang dianggap tidak mengapa. Contohnya, banyak budak kampung pada masa dulu menggunakan khidmat bomoh bukan Islam. Agaknya mereka tidak tahu ada perubatan cara Islam iaitu dengan ruqyah. Masa itu mana ada perubatan macam ini. Orang jumpa bomoh kadang-kadang bukan hendak berubat sangat, tetapi lebih menjurus kepada hendak mendapatkan sesuatu ilmu.
Contoh, ada orang sanggup juga bomoh Orang Asli. Kalau sekadar tanya akar kayu, atau rahsia ramuan herba tradisional yang mereka guna tak jadi hal, tetapi mereka bertanya lebih dari itu. Mereka bertanya tentang pengasihan, bagaimana hendak memikat anak dara atau janda ternama, bagaimana hendak dapatkan angka pertaruhan bertuah dan sebagainya.
Sebenarnya perbuatan berjumpa bomoh sahaja sudah dianggap suatu maksiat. Kita ditegah jumpa bomoh untuk bertanyakan hal-hal yang bersifat ilmuan dan keghaiban kerana mereka juga tak tahu apa. Lainlah kalau kita bertanya soal pokok dalam hutan.
Akan tetapi kalau kita meyakini bahawa teras pokok dalam hutan sekian-sekian boleh mendatangkan kekebalan, memberi manfaat kepada pemiliknya, maka ia sudah bertentangan dengan tugasan pakar itu yang sebenar.
Dahulu, kerap benar orang kita berurusan dengan orang pintar yang bukan Islam. Mungkin kita tidak ada pakar agaknya, maka ilmu sedemikian tidak diminati kerana ia merosakkan aqidah pengamalnya. Bagi mereka yang cenderung kepada berbagai perkara nyeleneh, orang pintarlah yang jadi sasaran.
Bayangkanlah ada orang Islam sanggup jumpa bomoh sakai, atau bomoh orang iban, bomoh pak dayak untuk mendapatkan sesuatu. Mereka sudah jelas bukan islam, dan kita yang beruagama Islam pula sanggup duduk bersila di depannya.
Bukasn setakat itu, apa yang dikatakan akan dipatuhi, kalau orang suruh puasa, maka kita pun puasa, tetapi puasa kerana kehendak dia bukan puasa syariat. Kalau suruh ambil tanah liat waktu maghrib kita pun buat juga, suruh pergi buang benda di sungai pun kita buat. Pendeknya apa yang dituturkan oleh orang pintar itu dijadikan ritual yang dipatuhi. Sukar hendak berkata tidak.
Begitu juga ketika berdepan dengan orang pintar bukan Islam, jika mereka minta mandi bunga, maka pelanggan dengan senang hati mandi bunga tanpa alasan tertentu.
Jika diminta pakai cincin mata kucing konon ia sesuai dengan pemakai, maka kita pun patuh. Itulah zaman ketika kita amat jahil dalam persoalan ini. Ketika kita jahil, kita akan jadi barang mainan. Kita tidak pernah membantah atau menyelidik kebenaran sesuatu perkara.
Bahkan cakap kawan-kawan mengatakan bahawa bomoh atau dukun bukan islam ini berhantu, tidak boleh main-main, ini menimbulkan ketaksuban yang bukan kepalang kepada orang yang bertemu mereka.
Sebenarnya, kejahilan umat Melayu ketika berurusan dengan orang pintar adalah warisan dari zaman silam, zaman kita masih patuh kepada adanya Kerajaan Jin di negara kita. Bahkan pawang istimewa sangat melayani apa yang dinamai sebagai kerajaan jin. Ada jin Maya udara, ada jin langit biru, ada jin hutan kelam dan ada jin muara sungai. Pendeknya di mana-mana ada jin.
Memang betul ada jin termasuk di tandas rumah kita. Jin jantan dan betina. Akan tetapi kita selalu dimainkan oleh cerita-cerita dongeng yang sepatutnya hanya sekadar hiburan bagi menggambarkan pemikiran masyarakat dulu. Apabila orang memaparkan kisah misteri dan mistik, ia sebenarnya menggambarkan sebahagian kepercayaan masyarakat moden yang masih berbau jahiliah.

DUKUN TENAGA BATIN
Di sebuah tempat [tak payah sebut namanya] ada seorang dukun Orang Asli yang dianggap pintar dalam soal urut batin lelaki. Dikhabarkan kaum lelaki sering mengunjungi tempat itu pada waktu malam kerana berhajat tenaga mereka dipulihkan.
Bayangkan, seorang lelaki akan diurut "batin"nya oleh dukun perempuan. Tidak perlu bawa apa-apa kerana segala keperluan sudah disediakan di rumah  dukun itu. Semuanya tinggal beli sahaja apa yang dihajatkan.
Akan tetapi ada perkara yang amat melecehkan agama.
Apa dia? Untuk mengetahui sejauh mana ampuh atau tidak urutan batin dukun perempuan itu, seseorang pelanggan diberi dua pilihan, nak uji atau tidak? Terpulanglah jika ingin menguji, dukun perempuan itu sendiri sedia menawarkan diri untuk dijadikan pasangan seksual.
Tidak dipastikan kebenaran kisah ini, tetapi ada orang beritahu, sudah ada rakan-rakannya yang berurut di situ dan terpaksa "bermalam" kerana hendak menguji kehebatan ilmu dukun wanita itu.
Di sini, menurut khabarnya, dukun itu bukanlah orang belasan tahun tetapi sudah lima puluhan, hanya ketika mengurut dia kelihatan muda dan menggiurkan lelaki.
Ini adalah ragam kejahilan lelaki. Dengan kebebalan diri, sanggup merujuk sesuatu perkara kepada yang bukan Islam dan sanggup pula menjatuhkan darjat diri di depan wanita begitu. Di negara kita bukan tidak ada dukun seperti ini, wanita mengurut batin lelaki. Inipun satu bentuk kejahilan.
Ada banyak lagi perbuatan jahiliah yang kita lakukan tanpa disedari. Seperti wanita dedah aurat telah menyedari sekarang dan menutup aurat, kaum lelaki juga perlu sedar, mengunjungi dukun untuk ilmuan yang tak berguna adalah suatu kenistaan dalam agama. Apa lagi kalau sampai berurut batin dengan cara seperti yang diceritakan tadi.